Setiap tahun pada 31 Ogos, kita mengibar Jalur Gemilang dan menyambut kemerdekaan dan hari kebangsaan.
Kita masih ingat hari itu pada tahun 1957 apabila Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan “Merdeka!” sebanyak tujuh kali sebelum lagu kebangsaan dimainkan buat kali pertama dan bendera dinaikkan.
Ia adalah detik yang mengingatkan kita bahawa ia bukan sekadar kemerdekaan daripada pemerintahan penjajah. Ia juga merupakan kelahiran sebuah negara baru yang menyatukan kumpulan etnik yang pelbagai.
Namun, perpaduan bukanlah sesuatu yang hidup hanya dalam buku sejarah, perarakan atau ucapan. Ia pasti diuji, kadang-kadang melalui ujian yang besar dan mengejutkan, kadang-kadang melalui cara yang kecil dan tidak disengajakan.
Ketika bendera dipasang terbalik
Baru-baru ini, ada gambar bendera Malaysia yang dipasang terbalik mula tular. Bagi sesetengah orang, ia kelihatan seperti satu penghinaan. Kebenarannya? Ia hanya satu kesilapan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Bendera kadangkala dipamerkan dengan cara yang salah kerana kecuaian, bukan niat jahat. Walaupun penting untuk menghormati simbol negara kita, adalah sama pentingnya untuk tidak membiarkan kesilapan manusia yang mudah itu memisahkan kita.
Jika kita terlalu sensitif atas setiap kesilapan kecil, kita berisiko mengoyakkan diri kita sendiri atas perkara yang tidak bermaksud untuk menyakiti.
Perpaduan bukan tentang kesempurnaan. Ia tentang memberi satu sama lain manfaat keraguan (benefit of the doubt) dan mengingat bahawa niatlah yang paling penting.
Ketika anak Rafizi diserang
Kemudian terjadi sesuatu yang tidak boleh diabaikan oleh sesiapa pun. Pada 13 Ogos, anak lelaki kepada Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang berusia 12 tahun telah diserang di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya. Seorang lelaki didakwa menghampirinya dan menyuntiknya dengan picagari sebelum melarikan diri bersama rakan sekongkolnya menaiki motosikal.
Ini bukan politik. Ini bukan sekadar protes. Ini adalah keganasan terhadap seorang kanak-kanak. Dan tidak ada cara lain untuk mengatakannya: ia benar-benar bertentangan dengan nilai-nilai yang kita semua hargai.
Pemimpin-pemimpin merentasi jurang politik mengecam perbuatan itu. Orang ramai berasa takut. Ini kerana, jauh di lubuk hati, kita semua tahu ini bukan jati diri kita lagi. Kita berhujah, kita tidak bersetuju, kita menjerit sesama sendiri dalam talian – tetapi kita tidak akan menyasarkan mereka yang tidak bersalah. Bukan kanak-kanak. Bukan keluarga. Garis sebegini tidak boleh dilintasi.
Apa yang kita belajar dari semua ini?
Kedua-dua peristiwa bendera dipasang terbalik dan serangan ke atas anak Rafizi membawa pengajaran tentang perpaduan. Episod pertama mengingatkan kita untuk sabar apabila kesilapan berlaku. Yang kedua memaksa kita untuk menetapkan sempadan yang jelas berkaitan keganasan dan ancaman.
Ringkasnya, walaupun kita mesti menghormati simbol negara kita, kita juga mesti berhati-hati ketika kesilapan dilakukan. Kita juga mesti menolak keganasan sepenuhnya kerana ia bertentangan dengan semua yang kita perjuangkan di Malaysia.
Ingatlah bahawa Merdeka bukan hanya tentang kebebasan daripada penjajahan. Ia mengenai bagaimana kita hidup bersama hari ini.
Ujian sebenar kemerdekaan
Mudah untuk mengibarkan bendera pada 31 Ogos dan menyanyikan lagu-lagu patriotik. Ujian sebenar kemerdekaan datang apabila ada perkara yang tidak kena. Adakah kita terlalu cepat bertindak balas terhadap sesuatu kesilapan, atau adakah kita memilih untuk cuba memahami? Adakah kita bersatu apabila mereka yang lemah diserang, atau adakah kita hanya dan dengan itu membuat kita menjadi sekongkol?
Jika kita boleh memilih dengan bijak ketika berlaku saat-saat sebegini maka Merdeka, hari kebangsaan kita, adalah lebih daripada sebuah perayaan. Ia adalah cara untuk menjadi orang yang menghargai tanah air dan semua penduduknya, setiap hari.
Selamat Hari Merdeka!
Chris Chong
Editor bersama, surat berita Aliran
14 Ogos 2025
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme









