Noor Adwa Sulaiman
Penahanan seorang pendakwah yang dikaitkan dengan siasatan berhubung sumbangan orang awam baru-baru ini telah mencetuskan perbincangan luas dalam masyarakat.
Seperti yang dilaporkan oleh media, individu yang disiasat belum disabitkan dengan sebarang kesalahan dan proses undang-undang perlu dihormati sepenuhnya. Prinsip ini penting dalam memastikan keadilan terpelihara.
Namun di luar persoalan individu, timbul isu yang lebih besar dan lebih penting: sejauh mana organisasi kebajikan dan dakwah di Malaysia benar-benar mempunyai sistem tadbir urus yang kukuh untuk melindungi amanah dana masyarakat?
Lebih daripada sekadar wang
Sumbangan orang ramai bukan sekadar transaksi kewangan. Ia adalah amanah yang lahir daripada kepercayaan. Masyarakat memberi kerana percaya dana tersebut akan digunakan untuk tujuan kebajikan yang dijanjikan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Apabila timbul dakwaan salah guna, yang terjejas bukan sahaja reputasi individu atau organisasi tertentu – tetapi keyakinan terhadap keseluruhan sektor amal.
Tema ini sebenarnya bukan asing dalam wacana masyarakat. Drama seperti Di Sebalik Jubah dan Doa Yang Terlindung mengangkat naratif tentang imej kesucian agama yang menyembunyikan konflik integriti.
Walaupun bersifat fiksyen, mesejnya jelas: simbol dan reputasi tidak mencukupi tanpa sistem yang telus dan boleh dipertanggungjawabkan.
Realiti semasa menunjukkan bahawa persoalan tersebut bukan lagi sekadar bahan drama – tetapi cabaran tadbir urus yang nyata.
Kelemahan yang lazim
Organisasi kebajikan beroperasi dalam struktur yang berbeza daripada syarikat komersial. Matlamatnya bukan memaksimumkan keuntungan, tetapi memaksimumkan impak sosial.
Namun dana yang diurus tetap merupakan dana awam – ia menuntut disiplin kewangan yang sekurang-kurangnya setara dengan sektor korporat.
Kepercayaan masyarakat adalah aset utama. Apabila ia terhakis, kesannya boleh menular sebagai risiko reputasi kepada seluruh ekosistem amal.
Beberapa kelemahan lazim boleh menyumbang kepada risiko dalam organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Pertama, kawalan dalaman yang tidak mencukupi. Banyak pertubuhan bermula secara kecil dan berkembang pesat melalui sokongan awam, tetapi sistem perakaunan dan pemantauan tidak sentiasa diperkukuh seiring pertumbuhan dana. Apabila individu yang sama mengutip, meluluskan dan merekodkan transaksi, ruang untuk risiko salah laku pun terbuka.
Kedua, tumpuan kuasa pada satu figura yang berpengaruh boleh melemahkan kawal dan imbang. Kepimpinan yang kuat mampu menggerakkan sokongan, tetapi tanpa pengawasan bebas oleh badan pentadbir – seperti jawatankuasa atau pemegang amanah – keputusan kewangan mungkin tidak diteliti secara objektif. Populariti tidak boleh menggantikan sistem kawalan dalaman yang diperlukan dalam sesebuah organisasi.
Ketiga, tekanan untuk kelihatan cekap boleh mempengaruhi pelaporan kewangan. Penderma sering menilai organisasi melalui nisbah perbelanjaan program berbanding kos pentadbiran. Ini boleh mewujudkan insentif untuk mengklasifikasikan kos tertentu agar kelihatan lebih baik di atas kertas, walaupun tidak sepenuhnya mencerminkan realiti. Tanpa audit yang teliti, persepsi kecekapan mungkin tidak selari dengan tadbir urus sebenar.
Pengumpulan dana secara digital yang semakin pesat turut menambah kerumitan. Kutipan dalam talian memudahkan sumbangan, tetapi memerlukan sistem rekonsiliasi dan pemantauan yang lebih canggih. Tanpa penyesuaian struktur kawalan dalaman, risiko kesilapan atau penyalahgunaan turut meningkat.
Rangka kerja kawal selia
Dari sudut kawal selia, organisasi kebajikan di Malaysia boleh berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan, di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi syarikat berhad menurut jaminan, atau sebagai badan amanah. Setiap struktur mempunyai keperluan pematuhan tertentu bagi memastikan tadbir urus yang baik.
Namun banyak aspek tadbir urus masih bergantung kepada disiplin dalaman organisasi itu sendiri. Tidak semua entiti diwajibkan untuk menerbitkan penyata kewangan yang diaudit secara terbuka, dan tahap ketelusan pun berbeza-beza.
Bagi mengurangkan risiko, beberapa langkah perlu diperkukuh. Badan pentadbir perlu berfungsi secara aktif dan bebas, bukan sekadar simbolik. Penyata kewangan perlu diteliti secara substantif dan transaksi yang signifikan perlu disemak dengan teliti.
Pemisahan tugas dalam pengurusan dana perlu diwajibkan sebagai amalan standard. Tiada individu seharusnya mengawal keseluruhan rantaian kewangan daripada kutipan hingga pelaporan.
Audit bebas wajar dijadikan norma bagi organisasi yang mengutip dana awam dalam jumlah besar. Audit bukan sekadar mengesahkan angka – ia juga menilai keberkesanan kawalan dalaman dan mengenal pasti risiko sebelum ia menjadi krisis. Yang lebih penting, setiap teguran audit mesti disusuli dengan tindakan pembetulan yang dipantau.
Ketelusan juga perlu dipertingkatkan melalui penerbitan laporan tahunan yang merangkumi penyata kewangan yang diaudit serta ringkasan penggunaan dana yang mudah difahami oleh masyarakat.
Akauntabiliti sebagai norma
Masyarakat berhak menuntut standard akauntabiliti yang tinggi daripada mana-mana organisasi yang mengutip dana atas nama kebajikan dan agama. Tuntutan ini bukanlah prasangka – ia adalah sebahagian daripada norma tadbir urus yang sihat.
Dalam sektor kebajikan, mata wang sebenar bukan sekadar ringgit. Ia adalah kepercayaan – dan kepercayaan ini hanya dapat dipertahankan apabila sistem perakaunan, kawalan dalaman dan audit berfungsi secara berkesan sebagai pelindung integriti yang tulen, bukan sekadar formaliti pentadbiran.
Profesor Madya Noor Adwa Sulaiman ialah ketua Jabatan Perakaunan, Universiti Malaya.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme

