Bulan kelahiran Junjungan Nabi Muhammad saw tiba lagi. Sempena kedatangan bulan ini, umat Islam di seluruh dunia, termasuk Malaysia, memperingati diri baginda dan menghayati sejarah kehidupannya.
Dalam kebanyakan ceramah agama mahupun majlis sambutan Maulidur Rasul, kita diperingatkan dengan banyak perkara berkaitan Sunnah dan sirah Rasulullah.
Namun, jarang sekali kita mendengar hadith-hadith Nabi yang boleh dijadikan asas untuk menolak budaya dan amalan buli.
Sedangkan terdapat banyak hadith-hadith sahih yang mengajar kita tentang adab kehidupan dan cara berinteraksi dengan manusia.
Perbuatan buli bertentangan dengan beberapa prinsip utama dalam ajaran Islam seperti rahmah (kasih sayang), ihsan dan persaudaraan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Daripada perspektif hak kanak-kanak pula, buli melanggar hak untuk hidup selamat, menjatuhkan maruah seseorang dan menjejaskan perkembangan sihat pada diri seseorang kanak-kanak.
Maka, adalah penting untuk kita menekuni hadith-hadith yang boleh dijadikan asas untuk melahirkan generasi tanpa buli.
Buli adalah kezaliman yang ditolak
Buli adalah suatu kezaliman yang ditolak dalam Islam. Ini kerana perbuatan itu menyakiti, menindas atau menzalimi orang lain sama ada dengan kata-kata, perbuatan atau tindakan sosial.
Sedangkan, Islam sebagai agama rahmah, menolak segala bentuk kezaliman. Terdapat satu hadith Qudsi yang Allah melarang manusia untuk melakukan kezaliman.
Allah berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan Aku jadikan ia haram di antara kamu, maka janganlah kamu saling menzalimi.” (Sahih Muslim)
Ibn Rajab al-Hanbali menerangkan maksud hadith di atas:
“Sesungguhnya Allah telah mengharamkan kezaliman ke atas hamba-hamba-Nya, dan melarang mereka daripada saling menzalimi antara satu sama lain. Maka haramlah bagi setiap hamba untuk menzalimi orang lain…”
Perbuatan menyakiti orang lain seperti buli adalah suatu kezaliman. Dan ia diharamkan agama. Impaknya sangat besar sehingga boleh menjejaskan diri orang lain, termasuklah pada nyawa dan kesihatan mentalnya.
Di samping itu, Nabi Muhammad berulang kali menegaskan bahawa seorang Muslim yang sempurna ialah mereka yang tidak menyakiti orang lain dengan lidah dan tangannya.
Rasulullah bersabda: “Seorang Muslim sejati ialah orang yang menjauhi daripada menyakiti Muslim lain dengan lidahnya atau tangannya.” (Sahih al- Bukhari).
al-Nawawi dalam menerangkan hadith di atas menekankan agar kita tidak menyakiti seorang yang lain dengan perkataan mahupun perbuatan. Beliau juga menerangkan bahawa hadith di atas menyebut “tangan” kerana kebanyakan perbuatan dilakukan dengan tangan.
Maka jelaslah bahawa perbuatan buli, sama ada melalui kata-kata ejekan, penghinaan atau perbuatan fizikal seperti memukul dan membelasah, adalah satu bentuk kezaliman yang ditegah oleh Islam.
Diri kita sepatutnya menjadi sumber keselamatan dan ketenangan kepada orang lain, bukan punca kesakitan dan penderitaan.
Elak memudaratkan orang lain
Prinsip lain yang ditegaskan Nabi ialah tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh pula membalas kemudaratan dengan kemudaratan.
Rasulullah bersabda: “Tidak boleh (seseorang itu) melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan.” (Sunan Ibn Majah)
Ibn Hajar al-Haytami dalam al-Fath al-Mubin bi-Sharh al-Arba’in berpandangan bahawa segala bentuk kezaliman adalah haram kerana ia membawa kemudaratan. Islam mewajibkan umatnya menolak segala mudarat dan mengutamakan manfaat demi menjaga kemaslahatan manusia.
Buli menyebabkan trauma emosi, rasa rendah diri, dan boleh membawa kepada mudarat lebih besar seperti kecederaan atau cubaan membunuh diri.
Berdasarkan hadith ini, memandangkan buli adalah satu bentuk mudarat, maka membalas dengan buli juga tidak boleh dibenarkan.
Ini kerana terdapat kajian yang membuktikan sebahagian kanak-kanak yang menjadi mangsa turut menjadi pembuli.
Mereka mungkin meniru dan mengulangi perbuatan tersebut kepada orang yang lain pula. Ini adalah lingkaran kekerasan yang perlu dihentikan.
Sedangkan, penyelesaian konflik rakan sebaya yang lebih baik mesti diusahakan, bukan membalas dendam.
Kanak-kanak perlu diajar untuk menyelesaikan konflik dengan tenang, saling menghormati, memohon maaf, serta membina persefahaman untuk memulihkan semula hubungan.
Tidak berdiam diri
Dalam hadith yang lain, Rasulullah juga bersabda agar kita menolong saudara kita sama ada dia menzalimi atau dizalimi.
Rasulullah bersabda: “Tolonglah saudaramu, sama ada dia menzalimi atau dizalimi.”
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, kami menolongnya jika dia dizalimi, tetapi bagaimana menolongnya jika dia yang menzalimi?”
Baginda bersabda: “Engkau menahannya atau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah bentuk pertolongan kepadanya.” (Sahih al-Bukhari)
Berkenaan hadith ini, Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa menolong orang dizalimi boleh dilakukan pada tiga keadaan.
Pertama, ketika kezaliman sedang berlaku [dengan menghentikannya – penulis]; kedua, sebelum ia berlaku dengan mencegahnya; dan ketiga, selepas ia berlaku. Contohnya, dengan membela serta memulihkan mangsa.
Hadith ini mengajar kita bahawa sikap berdiam diri ketika melihat kezaliman seperti perbuatan buli adalah salah.
Sebelum berlaku buli, rakan, guru dan masyarakat wajib campur tangan, bukan menjadi pemerhati pasif.
Menerusi pengajaran hadith ini, rakan sebaya, guru, pemimpin sekolah, ibu bapa dan masyarakat ada tanggungjawab sosial untuk tidak berdiam diri ketika melihat kezaliman.
Hentikan buli
Hadith-hadith Nabi ini bukan sahaja mengajar tentang akhlak mulia, bahkan menjadi asas penting dalam melindungi hak kanak-kanak.
Antara hak paling utama ialah hidup dalam suasana aman tanpa ancaman, buli atau kekerasan.
Buli jelas merampas hak ini, malah menjejaskan maruah, kesihatan emosi dan perkembangan diri seorang kanak-kanak.
Menyokong dan mendukung hak ini adalah kewajipan agama dan juga amanah kemanusiaan.
Berdirilah membela mangsa, mencegah pembuli dan menyebarkan nilai rahmah yang diajarkan Rasulullah.
Inilah masa untuk melaksanakan tuntutan ajaran Baginda iaitu melindungi yang lemah, menolak kezaliman, dan membina generasi kanak-kanak yang selamat dan terpelihara haknya. – Suhakam
Mohd Al Adib Samuri ialah pesuruhjaya kanak-kanak, Suhakam. Beliau juga pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

