Home New Writers Solusi pencemaran udara ada di bilik darjah

Solusi pencemaran udara ada di bilik darjah

Haze has periodically blanketed parts of the country - FILE PHOTO

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Norhashimi Saad

Pernahkah kita bertanya, apa yang sedang anak-anak kita hirup setiap hari di luar kelas, di perhentian bas, di padang sekolah dan dalam diam, di ruang dada mereka sendiri?

Pada 23 Julai, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Lumpur mencecah paras 119, satu bacaan yang diklasifikasi sebagai tidak sihat untuk golongan sensitif.

Berdasarkan bacaan di 68 stesen pengawasan yang mengesan kualiti udara di seluruh negara, bacaan data IPU di lokasi seperti Tanjung Malim, Perak, terus meningkat melebihi 124.

Kita hidup dalam sebuah era yang berteknologi canggih. Pelajar-pelajar kita sudah belajar tentang Internet of Things (IoT), data raya (big data) dan kecerdasan buatan (AI). Namun tiada gunanya kecanggihan itu semua jika kita tidak mendidik jiwa mereka untuk peka terhadap perkara yang paling asas, iaitu udara yang mereka hirup.

Pendidikan hari ini terlalu terpesona dengan keupayaan teknologi memproses maklumat. Namun, ia gagal membentuk kesedaran tentang ekosistem yang semakin sakit.

Di sinilah jurangnya. Jelas sekali teknologi hari ini boleh mengukur tahap pencemaran secara masa nyata. Namun, ia belum tentu mampu memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan kita semua.

Pendidikan pula boleh mengajar silibus sains tentang karbon dioksida, nitrogen dan zarah-zarah halus. Namun, tanpa naratif nilai yang jelas, ia kurang bernilai, Pelajar dididik untuk hanya tahu, tanpa merasa.

Seharusnya guru tidak boleh sekadar mengajar ‘apa itu IPU’. Mereka perlu turut membawa pelajar ‘merasai’ mengapa IPU itu penting.

Bayangkan jika kita semua menggunakan teknologi yang ada pada hari ini bukan hanya sekadar untuk tahu, tetapi juga untuk bertindak. Sistem penderia (sensor) yang mengukur IPU di sekitar kawasan sekolah boleh disambungkan kepada paparan LED di dewan terbuka.

READ MORE:  Haze: Are we stuck in the smoke?

Setiap pagi, pelajar melihat sendiri bacaan IPU dan lantas mampu membincangkannya di dalam kelas. Mereka bukan sekadar mendengar mengenai teori pencemaran udara, tetapi juga menganalisis pola, mengenal punca dan mencadangkan solusi.

Di sinilah AI dan data berfungsi sebagai pemula bicara, bukan pengganti manusia. Guru tetap diperlukan sebagai pusatnya iaitu dengan memimpin perbincangan dan dialog, menyemai sifat empati, dan seterusnya membantu membentuk pelan tindakan yang bersesuaian.

Contohnya, pelajar boleh dipandu untuk menjalankan projek mini berbentuk sains data. Mereka boleh mengumpul bacaan IPU harian, memplotnya dalam carta, mengenal pola dan corak data, dan mengusulkan cadangan tindakan komuniti yang bersifat kolaboratif.

Di sinilah AI boleh dimanfaatkan secara bijak, bukan sekadar menjana jawapan, tetapi memodelkan senario dan mencetuskan tindakan berasaskan data. Teknologi menjadi pemangkin, dan pelajar bukan sekadar bersifat pasif dengan menerima data tanpa sebarang tindakan.

Namun tindakan tidak akan berlaku jika kesedaran itu tidak dipupuk dari peringkat awal. Bila udara yang kotor kembali menjadi normal, bahaya yang sebenar bukannya pada jerebu tetapi pada hati yang mati rasa.

Di sinilah pendidikan itu perlu disuntik semula dengan ruh maqasid. Ia perlu mendidik untuk menjaga kehidupan (hifz al-nafs), memelihara akal, dan memuliakan bumi sebagai amanah.

Oleh itu, sebarang teknologi yang digunakan di dalam bilik darjah mestilah tunduk kepada matlamat yang lebih besar ini – iaitu menyedarkan manusia tentang tanggungjawabnya terhadap alam.

Jika tidak, kita akan terus menyaksikan ironi yang menyakitkan. Anak-anak belajar AI di bilik-bilik darjah berhawa dingin, tetapi batuk ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Mereka pandai membaca data satelit, tetapi buta tentang asap di luar tingkap.

READ MORE:  Jerebu rentas sempadan: Peluang untuk Malaysia pimpin amalan perladangan bertanggungjawab di Asean

Udara yang kita hirup hari ini bukan hanya menguji kesihatan tubuh. Ia seharusnya menguji kepekaan akal dan jiwa masyarakat.

Oleh itu, sekolah bukan sekadar tempat mengajar ilmu pengetahuan, tetapi medan membina kesedaran manusia. Teknologi bukan sekadar peralatan yang canggih, tetapi peluang untuk membangkitkan empati kepada orang lain.

Guru bukanlah sekadar penyampai silibus pembelajaran, tetapi pemimpin nilai dalam zaman yang semakin menyesakkan.

Masa depan kita tidak hanya terletak pada data dan algoritma. Ia terletak pada orang yang bijaksana mendidik anak-anak generasi masa kini memanfaatkan data yang ada di sekeliling kita untuk mencintai udara yang bersih dan bertindak untuk memelihara dan memuliharanya.

Norhashimi Saad ialah pensyarah kanan di Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x