Home Web Specials Selamatkan sistem kesihatan awam: Jangan berniaga dengan kesihatan rakyat

Selamatkan sistem kesihatan awam: Jangan berniaga dengan kesihatan rakyat

MARIONBRUN/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) melancarkan kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan pada 13 Ogos.

Kempen ini mengemukakan empat tuntutan utama:

  • Hentikan Skim Rakan KKM [Kementerian Kesihatan Malaysia]
  • Moratorium terhadap hospital swasta baharu untuk lima tahun akan datang
  • Peningkatan peruntukan KKM kepada 5% keluaran dalam negara kasar (KDNK)
  • Wujudkan siling untuk caj-caj hospital swasta.

PSM akan menganjurkan siri aktiviti seperti ceramah, pengedaran risalah dan penyebaran mesej di media sosial untuk menyedarkan orang ramai tentang kesan buruk pendekatan yang sedang diambil oleh kerajaan untuk ‘berniaga’ dengan kesihatan.

Kami juga akan mengetengahkan tuntutan-tuntutan untuk menyelamatkan sistem kesihatan awam daripada ancaman pendekatan berniaga dengan kesihatan.

Orang ramai boleh menyokong tuntutan kempen ini dengan menandatangani kad kempen, atau menandatangani petisyen dalam talian.

“PSM telah mengambil keputusan untuk membawa isu-isu berkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh sistem kesihatan awam kita kepada perhatian rakyat jelata,” kata Gandipan Nanda Gopalan, ahli jawatankuasa pusat PSM yang juga merupakan penyelaras kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam.

“Kami ingin menjelaskan kepada rakyat Malaysia tentang betapa bahayanya program-program yang dipromosi oleh kerajaan ‘Madani’ Kami berharap bahawa rakyat akan memberi tekanan kepada kerajaan untuk menghentikan program-program yang akan menjejaskan lagi sistem kesihatan awam.”

Salah satu program yang mengancam sistem kesihatan awam ialah Rakan KKM. Rakan KKM merupakan inisiatif KKM yang dikatakan menawarkan perkhidmatan ‘ekonomi premium’ di hospital kerajaan terpilih kepada pesakit-pesakit yang sedia membayar lebih untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan tanpa perlu menunggu seperti pesakit-pesakit lain.

Kerajaan mendakwa bahawa Rakan KKM memberi peluang kepada semua petugas penjagaan kesihatan yang terlibat untuk menjana pendapatan tambahan. Maka program ini dapat mengekalkan petugas penjagaan kesihatan dalam sistem penjagaan kesihatan awam, sementara lebihan pendapatan daripada program itu akan “dilaburkan semula bagi meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam untuk semua pesakit”.

READ MORE:  Is Malaysia's public healthcare system in crisis?

Rakan KKM boleh dikatakan sebagai penjenamaan semula “Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh” dengan beberapa pengubahsuaian.

Dalam erti kata lain, kerajaan cuba menggunakan pendekatan berniaga dengan kesihatan untuk menangani masalah penghijrahan doktor pakar dari hospital awam ke sektor swasta.

“Rakan KKM tidak akan menangani masalah yang cuba diselesaikan itu, sebaliknya akan mengalihkan perhatian lebih banyak doktor daripada memberi perkhidmatan kepada pesakit-pesakit biasa, maka memanjangkan lagi masa menunggu bagi pesakit-pesakit biasa yang tidak mampu membayar kerana kakitangan hospital awam sekarang sudah tidak mencukupi,” kata Dr. Jeyakumar Devaraj, pengerusi nasional PSM.

“Pelaksanaan Rakan KKM mewujudkan dua darjat dalam layanan untuk pesakit-pesakit yang mendapat rawatan di hospital kerajaan,” kata Letchumanan Alagan, seorang aktivis PSM yang juga merupakan seorang pemandu lori dan pengguna hospital awam.

“Kenapa rakyat miskin yang memerlukan rawatan hospital tetapi tidak mampu bayar dibiarkan untuk menunggu lebih lama lagi; sebaliknya orang yang mempunyai duit boleh mendapat rawatan lebih cepat?”

Dr Jeyakumar juga menegaskan bahawa PSM menolak cadangan untuk melaksanakan skim insurans kesihatan sosial yang mengenakan semua rakyat untuk mencarum kepada dana insurans itu.

PSM berpendirian bahawa kerajaan mempunyai peranan dalam mengagihkan semula kekayaan negara secara adil dengan menyediakan sistem kesihatan awam yang lebih baik tanpa membebankan rakyat jelata.

“Sebuah kerajaan yang prihatin pada kesejahteraan rakyat tidak harus menganggap kesihatan rakyat sebagai beban. Kerajaan harus melabur untuk masa hadapan masyarakat kita dengan meningkatkan peruntukan kepada sistem kesihatan awam,” kata Lim Chee Han, wakil daripada Forum Kesihatan Rakyat, yang memberi sokongan kepada cempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam.

“Sistem kesihatan awam kita berada dalam keadaan kritikal, dan kerajaan perlu menyalurkan lebih banyak dana untuk menyelamatkannya, bukan cuba menjana pendapatan daripadanya. Kerajaan harus membuang idea ‘bayaran mengikut perkhidmatan’ (fee for service) untuk perkhidmatan kesihatan.”

READ MORE:  The fight to save Malaysia's failing public healthcare

“Forum Kesihatan Rakyat telah menyarankan untuk menubuhkan suruhanjaya perkhidmatan kesihatan yang berasingan supaya mewujudkan sistem gaji yang memberi ganjaran lebih baik kepada petugas kesihatan, bukannya melalui mekanisme pasaran seperti Rakan KKM,” tambah Lim.

Cadangan tersebut telah dibawa dalam ‘Pelan induk untuk reformasi kesihatan di Malaysia” yang diterbitkan oleh Forum Kesihatan Rakyat pada tahun 2022.

“Kerajaan Madani mungkin boleh mengabaikan cadangan yang dibawa oleh PSM dan Forum Kesihatan Rakyat, tetapi jika suara rakyat cukup kuat, mereka terpaksa dengar,” kata Gandipan, semasa menyeru kepada orang ramai untuk menyokong kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam. – sosialis.net

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x