Home Newsletters Perpaduan sebenar memerlukan akauntabiliti, bukan janji kosong

Perpaduan sebenar memerlukan akauntabiliti, bukan janji kosong

Pemimpin di Malaysia menyeru untuk perpaduan, namun isu sistemik – daripada buli di sekolah kepada peminggiran secara politik – mendedahkan jurang antara retorik dan perpaduan sosial yang tulen

FREE MALAYSIA TODAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Hari Malaysia 2025 disambut dengan ulangan seruan untuk perpaduan daripada para pemimpin yang berbeza – perpaduan dilihat sebagai ‘harta karun berharga’ untuk diwarisi kepada generasi akan datang.

Ya, perpaduan adalah penting dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian seperti negara kita.

Namun kita juga mempunyai pihak tertentu yang mengambil risiko untuk merosakkan fabrik sosial dan perpaduan masyarakat kita dengan mempolitikkan isu mengikut garis perkauman. Kita semua tahu ke mana sikap melampau boleh diarahkan.

Baiklah untuk ada seruan perpaduan daripada pemimpin. Walau bagaimanapun, kita juga mesti mempertimbangkan seruan ini bersama-sama tuntutan rakyat untuk akauntabiliti, tadbir urus yang telus, dan dasar inklusif jika kita ingin maju.

Negara ini menghadapi banyak isu, dan kini, buli telah muncul sebagai sebuah kebimbangan kritikal.

Buli di sekolah

Ramai orang bersatu dalam pendirian mereka menentang buli di sekolah dan institusi pendidikan lain.

Negara sedang melihat bagaimana kes Zara Qairina Mahathir terbongkar. Seperti yang kita tahu, pertuduhan telah difailkan terhadap lima suspek (semua kanak-kanak) yang terlibat dalam buli Zara. Prosiding inkues kematian Zara bermula pada 3 September dengan pendedahan tentang apa yang berlaku di sekolah.

Statistik Kementerian Pendidikan mengenai buli di sekolah menunjukkan bahawa beberapa ribu kanak-kanak menghadapi buli dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan lebih 70% daripada mereka nampaknya berada di sekolah menengah. Kes sebegini jelas semakin meningkat.

Selalunya, kes menjadi sorotan umum, dan kita terkejut, terutamanya apabila ia mengakibatkan kematian seseorang. Ramai yang terkejut apabila pelakunya adalah kanak-kanak.

Bagaimanakah kita menghentikan buli untuk melindungi anak-anak kita? Dengan undang-undang anti-buli? Dasar anti-buli? Tribunal anti-buli? Pengenalan semula hukuman rotan di sekolah? Hukuman keras untuk pembuli?

Walaupun kita mengetahui bagaimana situasi buli itu menggerunkan, kita perlu memikirkan dengan jelas tentang cara ke hadapan dan tidak sembarangan bertindak balas. Pelbagai cadangan telah dikemukakan.

Tetapi ingat, tiada penyelesaian segera dalam menangani buli. Ia memerlukan strategi berasaskan bukti, komitmen daripada pihak berkepentingan yang berbeza, sumber dan masa yang mencukupi.

Buli di tempat lain?

Walaupun sorotan sekarang untuk menghentikan buli di sekolah, kita perlu mengakui buli juga berlaku di tempat lain dalam masyarakat.

Jika kita menerima bahawa buli adalah pada terasnya penyalahgunaan kuasa, maka di sekeliling kita, jelas kelihatan bentuk pembulian dalam cara yang lain.

Kita juga harus melihat dengan baik cara kita bercakap dan melayan mereka daripada kumpulan etnik yang berbeza, kepercayaan agama dan kelas sosioekonomi. Fikirkan tentang bagaimana kita melihat golongan kurang upaya, golongan yang terdedah atau terpinggir – termasuk golongan tanpa kerakyatan, pekerja asing dan pelarian.

Bolehkah kita benar-benar bercakap tentang ‘perpaduan’ jika jenis buli sebegini berterusan?

Kita juga boleh melihat ‘buli’ di peringkat global yang mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai dan kebuluran orang ramai, bukan sahaja di Gaza tetapi juga di tempat lain di seluruh dunia.

Kita semua dapat melihat betapa sukarnya untuk menghalang pembuli besar terutamanya apabila ia mempunyai sekutu yang kuat. Ia sepatutnya membuatkan kita berfikir tentang mengatur, mencabar dan mengubah kuasa dunia supaya pembuli boleh dipertanggungjawabkan.

Perpaduan dan mempertahankan hak

Jika perpaduan nasional adalah matlamat, maka perbincangan harus merangkumi perlindungan hak rakyat dan kesejahteraan mereka.

Negara tidak boleh bersatu jika terdapat jurang perbezaan yang besar dalam masyarakat. Memerangi rasuah juga seharusnya menjadi sebahagian daripada perbincangan mengenai perpaduan.

Dalam sidang parlimen baru-baru ini, kita melihat pelbagai rang undang-undang sedang dibincangkan. Ada yang lulus manakala ada yang tidak.

Rang Undang-undang Pekerja Gig bertujuan, secara teori, untuk menyediakan perlindungan yang lebih baik untuk lebih daripada 1.2 juta pekerja gig di Malaysia. Rang undang-undang itu diluluskan walaupun terdapat beberapa kebimbangan, termasuk kuasa majikan yang dipertingkatkan dan kekurangan akses kepada perwakilan undang-undang untuk pekerja dalam tribunal yang dicadangkan.

Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan bertujuan untuk mengawal selia proses perolehan kerajaan dengan lebih baik. Walaupun terdapat kebimbangan mendalam terhadap kuasa pengecualian menteri yang luas dan kekurangan pengawasan bebas, rang undang-undang itu diluluskan dengan tergesa-gesa. Terdapat kumpulan yang menyatakan kerisauan terhadap kredibiliti proses reformasi, kerana rang undang-undang itu dipergesa dalam masa seminggu, tanpa masa yang cukup untuk penelitian dan perbahasan awam.

Rang Undang-undang Pembaharuan Bandar yang dicadangkan telah digubal untuk memudahkan pembangunan semula skim perumahan yang sudah tua dan usang. Bagaimanapun, ia ditangguhkan ke persidangan parlimen seterusnya berikutan bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. Ramai menyatakan kebimbangan bahawa rang undang-undang dalam bentuknya sekarang akan meminggirkan komuniti tertentu, terutamanya mereka daripada golongan berpendapatan rendah, sementara ia hanya memberi manfaat kepada pemaju. Semoga, penyusunan semula sebahagian rang undang-undang akan merangkumi kebimbangan yang dibangkitkan dan melihat hak pemilik rumah dilindungi dan dinyatakan dengan jelas.

Perpaduan dan wanita

Sebahagian penting dalam menggalakkan perpaduan adalah untuk menghapuskan perpecahan dalam masyarakat, termasuk yang disebabkan oleh diskriminasi jantina.

Sebuah laporan yang mendedahkan jurang keadilan bagi wanita dalam keluarga baru-baru ini dikeluarkan oleh SIS Forum (Malaysia). Laporan Telenisa 2024 mendedahkan perjuangan dengan nafkah anak, perceraian, hak penjagaan dan keganasan rumah tangga berdasarkan 188 pelanggan yang dilayan oleh klinik undang-undang percuma Forum SIS tahun lepas.

Terdapat juga isu pemerkasaan politik wanita. Walaupun membentuk 47.5% daripada penduduk negara, wanita tetap diketepikan dalam membuat keputusan politik. Hanya 13% Ahli Parlimen dan 12% ahli dewan undangan negeri adalah wanita.

Projek Sama telah memulakan rayuan kepada kerajaan untuk melihat kuota jantina di kerusi parlimen dan dewan negeri antara lain. Pembaharuan termasuklah melibatkan perwakilan berkadar mengikut senarai parti dengan kuota jantina bersama kerusi first-past-the-post (FPTP). Kerajaan yang mana – persekutuan atau negeri – akan menyahut seruan ini?

Jika kita percaya bahawa kedua-dua lelaki dan wanita memainkan peranan dalam pembangunan negara, maka kedua-dua lelaki dan wanita mesti menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan. Bilakah kita akan mencabar secara serius kepercayaan patriarki, komen seksis, stereotaip jantina dan norma sosial yang terus menafikan keterangkuman daripada wujud dalam membuat keputusan negara?

Jika kita benar-benar percaya kepada perpaduan, maka dalam semua yang kita katakan dan lakukan, kita mesti memastikan perlindungan yang mencukupi untuk hak dan kesejahteraan rakyat. Tiada satu kumpulan pun patut diketepikan atau ditinggalkan.

Ini merupakan cabaran yang sukar. Tetapi ke arah inilah kita mesti berusaha.

Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
20 September 2025

Terjemahah oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x