Projek Sama menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk bertindak berani untuk menghentikan “pemburuan pesalah bersasaran kaum” (ethnic witch hunt) oleh ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh – seorang anggota kerajaan campuran “Madani” pimpinannya.
Akmal mengugut untuk mengadakan protes terhadap seorang pemilik kedai di Pulau Pinang, Feng Jin Zhen, sekiranya Jabatan Peguam Negara tidak mendakwa beliau berhubung dakwaan mempamerkan Jalur Gemilang secara songsang.
Projek Sama menuntut penyiasatan dan gangguan terhadap Feng, yang kini dibebaskan atas jaminan polis, atas kekhilafan beliau, yang menurutnya berlaku tidak sengaja apabila beliau mengukur panjang bendera di atas kayu bendera.
Projek Sama mendukung tegas keperluan untuk menghormati Jalur Gemilang dan mengibarkannya dengan penuh hormat dan bersopan. Walaupun pengibaran bendera kebangsaan dengan cara betul adalah penting, kesilapan yang tidak disengajakan tidak wajar dibesar-besarkan dan dipolitikkan
untuk mengakibatkan “pemburuan pesalah bersasaran kaum”.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Jika kerajaan Madani ingin mendakwa pemilik kedai hanya kerana kesalahan mempamerkan Jalur Gemilang, maka rakyat Malaysia boleh menjangka penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dengan pendakwaan dalam kes-kes lain yang berkaitan dengan bendera kebangsaan, antara lain:
- Pada 11 Ogos, Pemuda Umno Terengganu memaparkan Jalur Gemilang yang dicacatkan dengan hanya 12 jalur dalam poster untuk kempen #JusticeforZara
- Pada April 2025, Kementerian Pendidikan menggunakan Jalur Gemilang yang cacat ciptaan kepintaran buatan (AI) dalam laporan keputusan SPM
- Pada Mei 2025, Pas Terengganu mengubahsuai Jalur Gemilang dalam poster acara Himpunan Teguh Memimpin Terengganu.
Dalam kedua-dua kes April dan Mei, pihak terkhilaf telah memohon maaf dan isu itu berhabisan begitu saja, yang sememangnya wajar. Rakyat tidak ingat Akmal pernah membuat apa-apa ugutan untuk pihak terkhilaf didakwa. Mengapa hipokrasi ini berlaku hari ini?
Untuk kes terbaru yang melibatkan Pemuda Umno Terengganu, adakah sesiapa akan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan juga Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 seperti mana dalam kes Feng?
Projek Madani Anwar secara keseluruhannya sekali lagi dipersoalkan dan berisiko dilihat sebagai slogan kosong dan hipokrit sekiranya Perdana Menteri membiarkan Akmal meneruskan permainan ‘pemburuan pesalah bersasaran kaum’, kali ini dengan memperalat bendera negara.
Kejayaan Akmal memberikan tekanan kepada polis dan kini ugutan terbuka kepada Jabatan Peguam Negara supaya mengikut perintahnya mencerminkan mentaliti sebahagian ahli politik yang melihat agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang adalah senjata-senjata eksekutif untuk memperolehi penundukan pihak lain dan meraih nilai politik. Ini menunjukkan betapa peri-penting untuk disegerakan penyahpolitikan (depoliticalisation) pendakwa raya dengan memisahkannya daripada Jabatan Peguam Negara.
Rakyat Malaysia masih ingat bagaimana sikap berdiam diri Anwar pada Mac 2024 membolehkan kempen berapi-api Akmal berhubung penjualan stokin yang didakwa mengandungi perkataan Allah membakar insiden setempat sampai menjadi krisis nasional – yang menyaksikan tiga
kejadian serangan bom api (Molotov cocktail) terhadap KK Mart di Bidor, Kuantan dan Kuching – dan kegagalan pihak polis menangkap mana-mana suspek.
Janji Akmal untuk “mengajar” pemilik kedai cara menggantung bendera dengan betul – selepas melabel dan mengecam beliau secara terbuka – menghampiri vigilantisme (mengambil undang-undang ke dalam tangan sendiri) yang menyasarkan seorang rakyat biasa yang ingin menunjukkan patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang tetapi melakukan kekhilafan awal yang telah segera diperbetulkan.
Jika niat jahat Akmal untuk mengapi-apikan emosi rakyat dengan menghasilkan ketakutan, rasa tidak selamat, dan kebencian dibiarkan, bolehkah sesiapa menjamin kedai yang disasarkan ini tidak akan menjadi mangsa serangan bom api seperti sebelum ini?
Paling menjijikkan, taktik keji ini digunakan semasa rakyat bersedia menyambut Hari Merdeka dan Hari Kebangsaan. Walaupun menyedihkan, ini juga panggilan kesedaran tentang makna sebenar menjadi rakyat Malaysia dan apa yang perlu kita lakukan untuk mempertahankan watan.
Simbol negara seperti Jalur Gemilang sepatutnya menyatukan kita dengan rasa bangga dan tujuan bersama – bukan digunakan sebagai senjata untuk menyerang mana-mana individu atau komuniti.
Mempersenjatakan patriotisme demi kepentingan politik kepartian hanya merosakkan nilai yang diwakili bendera itu – perpaduan, maruah dan sikap saling menghormati antara semua rakyat Malaysia.
Jika berlaku kesilapan dalam mempamerkan atau mempersembahkan simbol negara, didiklah – jangan memalukan. Laksanakan kempen kesedaran awam mengenai cara pengendalian Jalur Gemilang yang betul, bukannya mengamalkan budaya memalukan di khalayak, apatah lagi melakukan ‘pemburuan pesalah bersasaran kaum’.
Seruan oleh Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang agar rakyat Malaysia jangan takut mengibar Jalur Gemilang langsung tidak bermakna.
Adakah salah rakyat Malaysia kalau mereka takut mengibar Jalur Gemilang kerana takut menjadi sasaran pemburuan pesalah akibat sebarang kekhilafan?
Paling dikesali, daripada mengingati orang ramai tentang sifat tidak sengaja dalam kekhilafan Feng, menteri sendiri menyertai korus pengecaman. Kalau kita gunakan akal budi, apakah faedah untuk seorang pemilik kedai dengan sengaja mengibarkan Jalur Gemilang secara songsang?
Tiada masyarakat yang terlepas daripada kemunculan ahli politik jenis pemecah atau ekstremis seperti Akmal. Namun di kebanyakan negara, mereka gagal mengakibatkan pembinasaan kerana para pemimpin dan orang awam akan lantang bersuara dan menghentikan gejala anasir pemecah.
Pada tahun 2024, Parti Konservatif Britain menggantung keanggotaan parti Ahli Parlimen kerajaan, Lee Anderson, kerana dia menuduh Datuk Bandar London Sadiq Khan dikawal oleh golongan Islamis.
Jika kerajaan Konservatif Britain di bawah Perdana Menteri Rishi Sunak boleh mengekang Lee Anderson kerana kenyataan berbaur Islamofobia, mengapa kerajaan Madani Malaysia di bawah Perdana Menteri Anwar tidak boleh mengekang Akmal daripada mengugut rakyat biasa?
Seperti kata-kata yang sering dikaitkan dengan ahli falsafah dan ahli politik British, Edmund Burke: “Segala yang diperlukan untuk kejahatan menang adalah apabila orang baik tidak berbuat apa-apa.”
Apa yang Akmal lakukan seterusnya tidak sepenting apa yang Anwar Ibrahim lakukan atau tidak lakukan.
Anwar boleh membuat pilihannya, dan rakyat Malaysia akan membuat pilihan mereka masing-masing dalam masa dua tahun setengah. – Projek Sama
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


PM sama sama guna Akmal untuk his own survival. Since PM is so ‘useless’
PM should resign n because he doesn’t has the ability to solve troubling Akmal case.
He should resign n give other a chance to run Malaysia.