Adakah anda melihat Malaysia sebagai sebuah ‘negara rahmah’, sebuah negara yang penyayang serta mempunyai belas ihsan dalam menjaga kesejahteraan rakyat bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang adil, aman dan makmur?
Apakah tanggapan rakyat biasa terhadap kerajaan dan pelbagai dasarnya?
Inilah yang cuba diukur oleh Pertubuhan Ikram Malaysia, sebuah organisasi Islam yang menumpukan pada pembangunan komuniti dan penyelidikan sosial, melalui Indeks Negara Rahmah Malaysia sejak 2021.
Indeks ini mengukur persepsi awam tentang Malaysia sebagai sebuah negara yang penyayang dan berihsan dalam tiga bidang utama – dimensi politik, ekonomi dan sosial – dengan menggunakan 40 indikator.
Indeks ini dibangunkan dan diperbaiki selama bertahun-tahun selepas penglibatan meluas oleh pelbagai agensi kerajaan, organisasi masyarakat sivil, ahli akademik dan kumpulan etnik dan agama.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Seramai 3,030 responden dalam tinjauan terbaru dipilih melalui kaedah persampelan kelompok. Matlamatnya adalah untuk mewakili kepelbagaian umur, jantina, etnik, tahap pendapatan dan wilayah.
Peningkatan skor yang berterusan
Menurut Ikram, indeks tersebut telah menunjukkan peningkatan yang stabil sejak permulaan tinjauan pada tahun 2021, dengan skor keseluruhan 7.42 daripada 10 pada tahun 2025, walaupun ini dikategorikan sebagai skor sederhana.
Dimensi sosial mendapat skor tinggi pada 8.03, dengan skor sederhana untuk dimensi ekonomi dan politik dengan masing-masing pada 7.13 dan 7.08.
Skor tinggi dicatatkan untuk persepsi institusi keluarga yang mengukuh (8.51), masyarakat penyayang (8.22) serta hubungan antara etnik dan agama yang harmoni (8.04).
Skor yang lebih rendah dicatatkan untuk kawal dan imbang yang berkesan (6.95), ekonomi yang mampan (6.94) dan pengagihan kekayaan yang adil (6.78).
Ikram harus dipuji kerana menjejaki indeks ini sejak tahun 2021.
Ia telah berjaya berinteraksi dengan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain dalam memberikan maklum balas dan dapatan yang berguna, terutamanya untuk pembuat dasar.
Gerakan sivil sebagai daya ketiga
Ini adalah sesuatu yang boleh dicontohi oleh gerakan sivil lain, terutamanya mereka yang mempunyai jangkauan serta penglibatan akar umbi.
Kumpulan masyarakat sivil harus memanfaatkan peningkatan saluran untuk penglibatan dengan pembuat dasar, sambil pada masa yang sama berani menyatakan kebenaran kepada pihak berkuasa dan meminta mereka bertanggungjawab.
Ya, gerakan sivil boleh dan mesti memainkan peranan penting sebagai ‘kuasa ketiga’ dalam politik Malaysia, seperti yang diajukan oleh John Fong dalam surat beritanya baru-baru ini.
Namun, ia tidak semestinya hanya terhad kepada penyertaan dalam pilihan raya umum sebagai calon yang bersaing untuk undi ketika pilihan raya.
Menjadi kuasa ketiga juga boleh mengambil bentuk sebagai pihak berkepentingan yang boleh dipercayai dan sah dalam proses dasar sebenar, dengan penglibatan secara berterusan dengan pembuat dasar dan penggubal undang-undang.
Ini boleh dilakukan pada peringkat penetapan agenda atau pada peringkat penilaian dengan memberikan maklum balas daripada akar umbi tentang hasil dasar sebenar.
Sesetengah orang mungkin melihat penglibatan dan kerjasama oleh gerakan sivil dengan kerajaan sebagai ‘tangkap muat’ semata-mata tanpa impak sebenar terhadap pembuatan dasar – atau lebih teruk lagi, sebagai kerjasama yang berbentuk manipulatif oleh mereka yang berkuasa.
Namun, kita sudah dapat melihat beberapa kejayaan dalam perkara ini dan kita mesti terus membinanya.
Ikram telah mencadangkan bahawa indeksnya boleh berfungsi sebagai mekanisme maklum balas untuk menilai keberkesanan pelaksanaan dasar dan mengenal pasti jurang dalam perancangan dan impak sebenar.
Mungkin ia juga boleh berfungsi sebagai penyelidikan asas yang boleh dibina oleh pihak lain, terutamanya mereka yang terlibat dalam penilaian dasar.
Keterhadan dalam kajian persepsi
Walau bagaimanapun, kajian persepsi mempunyai batasannya, walaupun ia mendakwa dapat ‘mewakili’ populasi yang dikaji.
Walaupun tinjauan sebegini memberi peluang kepada ramai orang biasa untuk memberi maklum balas dan berkongsi pandangan mereka, ia masih subjektif berdasarkan pengalaman hidup responden serta maklumat mereka yang terhad serta boleh jadi salah. Ia pada asasnya merupakan gambaran ringkas yang mencerminkan keadaan dan realiti semasa mereka.
Tetapi ia tidak membuktikan atau mengukur sebab-akibat antara keadaan mereka dan apa yang menentukannya. Dalam erti kata lain, ia tidak menjawab soalan ‘mengapa’.
Faedah yang tidak sekata
Kerajaan Madani sekarang telah memperkenalkan dan melaksanakan beberapa usaha dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, walaupun pembaharuan struktur asas yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan masih belum menjadi kenyataan.
Sudah tentu, peningkatan bantuan kewangan dan subsidi yang disasarkan bersama-sama dengan kawalan harga akan memberi kesan positif kepada ramai orang.
Walau bagaimanapun, hasil positif ini mungkin tidak memberi manfaat kepada semua orang secara seragam atau sama rata. Banyak komuniti atau kumpulan orang masih tersisih atau tidak dapat mengakses faedah ini. Sesetengah komuniti telah mengalami diskriminasi dan layanan yang tidak adil, bukan sahaja di tangan kerajaan tetapi juga oleh masyarakat.
Ramai yang terus mengharungi ketiadaan sikap ihsan, pilih kasih, penyalahgunaan kuasa atau ketidakcekapan dalam pelaksanaan dasar kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang. Ini termasuk golongan miskin bandar, gelandangan, komuniti LGBTQ, orang tanpa kewarganegaraan, penduduk kampung dan petani yang diusir secara paksa, komuniti Bajau Laut, pekerja migran dan pelarian.
Adakah skor indeks yang baik iaitu 7.42 itu dapat mencerminkan pengalaman harian ahli kumpulan yang terdedah dan terpinggir di Malaysia? Mungkin kajian ini boleh direplikasi untuk mengira skor indeks rahmah bagi kumpulan ini.
Pendekatan berihsan diperlukan
Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal agama, Zulkifli Hassan, ketika melancarkan laporan Ikram terkini itu berkata indeks tersebut boleh menjadi rujukan berguna dalam menilai sama ada dasar dan amalan selaras dengan konsep rahmah.
Sebagai permulaan, merujuk kepada kenyataan beliau baru-baru ini mengenai golongan LGBTQ di Parlimen, mungkin beliau boleh terlibat secara berihsan dengan gerakan sivil yang bekerjasama dengan komuniti LGBTQ di Malaysia bagi lebih memahami pengalaman hidup mereka.
Komuniti LGBTQ, secara khususnya, menjadi sasaran kegagalan dasar, diskriminasi, penderaan lisan serta keganasan fizikal.
Apa yang lebih berguna dan diperlukan ialah penilaian dan pentaksiran dasar dan undang-undang yang lebih sistematik dan saintifik yang memberi kesan terutamanya kepada individu dan kumpulan yang dinafikan belas kasihan di Malaysia – sesuatu yang mengukur hasil sebenar dasar dan undang-undang, bukan sekadar persepsi.
Apa yang diperlukan ialah persampelan yang disasarkan di mana keterwakilan atau kebolehgeneralisasian (generalisability) bukanlah objektifnya. Sebaliknya, pengumpulan data yang menangkap realiti yang dialami oleh individu serta kumpulan yang terdedah dengan tepat harus menjadi matlamatnya. Walaupun ini akhirnya menjadi tanggungjawab kerajaan, gerakan sivil yang mempunyai penglibatan akar umbi dapat memberikan sokongan yang berharga.
Akhirnya, rahmah atau Madani hanya akan menjadi ungkapan yang tidak bermakna atau, lebih teruk lagi, sekadar bahan ejekan, jika golongan yang paling rentan gagal melihat peningkatan yang ketara dalam kehidupan harian mereka.
Itulah ujian demokrasi sejati.
Mary Magdaline Pereira
Editor bersama, surat berita Aliran
9 Februari 2026
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

