Aliran mengecam serangan besar-besaran Amerika Syarikat ke atas Venezuela serta penculikan Presiden Nicolás Maduro dan isterinya, Cilia Flores – satu cubaan pertukaran rejim yang jelas menyalahi undang-undang.
Serangan ketenteraan pada 3 Januari dan penculikan kepimpinan negara itu melanggar undang-undang antarabangsa, khususnya Perkara 2 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan merupakan tindakan pencerobohan terhadap sebuah negara berdaulat.
Pembunuhan lebih awal nelayan tidak bersalah di perairan Caribbean, rampasan kapal tangki minyak serta pelanggaran perairan wilayah serantau mendedahkan satu pola keganasan negara, selari dengan tradisi keganasan imperialis.
Kesemua tindakan ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Venezuela, undang-undang antarabangsa, demokrasi dan hak asasi manusia, yang wajar dikecam sepenuhnya.
Pencerobohan ini adalah sebahagian daripada kempen berdekad-dekad terhadap Venezuela, melibatkan sekatan, cubaan rampasan kuasa, peperangan ekonomi serta rampasan aset Venezuela. Semuanya bertujuan menguasai rizab minyak negara itu yang sangat besar.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Tindakan ini juga mencerminkan tingkah laku ancaman global yang bertanggungjawab terhadap penderitaan dan kematian jutaan manusia melalui perang proksi ideologi serta perebutan pengaruh.
AS mempamerkan kekuatan semata-mata kerana mampu, bertindak seperti perompak yang didorong ketamakan terhadap sumber negara lain, sebagaimana terlihat dalam hasrat terbaharu terhadap Kanada dan Greenland.
Pencerobohan ketenteraan sebegini tidak boleh diselindungkan sebagai keprihatinan mendalam terhadap demokrasi, khususnya di Venezuela yang memiliki 303 bilion tong minyak, rizab terbesar dunia. AS secara konsisten menyelubungi campur tangan haram dengan alasan seperti menyebarkan demokrasi atau memerangi kartel dadah, sedangkan matlamat sebenar ialah mengawal aliran minyak dan mengakses rizab.
Sejarah menunjukkan pola yang sama. Dakwaan senjata pemusnah besar-besaran di Iraq terbukti sebagai alasan palsu untuk pencerobohan. Pencerobohan Barat di Iraq, Afghanistan, Libya dan kawasan lain di Asia Barat mengakibatkan lebih satu juta kematian langsung serta beberapa juta kematian tidak langsung.
Sesetengah pihak percaya pencerobohan ke atas Venezuela bertujuan melindungi sistem petrodolar, yang membolehkan AS mengekalkan dominasi ekonomi global. Langkah Venezuela sejak 2018 menjual minyak dalam mata wang selain dolar menimbulkan ancaman langsung kepada sistem ini.
Kita melihat satu pola membimbangkan daripada sejarah. Iraq menukar jualan minyak kepada euro pada 2000 sebelum pencerobohan haram AS pada 2003. Libya di bawah Muammar Gaddafi mencadangkan mata wang pan-Afrika bersandarkan emas sebelum campur tangan Nato pada 2011. Venezuela pula memohon keanggotaan Brics, memberi keutamaan akses minyak kepada negara Brics dan mengurangkan transaksi berasaskan dolar.
Kami mengecam tindakan haram terbaharu AS, ketika Presiden Donald Trump berusaha membawa Amerika Latin di bawah pengaruh AS menerusi versinya terhadap Doktrin Monroe.
Komuniti antarabangsa tidak boleh membenarkan negara berkuasa membuli negara kecil dan lemah – kerana ini bersamaan dengan hukum rimba.
Pencerobohan langsung terhadap sebuah negara berdaulat ini melangkaui garis merah antarabangsa dan menuntut kecaman keras. Tiada negara berhak menceroboh negara lain hanya kerana tidak menyukai pemimpinnya atau mengingini sumbernya.
Tindakan agresif ini kini mengancam negara membangun di Global Selatan yang berusaha mencapai kemerdekaan politik dan ekonomi. Apa yang berlaku di Venezuela hari ini boleh menjejaskan penentuan nasib sendiri yang diperjuangkan dengan susah payah oleh masyarakat bekas jajahan di seluruh dunia.
Banyak kerajaan yang berniat baik terperdaya dengan alasan AS untuk pencerobohan, sehingga pelanggaran undang-undang antarabangsa berlaku tanpa cabaran. Ini tidak boleh diterima.
Sehubungan itu, Aliran mengalu-alukan pendirian kerajaan Malaysia yang menyeru pembebasan segera Presiden Maduro serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.
Pertubuhan serantau di Selatan, termasuk Komuniti Caribbean (Caricom), Komuniti Negara Amerika Latin dan Caribbean (Celac), Kesatuan Afrika dan Asean – selain PBB – mesti bersuara lebih lantang menentang jenayah antarabangsa ini.
Jika tidak, mereka gagal mempertahankan kedaulatan Venezuela berdepan tindakan perang neo-kolonial, yang mungkin mendekati wilayah sendiri pada masa depan.
Akhir sekali, kami menggesa Jawatankuasa Nobel dan persekutuan bola sepak antarabangsa Fifa untuk menarik balik anugerah keamanan kepada penerima yang terlibat atau menyokong pencerobohan ini.
Jawatankuasa Eksekutif Aliran
4 Januari 2026
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











