Home Newsletters Mengapa pendidikan adalah satu-satunya senjata bagi melawan sistem yang direka untuk mengawal...

Mengapa pendidikan adalah satu-satunya senjata bagi melawan sistem yang direka untuk mengawal kita

Renungan seorang pendidik tentang bagaimana kerajaan mengekalkan kawalan - dan mengapa pendidikan mungkin satu-satunya jalan keluar kita

AI-GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Saya banyak berfikir soal tentang dari mana asal usul kerajaan, bukan sekadar sebagai persoalan akademik yang abstrak tetapi sebagai cara untuk memahami dunia yang saya diami hari ini.

Kebimbangan saya semakin mendalam apabila saya melihat dari jauh bagaimana institusi demokrasi di Amerika Syarikat – yang telah lama dianggap sebagai model global – diruntuhkan mereka yang hanya ingin mengukuhkan kuasa.

Apa yang terjadi ini telah memaksa saya untuk mengkaji semula teori-teori klasik tadbir urus, bukan untuk mengagumi kemegahannya, tetapi untuk memahami betapa mudahnya struktur yang kita anggap stabil boleh dikosongkan dari dalam.

Lebih banyak saya merenung tentang teori-teori ini, lebih banyak saya mendapati diri saya kembali kepada kesimpulan yang membimbangkan: bahawa kerajaan, dengan beberapa pengecualian, telah berkembang menjadi sistem untuk mengekstrak kekayaan dan mengawal populasi bagi hanya kepentingan segelintir elit.

Ilusi ini bermula dengan undang-undang. Kita diajar bahawa undang-undang digunakan untuk mengekalkan ketenteraman dan melindungi hak, bahawa kod sivil dan jenayah dapat membentuk tulang belakang masyarakat yang adil.

Namun, semakin saya perhatikan bagaimana undang-undang digunakan dan ditafsirkan, semakin saya melihat bagaimana ia hanya berfungsi sebagai instrumen kawalan dan bukannya untuk menjaga keadilan.

Persoalan hak diisytiharkan dengan berkobar-kobar, tetapi dijalankan secara tidak sekata.

Golongan yang berkuasa menggelecek sistem perundangan tanpa hukuman, sementara rakyat biasa sentiasa diingatkan tentang akibat ketidakpatuhan.

Ilusi itu semakin mendalam melalui pilihan raya. Kita diberitahu bahawa peti undi menyatakan kehendak rakyat, bahawa kerajaan memperoleh keabsahan daripada majoriti.

Namun, pilihan raya sering berfungsi sebagai persembahan simbolik dan bukannya pemindahan kuasa yang tulen. Ia hanya menggilirkan wajah, bukan struktur kuasa. Pilihan adalah sempit, diurus dan dibentuk oleh kepentingan yang sama dalam menguasai ekonomi.

Hasilnya adalah sistem politik yang kelihatan partisipatif tetapi tetap terasing daripada orang yang didakwa diwakilinya.

READ MORE:  To truly love Malaysia, students must know its land and seas

Akibatnya dapat dilihat di mana-mana. Kekayaan tertumpu di tangan minoriti kecil, selalunya kurang daripada 10% yang mengawal kebanyakan sumber negara.

Ini bukanlah satu perkara yang tidak dirancang atau sekadar keanehan sistem kapitalisme. Ia adalah hasil logik sistem yang direka untuk mengabsahkan penjarahan.

Undang-undang melindungi harta benda dengan lebih tegas daripada manusia.

Dasar-dasar yang ada memelihara kepentingan mereka yang sudah memegang kuasa.

Dan apabila sistem itu dicabar, negara bertindak balas dengan kekuatan penuh jenteranya – perundangan, ekonomi dan kadangkala keganasan.

Peristiwa yang berlaku di AS adalah contoh yang jelas tentang perkara ini.

Lebih dekat di negara kita sendiri, coraknya tidak dapat disangkal lagi. Penarikan balik pendakwaan melalui mekanisme seperti ‘DNAA’ [dilepas tanpa dibebaskan] telah menjadi peringatan yang jelas tentang bagaimana sistem perundangan berusaha untuk menampung mereka yang berada dalam kedudukan berpengaruh.

Apabila individu yang mempunyai kuasa politik atau ekonomi dilindungi daripada akauntabiliti, mesejnya tidak dapat disangkal lagi: undang-undang tidak neutral tetapi boleh dilentur, boleh dilaraskan apabila taruhannya cukup tinggi.

Rentetan peristiwa sebegini menghakis kepercayaan orang ramai bukan kerana ia mengejutkan kita, tetapi kerana ia mengesahkan apa yang telah lama disyaki oleh ramai orang – bahawa sistem itu melindungi dirinya sendiri dan mereka yang memanfaatkannya, bukan orang yang kononnya mendapat khidmat daripadanya.

Satu lagi kaedah yang digunakan oleh kuasa untuk mengekalkan dirinya di negara ini adalah dengan sengaja memanipulasi perpecahan etnik dan agama. Daripada memupuk identiti nasional yang dikongsi, mereka yang berkuasa sering menekankan perbezaan, syak wasangka dan rungutan dari sejarah.

Masyarakat digalakkan untuk melihat satu sama lain sebagai ancaman dan bukannya rakan kongsi dalam masa depan yang sama. Dasar dan retorik yang ada mengukuhkan pemikiran bahawa setiap kelompok mesti berpaut pada pelindungnya atau berisiko kehilangan tempatnya.

READ MORE:  Suhakam desak hak kanak-kanak dalam RPM/Suhakam urges child rights in education plan

Populasi yang berpecah lebih mudah diurus, lebih mudah dialihkan perhatiannya dan lebih mudah digembleng secara selektif apabila kelangsungan politik dipertaruhkan.

Perpecahan ini bukanlah organik; ia dibudidayakan. Dan setelah diinternalisasi, ia kekal dengan sendirinya, menjadikannya lebih sukar untuk membayangkan politik yang berasaskan solidariti.

Dalam saat-saat seperti ini, saya mendapati diri saya tertanya-tanya sama ada terdapat jalan keluar daripada kitaran ini. Sejarah menawarkan contoh pergerakan besar-besaran yang telah cuba mencabar kuasa yang telah berakar umbi, tetapi kebanyakannya telah dihancurkan atau dikooptasi.

Monopoli negara terhadap kekerasan, kawalannya terhadap maklumat, dan keupayaannya untuk menjadikan perbezaan pendapat sebagai satu jenayah menjadikan tindakan kolektif sangat sukar. Walaupun sesetengah pergerakan mencapai kemenangan untuk sementara, struktur kuasa akan sering membentuk semula diri mereka dalam bentuk baharu.

Namun, kita hidup pada zaman apabila teknologi baharu – media sosial dan kecerdasan buatan – telah mengubah cara individu berkomunikasi dan memahami dunia. Untuk seketika, media sosial seolah-olah mendemokrasikan maklumat, membolehkan orang biasa memintas pengawal pintu media tradisional.

Tetapi ia juga mendedahkan betapa mudahnya platform boleh dimanipulasi, diawasi dan dijadikan senjata. Algoritma menguatkan perpecahan dan membentuk persepsi awam dengan cara yang sebahagian besarnya tidak kelihatan. Alat sama yang memperkasakan juga boleh memerangkap.

Kecerdasan buatan membentangkan paradoks yang lebih mendalam. Ia boleh mengembangkan pengetahuan dan mendemokrasikan kepakaran, tetapi ia juga boleh dipusatkan dan digunakan untuk mengukuhkan hierarki sedia ada.

Jika data dan infrastruktur digital kekal di tangan kumpulan kecil yang sama bagi mengawal kekayaan dan institusi politik, AI mungkin menjadi instrumen penguasaan yang paling cekap dalam sejarah manusia. Bahayanya bukanlah teknologi itu sendiri, tetapi struktur yang diserapnya.

Jadi saya ditinggalkan dengan soalan yang sukar: adakah kita menyaksikan alat yang boleh memutuskan kitaran eksploitasi, atau sekadar instrumen baharu untuk corak lama yang sama? Sejarah menunjukkan bahawa setiap teknologi baharu bermula dengan janji demokratik sebelum disalahguna oleh mereka yang berkepentingan.

READ MORE:  Ketika Freire turun ke ladang getah

Namun begitu, saya menentang keputusasaan. Walaupun terdapat pelbagai cara kuasa untuk memanipulasi undang-undang, memecahbelahkan komuniti dan menawan institusi, masih ada satu ruang yang belum dijajah sepenuhnya: minda manusia.

Sebagai seorang pendidik, saya sentiasa percaya bahawa transformasi tulen bermula dengan keupayaan untuk melihat dengan jelas. Jika ilusi kerajaan dikekalkan oleh kejahilan, ketakutan dan perpecahan yang direka-reka, maka penawarnya ada pada pendidikan yang memupuk pemikiran kritis, kesedaran sejarah dan keberanian moral.

Ini memerlukan lebih daripada sekadar mengajar fakta. Ia menuntut kurikulum yang mendedahkan mekanisme kuasa, yang mengajar golongan muda bagaimana naratif dibina, bagaimana undang-undang boleh melindungi dan menindas, dan bagaimana ketakutan digunakan untuk memecahbelahkan kelompok masyarakat yang mungkin berdiri bersama.

Jika kita boleh membentuk semula pendidikan dengan cara ini, mungkin generasi yang akan datang akan kurang mudah berpecah, kurang mudah dikawal dan kurang mudah diyakinkan bahawa struktur di sekeliling mereka adalah semula jadi atau tidak dapat dielakkan.

Saya tidak akan berpura-pura bahawa hanya pendidikan sahaja boleh menjungkirbalikkan kuasa yang telah berakar umbi selama berabad-abad. Tetapi saya telah melihat bagaimana satu perbincangan dalam bilik darjah sahaja boleh mengubah pemahaman orang muda tentang dunia.

Jika ada jalan keluar dari kitaran yang dapat menentukan sejarah manusia, ia mungkin bermula dengan tindakan mudah mengajar orang ramai untuk berfikir sendiri. Harapan saya terletak pada pendidikan – yang jujur, kritis dan berperikemanusiaan – sebagai benih yang daripadanya masa depan yang berbeza mungkin akan tumbuh.

UK Menon
Editor bersama, Surat berita Aliran
10 Januari 2026

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x