We carry a series of tributes to Malaysia’s leading public intellectual, the late Rustam Sani, who was also an Aliran member. He was a man of integrity and conviction and his only agenda was to build a better world for his children and fellow Malaysians, says his daughter Ariani Rustam. “Perjuangan beliau adalah perjuangan seorang gentleman, tetapi intipati perjuangan itu tidak kurang sumbangannya ke arah mencapai cita-cita murni beliau untuk mewujudkan sebuah negarabangsa Malaysia.”
Walaupun kami seke-luarga merasa amat berbelah-bagi untuk menghadiri majlis pelancaran buku arwah Papa saya pada hari ini, namun kami yakin bahawa beliau sendiri menginginkan kami agar meneruskannya. Sebenarnya, acara ini sendiri adalah satu peninggalan yang amat bermakna arwah Papa – hasil pemikirannya terpancar di seluruh pelusuk dewan ini, dari susunan kerusi meja, ke rekaan grafik pada poster-poster dan susunan aturcara, walaupun pada hari ini beberapa perubahan terpaksa dibuat. Kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak SIRD bukan hanya kerana menerbitkan buku-buku arwah, tetapi juga kerana meneruskan acara pada petang ini sebagai memperingati perjuangan arwah Papa.
Dalam kehidupannya hinggalah ke akhir hayatnya, arwah Papa merupakan seorang pejuang yang tidak suka menyusahkan orang lain. Beliau tidak pernah meminta atau mengharapkan sebarang pemberian daripada orang. Integriti, maruah dan egonya amat tinggi. Budaya meminta-minta, mengampu, mengharapkan agihan tidak ada dalam kosa kata kehidupannya.
Mungkin kerana itulah beliau boleh menulis dan menyatakan pandangan dan pendapatnya dengan tegas, berani dan kritis. Malah, kami sekeluarga turut tidak lari daripada pandangan kritikal arwah. Pasti ada juga di kalangan hadirin dalam dewan yang pernah merasa kritikan tajam yang kadangkala berbisa. Walaupun Papa orangnya sinis, namun senantiasa menyatakan pandangannya dengan bahasa yang berbudi dan indah.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Yang pasti, pandangan, kritikan dan teguran beliau lahir daripada pemerhatian yang jujur, telus dan tidak mempunyai sebarang agenda peribadi atau mengharapkan apa-apa balasan di dunia. Agenda beliau yang utama adalah untuk mencetuskan perdebatan – sekalipun hanya sekadar mengocak minda – agar dapat membina landasan untuk perubahan sosial yang amat diperlukan dalam masyarakat kita.
Sewaktu idea untuk menerbitkan buku Failed Nation? mula dibincangkan, arwah Papa merasakan bahawa kandungan buku ini amat penting untuk menunjukkan bahawa kerisauan beliau (dan juga teman-teman akademik dan pemikir yang seangkatan dengan beliau) tentang penyakit-penyakit sosial yang sedang menghalang usaha untuk membina sebuah negarabangsa Malaysia telah pun dinyatakan sejak berpuluh tahun lalu.
Papa kadang-kadang berjenaka bahawa pandangan seorang akademik/pemikir sering tidak mendapat recognition, tidak seperti pandangan seorang ahli politik. Maka itulah, Papa amat berbesar hati dengan bibit-bibit perubahan yang mulai tampak muncul pada 8 Mac 2008 lalu, dan ternanti-nanti hari bila seorang intelektual/pemikir akan menjadi pemimpin besar negara – bukan kerana beliau terlalu menyanjungi pemimpin atau mempunyai apa-apa agenda politik tersendiri, tetapi kerana Papa tidak mahu Malaysia menjadi sebuah failed nation. Kalaupun ada agenda peribadi atau selfish reasons untuk beliau terus berjuang, itupun hanya kerana beliau tidak mau cucu kesayangannya Arissa Azrani membesar di dalam sebuah negara yang tidak bebas pemikirannya, yang lemah etikanya dan cetek ilmunya.
Bagi kami, arwah adalah seorang family man yang meletakkan keluarganya di tangga teratas perhatiannya. Papa sendiri, walaupun sangat menyanjungi arwah ayahandanya, Ahmad Boestamam sebagai seorang pemikir dan pejuang, tidak mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan arwah ayahnya. Maka itu beliau amat mementingkan keluarganya – jika arwah ayahanda beliau terpaksa berkorbankan kehidupan keluarga untuk perjuangan politik yang heroic, apa saja pengorbanan yang dibuat oleh arwah Papa tidak pernah membebankan atau menyusahkan kami sekeluarga. Sehingga ke akhir hayatnya arwah Papa menunaikan janji itu kepada dirinya.
Arwah Papa yang kami kenali pasti tidak mahu kesedihan kami atas kehilangannya menjadi penghalang kepada penerusan tradisi pemikiran dan perjuangan menerusi mata pena beliau. Beliau pasti mahukan kita semua terus memikirkan masa depan negarabangsa kita ini dan memerdekakan minda rakyat. Papa faham, setiap orang berjuang dengan cara tersendiri walaupun dalam medan perang yang sama. Perjuangan beliau adalah perjuangan seorang gentleman, tetapi intipati perjuangan itu tidak kurang sumbangannya ke arah mencapai cita-cita murni beliau untuk mewujudkan sebuah negarabangsa Malaysia.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme