
Hanya sebulan lagi, pada 24 November, Anwar Ibrahim genap tiga tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Sebelum mengangkat sumpah sebagai PM, Anwar telah menjadi ‘calon’ PM untuk masa yang paling lama. Pada usia 78 dan berkecimpung dalam politik sejak zaman universiti, kerjaya politiknya bagaikan jongkang-jongkit yang ada pasang surut. Selalunya beliau telah jatuh jauh lebih lama daripada naik.
Anwar pernah dipenjarakan dan ditahan pada tempoh yang pelbagai dalam hidupnya. Tiada siapa boleh mencabar hakikat bahawa beliau seorang yang tabah, pejuang, seorang yang mengharungi segalanya – penuh tekad untuk mencapai matlamat dan aspirasi yang ditetapkan.
Asas yang rapuh
Keadaan di mana kerajaan ‘perpaduan’ sekarang dibentuk selepas pilihan raya umum 2022 jauh dari ideal. Tiada gabungan tunggal memenangi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan secara langsung. Pakatan Harapan dengan 82 kerusi, membentuk gabungan dengan Barisan Nasional (30 kerusi), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (enam).
Sekali gus, jika digabungkan, kerajaan perpaduan menguasai 141 atau 63.5% daripada 222 kerusi Parlimen.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Perkataan perpaduan hanya menunjukkan bahawa pelbagai pakatan sanggup bersatu untuk membentuk kerajaan. Tetapi daripada segi keutamaan, pandangan politik, aspirasi, objektif dan prinsip utama, perbezaan mereka kelihatan melebihi daripada persamaan yang ada.
Satu lagi gabungan utama Perikatan Nasional, yang terdiri daripada Bersatu dan Pas, memilih untuk menjadi pembangkang.
Bukan mudah bagi Anwar untuk memenuhi semua keperluan, tuntutan dan aspirasi pelbagai rakan gabungannya.
Sejak awal lagi, dalam berganding bahu dengan BN, yang terdiri daripada Umno, MIC dan MCA, beliau sudah terpaksa membuat pilihan yang sukar. Presiden Umno Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan PM pertama walaupun dirinya sedang menghadapi 47 pertuduhan rasuah.
Beliau telah diberi pelepasan tanpa pembebasan atas pertuduhan ini pada 4 September 2023. Ini membawa kepada tuduhan bahawa ada campur tangan politik, menimbulkan banyak perdebatan di Parlimen kerana pembangkang mendakwa keputusan itu dibuat atas kesesuaian untuk mengekalkan kerajaan perpaduan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Anwar terpaksa berhati-hati. Beliau terpaksa mengekalkan rakan kongsi kerajaan perpaduannya yang ada di sisinya sambil mengimbangi agenda nasional untuk menggalakkan perpaduan dan keterangkuman, membangunkan ekonomi dan memastikan pertumbuhan serta pengagihan kekayaan dan sumber yang lebih adil.
Agama, kaum dan ‘sensitiviti’
Di semenanjung, empat negeri – Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan – ditadbir oleh PN, secara khususnya Pas. Sejak pilihan raya umum lalu, pengulas politik merujuk kepada “gelombang hijau” – kebangkitan semula dan sokongan yang semakin meningkat daripada pengundi Melayu Islam untuk agenda Islam.
Kemudian kita juga mempunyai wilayah Sabah dan Sarawak di mana pembangunan keseluruhannya masih jauh di belakang negeri yang lebih kaya seperti Selangor dan Pulau Pinang.
Sabah menghadapi krisis air, dan banyak daerah menghadapi kekurangan sumber air dan sering mengalami gangguan bekalan. Pembangunan infrastruktur jalan dan jambatan masih kurang manakala yang sedia ada pula kurang diselenggara.
Ironinya, kebanyakan hasil minyak dan gas Malaysia diperoleh daripada Sabah dan Sarawak. Pada 2023, Petronas melaporkan hasil sebanyak RM344bn dan pada 2024, RM320bn.
Namun realitinya Sarawak dan Sabah secara purata hanya menerima RM1.5bn dan RM1bn royalti minyak masing-masing dalam setahun. Sarawak sejak 2019 telah mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 5% ke atas semua minyak dan gas yang dikeluarkan di wilayah itu. Sabah bersedia untuk melakukan perkara yang sama.
Di bawah kerajaan perpaduan ini, terdapat lebih banyak perbincangan dan perbahasan untuk memenuhi semangat dan intipati Perjanjian Malaysia 1963.
Perkara utama dan penting dalam perjanjian itu ialah Sabah dan Sarawak tidak ‘menyertai’ Malaysia sebagai dua ‘negeri’ tambahan. Sebaliknya, mereka membentuk Persekutuan Malaysia sebagai rakan pengasas yang sama dengan semenanjung.
Dari premis inilah Sabah dan Sarawak sejak akhir-akhir ini mula menegaskan hak mereka dan meminta ganjaran yang setimpal. PM perlu mempertimbangkan dengan teliti tuntutan Sabah dan Sarawak kerana penarikan balik sokongan oleh GPS dan GRS akan menjejaskan kestabilan kerajaannya.
Berhubung dengan BN dan Umno khususnya, Anwar perlu bergelut dengan ideologi politik pilihan mereka yang memfokuskan kepada isu etno-agama, khususnya naratif Melayu-Islam.
Ketua sayap pemuda Umno, Akmal Salleh, sejak tiga tahun lalu membangkitkan isu-isu yang boleh memecahbelahkan dan bukannya menyatukan rakyat. Sikapnya terhadap kalimah Allah pada stokin yang ditemui di kedai KK Mart dan pemaparan bendera Malaysia yang tidak wajar oleh seorang peniaga etnik Cina mencetuskan banyak perdebatan dan memburukkan lagi perpecahan di kalangan rakyat.
Pada Oktober 2023, kontroversi tercetus apabila seseorang memuat naik foto di media sosial menunjukkan sebuah kafeteria di Universiti Malaya menawarkan “sandwic ham ayam” dengan membuat andaian bahawa ia tidak halal dan kononnya tiada usaha dilakukan untuk memberi amaran kepada pelanggan Islam.
Jabatan kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kemudian menghantar sampel sandwic untuk ujian dan mendapati ia memang terdiri daripada daging ayam halal dan pembekal mempunyai sijil halal yang sah dikeluarkan oleh Jakim sendiri.
Bantahan utama adalah terhadap penggunaan perkataan ham, dan penjual kemudiannya diarahkan menukar nama kepada sandwic ayam salai atau hirisan ayam. Orang asing mungkin menganggap isu di atas sebagai kelakar tetapi ia bukan bahan ketawa di Malaysia.
Ini hanyalah beberapa episod untuk menunjukkan betapa Anwar sering terpaksa mengimbang hal yang sukar dalam berhadapan dengan pandangan rakan gabungannya yang berbeza. Selalunya, keputusan atau pendirian yang diambil oleh ahli-ahli kerajaan perpaduan nampaknya bertentangan dengan prinsip untuk menggalakkan perpaduan di kalangan rakyat.
Ramai yang berharap Anwar akan menggunakan kuasa dan kebijaksanaannya untuk membetulkan kesilapan. Ambil contoh kes Akmal yang mengugut untuk ‘mengajar’ seorang peniaga etnik Cina cara betul menggantung bendera Malaysia. Namun, Anwar tidak secara terbuka mengarahkan ketua pemuda Umno itu untuk mengendurkan nadanya yang kuat.
Baru-baru ini, satu lagi kontroversi tercetus apabila ada minuman keras dihidangkan pada acara yang pada asalnya Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dianggap sebagai penaja dan penganjur. Menteri Tiong King Sing kemudian menjelaskan bahawa majlis makan malam gala itu ditaja dan dibiayai oleh Global Travel Meet, sebuah syarikat di sektor swasta.
Tetapi di sebalik penjelasan ini, Anwar melihat wajar untuk menegur Tiong dengan amaran keras kerana tidak sensitif terhadap umat Islam yang menghadiri majlis itu.
Seolah-0lah Anwar tidak peduli kepada fakta bahawa kementerian Tiong telah menggunakan Global Travel Meet untuk melancarkan program acara Melawat Malaysia 2026.
Ia juga terlepas pandang bahawa kementerian melalui kegigihannya mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan telah menjana pelaburan sebanyak RM2bn.
Tajuk ulasan Malaysiakini oleh S Thayaparan memang tepat: “Madani perlu sedar bahawa Tiong pandai berniaga”.
Anwar, sebagai seorang Melayu Islam, sering dilihat hanya akur kepada tuntutan Melayu Islam yang lebih konservatif.
Ada yang berhujah bahawa sebagai tindak balas kepada “gelombang hijau”, Anwar cuba menonjolkan dirinya juga sama sebagai orang Islam – jika tidak lebih – daripada orang dari Pas. Dalam Bajet 2026, RM2.6bn, jumlah yang besar, diperuntukkan kepada Jakim.
Pandangan Anwar terhadap peristiwa ‘arak di majlis makan malam rasmi’ mungkin berbeza jika beliau yakin, secara umumnya, orang Islam di negara kita dapat menghargai bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa dan agama.
Namun tanda-tanda yang ada jelas menunjukkan penilaiannya terhadap populasi umum Melayu-Islam lebih condong kepada tafsiran Islam yang konservatif.
Jadi di manakah mereka yang etnik minoriti dan penduduk Melayu yang lebih liberal? Pecahan etnik bagi 34 juta penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 58.1% Melayu, 12.3% bumiputera lain, 22.4% Cina dan 6.5% India.
Sebahagian dalam kalangan minoriti etnik dan agama serta orang Islam dan Melayu yang lebih inklusif percaya adalah lebih baik untuk menyokong Anwar dan membuat bising. Mereka percaya jika alternatif kepada PH, iaitu PN menerajui – dengan Pas dan Bersatu berkuasa – negara akan lebih buruk.
Sebaliknya, lebih ramai orang kini berasa tertekan dan kecewa kerana diketepikan, dengan Anwar dan kerajaan “Madani” di bawah pimpinannya kerana tidak lebih inklusif dan memahami terhadap etnik dan agama minoriti.
Ramai masih ingat slogan terkenal yang sering diulang Anwar dalam bahasa Cina ketika perhimpunan politik di seluruh negara: “Wo men dou shi yi jia ren” (Kita semua sekeluarga).
Satu lagi slogan yang cukup digemari Anwar: “Anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya, anak India anak saya , anak Iban atau anak Kadazan…mereka semua anak saya.”
Itulah contoh Anwar yang merangkul semua warga di mana ia pasti mendapat banyak sokongan popular di kalangan mereka yang mementingkan perpaduan dan keharmonian.
Reformasi, urus tadbir dan cabaran Madani
Bagaimana nasib Anwar jika pilihan raya diadakan hari ini? Adakah kerajaan Madani mampu menang sepenggal lagi? Adakah rakan kongsi yang ada sekarang bersetuju untuk bertanding sebagai satu pasukan atau pergi ke arah masing-masing?
Pilihan raya negeri Sabah jatuh pada 29 November, dan cukup menarik untuk melihat keputusannya. Pergelutan nampaknya wujud di antara mereka yang memperjuangkan konsep Sabah untuk Sabah dan mereka yang menyokong kerjasama dengan ahli politik semenanjung.
Dalam baki dua tahun penggalnya, Anwar dan kerajaan persekutuannya harus mematuhi sepenuhnya prinsip Madani, iaitu tadbir urus yang baik, pembangunan mampan, keterangkuman dan belas kasihan (terutama kepada golongan miskin). Mereka perlu menghargai integriti dan memerangi rasuah. Prinsip-prinsip ini perlu dihidupkan melalui dasar dan aktiviti yang dijalankan di semua jabatan dan kementerian kerajaan.
Jika tidak, konsep dan nilai Madani hanya akan kekal sebagai kenyataan di atas kertas.
Kejadian keganasan di sekolah, kejadian buli serta kebimbangan yang serupa baru-baru ini telah mengejutkan negara dan ia tidak memberi petanda baik kepada sistem pendidikan pada masa ini.
Ada sesuatu yang tidak kena. Perhatian segera diperlukan untuk menyemak keseluruhan sistem yang ada. Satu rombakan besar dan menyeluruh diperlukan. RM66.2bn yang diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan di bawah Bajet 2026 harus digunakan dengan berkesan.
Kita memerlukan transformasi dan bantuan orang yang mempunyai wawasan serta berpengalaman untuk melaksanakan perubahan ini.
Dalam baki dua tahun lagi, Anwar dan kabinetnya mesti mendesak untuk mewujudkan pembaharuan undang-undang yang mereka bangkitkan dalam manifesto pilihan raya mereka yang lalu.
Sebagai contoh, pemisahan peranan peguam negara dan fungsi pendakwaan awam yang telah diperkatakan sudah berada dalam perancangan selama bertahun-tahun. Pastikan ia berlaku sekarang untuk menunjukkan bahawa kerajaan serius terhadap pembaharuan. Desak reformasi perlembagaan yang diperlukan dan pastikan bahawa terdapat kawal dan imbang terhadap kuasa yang diberikan kepada pihak pendakwaan.
Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan yang telah diluluskan di Parlimen pada penghujung Ogos pula cepat diluluskan. Malangnya, rang undang-undang itu nampaknya terlalu menumpukan kuasa dan budi bicara di tangan menteri kewangan.
Ini cukup membimbangkan dan sudah tentu bukan cerminan kepada tadbir urus yang baik. Kenyataan Aliran menyatakan bahawa “pendekatan tergesa-gesa sebegini mencerminkan kecenderungan autoritarian yang cuba diruntuhkan oleh gerakan reformasi”.
Jadi, adakah Anwar akan menjadi PM sepenggal? Atau adakah pengundi akan memberinya peluang sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang?
Jawapan untuk itu akan banyak bergantung pada jenis Malaysia yang beliau dan pasukannya akan bangunkan sepanjang tempoh mereka berkuasa.
Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
18 Oktober 2025
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme










