Empat belas tahun telah berlalu sejak perhimpunan Bersih 2 pada 9 Julai 2011.
Ketika itu, puluhan ribu rakyat biasa nekad dan turun padang untuk menuntut Malaysia yang lebih baik.
Tuntutan mereka cukup mudah, tiada yang revolusioner. Mereka mahukan reformasi pilihan raya dan institusi untuk meningkatkan kualiti demokrasi di Malaysia.
Mara laju waktu ke masa sekarang. Parti-parti pembangkang ketika itu yang merupakan sebahagian daripada Bersih 2 kini mendapati diri mereka berada dalam kedudukan yang pernah difikirkan hampir mustahil: sebahagian kerajaan persekutuan.
Tidak lagi di luar kekuasaan, mereka akhirnya dapat menterjemahkan tuntutan pembaharuan yang mereka suarakan dengan lantang semasa lima perhimpunan bantahan Bersih yang memainkan peranan cukup besar dalam mendorong mereka ke tampuk kekuasaan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Parti-parti ini telah dua kali menerajui kerajaan persekutuan. Mereka adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan pada 2018-2020 dan mereka kini membentuk teras kerajaan “Madani” sejak 2022.
Namun, apakah pembaharuan yang mereka berjaya lakukan setakat ini? Jawapan ringkas: sangat sedikit.
Kad laporan pertengahan penggal dikeluarkan Bersih tahun lalu memberikan gred D kepada kerajaan Madani kerana gagal melaksanakan banyak janji manifesto PH.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian berikrar untuk melakukan yang lebih baik.
Tetapi adakah terdapat sebarang usaha yang jelas sejak ikrarnya itu untuk menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh Bersih dan kumpulan masyarakat sivil yang lain? Hampir tiada, dan sebenarnya, usaha untuk pembaharuan boleh dikatakan telah mengundur ke belakang.
Mari kita mulakan dengan ‘berpelukan’ tokoh yang terkenal rasuah. Lihat bagaimana keputusan “perlepasan tanpa pembebasan” terkenal yang diberikan kepada presiden Umno dan Timbalan PM Zahid Hamidi, yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah korporat dan pengubahan wang haram.
Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Najib Razak yang mengaibkan itu, sekarang dipenjarakan selepas disabitkan kesalahannya dalam salah satu daripada beberapa pertuduhan rasuah berkaitan 1MDB, juga telah dibebaskan.
Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman yang disyaki juga dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram. Beliau kemudiannya tanpa segan silu dilantik sebagai yang di-pertua Sabah, walaupun mendapat tentangan hebat daripada masyarakat sivil.
Sebaliknya, polis menahan tiga orang muda yang terlibat dalam protes anti-rasuah Gempur Rasuah Sabah.
Kita hampir tidak dengar daripada mereka yang digelar pejuang Reformasi dalam kerajaan hari ini. Bayangkan, mereka pernah menuntut agar tokoh-tokoh rasuah ini ditangkap, malah menggunakan skandal ini dalam kempen mereka untuk memenangi pilihan raya. Kini, setelah para juara Reformasi ini selesa berlindung di tampuk kekuasaan, mereka berdiam diri dan tidak mahu bersuara, seolah-olah menjadi pilihan mereka untuk tidak bertindak.
Rintangan daripada kementerian
Selain tiada tekad politik, penentangan terbesar terhadap pembaharuan boleh dilihat dalam kerajaan itu sendiri.
Contohnya, Kementerian Dalam Negeri. Ia menimbulkan persoalan sama ada kementerian itu beroperasi mengikut agendanya sendiri, yang tidak semestinya selari dengan janji reformasi PM.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, nampaknya tidak layak merangkul tugas ini. Beliau nampaknya tidak mampu mengekang unsur penyangak menular dalam kementeriannya, khususnya melibatkan sesetengah polis dan pegawai penguat kuasa yang ada.
Pegawai penguat kuasa dari kementerian itu juga menyerbu dan merampas buku ‘subversif’ daripada penjual buku mandiri dengan sewenang-wenangnya – mengimbas kembali zaman penindasan rejim Umno-BN.
Sungguh memalukan bahawa kerajaan Madani yang kononnya dikatakan reformis membenarkan pendekatan sewenang begitu berterusan, seolah-olah rejim lama masih menjadi tok dalang pemerintahan.
Ketidakcekapan dan pengecutnya kerajaan ini jelas terserlah melibatkan kes pembunuhan Teoh Beng Hock, pembantu kepada Ean Yong Hian Wah, bekas ahli Dewan Undangan Negeri Selangor daripada DAP yang masih tidak dapat diselesaikan.
Teoh meninggal dunia pada 2009 selepas soal siasat yang panjang dan dahsyat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang menyiasat bosnya atas dakwaan rasuah.
Enam belas tahun telah berlalu dan tiada seorang pun telah dibawa ke muka pengadilan.
Seolah-olah penghinaan ini tidak cukup, kerajaan persekutuan baru-baru ini mengklasifikasikan kes pembunuhan Teoh sebagai NFA – tiada tindakan lanjut. Ini bermakna, pegawai akan menutup kes itu sementara pelaku masih bebas dan tidak dihukum.
DAP, sebahagian daripada pakatan pemerintah ini, terlalu senyap. Begitu juga bos Teoh sendiri, bekas ahli dewan negeri.
Sebagai parti pembangkang, DAP mengeksploitasi kes Teoh sebagai bahan kempen untuk menonjolkan kebejatan rejim Umno-BN ketika itu. Tetapi kini dalam kedudukan untuk melakukan sesuatu, parti itu tidak lagi mendapati kes Teoh sejalan dengan cita-cita politiknya, yang menjelaskan mengapa mereka memilih untuk bungkam.
Orang hilang
Kita juga berdepan dengan jalan mati berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth, serta Amri Che Mat pada akhir 2016 dan awal 2017. Mereka didakwa diculik oleh polis dan masih belum ditemui sehingga hari ini.
Mereka yang bertanggungjawab atas perbuatan keji ini kekal bebas dan kes juga masih belum selesai.
Di manakah suara-suara reformis dalam sebuah kerajaan yang meminta tragedi ini ditutup? Mengapa tidak ada suruhanjaya siasatan diraja bebas untuk menyiasat kes-kes ini dengan lebih lanjut?
Kebebasan kehakiman dicabar?
Kita juga melihat kebebasan badan kehakiman dicabar oleh kelewatan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi melantik pengganti kepada Ketua Hakim Negara yang telah bersara, Tengku Maimun Tuan Mat, dan hakim Mahkamah Persekutuan yang lain.
Ramai bimbang proses pelantikan tidak lagi bebas, mengimbas kembali zaman kelam krisis kehakiman 1988. Ketika itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memecat Lord President (terma ketua hakim negara yang digunakan ketika itu), Salleh Abas, dan mengenakan kawalan ke atas badan kehakiman. Ia cukup merosakkan autonomi dan reputasi badan kehakiman.
Hingar bingar semasa mengenai badan kehakiman mencapai tahap keperluan yang mendesak apabila sembilan ahli parlimen, yang diketuai oleh Rafizi Ramli, dari parti PKR sendiri, mengadakan sidang media bagi menggesa suruhanjaya diraja menyiasat perkara itu.
Bukan itu sahaja. Badan Peguam Malaysia turut menganjurkan Walk to Safeguard Judicial Independence pada 14 Julai. Peguam, disertai orang ramai, berarak di Putrajaya dari Istana Kehakiman ke pejabat perdana menteri.
Ia adalah amalan yang diterima umum untuk menawarkan lanjutan jangka pendek kepada pegawai kanan kerajaan dan hakim yang akan bersara jika mereka dianggap cukup penting untuk kekal dan jika pengganti mereka belum dikenal pasti.
Jadi cukup membingungkan mengapa seorang tokoh yang terkenal yang terpalit isu rasuah seperti ketua SPRM sekarang, Azam Baki, telah dilanjutkan tempoh perkhidmatannya sebanyak tiga kali oleh PM manakala seorang hakim yang cemerlang dan berani seperti Tengku Maimun tidak diberikan keistimewaan yang sama.
Adakah PM mempunyai seseorang yang lebih lembut dan setia dalam fikiran untuk mengisi jawatan ketua hakim negara? Jika itu berlaku, maka ia menandakan berakhirnya kebebasan kehakiman di Malaysia selepas bekerja keras selama bertahun-tahun untuk membaiki reputasinya yang tercemar.
Keputusan penting
Tengku Maimun baru-baru ini memutuskan dua kes penting yang telah memberikan sinar harapan demokrasi dalam ranah politik Malaysia yang tandus dan suram.
Keputusan pertama adalah untuk membatalkan cubaan pihak berkuasa Islam di Selangor untuk meletakkan Sisters in Islam, organisasi pendukung hak wanita Islam terkenal itu, sebagai sesat agama. Ia adalah kemenangan bagi mereka yang menentang agama digunakan sebagai alat politik dan tindakan melampaui batas pihak berkuasa agama dalam perkara melibatkan Perlembagaan.
Keputusan kedua mengisytiharkan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang menghendaki penganjur protes memaklumkan kepada polis lima hari sebelum protes, adalah tidak mengikut perlembagaan.
Malaysia telah melangkah jauh – dari 9 Julai 2011, apabila perhimpunan Bersih secara besar-besaran disambut dengan tindakan ganas oleh kerajaan, sehingga hari ini, apabila mahkamah tertinggi memutuskan bahawa kerajaan tidak berhak untuk menyekat protes yang aman dan tanpa kekerasan.
Ia memerlukan badan kehakiman yang berani dan bebas untuk memperdalam demokrasi di negara ini saatnya kelas politik hanya berdiam diri dan menganggap tuntutan reformasi sebagai gangguan semata-mata.
Terpulang kepada kita, warga marhaen, untuk mengingatkan mengapa mereka dipilih.
Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
10 Julai 2025
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme









