Home Newsletters Muslihat lapuk AS: Perubahan rejim, peraturan yang dilanggar dan kebalnya mereka daripada...

Muslihat lapuk AS: Perubahan rejim, peraturan yang dilanggar dan kebalnya mereka daripada hukum

Dari Iran ke Venezuela, Washington terus menulis semula peraturan agar ia sesuai dengan kehendak golongan berkuasa

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Serangan selaras Amerika Syarikat–Israel yang tidak diprovokasikan ke atas Iran pada 28 Februari lalu telah mengejutkan ramai orang di Malaysia, terutamanya bagi mereka yang mengikuti rundingan yang sedang dijalankan antara AS dan Iran yang telah mencapai kemajuan yang amat ketara.

Rundingan tersebut sepatutnya dapat meredakan kebimbangan AS tentang keupayaan nuklear Iran, mengelakkan konfrontasi ganas dan menyelamatkan nyawa serta harta benda orang yang tidak bersalah.

Dengan mengambil kira apa yang berlaku pada masa lalu, mungkin adalah naif untuk mengharapkan pentadbiran Trump tidak membuat kejutan yang tidak diingini buat rakyat Iran dan pencinta keamanan di seluruh dunia. Pusingan rundingan yang serupa juga terganggu pada Jun lalu, mengakibatkan perang selama 12 hari.

Kesimpulannya ialah kepercayaan menjadi satu beban apabila diplomasi dipermainkan.

Perang yang dilancarkan secara haram terhadap Iran berfungsi sebagai peringatan yang suram bahawa terdapat ahli komuniti antarabangsa –terutamanya mereka yang mempunyai kekuatan ketenteraan – yang hidup dengan kepercayaan bahawa menunjukkan kekuatan ketenteraan adalah tindakan yang betul. Negara-negara kecil seperti Malaysia, dengan kuasa ketenteraan yang agak terhad, sedang memerhatikan tindakan unilateral yang mencolok ini dengan teliti.

Ironisnya, pemimpin serangan besar-besaran ini tidak lain dan tidak bukan ialah penerima Hadiah Keamanan Fifa sulung tahun 2025 dan pengerusi Lembaga Keamanan sendiri, Donald J Trump, yang telah berulang kali melanggar peraturan hukum untuk mencapai hasratnya.

Bersemayam di rumah mewahnya di Mar-a-Lago di Florida, Trump dengan terus terang memberi amaran kepada rakyat Amerika bahawa anak-anak mereka yang dihantar untuk mengambil bahagian dalam serangan ketenteraan kali ini mungkin dibawa pulang di dalam beg mayat demi nafsu imperialisnya. Trump sedang menyediakan mereka dengan gambaran senario terburuk.

Amat memeranjatkan untuk diingat bahawa Trump pernah mengisytiharkan bahawa tindakannya hanya dipandu dan dihadkan oleh logik “moraliti”nya sendiri – entah apa pun maksudnya – dan bukan oleh undang-undang antarabangsa dan pertimbangan kemanusiaan.

Ia sekali gus menjelaskan mengapa justifikasi Trump untuk serangan ke atas Iran seringkali berubah dari semasa ke semasa untuk disesuaikan dengan kehendaknya.

READ MORE:  From the Battle of Okinawa to the new cold war

Walau bagaimanapun, mereka yang sinis pula berhujah bahawa Trump ‘kabur’ tentang apa yang dilakukannya.

Pada suatu ketika, Trump mendakwa bahawa dia mahu menghentikan Iran daripada membangunkan bom nuklear. Kemudian dia turut membangkitkan kebimbangan tentang peluru berpandu balistik Iran yang menimbulkan ancaman eksistensial terhadap AS. Akhirnya, dia kemudian mengemukakan idea untuk melakukan perubahan rejim atas nama demokrasi di Iran.

Satu perkara yang pasti: serangan itu telah menyebabkan kematian dan kemusnahan, tanpa mengira apa pun rasional sebenar perang itu sendiri.

Serangan tentera itu termasuk kematian 168 orang murid perempuan – kebanyakannya berumur antara tujuh dan 12 tahun – dan kakitangan di sebuah sekolah rendah perempuan di Minab.

Mereka yang tidak menyesal membunuh kanak-kanak ini harus diingatkan bahawa nyawa mereka ini semua sama berharganya dengan nyawa kanak-kanak Palestin yang dibunuh oleh bom, atau nyawa kanak-kanak yang mati akibat kebuluran di Sudan dan Yaman yang dilanda perang.

Perang ini juga berlaku semasa bulan suci Ramadan – saat penganut-penganut Islam yang beriman diseru untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa, mengamalkan muhasabah diri dan menunjukkan belas kasihan terhadap mereka yang tertindas – ketika pasukan pencerobohan AS dan Israel memilih untuk membunuh pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei dan pegawai-pegawai tertinggi yang lain.

Pembunuhan ini disambut baik – oleh golongan elit pemerintah Amerika dan beberapa pemimpin Eropah, terutamanya mereka yang menyokong perubahan rejim – sebagai langkah taktikal yang bijak.

Justifikasi mereka juga mendapat perhatian selepas berdekad-dekad memburuk-burukkan Iran sebagai negara penyangak yang dikawal oleh mullah yang zalim – sehingga mengenakan sekatan ekonomi yang melumpuhkan republik Islam itu.

Apabila peraturan diputarbelitkan, apa yang salah akan kelihatan betul dan begitu juga sebaliknya. Penyelewengan moral yang sedemikian boleh berlaku jika anda mempunyai pengaruh politik dan ketenteraan, kekuatan ekonomi dan dominasi media korporat untuk mendorong agenda tertentu serta memanipulasi naratif bagi memenuhi kepentingan mereka yang berkuasa.

READ MORE:  US and Israel attack Iran: War is spreading across the region

Begitulah caranya sesetengah pemimpin Eropah, dibantu oleh media korporat Barat, mendorong naratif bahawa tindakan balas Iran – yang melibatkan tembakan peluru berpandu dan dron ke pangkalan tentera AS – adalah melampau dan melanggar kedaulatan negara-negara Arab yang menjadi tuan rumah pangkalan tersebut.

Rakyat Iran pula, sebaliknya, menganggap pangkalan tersebut sebagai ancaman eksistensial dalam keadaan ini.

Perlu diingatkan bahawa hak Iran untuk mempertahankan diri daripada apa yang AS dan Israel sebut sebagai ‘serangan awal’ mesti dibezakan daripada jenis serangan yang digembar-gemburkan oleh Israel dalam konteks pembunuhan beramai-ramai yang berpanjangan di Gaza. Cara serangan Israel telah lama disamarkan atas nama ‘mempertahankan diri’.

Kita sudah tahu apa yang terjadi sebelum ini. Perubahan rejim adalah sebahagian daripada muslihat lapuk AS.

Awal tahun ini, pentadbiran Trump melancarkan serangan pantas ke atas Venezuela yang kaya dengan minyak, menculik presiden Nicolás Maduro dan isterinya Cilia Flores dan membawa mereka ke New York atas tuduhan pengedaran dadah dan keganasan narkotik yang cukup meragukan.

Seorang pemimpin sah sebuah negara berdaulat telah diculik kerana pentadbiran Trump berharap tindakan sedemikian boleh mendorong perubahan rejim dan memberi AS akses yang lebih mudah kepada minyak Venezuela – atau sekurang-kurangnya, menjadikan minyak itu tidak boleh diakses oleh China dan Rusia.

Dalam kebanyakan kes, AS telah meninggalkan jejak kematian dan kemusnahan selepas sering kali campur tangan dalam hal ehwal domestik sesebuah negara asing. Campur tangan sedemikian juga telah mengakibatkan munculnya kepimpinan diktator di negara-negara ini.

Para pemerhati politik bimbang bahawa serangan terhadap kedaulatan sesebuah negara, peraturan undang-undang antarabangsa, keadilan dan maruah manusia sering dikelabukan sebagai keinginan altruistik untuk mempromosikan hak asasi manusia, demokrasi, kemajuan sosioekonomi dan keamanan. Alasan sedemikian sering digunakan bagi mengolah persetujuan AS dan sekutunya.

READ MORE:  Cruel April: Trump's unwinnable war with Iran

Penjarahan sumber asli, seperti minyak, juga merupakan faktor motivasi penting untuk campur tangan ketenteraan.

Pada tahun 1953, misalnya, kerajaan Mohammad Mosaddegh di Iran telah digulingkan dalam satu rampasan kuasa dengan bantuan agensi perisikan British MI6 dan CIA AS. Beliau telah digantikan oleh Shah Iran yang zalim, Mohammad Reza Pahlavi, yang merupakan pilihan utama kuasa Barat.

AS dan Britain membantah apa yang dilakukan oleh Mosaddegh — iaitu memiliknegarakan industri minyak Iran. Industri ini sebelumnya dikawal oleh sebuah syarikat minyak British.

Perundangan juga dilanggar apabila AS campur tangan di Iraq, yang diizinkan oleh kisah rekaan bahawa Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran. Beratus-ratus ribu nyawa terkorban akibat keganasan tentera selepas Presiden Saddam Hussein digulingkan.

Campur tangan sedemikian juga menimbulkan kekacauan di Syria, Afghanistan, Yaman dan Libya – akibat daripada kebobrokan ketenteraan AS dan Barat. Ini mewujudkan ketidakstabilan politik dan pergaduhan dalaman yang juga boleh memberi peluang kepada kuasa predator, seperti Israel, melakukan pencerobohan ketenteraan di rantau ini.

Ketiadaan peraturan mesti dibendung demi keamanan global dan kemanusiaan.

Itulah sebabnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang dibentuk di atas abu Perang Dunia Kedua, diberi mandat untuk memperkukuh dan mengekalkan keamanan dan ketenteraman dunia berdasarkan tatanan.

Namun badan antarabangsa yang menggantikan Liga Bangsa-Bangsa yang gagal nampaknya semakin gagal memainkan peranan utama ini dengan berkesan.

Pembaharuan institusi diperlukan supaya mereka yang berkuasa tidak berani memburuk-burukkan atau membuli negara anggota yang lebih lemah. Mungkin tempat yang baik untuk bermula ialah melalui Majlis Keselamatan PBB.

Kita hidup dalam zaman yang berbahaya. Adalah penting bagi para pemimpin masyarakat Global Majoriti yang berfikiran sama untuk menjalin pakatan dalam mengejar kepentingan politik, ekonomi dan budaya bersama. Penubuhan blok Brics adalah salah satu inisiatif sedemikian.

Mustafa K Anuar
Editor bersama, surat berita Aliran
5 Mac 2026

Terjemahan oleh: Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x