Selepas berminggu-minggu pergolakan politik, Johor dan Negeri Sembilan telah membubarkan dewan undangan negeri mereka. Tarikh pengundian telah ditetapkan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos.
Parti baharu Bersama dan Wawasan kini menyertai kancah pilihanraya.
Pakatan Harapan berada dalam kedudukan yang tidak selesa: rakan gabungan di peringkat kerajaan persekutuan, Umno, kini akan berada di pihak yang bertentangan dalam pilihan raya negeri ini.
Sementara itu, gabungan pembangkang, Perikatan Nasional, juga sedang menyesuaikan diri dengan kehilangan parti komponennya, Bersatu. Tidak jelas bagaimana Bersatu dapat bertahan.
Parti sosialis PSM dan Muda bergabung tenaga dan menawarkan pengundi “platform yang dibina berdasarkan dasar progresif”. Dasar-dasar ini memberi tumpuan kepada menangani kos sara hidup yang semakin meningkat, mewujudkan pekerjaan yang berkualiti, melindungi ekosistem, membina lebih banyak rumah mampu milik dan melaksanakan pembaharuan institusi.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Seperti mana-mana pilihan raya, jangkakan banyak janji, berserta ulasan daripada penganalisis.
Media sosial akan memainkan peranan yang besar. Pengundi perlu kekal waspada untuk membezakan antara fakta dan maklumat salah.
Walaupun pilihan raya negeri penting, ia bukanlah satu-satunya cerita yang ada sekarang.
Sentimen anti-Rohingya yang mengejutkan
Petisyen baru-baru ini di Change.org mencetuskan lonjakan sentimen anti-Rohingya.
Ini mendorong seruan daripada pelbagai pihak, termasuk Suhakam, agar ucapan berbentuk kebencian dan diskriminasi dihentikan. Petisyen itu kemudiannya diturunkan untuk semakan, susulan seruan oleh sebuah NGO.
Dalam satu kenyataan bersama, 42 NGO telah mengalu-alukan seruan ketua polis untuk bertenang, sambil menyatakan bahawa hanya 89 individu Rohingya dikaitkan dengan jenayah sejak 2024. Hanya sebahagian kecil, 0.02%, daripada kes jenayah di Malaysia melibatkan Rohingya, tambahnya.
Ini bukan kali pertama pelarian Rohingya menghadapi kecaman sedemikian. Namun, mengapa ia kembali sekarang dengan begitu sengit?
NGO-NGO tersebut telah menyalahkan kecaman tersebut atas penyebaran maklumat yang salah, termasuk dakwaan palsu bahawa masyarakat Rohingya menuntut kewarganegaraan Malaysia, dan memberi amaran tentang peningkatan tindakan main hakim sendiri.
Hantaran di media sosial yang toksik dan video TikTok mendedahkan tahap kejahilan yang menyakitkan dan keangkuhan yang tidak berperikemanusiaan. Ini telah menimbulkan ketakutan sebenar dalam kalangan pelarian Rohingya di sini. Lebih buruk lagi, hantaran toksik ini berisiko menghasut keganasan ke atas komuniti tersebut.
Orang Rohingya di sini sudah berada dalam kedudukan yang terdedah. Mereka terpaksa menyelamatkan diri daripada genosid di negeri Rakhine (dahulunya Arakan) di Myanmar. Ramai yang terselamat mengalami kesusahan selama bertahun-tahun di kem pelarian di Bangladesh sebelum tiba di Malaysia.
Sebaik sahaja di sini, mereka tidak mempunyai status undang-undang atau pentadbiran. Ini bermakna tiada hak untuk bekerja dan tiada hak untuk memiliki harta benda. Mereka juga menghadapi kos yang lebih tinggi untuk perumahan dan kesihatan. Dan anak-anak mereka dihalang daripada menerima pendidikan arus perdana.
Jadi, bagaimana sebenarnya mereka dapat meneruskan kehidupan? Menyasarkan mereka dengan kebencian bukanlah jawapannya.
Pihak NGO telah meminta kerajaan menyediakan akses kepada pekerjaan, penjagaan kesihatan dan pendidikan kepada pelarian bagi memenuhi keperluan asas mereka sementara mereka menunggu penempatan semula.
Walaupun terdapat permusuhan dalam talian dan komen xenofobia daripada pegawai tertentu yang mencetuskan prasangka, terdapat sisi yang lebih baik.
Orang ramai di Malaysia daripada pelbagai latar belakang terus menunjukkan kasih sayang sesama insan. Ramai yang telah mengeluarkan kenyataan bagi menyokong pelarian. Ada juga yang terlibat dalam menyediakan pendidikan asas, penjagaan kesihatan dan bantuan kemanusiaan.
Sekaranglah masanya kita mesti berdiri teguh dalam solidariti dengan mereka yang berjuang untuk terus hidup melalui situasi yang bukan disebabkan oleh mereka sendiri.
Kerajaan sedang mengusahakan dokumen pendaftaran pelarian, yang bertujuan untuk mengurus pelarian di negara ini dengan lebih baik. Semoga ia akan merangkumi hak asasi, termasuk hak untuk bekerja dan hak untuk kanak-kanak bersekolah.
Banyak laporan mencadangkan bahawa ini akan bermanfaat untuk semua orang. Hak untuk bekerja akan membolehkan pelarian membayar cukai dan menyumbang lebih jauh kepada ekonomi tempatan.
Sementara itu, kekurangan tindakan yang diambil terhadap mereka yang menghasut keganasan dan kebencian cukup membimbangkan. 42 NGO meminta kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang mengambil undang-undang ke tangan sendiri.
Tekanan antarabangsa, termasuk dari Asean, mesti dikenakan ke atas kerajaan Myanmar. Penyalahgunaan hak asasi manusia dan genosid terhadap Rohingya di sana mesti dihentikan.
Hak tanah Orang Asli
Pelarian bukanlah satu-satunya komuniti yang terdedah di Malaysia.
Pada awal Mei, kita mendengar tentang dakwaan rampasan tanah adat Orang Asli dan perobohan rumah mereka di Pekan, Pahang, tanpa proses sewajarnya. Langkah itu adalah untuk memberi laluan kepada pembukaan ladang kelapa sawit di tanah tersebut, yang dipajakkan kepada sebuah syarikat oleh kerajaan negeri.
Ini bukan kali pertama tanah Orang Asli di semenanjung diceroboh.
Kira-kira sebulan kemudian, lebih 1,000 Orang Asli daripada 19 suku kaum dan komuniti berhimpun secara aman di Putrajaya. Sasaran mereka ialah timbalan PM, yang juga menyelia Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa).
Orang Asli menuntut pengiktirafan tanah leluhur mereka, dan penghentian pengusiran dan ‘pembangunan’ di wilayah mereka.
Pada tahun 2007, Malaysia telah mengundi untuk menerima pakai Deklarasi PBB mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP). Namun, ia belum menandatangani atau mengesahkan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 169 yang sah di sisi undang-undang – Konvensyen Orang Asli dan Peribumi 1989.
Apa yang boleh kita simpulkan daripada perkara ini tentang betapa seriusnya hak Orang Asli diambil kira?
Persetujuan bebas, awal and termaklum adalah piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Ia memberi hak kepada Orang Asli untuk menerima atau menolak sebarang projek yang menjejaskan tanah atau sumber adat mereka.
Apakah yang diperlukan untuk memasukkan piawaian ini ke dalam undang-undang kita? Melakukannya akan membantu melindungi Orang Asli dan komuniti Orang Asal lain daripada pencerobohan, penempatan semula atau pembangunan tanpa persetujuan yang bermakna serta bermanfaat kepada komuniti.
Penderaan yang mengejutkan di Penjara Taiping
Pada akhir Mei, Suhakam telah menyelesaikan siasatan awamnya terhadap sebuah peristiwa di Penjara Taiping tahun lepas.
Ia mendapati bahawa kakitangan penjara menggunakan kekerasan yang berlebihan terhadap kira-kira 80 hingga 100 tahanan Mahkamah Tinggi ketika pemindahan di antara blok. Keganasan itu mencederakan ramai dan mengakibatkan kematian seorang tahanan, Gan Chin Eng.
Penemuan tersebut menerangkan apa yang berlaku.
Berikut adalah beberapa petikan daripada pelbagai laporan:
Menurut ahli panel, keganasan itu melibatkan pemukulan teruk menggunakan senjata yang diwartakan dan peralatan keselamatan. Tahanan ditumbuk, ditendang, diseret, dipijak dan disembur dengan semburan lada sambil digari dan didudukkan dalam satu barisan…
Penggunaan peralatan keselamatan terhadap banduan yang tidak dapat mempertahankan diri atau terkawal menunjukkan budaya toksik di mana penderaan fizikal adalah normal.
Terdapat juga percubaan untuk menyembunyikan kejadian:
Ahli panel mendapati bahawa tahanan yang cedera dinafikan rawatan perubatan segera, dan pemindahan hospital ditangguhkan untuk menyembunyikan tahap keganasan yang berlaku.
Kakitangan perubatan juga salah mendiagnosis kecederaan serius seperti patah tulang rusuk sebagai sakit otot ringan, dan menggunakan pengimbas badan keselamatan berbanding sinar-X perubatan yang betul untuk memeriksa tahanan.
Untuk melindungi penjara daripada kebertanggungjawaban, kakitangan perubatan telah memalsukan rekod dengan mencatatkan tarikh rawatan lebih awal dari sebenar (backdating) dan mengaitkan kecederaan dengan “rusuhan” atau “jatuh secara tidak sengaja”, mencerminkan “kesetiaan berganda” di mana perlindungan institusi diutamakan berbanding etika profesional.
Penyalahgunaan kuasa dan kekejaman yang dipaparkan di sini amat mengejutkan. Ia merupakan peringatan yang jelas bahawa kekejaman bukan sahaja berlaku di zon perang di luar negara. Ia juga berlaku di tanah air kita sendiri.
Panel tersebut mencadangkan beberapa cadangan:
- Tindakan tatatertib terhadap pihak pengurusan dan kakitangan Penjara Taiping
- Siasatan polis berasingan terhadap keganasan yang dilakukan oleh kakitangan penjara
- Kajian menyeluruh tentang alternatif kepada reman dan pemenjaraan, untuk mengurangkan kesesakan penjara
- Penamatan ‘sistem tandas baldi’ di Taiping dan semua penjara lain
- Latihan berkala dan menyeluruh untuk semua kakitangan penjara
- Keperluan asas tahanan dipenuhi secara berterusan
- Kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik di penjara
- Kajian semula sama ada Penjara Taiping, sebuah bangunan warisan yang diwartakan, harus terus beroperasi dari tapak sedia ada sekarang
- Aksesi Malaysia kepada Konvensyen PBB Menentang Penyeksaan
Majlis Peguam Malaysia menyeru agar pihak berkuasa penjara bertanggungjawab dan Penjara Taiping ditutup.
Menurut laporan berita, seorang pegawai penjara telah didakwa manakala lima yang lain menghadapi tindakan tatatertib.
Jelas sekali, usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik mesti diteruskan.
Dr Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran newsletter
19 Jun 2026
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











