Home Civil Society Voices Tolak laporan EIA projek ladang hutan di hutan simpan Kledang Saiong

Tolak laporan EIA projek ladang hutan di hutan simpan Kledang Saiong

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Kami, sejaringan NGO, individu dan sebuah parti politik, sedang memantau usaha untuk ‘membangunkan’ hutan simpan Kledang Saiong di Kinta / Kuala Kangsar, Perak.

Kami telah membaca dengan teliti laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling bagi:

“Proposed development involving site clearing activities (conditional logging and earthwork) and management of a part of hutan simpan Kledang Saiong compartment 6,9,10,14,15,16,17,221,238 and 239 with total area of 2,020ha, Daerah Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan by Khas Jadi Sdn Bhd”

yang disediakan oleh ChemSains Konsultant (CSK), dan kami berpendapat Laporan EIA ini adalah amat berat sebelah dan tidak memberi gambaran sebenar berkaitan kesan-kesan negatif projek ladang ini.

Antara perkara yang tidak dikendalikan secara profesional dalam laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling yang disediakan oleh CSK adalah:

Risiko banjir

Air hujan dari kawasan hutan ini akan mengalir melalui Sungai Buloh dan Sungai Bemban ke Sungai Nyamuk, dan selepas itu ke Sungai Kerdah dan Sungai Pelus sebelum menyertai Sungai Perak dekat bandar Karai.

Pada masa ini pun, taman-taman dan kampung-kampung yang terletak berdekatan sungai-sungai yang dinamakan di atas, sering dilanda banjir apabila ada hujan lebat. Ada kampung, seperti Kampung Tok Sirat, yang dilanda banjir teruk beberapa kali setiap tahun. (Sila rujuk lampiran satu untuk peta yang menunjukkan sungai-sungai dan kampung-kampung yang terlibat.)

Tetapi CSK (ChemSains Konsultant) tidak menyiasat perkara ini untuk memastikan bilangan keluarga yang dilanda banjir ataupun kerugian yang dialami oleh komuniti-komuniti yang menduduki kampung-kampung dan taman yang selalu dilanda banjir.

Walaupun kajian impak sosial yang dilakukan oleh CSK telah merakamkan bahawa 42.5% daripada orang yang ditemu duga menyatakan bahawa mereka khuatir terhadap risiko banjir kilat dan 32.8% menjawab bahawa mereka bimbang sungai akan dicemari oleh projek ladang ini (C6 – 160, Laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling), CSK gagal mengkaji perkara ini secara mendalam.

Sebaliknya, laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling CSK menyatakan bahawa “it is anticipated that the change of the pervious land cover before development into impervious facilities will be minimal. Thus, the Project will not cause major flooding events and escalate the existing flooding conditions.” (Section 7.4.1, Page 401/1070, Laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling).

Pendirian ini diulangi di muka surat 416/1070 di mana CSK menegaskan bahawa: “It can be concluded that the increase in flood level is insignificant among all the tributaries such as Sg Buloh, Sg Lawit, Sg Bemban and also from Sg Nyamuk up to Sg Perak. The proposed forest replantation project is not expected to cause any significant flood impact to the villages located near the river.”

Penilaian ini adalah silap kerana ia hanya fokus pada perubahan dalam kadar “surface run-off” untuk menilai risiko banjir. CSK langsung tidak mengambil kira impak pemendapan sungai-sungai yang disenaraikan di atas, akibat penghakisan tanah berpunca daripada pembalakan skala besar di kawasan projek hutan.

Ini adalah pendirian yang pelik kerana CSK sendiri telah mengeluarkan beberapa puluh jadual dan carta (dalam laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling) yang menyatakan bahawa kadar hakisan tanah akan meningkat secara mendadak di semua bahagian yang dibalak.

Jadual di bawah adalah contoh – dan ia menyatakan bahawa kadar hakisan tanah di kawasan yang dibangunkan adalah antara 90 tonnes tanah se hektar setahun dan 4,500 tones se hektar setahun bergantung pada kecerunan kawasan dan juga pematuhan pada langkah2 yang disyor oleh CSK untuk mengawal penghakisan tanah.

Jadual Satu : Jangkaan hakisan tanah dalam fasa-fasa projek ladang hutan (Dalam tonnes/hektar/tahun)

Sumber: Laporan EIA CSK- Muka surat C7-35 (Hanya sebahagian jadual dalam Laporan EIA dipetik untuk jadual di atas)

Tetapi walapun sedar terhadap masalah penghakisan tanah, CSK tidak mengesyorkan sebarang kaedah untuk memantau kadar pemasiran dan pemendapan sungai yang terlibat. Langsung tiada perbincangan bagaimana pemendapan sungai boleh dipantau dan diukur. Pada kami, walaupun bukan berpakaran setanding CSK, satu kaedah yang berkesan untuk memantau pemendapan adalah untuk mengenalpasti beberapa poin yang tetap di setiap jambatan yang melintas sungai2 terlibat dan mengukur jarak daripada setiap poin itu ke dasar sungai (river bed) dengan memakai tali yang terikat besi 5kg di hujungnya. Pendekatan sebegini langsung tidak disentuh oleh CSK.

Oleh kerana isu pemendapan sungai tidak diambil serius, langsung tiada perbincangan berkaitan keperluan untuk usaha mendalamkan sungai-sungai yang terlibat. Kekerapan proses membersihkan sungai dan punca kewangan untuk usaha berterusan ini, langsung tidak dibincang.

Pada kami, kegagalan mengambil kira isu pemendapan sungai dan kaedah dan kos untuk menangani masalah ini, membuktikan sikap berat-sebelah pihak CSK, yang nampaknya, berazam mengurangkan beban kewangan terhadap penggerak projek ia- itu Syarikat Khas Jadi Sdn Bhd (yang merupakan pihak yang membayar CSK untuk kajian EIA).

2.   Situasi haiwan liar di kawasan projek

Kepakaran CSK dalam isu alam sekitar dan hutan jelas terbukti dalam cara CSK menyiasat spesies2 haiwan yang berada di kawasan hutan yang akan dibalak. CSK telah menyeneraikan 60 spesies mamalia, 49 spesies reptalia, 25 spesies amphibia dan 175 spesies burung dengan nama2 saintifik mereka. Daripada jumlah ini, 51 spesies adalah “protected” dan 166 lagi adalah “totally protected” di bawah Akta 716 iaitu Wildlife Conservation Act 2010. Sila lihat table di bawah.

Table Dua: Haiwan Liar Di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Ringkasan Spesies & Status Perlindungan
Jenis HaiwanJumlah SpesiesProtected (Dilindungi)Totally Protected (Dilindungi Sepenuhnya)
Mamalia60913
Amphibia2560
Reptalia49262
Burung17510151
Jumlah30951166

Sumber: Bab 6, Laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling yang disediakan oleh ChemSain Konsultan

Tetapi, walaupun mempunyai kepakaran yang tinggi dalam mengenal pasti dan menamakan semua haiwan ini, CSK terlupa menyebut bahawa hutan kawasan projek merupakan hutan terpencil – “an isolated forest”.

Kewujudan lebuhraya utara-selatan menghalang gerakan haiwan dari kawasan projek hutan ke kawasan hutan di selatan lebuhraya. CSK memang sedar bahawa kawasan hutan sebesar 4,280ha di antara projek ladang hutan 2,020ha ini dan lebuhraya utara-selatan telahpun diluluskan untuk projek ladang hutan kerana CSK merupakan pihak yang menyediakan penilaian kesan kepada alam sekeliling untuk projek 4,280ha itu.

Peta Satu: Kewujudan lebuhraya utara-selatan mentransformasikan kawasan utara hutan simpan Kledang Saiong kepada hutan terpencil

Kegagalan mengenal pasti hakikat bahawa kawasan projek hutan merupakan “forest island” membolehkan CSK mengelak daripada membincangkan bagaimana masalah halangan bagi gerakan haiwan liar dapat diatasi.

Satu cara adalah untuk membina jalan-jalan underpass di setiap 2km lebuhraya di kawasan dekat projek untuk mewujudkan jalan bagi haiwan melarikan diri dari kawasan pembalakan ke hutan di selatan lebuhraya.

READ MORE:  How were oil and gas projects approved in Malaysia's largest national park?

Tetapi langkah ini langsung tidak dikemukakan, mungkin kerana ianya akan membawa kos tinggi kepada penggerak projek.

Kegagalan CSK berbincang secara lengkap isu haiwan terperangkap di satu hutan pulau (forest island) menguatkan persepsi kami bahawa CSK, yang jelas mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang alam sekitar, sedang memakai kepakarannya untuk menyamarkan fakta-fakta yang benar supaya menjimatkan kos untuk syarikat yang membayarnya.

Hasrat menggambarkan kawasan projek sebagai hutan yang sangat miskin (depleted)

Angka-angka yang dipamerkan dalam carta2 berkaitan hakisan tanah memberi persepsi bahawa hutan yang wujud sekarang di Kledang Saiong, sebelum projek dimulakan, adalah sangat miskin. Kadar kehakisan tanah pada masa ini (sebelum projek dimulakan) adalah dianggar sebagai lapan hingga 10 kali lebih tinggi kadar kehakisan tanah selepas projek ladang hutan diwujudkan. (Sila rujuk jadual satu berkaitan hakisan tanah.)

Adanya banyak jadual sebegini dalam laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling yang dikemukakan oleh CSK. Data seperti ini memberi gambaran bahawa kawasan hutan ini adalah sangat miskin.

Adakah angka sebegini berkaitan dengan cadangan penggerak untuk menerbitkan kredit karbon (dan menjualnya dalam pasaran karbon) dengan naratif bahawa penggerak projek telah memulihkan satu kawasan hutan yang sangat miskin, yang (dalam narrative penggerak projek) sebelum projek ladang hutan ini, langsung tidak memainkan apa-apa peranan dalam meresap karbon dioksida daripada udara?

Kami tidak percaya angka-angka CSK berkaitan kadar hakisan tanah sekarang kerana adalah jelas daripada kajian CSK sendiri, bahawa hutan Kledang Saiong adalah kaya dalam kepelbagaian haiwannya (biodiversity) – 60 spesies mamalia, 49 spesies reptilia dan 175 spesies burung. Mungkin sebahagian besar kawasan hutan ini adalah hutan sekunder. Tetapi ia jauh daripada hutan miskin.

Kami ingin mengesyorkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mempertanggungjawabkan sebuah institusi akademik untuk menjalankan satu kajian untuk memastikan samada hutan Kledang Saiong yang wujud sekarang merupakan hutan yang sangat miskin (depleted) atau sebaliknya.

Kami tidak mahu penggerak projek untuk menipu kerajaan Malaysia dan juga orang awam melalui usaha memohon kredit karbon daripada projek ladang hutan ini pada masa depan.

Risiko pertembungan antara haiwan liar dan masyarakat tempatan

Pada kami, kemungkinan pertembungan adalah tinggi kerana binatang liar tidak ada jalan alternatif untuk melarikan diri mereka dari kawasan pembalakan. Sudah tentu pertembungan teruk akan dicetuskan oleh projek-projek ladang hutan yang ingin dilaksanakan dalam kawasan hutan ini.

Komuniti-komuniti sekeliling hutan simpan Kledang Saiong dari jambatan Lebuhraya Utara-Selatan menyeberangi Sungai Perak ke tol lebuhraya ini di Meru akan dimasuki haiwan liar yang cuba mencari kawasan yang lebih selamat untuk diri mereka. Kampung-kampung di Saiong, Salak, Sungai Buloh, Rimba Panjang, Kanthan, Kuala Kuang dan Ulu Chepor akan menghadapi masalah ini.

Cara mengendalikan kerugian kewangan oleh komuniti tempatan akibat pertembungan dengan haiwan liar juga tidak dibincang dalam laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling ini. Punca dana untuk membayar ganti rugi kepada mereka yang mengalami kerugian langsung tidak disentuh.

Satu kaedahnya adalah untuk mewujudkan satu tabung, di bawah jagaan kerajaan tempatan, untuk membayar ganti rugi kepada orang tempatan yang mengalami kerugian oleh kerana projek ladang hutan ini samada berpunca daripada pertembungan dengan haiwan liar ataupun kerana dilanda banjir. Semua syarikat penggerak projek boleh dikenakan bayaran 2% nilai balak yang ditebang olehnya, dan wang ini dicarum ke tabung tersebut.

Tetapi idea seperti ini langsung tidak disentuh. Pada kami, ada kemungkinan besar keengganan ini adalah berkaitan dengan keazaman CSK (ChemSains Konsultant) menjimatkan perbelanjaan pihak penggerak.

READ MORE:  How were oil and gas projects approved in Malaysia's largest national park?

Isu pemantauan yang berkesan tidak dibincang

JAS sering memberitahu orang awam bahawa mereka tidak ada kapasiti untuk memantau semua projek yang sedang berlaku di negara kita.

Sebagai umpama, ketua pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, telah menyatakan dalam surat khabar Star (4 November) bahawa JAS hanya mempunyai 1,111 orang kakitangan penguat kuasa. JAS memerlukan 3,000 orang penguat kuasa tambahan untuk dapat menjalani pemantauan yang berkesan.

Perkara ini langsung tidak ditangani oleh CSK.

Suatu antara kaedah untuk menangani isu ini adalah untuk menubuhkan satu jawatankuasa pemantauan daripada masyarakat tempatan dengan wakil daripada kampung-kampung yang berdekatan (termasuk Kampung Bukit Cermin, sebuah kampung orang Asli), kumpulan NGO alam sekitar yang berada di Perak, wakil daripada pejabat dewan undangan negeri yang berdekatan – Bukit Candan, Jalong, Hulu Kinta – dan seorang wakil daripada JAS Perak.

Jawatankuasa ini perlu diberi akses yang tidak terhad untuk memasuk kawasan projek untuk memantau samada penggerak projek mengikuti semua syor (best practices) yang disenaraikan dalam laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling.

Jawatankuasa ini juga memerlukan dana untuk membeli dan mengoperasi dron untuk membantu mereka dalam usaha pemantauan. Mungkin sebahagian daripada caruman kepada dana ganti rugi yang disentuh di perenggan sebelum ini, boleh disalurkan kepada jawatankuasa pemantau ini untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

JAS Perak harus menghentikan projek sekiranya jawatankuasa pemantauan mendapat bukti bahawa penggerak projek tidak mematuhi panduan menjaga alam sekitar yang telah pun dirakam dalam laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling.

Kesimpulan

Laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling mengandungi banyak kelemahan dan sangat berpihak kepada penggerak projek walaupun majoriti rakyat tempatan yang ditemuduga menjawab bahawa mereka tidak selesa dengan projek ladang hutan ini. Laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling CSK ini tidak profesional kerana beberapa perkara yang penting disembunyikan dan langsung tidak dibincang:

  • Risiko pemendapan sungai,
  • Kewujudan lebuhraya utara-selatan,
  • Keperluan menubuhkan dana membayar ganti rugi
  • Keperluan memperkasakan pemantauan terhadap pelaksanaan “best pratices” yang disenaraikan dalam laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling.

Laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling ini harus ditolak oleh JAS kerana adalah jelas bahawa ianya tidak objektif, dan berhasrat menyembunyikan fakta-fakta penting.

JAS harus memilih satu syarikat alam sekitar yang lain untuk mempertimbangkan kritikan yang dibentang oleh memorandum ini.

Syarikat consultant alam sekitar baru adalah penting kerana ChemSain Konsultant adalah terlalu berat sebelah dan tidak boleh dipercayai untuk bertindak secara profesional.

Konsultant alam sekitar baru harus dipilih dan dibayar oleh JAS dengan sejumlah wang yang dikutip daripada penggerak projek.

Kami harap dapat tarikh berjumpa dengan ketua pengarah JAS untuk berbahas kritikan dan syor kami terhadap laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling ini. Kami harap bantahan kami terhadap laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling ini diambil berat.

Tetapi, jika pihak JAS meluluskan projek hutan ini, tolong maklumkan kami melalui alamat di muka surat depan memorandum ini.

Lampiran Satu


Kawasan projek baru 2,020ha

Kawasan projek 4,280ha yang telahpun diluluskan.

  • Kampung Baru Sungai Buloh
  • Pasar Sungai Siput, Taman Aman, Kampung Veerasamy
  • Po Kar Bi, Lintang Makmur
  • Ladang Elphil
  • Bandar Lintang
  • Felda Lasah
  • Kampung Makmur dan Kampung Kelimat
  • Trosor, Pulau Mentimun

Disokong oleh:

  • Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran)
  • Biro Alam Sekitar, Parti Sosialis Malaysia
  • Consumer Association Penang (CAP)
  • Jungle School Gombak
  • Kuasa Perak
  • Persatuan Ekologi Negeri Perak
  • Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam (Peka)
  • Parti Rakyat Malaysia
  • Saya Anak Bangsa Malaysia
  • Tanjung Bunga Residents’ Association
  • Gabungan Darurat Iklim
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x