Oleh Siti Nazziera Mokhtar
Koperasi bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan rakyat Malaysia.
Bagi sesetengah daripada kita, kenangan pertama tentang koperasi bermula di bangku sekolah. Ia bermula melalui unit kecil di tingkat bawah bangunan sekolah yang menjual alat tulis dan makanan ringan yang dikenali sebagai “koop”.
Tanpa disedari, pengalaman itu sebenarnya membuka laluan kepada satu sistem ekonomi rakyat. Sistem ini dibina atas nilai kebersamaan, amanah dan keadilan sosial.
Meskipun koperasi sebenarnya telah lama bertapak, penubuhannya masih kurang difahami oleh sebahagian masyarakat. Ramai melihat penubuhan koperasi sebagai sebuah gerakan lapuk. Ia juga dikenali sebagai organisasi yang berperanan untuk menyimpan dan meminjam wang semata-mata.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Hakikatnya, koperasi merupakan sebuah entiti perniagaan kolektif. Ia memberi ruang kepada mereka yang kurang akses kepada modal, pasaran dan sokongan perniagaan, khusunya bagi golongan 40% pendapatan terendah dan perusahaan mikro.
Gerakan koperasi moden di Malaysia lahir daripada cetusan idea Almarhum Prof Diraja Ungku Aziz. Beliau adalah tokoh ekonomi negara yang telah menubuhkan Koperasi Buku Universiti Malaya. Beliau juga menjadi yang dipertua Angkasa selama lebih empat dekad.
Koperasi itu diwartakan pada Mei 1971. Sejak itu, usaha beliau membina keadilan ekonomi melalui pendekatan institusi koperasi terus diangkat sebagai legasi penting dalam pembangunan negara.
Hari ini, legasi itu wajar diteruskan. Malah, peranan koperasi telah diperincikan secara rasmi melalui Undang-Undang Kecil Koperasi. Undang-undang ini memperuntukkan sembilan fungsi utama koperasi: perbankan, kredit, pertanian, perumahan, perindustrian, pengguna, pembinaan, pengangkutan dan perkhidmatan.
Kepelbagaian fungsi ini mencerminkan potensi koperasi sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara merentas pelbagai sektor strategik.
Budaya koperasi di negara maju
Menariknya, budaya koperasi telah lama menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat di negara maju seperti Jepun dan Korea.
Dalam satu forum baru-baru ini, Mohamad Ali Hassan, ahli lembaga Angkasa, menyatakan bahawa “setiap keluarga di Jepun dan Korea akan memastikan sekurang-kurangnya salah seorang ahli keluarga mereka berdaftar dan menjadi ahli koperasi”.
Kenyataan ini mengajak kita berfikir: mengapa tidak ia turut menjadi budaya dan amalan di Malaysia?
Presiden Angkasa Abdul Fattah Abdullah, dalam satu sesi temubual di Radio Ikim FM baru-baru ini, menegaskan bahawa koperasi harus dilihat dalam skop yang lebih luas sebagai suatu gaya hidup.
Menurut beliau, koperasi bukan hanya wujud untuk membantu individu dalam kesempitan atau yang memerlukan bantuan kewangan. Ia juga sebagai satu mekanisme ekonomi jangka panjang yang mampu menyokong kesejahteraan individu dan masyarakat secara berterusan.
Kerajaan Malaysia, khususnya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), turut mengiktiraf peranan koperasi melalui sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan pada setiap bulan Julai. Ini berbanding negara-negara lain yang hanya menyambut Hari Koperasi pada Sabtu pertama bulan tersebut.
Pelbagai program, forum dan aktiviti telah dianjurkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan kerjasama SKM sepanjang bulan Julai. Tujuannya adalah untuk memperluas kefahaman masyarakat terhadap koperasi.
Namun, sambutan ini hanya akan bermakna jika masyarakat benar-benar memahami, menyokong dan melibatkan diri dalam gerakan koperasi.
Peranan koperasi masa kini
Hari ini, koperasi boleh memainkan pelbagai peranan dalam aspek perniagaan dan perkhidmatan. Ia merangkumi pusat penjagaan kanak-kanak, kedai buku dan francais pendidikan, hingga ke dapur komuniti, pusat pembungkusan hasil tani, perniagaan emas patuh syariah dan banyak lagi.
Yang membezakan kejayaan dan kegagalan adalah kepimpinan yang berintegriti, pengurusan yang cekap serta kesediaan untuk beradaptasi dengan kehendak zaman. Ini termasuk dalam ekosistem digital.
Koperasi bukan sekadar warisan masa lalu, tetapi amanah untuk masa depan. Ia bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, tetapi memerlukan penglibatan aktif daripada setiap lapisan masyarakat.
Langkah-langkah seperti menjadi ahli koperasi, membeli produk keluaran koperasi, atau menyumbang tenaga dan kepakaran – semuanya merupakan langkah kecil yang mampu membawa impak besar.
Jika kita masih tertanya-tanya dari mana harus bermula, jawapannya mungkin terletak di tempat kita mula mengenal erti kebersamaan, di “koop” kecil sekolah.
Kini, tiba masanya untuk kita menghidupkan semula semangat itu. Kita perlu menjadikan koperasi sebagai sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia, demi masa depan generasi seterusnya.
Siti Nazziera Mokhtar merupakan felo penyelidik di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

