Haezreena Begum Abdul Hamid
Malaysia sedang berdepan peningkatan kes penipuan kad SIM, namun wacana awam mengenai perkara ini sering cetek dan bersifat nasihat asas seperti “jangan kongsi nombor telefon anda dengan orang tidak dikenali”.
Sebenarnya, masalah ini berkait rapat dengan aspek kriminologi dan undang-undang yang lebih kompleks, iaitu eksploitasi identiti, kerentanan ekonomi dan kelemahan kawal selia.
Penipuan kad SIM berlaku apabila penjenayah menggunakan kad SIM yang didaftarkan atas nama orang lain untuk melakukan penipuan dalam talian, penyamaran, akaun keldai digital, pelaburan palsu atau ugutan. Strategi utama ialah penyembunyian identiti, di mana nama yang tertera dalam pendaftaran bukan pengguna sebenar.
Penjenayah memperoleh kad SIM ini melalui beberapa cara, antaranya:
- membeli atau menyewa identiti pelajar, pekerja berpendapatan rendah atau migran dengan bayaran kecil
- menggunakan data peribadi bocor untuk pendaftaran tanpa pengetahuan pemilik atau
- mendapatkan kad SIM yang didaftarkan secara pukal oleh ejen yang sengaja memintas syarat pengesahan
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Akibatnya, apabila penipuan berlaku, individu yang namanya digunakan menjadi suspek pertama, walaupun mereka tidak bersalah. Ramai mangsa akhirnya disoal siasat, disenarai hitam atau dituduh terlibat. Ini merupakan bentuk viktimisasi sekunder, apabila sistem secara tidak langsung menyalahkan mangsa yang sepatutnya dilindungi.
Walaupun Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mewajibkan pendaftaran identiti, peraturan ini masih meletakkan beban tanggungjawab kepada individu – bukannya rangkaian yang mengaut keuntungan daripada penyalahgunaan identiti dan kelemahan kawal selia.
Pendekatan penguatkuasaan pula cenderung fokus kepada individu di peringkat terbawah – bukan sindiket, broker data, ejen pendaftaran atau platform digital yang memudahkan jenayah ini berlaku.
Penipuan kad SIM bukan hanya berlaku kerana teknologi, tetapi kerana wujudnya kerentanan sosial dan ekonomi. Ada yang menyewakan identiti kerana terdesak, manakala ada yang menjadi mangsa kerana tidak memahami hubungan antara pemilikan kad SIM dan tanggungjawab undang-undang.
Sindiket pula mengambil kesempatan terhadap keupayaan mereka untuk menghilangkan jejak identiti.
Jika Malaysia benar-benar ingin menangani masalah ini, fokus perlu dialihkan daripada menyalahkan individu kepada membongkar rangkaian jenayah terancang yang memperoleh keuntungan daripada eksploitasi identiti.
Ini memerlukan:
- pengawasan lebih ketat terhadap ejen telekomunikasi
- hukuman yang jelas untuk pendaftaran pukal
- kawal selia terhadap perdagangan data
- pendidikan literasi digital yang mudah diakses dan
- strategi penguatkuasaan yang menyasarkan sindiket
Selagi struktur penguatkuasaan tidak berubah, penipuan kad SIM akan terus berleluasa – bukan kerana rakyat cuai, tetapi kerana sistem meletakkan beban risiko kepada golongan yang paling lemah dalam masyarakat.
Dr Haezreena Begum Abdul Hamid merupakan pakar kriminologi dan pensyarah kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme









