Kita
tidak perlukan kerajaan yang kuat. Kita perlukan kerajaan yang adil, kata P Ramakrishnan. Pilihanraya
ke12 ini adalah saat genting bagi rakyat Malaysia. Ianya akan
menentukan halatuju bagi negara dan juga menentukan status demokrasi
dalam negara ini. Yang lebih penting lagi, hasil dari keputusan ini
akan menentukan status sekular negara ini yang sedang dicabar.
Keadaan sudah menjadi buruk
Elemen
pelampau begitu agresif dalam usahanya untuk memajukan agenda Islam
di samping mengenepikan ciri kepelbagaian negara ini. Elemen ini
tidak mempedulikan kontrak sosial yang bersejarah, yang dirundingkan
dengan tekun oleh komuniti utama untuk mencapai kemerdekaan dan
membentuk sebuah negara dari pelbagai budaya dan agama.
Pelbagai
kumpulan dan orang telah bertungkus lumus dan menyumbang untuk
membina negara ini sepertimana yang sedia ada. Kekuatan kita sentiasa
dalam keupayaan kita bekerja bersama dalam semangat kerjasama dan
kompromi untuk menampung kepentingan dan kebajikan semua orang
Malaysia.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Semangat
hidup mengikut kehendak masing-masing sedang dicabar oleh ahli
politik tertentu yang mempromosikan dirinya tanpa kompromi sebagai
wira bagi satu-satu komuniti hingga membahayakan perpaduan yang
dikongsi bersama. Walaupun pendirian ini boleh membuat mereka popular
dalam kalangan rakyat, ia menghantar petanda yang tidak baik bagi
kebajikan negara masa akan datang..
Ruang
demokrasi kita telah lenyap. Kita tidak boleh membincangkan isu yang
dianggap amat penting kerana ada elemen tertentu yang menentang
perbincangan itu. Kita tidak boleh berjalan dengan aman untuk
menyuarakan ketidakpuasan tertentu tanpa polis menggunakan taktik
yang keterlaluan untuk menghalang kegiatan demokratik itu. Kita tidak
boleh menerbitkan apa-apa tanpa permit. Kita tidak boleh menubuhkan
apa-apa persatuan tanpa pendaftaran. Kita tidak boleh pergi ke
mahkamah untuk mencabar keputusan tidak adil pihak Eksekutif kerana
hak itu telah dirampas dari kita. Kita tidak boleh mendapatkan ruang
masa televisyen dan radio atau ruang media untuk meluahkan kritikan
yang sahih terhadap kerajaan. Ini – dan banyak lagi – telah
dirampas dari kita.
Badan
kehakiman kita berada dalam keadaan kacau-bilau. Adalah dikesali
apabila sebuah institusi yang dibentuk untuk menjaga keadilan telah
dibinasakan oleh ahli politik yang hanya mementingkan kuasa dan
kedudukan mereka. Badan kehakiman sudah menjadi begitu tercemar dan
rosak oleh manusia keji yang dinaik-pangkatkan untuk melakukan
sesuatu bagi kepentingan yang berkuasa. Hakim yang layak, jujur dan
mulia telah diketepikan untuk memastikan badan kehakiman yang tunduk
kepada kehendak badan Eksekutif. Harapan terakhir bagi orang biasa
untuk mendapatkan keadilan telah dijadikan satu cemuhan.
Sistem
pendidikan kita telah merosot ke tahap yang menyedihkan. Ia tidak
lagi dilihat sebagai satu mekanisme untuk meningkatkan minda orang
muda dan memperkasakan pemimpin masa depan negara kita dengan
pengetahuan dan nilai yang betul bagi membentuk mereka menjadi rakyat
yang sihat, matang, berfikir dan tajam akal. Sistem persekolahan kita
telah menjadi begitu berpecah-belah hingga ianya tidak mencerminkan
ciri kepelbagaian budaya dalam negara ini. Keadaan telah menjadi
begitu buruk sekali hingga Marina Mahathir dalam kolumnya di The
Star mendedahkan bahawa beliau telah mengeluarkan anak-anaknya
dari sekolah kebangsaan kerana sekolah itu sudah menjadi sekolah
Melayu.
Lagi kehampaan dan kebimbangan
Parlimen
kita sudah menjadi sesuatu yang menghampakan. Wakil rakyat kita tidak
lagi berwatak setinggi bangunan Parlimen itu jika dibandingkan dengan
ahli Parlimen yang terdahulu yang menghayati tradisi parlimen dan
menghormati demokrasi dan perdebatan sihat dan menggetarkan. Mereka
berdebat dengan cara hormat tanpa marah atau dendam. Masa kini
perdebatan telah menjadi satu pertandingan menjerit, dan
‘diperhebatkan’ lagi dengan gurauan yang teruk dan komen sexist
yang menggemparkan. Jika pun ada ahli tertentu yang bercakap benar
dan bertindak mengikut suara hati mereka, mereka dihukum kerana
melanggar kehendak parti sepertimana yang berlaku terhadap dua Wakil
Rakyat MIC dan Shahrir Samad, pengerusi Kelab Barisan Belakang.
Lebih
teruk lagi, parlimen yang didominasikan Barisan Nasional telah selama
ini meluluskan rang undang-undang dan pindaan yang teruk lagi
menghinakan yang telah merampas kebanyakan hak asasi dan kebebasan
kita. Parlimen yang dikawal oleh BN telah meluluskan rang
undang-undang yang memalukan semata-mata untuk menjamin kuasa
Eksekutif – dan bukannya untuk memelihara kepentingan rakyat dan
negara.
Perpaduan
kita selama lebih daripada 50 tahun telah merosot ke tahap yang
membimbangkan – dan bukannya menjadi mantap. Ini adalah satu
tragedi kerana kita lebih berpecah belah jika dibandingkan masa
dahulu. Dasar dan amalan awam telah membesarkan jurang itu. Rakyat
merasakan diri mereka didiskriminasikan, bukan saja dalam kalangan
bukan Melayu, orang Melayu juga merasainya, apabila berhadapan dengan
hal kontrak, lesen, naik pangkat, pinjaman, dan biasiswa, yang
akhirnya sampai ke tangan kroni dan mereka yang mempunyai hubungan
rapat dengan yang berkuasa. Walaupun kita boleh menyalahkan pihak
British mengenai dasar pecah-dan-perintah, BN telahpun mempelajari
strategi ini untuk mengekalkan kuasa.
Rasuah
telah merebak ke seluruh sistem kita. Melalui rasuah, berbilion
ringgit telah hilang yang menjejas pembangunan dan bantuan kepada
orang miskin. Kita telah membuangkan kekayaan kita melalui projek
yang tidak bertender, pencarian dan perolehan jualan kontrak melalui
orang tengah, tindakan ‘melupakan’ bilion ringgit yang hilang
secara misteri, dan melalui projek dan kontrak yang gagal. Walaupun
usaha membanteras rasuah telah diisytiharkan dengan niat baik,
setakat ini tiada apa yang berlaku untuk memerangi malapetaka ini.
Wahai
pengundi, senarai tentang perkara yang tidak betul dalam negara ini
boleh diperpanjangkan. Pokoknya, mahukah kita hal ini berleluasa? Ini
perlu kita putuskan.
Perlukah mereka mendapatkan mandat yang amat besar?
BN
meminta mandat yang kuat dalam pilihanraya yang lalu. Mandat ini
telah diberikan tanpa masalah. Malah, mandat yang terakhir adalah
satu yang tidak disangka-sangkakan. Ia melibatkan 91 peratus kerusi
parlimen.
Apakah
ertinya mandat yang besar ini kepada orang ramai? Bagaimana mandat
ini mendatangkan manfaat kepada negara? Mandat ini membentuk kerajaan
yang kuat. Tetapi ia tidak membina sebuah kerajaan yang adil. Ia
membuat ahli politik yang berkuasa. Tetapi ia tidak memperkasakan
rakyat atau menjaga hak asasi dan kebebasan mereka. Mandat yang besar
inilah yang telah membuat kerajaan BN begitu angkuh dan tidak adil
dalam dasarnya terhadap orang miskin dan tidak berkuasa.
Perlukah
mereka mendapatkan satu mandat yang besar lagi? Jawapannya mestilah
TIDAK! Kita tidak perlukan sebuah kerajaan yang kuat. Kita perlukan
sebuah kerajaan yang adil. Kerajaan yang adil tidak memerlukan mandat
yang besar.
Seperkara
lagi untuk diambilkira: Bagaimanakah kerajaan yang kuat ini boleh
menjadi begitu angkuh dan tidak prihatin? Mudah. Kita tidak ada
Pembangkang yang kuat dalam parlimen. Kita tidak ada Pembangkang kuat
yang boleh menyediakan mekanisme pemantauan. Kita tidak ada
Pembangkang kuat yang boleh memaksanya bertindak adil. Tidak ada
Pembangkang kuat yang boleh mengelakkan pelbagai pindaan terhadap
Perlembagaan Persekutuan yang merampas hak asasi dan kebebasan kita.
Tidak ada Pembangkang kuat yang boleh memastikan dasar kerajaan yang
adil dan saksama.
Wahai
pengundi, undilah untuk demokrasi. Undilah untuk mendapat pembangkang
yang kuat. Undilah untuk mengelakkan majoriti dua pertiga. Lakukan
ini dan anda akan melihat perbezaan apabila parlimen baru bersidang
kelak.
Jangan
kecewakan diri anda.
Jangan
kecewakan negara.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme