Home New Writers Rang Undang-undang Pekerja Gig langkah bersejarah

Rang Undang-undang Pekerja Gig langkah bersejarah

Kegusaran yang dibangkitkan oleh wakil persatuan gig ini juga wajar diberi perhatian serius

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Oleh Nurhidayah Abdullah

Pembentangan Rang Undang-undang Pekerja Gig 2025 di Parlimen pada bulan ini disambut baik oleh pelbagai pihak.

Kebetulan pula ia berlangsung menjelang sambutan Hari Merdeka dengan tema ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’, sekali gus menjadikan usaha ini simbol kesungguhan kerajaan memperkasa rakyat dalam ekosistem pekerjaan moden.

Rang undang-undang ini adalah bukti bahawa pekerja gig yang semakin ramai kini tidak lagi diabaikan, sebaliknya diiktiraf sebagai tenaga kerja penting dalam ekonomi baharu negara.

Ekonomi gig di Malaysia berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kehadiran pelbagai platform digital e-hailing, penghantaran makanan serta pelbagai perkhidmatan bebas lain membuka peluang rezeki kepada ratusan ribu rakyat, apatah lagi pasca Covid, apabila banyak syarikat terpaksa menutup operasi atau mengecilkan saiz perniagaan.

Proses menyiapkan draf rang undang-undang ini pula bukanlah mudah kerana ia mengambil masa panjang bagi memastikan keseimbangan kepentingan pekerja, platform dan kerajaan dapat dicapai.

Walaupun tidak sempurna, ia boleh ditambah baik dari semasa ke semasa.

Hakikatnya, ekosistem ekonomi gig bergerak pantas selaras dengan arus revolusi industri keempat, justeru undang-undang juga perlu fleksibel agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

Antara perkara utama yang dimaktubkan dalam rang undang-undang ini termasuk asas pembentukan peraturan pekerjaan gig, iaitu definisi pekerja gig yang lebih jelas, mekanisme aduan dan pertikaian, perlindungan sosial melalui Perkeso, serta isu gaji dan kontrak bertulis.

Elemen-elemen ini merupakan isu besar yang sering diperdebatkan dalam kalangan pekerja dan majikan platform. Dengan adanya peruntukan undang-undang khusus, pekerja gig kini mempunyai rujukan sah dan pelindung kukuh bagi hak mereka.

Rang undang-undang ini turut membawa ciri baharu yang memberi nafas segar, antaranya penubuhan tribunal pekerja gig, yang membolehkan pertikaian diselesaikan lebih cepat dan kos rendah berbanding mahkamah sivil, serta penubuhan majlis perundingan yang membuka ruang dialog telus antara kerajaan, penyedia platform dan pekerja gig.

READ MORE:  Why Malaysia's Gig Workers Bill entrenches workers' dependency, not protection

Hak asas pekerja seperti slip bayaran, ketelusan pendapatan, dan larangan penamatan tanpa sebab munasabah turut diberi penekanan khusus.

Implikasi positif daripada rang undang-undang ini sangat besar.

Dari sudut sosioekonomi, pekerja gig akhirnya mendapat perlindungan yang sewajarnya, seterusnya meningkatkan keyakinan masyarakat untuk terus berkecimpung dalam sektor ini dan menstabilkan pendapatan keluarga.

Dari sudut perundangan, tribunal dapat mengurangkan beban mahkamah sivil dan mewujudkan kepastian undang-undang.

Dari sudut dasar awam, Malaysia kini selari dengan negara lain yang telah lebih awal melaksanakan undang-undang khas bagi melindungi pekerja gig, malah seiring dengan matlamat pembangunan mampan (matlamat 8) iaitu pekerjaan layak dan pertumbuhan ekonomi.

Namun begitu, terdapat juga suara kegusaran yang dibangkitkan oleh wakil-wakil persatuan gig berkaitan seksyen-seksyen tertentu dalam rang undang-undang tersebut.

Antaranya ialah kebimbangan berkaitan tafsiran “sebab munasabah” bagi penamatan kerja yang didakwa masih longgar dan berpotensi memihak kepada syarikat.

Begitu juga dengan tempoh pembayaran pendapatan dalam masa tujuh hari yang dianggap terlalu lama untuk pekerja yang bergantung kepada pendapatan harian, selain wujud kebimbangan mengenai potongan gaji atas alasan “kesilapan syarikat” yang boleh dimanipulasi.

Mereka juga mempersoalkan seksyen yang membenarkan penyedia platform menggantung akaun pekerja sehingga 14 hari bagi tujuan siasatan. Bagi mereka, tempoh ini terlalu lama dan boleh menyebabkan pekerja kehilangan sumber rezeki serta-merta walaupun belum dibuktikan bersalah. Mereka mencadangkan tempoh siasatan dipendekkan, atau sekiranya perlu dilanjutkan, satu bayaran minimum harian wajar diberikan.

Justeru, selain memuji rang undang-undang ini dibentang sebagai langkah awal yang bersejarah, kegusaran yang dibangkitkan oleh wakil persatuan gig ini juga wajar diberi perhatian serius.

Undang-undang tidak boleh menjadi kosmetik semata-mata, tetapi harus benar-benar berfungsi untuk melindungi golongan pekerja gig yang rentan ini.

READ MORE:  Suhakam backs Gig Workers Bill but calls for stronger worker protections

Oleh itu, amatlah diharapkan agar sesi perbahasan rang undang-undang ini di Parlimen akan berlangsung dengan matang dan berfokus, agar hasilnya benar-benar memperkasakan undang-undang yang digubal serta memberi manfaat optimum kepada pekerja gig, penyedia platform dan negara secara keseluruhan.

Prof Madya Nurhidayah Abdullah ialah profesor madya di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x