Jawatankuasa Tindakan Protect Karpal Singh Drive (ProtectKarpal) menggesa majlis eksekutif kerajaan negeri Pulau Pinang supaya menolak sebarang lanjutan nasa (extension of time) dan mengambil langkah sah untuk menamatkan perjanjian pembangunan bersama (JDA) bertarikh 21 Februari 2020 antara kerajaan negeri Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan PLB Engineering Berhad dalam mesyuarat majlis eksekutif pada 20 Mei 2026.
Gesaan ini dibuat selepas laporan beraudit PLB sendiri mendedahkan amaran ketidakpastian material berkaitan kelangsungan usaha (going concern) selama tiga tahun berturut-turut – dan selepas Pulau Pinang sudah mengalami penamatan satu lagi projek berkaitan tapak pelupusan yang melibatkan PLB Terang Sdn Bhd dengan kos penyelesaian yang besar.
Ini bukan tuduhan salah laku. Ini ialah tuntutan terhadap tadbir urus yang bertanggungjawab sebelum tanah awam, pesisir pantai awam dan kepercayaan rakyat didedahkan kepada risiko besar.
Bagi tiga tahun kewangan – 2023, 2024 dan 2025 – juruaudit luar PLB, Grant Thornton Malaysia PLT, telah menarik perhatian kepada ketidakpastian material yang boleh menimbulkan keraguan signifikan terhadap keupayaan PLB Engineering Berhad dan/atau kumpulan untuk terus beroperasi sebagai kelangsungan usaha.
“Isu di hadapan exco adalah mudah: adakah Pulau Pinang secara bertanggungjawab boleh terus menyerahkan tanah awam, pesisir pantai awam dan tanggungjawab pemulihan-pembangunan bernilai RM1bn yang didakwa kepada rakan JDA yang juruauditnya sendiri telah membangkitkan isyarat amaran kelangsungan usaha selama tiga tahun berturut-turut?” kata Dr K Ganesh, pengerusi ProtectKarpal dan Persatuan Penduduk Bandar Sri Pinang Pulau Pinang (PBSP).
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Laporan beraudit PLB menunjukkan corak yang tidak boleh diabaikan oleh kerajaan negeri:
| Tahun kewangan | Isyarat amaran kelangsungan usaha oleh juruaudit |
| 2023 | Kerugian bersih kumpulan sebanyak RM28.0j; kerugian bersih syarikat sebanyak RM18.4j; liabiliti semasa kumpulan melebihi aset semasa sebanyak RM82.4j; liabiliti semasa syarikat melebihi aset semasa sebanyak RM25.4j. |
| 2024 | Kerugian bersih kumpulan sebanyak RM12.8j; kerugian bersih syarikat sebanyak RM17.1j; liabiliti semasa kumpulan melebihi aset semasa sebanyak RM54.8j; liabiliti semasa syarikat melebihi aset semasa sebanyak RM52.2j. |
| 2025 | Kerugian bersih syarikat sebanyak RM17.5j; liabiliti semasa kumpulan melebihi aset semasa sebanyak RM25.8j; liabiliti semasa syarikat melebihi aset semasa sebanyak RM71.2j. |
Dalam ketiga-tiga tahun tersebut, kesinambungan PLB sebagai kelangsungan usaha dinyatakan bergantung pada faktor seperti kejayaan pelupusan atau penjualan aset, penyempurnaan projek pembinaan dan pembangunan hartanah yang sedang berjalan, serta sokongan kewangan berterusan daripada pihak bank.
ProtectKarpal menegaskan bahawa perkara ini bukan tuduhan insolvensi atau salah laku. Ia ialah tuntutan terhadap kerajaan yang bertanggungjawab.
Amaran kelangsungan usaha ialah isyarat risiko kewangan. Apabila isyarat itu muncul berulang kali selama tiga tahun dalam laporan beraudit sebuah syarikat tersenarai, tiada kerajaan negeri yang bertanggungjawab wajar menganggapnya sebagai nota teknikal kecil.
Kebimbangan ini menjadi lebih serius berdasarkan pengalaman terkini Pulau Pinang dengan PLB Terang Sdn Bhd, anak syarikat PLB yang terlibat dalam projek tapak pelupusan Pulau Burung fasa 3.
Laporan awam menyatakan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah menamatkan perkhidmatan PLB Terang selepas menemui pelbagai ketidakpatuhan dan kelewatan, sebelum kemudiannya memeterai perjanjian penyelesaian yang memperuntukkan bayaran RM35j bagi pemindahan hak dan pemilikan kemudahan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Ahli majlis eksekutif negeri H’ng Mooi Lye menjelaskan bahawa bayaran tersebut ialah urusan pembelian atau pemindahan, bukannya pampasan.
Sejarah itu penting.
Rakyat Pulau Pinang tidak seharusnya diminta menerima satu lagi risiko berkaitan tapak pelupusan tanpa pendedahan penuh.
Jika satu konsesi tapak pelupusan yang melibatkan syarikat berkaitan PLB sudah pun memerlukan penamatan, mediasi dan penyelesaian RM35j, kerajaan negeri mesti menjelaskan mengapa ia kini harus melanjutkan satu lagi perjanjian tanah awam dan pemulihan tapak pelupusan berkaitan PLB – khususnya selepas kegagalan penilaian kesan alam sekitar berulang sebanyak lima kali dan lanjutan masa berulang.
Kenyataan H’ng seperti yang dilaporkan pada 13 May, bahawa penolakan penilaian kesan alam sekitar adalah “belum muktamad”, tidak menjawab persoalan berhubung kepentingan awam: jika pemulihan tapak pelupusan sampah benar-benar mendesak, mengapakah kerajaan negeri terus melanjutkan perjanjian pembangunan bersama yang telah bertahun-tahun gagal memenuhi syarat perlindungan asas penilaian kesan alam sekitar, dan bukannya mengasingkan kerja-kerja keselamatan tapak pelupusan yang segera daripada pembangunan berpacukan penambakan?
ProtectKarpal menyokong pemulihan tapak pelupusan Jelutong yang selamat. Penduduk yang tinggal berhampiran tapak pelupusan telah menunggu terlalu lama untuk bebas daripada risiko kebakaran, pelepasan gas, air larut lesap, bau busuk dan kebimbangan terhadap kestabilan tanah.
Namun pemulihan tidak boleh menjadi cek kosong kepada tadbir urus yang lemah, lanjutan masa berulang dan pendedahan kewangan yang belum diselesaikan.
“Penduduk tidak meminta kerajaan negeri mengabaikan keselamatan tapak pelupusan. Kami meminta kerajaan negeri supaya tidak mempertaruhkan kejiranan kami, pesisir pantai kami dan aset awam kami,” kata Ganesh.
“Pengajaran daripada Pulau Burung jelas: apabila amaran diabaikan, rakyat masih boleh membayar harga – sama ada melalui wang, kelewatan, pendedahan undang-undang, kesihatan awam atau kehilangan kepercayaan.”
Perjanjian pembangunan bersama 2020 mensyaratkan PLB memperoleh kelulusan utama, termasuk penilaian kesan alam sekitar, trafik dan sosial dalam tempoh 18 bulan.
Tarikh akhir itu telah lama berlalu. Projek tersebut sejak itu menyaksikan lanjutan masa berulang, manakala penilaian kesan alam sekitar dilaporkan gagal memperoleh kelulusan sebanyak lima kali.
Laporan negeri kini mengesahkan bahawa permohonan lanjutan masa PLB dijangka dipertimbangkan oleh majlis eksekutif negeri pada 20 Mei.
Kerajaan negeri tidak boleh menganggap perkara ini sebagai urusan kertas kerja rutin. PDC ialah badan berkanun negeri. Projek ini melibatkan tanah awam, pesisir pantai awam, Middle Bank, Karpal Singh Drive, penduduk berhampiran dan risiko alam sekitar jangka panjang. Projek yang dibiayai pemaju tidak bermakna bebas daripada risiko awam.
ProtectKarpal menyeru majlis eksekutif negeri Pulau Pinang supaya:
- Menolak sebarang lanjutan masa lanjut kepada PLB di bawah perjanjian pembangunan bersama 2020
- Mengambil langkah sah untuk menamatkan, membatalkan atau membiarkan perjanjian pembangunan bersama tersebut luput, tertakluk kepada nasihat undang-undang segera yang melindungi kepentingan awam
- Mendedahkan semua usaha wajar kewangan yang dijalankan selepas amaran kelangsungan usaha PLB bagi tahun 2023, 2024 dan 2025
- Menerbitkan perjanjian pembangunan bersama penuh, semua kelulusan lanjutan masa, kertas lembaga PDC, kertas majlis eksekutif, penilaian risiko, dokumen lima penolakan penilaian kesan alam sekitar, jaminan, bon pelaksanaan, indemniti dan dokumen risiko penamatan, dengan hanya redaksi undang-undang yang benar-benar perlu
- Merujuk perkara ini dengan segera kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Pulau Pinang untuk meneliti keupayaan kewangan, tadbir urus perolehan, pendedahan awam dan akauntabiliti pembuatan keputusan
- Menyediakan alternatif pemulihan sahaja yang memisahkan kerja keselamatan tapak pelupusan yang mendesak daripada komponen tambakan dan pembangunan komersial yang belum diselesaikan
Pulau Pinang tidak memerlukan satu lagi lanjutan yang dibina atas ketidakpastian. Pulau Pinang memerlukan tadbir urus sah, kehematan kewangan dan pemulihan yang telus.
ProtectKarpal menggesa penduduk, kumpulan masyarakat sivil, badan profesional dan wakil rakyat untuk bersuara: tiada lagi lanjutan, pendedahan penuh, siasatan PAC dan penamatan sah perjanjian pembangunan bersama 2020. – ProtectKarpal
Sumber:
Laporan Tahunan PLB Engineering Berhad 2025:
https://plb.com.my/wp-content/uploads/2025/12/PLB-AR2025.Bursa_.pdf
Laporan Tahunan PLB Engineering Berhad 2024:
https://plb.com.my/wp-content/uploads/2024/12/PLB-AR2024.pdf
Laporan Tahunan PLB Engineering Berhad 2023:
https://plb.com.my/wp-content/uploads/2024/04/PLB-AR2023.pdf
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme










