Pada akhir Januari, Aliran telah dijemput untuk menjadi juri bagi pertandingan rekaan poster mereka untuk pelajar pengajian tinggi di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang.
Secara kebetulan, sekitar waktu yang sama, seorang pereka grafik menawarkan khidmat secara sukarela untuk membantu mencantikkan visual laman web Aliran. Dengan kerjasama seorang kolaborator, kami dengan senang hati menerima peranan sebagai juri bebas.
Pertandingan ini terbuka kepada pelajar sarjana muda psikologi dan sosiologi di kolej tersebut dengan tema hak, keselamatan dan jalan menuju kesejahteraan.
Setiap kumpulan menyelidik isu sosial yang berbeza dan menghasilkan rekabentuk poster bermaklumat yang mengetengahkan masalah kritikal serta mencadangkan penyelesaian.
Topik-topiknya termasuklah isu perkahwinan bawah umur dan nasib buruh asing di Malaysia.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Wajar dipuji bahawa pensyarah di kolej ini menggunakan pertandingan ini bagi memperdalam kesedaran sosial pelajar dan membantu mereka berempati dengan mangsa ketidakadilan dan hubungan kuasa yang tidak sama rata.
Pereka grafik yang bekerjasama dengan kami juga menyampaikan kuliah tentang seni sebagai pemangkin perubahan sosial.
Beliau mengemukakan hujah yang menarik bahawa seni – menerusi perkataan, imej, arca atau lukisan – boleh mencetus pemikiran kita secara berbeza dan menggerakkan kita untuk bertindak.
Beliau turut memetik kata-kata Ursula K Le Guin: “Penentangan dan perubahan sering bermula dalam Seni, dan selalunya dalam seni kita – seni kata-kata.”
Kami juga diberi ruang untuk memperkenalkan Aliran – dan mengajak pelajar untuk terlibat dalam usaha ini.
Siapa kami?
Sebagai sebuah kumpulan masyarakat sivil, Aliran merupakan gerakan reformasi hak asasi manusia dan pelbagai etnik yang tertua di Malaysia.
Kami ditubuhkan pada tahun 1977, ketika Malaysia – ketika itu baru berusia 14 tahun – merupakan sebuah negara muda yang bergelut dengan warisan dasar pecah dan perintah yang ditinggalkan penjajah.
Parut yang diakibatkan oleh rusuhan etnik 13 Mei 1969 sedang sembuh, namun boleh jadi lukanya tidak pernah sembuh sepenuhnya.
Perlembagaan Aliran menyatakan bahawa matlamat kami adalah untuk menggalakkan semangat kenegaraan dan pemahaman menyeluruh tentang pembangunan selaras dengan aspirasi Rukun Negara.
Apabila kami menyebut tentang Rukun Negara, kebanyakan mahasiswa dapat membaca lima prinsipnya dengan yakin: kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan.
Menghafal lima prinsip ini adalah permulaan yang baik. Namun, persoalan yang mendesak ialah: selepas 63 tahun sejak pembentukan Malaysia, adakah kita sebagai sebuah negara telah mencapai sepenuhnya aspirasi tersebut?
Sukar untuk kita menentukan jawapannya. Kita telah mencapai kemajuan, tetapi banyak isu terus memecahbelahkan dan bukannya menyatukan kita.
Ketegangan isu kuil dan tiga R
Satu isu hangat sejak beberapa bulan kebelakangan ini yang telah menyebabkan banyak kebimbangan dan keresahan dalam kalangan ramai penganut Hindu ialah seruan untuk merobohkan “kuil haram”.
Berasaskan sentimen perundangan semata-mata, banyak kuil ini terletak di atas tanah yang pengurusan kuil-kuil ini tidak mempunyai taraf pemilikan yang sah.
Namun, dengan mengambil kira sejarah mengapa sesebuah kuil tertentu dibina di sesetengah tapak, ia sering kali mendedahkan bahawa pemilik tanah sebelumnya mungkin bukan sahaja membenarkan tetapi juga menggalakkan pembinaannya.
Jika isu ini ditangani melalui dialog dan perundingan, protes dan tentangan pasti akan berkurangan.
Sebaliknya, pendakwah Islam kontroversi Zamri Vinoth dan Firdaus Wong kelihatan lebih galak berbeza pendapat daripada mewujudkan perpaduan.
Zamri mengetuai gerakan yang dipanggil ‘anti-kuil haram’, dan ketegangan semakin memuncak apabila seruan dibuat untuk merobohkan sebuah kuil Hindu yang terletak di hadapan Hospital Bukit Mertajam.
Aliran menyeru agar semua pihak berlapang dada dan berdialog. Dalam artikel baru-baru ini, Joseph Masilamany menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan penguatkuasaan dijalankan dengan mengambil kira prosedur dan sensitiviti budaya.
Di Aliran, kami secara sedar cuba mengalihkan perbincangan daripada naratif “tiga R” iaitu kaum (race), agama (religion) dan kerabat diraja (royalty).
Ada parti-parti politik utama menggunakan naratif ini untuk memenangi sokongan – dan kesannya hanyalah memperdalam perpecahan dan ketidakharmonian.
Logik tiga R juga mengalihkan perhatian orang ramai daripada memberi tumpuan kepada isu-isu utama seperti ketidakadilan, ketidaksamaan dan kemiskinan.
Kebajikan pekerjaan, perumahan, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang berpatutan harus menjadi tumpuan. Begitu juga usaha anti-rasuah dan cabaran terhadap penyalahgunaan kuasa dan salah tadbir urus.
Usaha mereformasi institusi
Untuk membina masyarakat yang adil dan saksama, Aliran percaya Malaysia memerlukan pembaharuan institusi yang penting. Satu contoh – yang telah lama disokong bersama NGO lain – ialah pemisahan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
Pentingnya reformasi ini menjadi sangat mendesak semasa Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan perincian skandal 1MDB mula muncul. Peguam negara ketika itu, Gani Patail, yang dilaporkan bersedia untuk mendakwa Najib, telah disingkirkan dan digantikan oleh Apandi Ali pada Julai 2015.
Apandi kemudiannya membersihkan Najib daripada sebarang salah laku pada Januari 2016, dengan mengatakan tiada kesalahan jenayah yang telah dilakukan.
Sekiranya kerajaan Barisan Nasional tidak dikalahkan dalam pilihan raya umum 2018 yang bersejarah itu, Najib mungkin masih berkedudukan sebagai Perdana Menteri dan 1MDB serta skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berkaitan mungkin telah disembunyikan dengan mudah.
Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada 2018 dan Dr Mahathir Mohamad, pada usia 92 tahun, dilantik sebagai Perdana Menteri. Tommy Thomas, seorang peguam kanan dari syarikat swasta, dilantik sebagai peguam negara – individu etnik minoriti tempatan pertama yang memegang jawatan itu. Beliau tidak membuang masa untuk meneliti semula fail 1MDB dan kes SRC International.
SRC International telah meminjam sebanyak RM4bn daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), sebuah badan yang ditubuhkan untuk penjawat awam yang telah bersara. Daripada memenuhi objektif yang dinyatakan, syarikat itu akhirnya menjadi mangsa penipuan dan penyelewengan.
Najib didakwa melakukan penyelewengan sebanyak RM42 juta dan kemudiannya didapati bersalah atas kesalahan jenayah pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa. Kes itu berlarutan selama bertahun-tahun, tetapi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kedua-duanya mengekalkan keputusan bersalah di Mahkamah Tinggi.
Analisis terhadap skandal SRC International menjelaskan bahawa penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa terjadi kerana ketiadaan kawal dan imbang ke atas kuasa perdana menteri. Sepanjang tempoh yang berkaitan, Najib memegang jawatan Perdana Menteri dan portfolio kewangan.
Mengasingkan peranan tersebut mungkin mempengaruhi apa yang terjadi — tetapi ia hanya akan berkesan jika pelantikan pendakwa raya negara bebas daripada pengaruh eksekutif.
Jawatankuasa pilihan khas, yang terdiri daripada tokoh awam terkemuka, hakim bersara dan peguam kanan, sepatutnya menapis calon.
Setelah dilantik, pendakwa raya negara harus mempunyai kuasa bebas – tetapi dengan bidang kuasa yang jelas dan jawatankuasa pengawasan yang terdiri daripada ahli Parlimen, bekas hakim dan peguam kanan untuk mengekang penyalahgunaan.
Secara praktikalnya, terlalu banyak kuasa masih tertumpu di tangan perdana menteri. Usul baru-baru ini untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun telah digagalkan – sebahagiannya kerana sesetengah ahli pembangkang berhujah ia akan merampas hak prerogatif Agong untuk melantik perdana menteri.
Hujah itu hanyalah helah belaka. Di dalam sistem raja berperlembagaan, peranan Agong adalah untuk melantik wakil rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti Dewan. Mengehadkan tempoh perkhidmatan tidak mengurangkan peranan tersebut.
Mengenai akauntabiliti, Aliran turut mengambil perhatian terhadap laporan Bloomberg mengenai pengambilalihan saham oleh ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dalam syarikat tersenarai yang melebihi hak seorang penjawat awam. Kerajaan juga telah menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat.
Lebih membimbangkan ialah dakwaan Bloomberg bahawa pegawai SPRM telah berpakat dengan ahli perniagaan tertentu untuk menakut-nakutkan pegawai kanan syarikat yang disasarkan, menekan mereka untuk menjual saham pada nilai di bawah pasaran.
Aliran telah menggesa agar ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat punca masalah ini.
Kami juga gusar dengan tindakan oleh SPRM yang boleh dianggap sebagai reaksi balas terhadap bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli dan pegawainya, James Chai.
SPRM telah melancarkan siasatan terhadap dakwaan salah laku yang berkaitan dengan kontrak kerajaan bernilai RM1.1bn dengan Arm Holdings. Rafizi sebelum ini telah berucap di perhimpunan Tangkap Azam Baki dan meminta Azam digantung tugasnya.
Apa yang berlaku, jika benar, cukup memalukan – dan Aliran telah menyokong seruan untuk tidak menggunakan SPRM sebagai senjata.
Masih banyak ruang untuk penambahbaikan jika rakyat menginginkan sebuah negara di mana tadbir urus yang baik dapat ditegakkan.
Kita masih tidak berbuat cukup untuk memastikan kepelbagaian kita dihargai sepenuhnya atau keterangkuman menjadi ciri identiti kita.
Masih banyak kerja yang perlu dilakukan – dan kami berharap generasi muda akan menyahut cabaran ini dan bekerjasama, tanpa mengira etnik atau agama, untuk membina sebuah Malaysia yang bersatu padu dan progresif.
Henry Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
12 Mac 2026
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

