Wong Chen dan Lee Chean Chung
Kami, Ahli Parlimen Subang dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, mengeluarkan kenyataan bersama ini untuk membangkitkan isu penafian berterusan akses kami kepada portal MyKhas.
Akses Subang telah disekat pada 20 Mei manakala Petaling Jaya pada 29 Mei. Sehingga hari ini (9 Jun), kami berdua masih belum menerima sebarang penjelasan bertulis mahupun lisan daripada Jabatan Perdana Menteri mengenai sebabnya.
Pada 5 Jun, lebih 35 hari yang dahulu, Menteri Komunikasi dan jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil memberitahu wartawan bahawa penyekatan akses tersebut tidak menjejaskan hak kami sebagai wakil rakyat, dan bahawa “ICU telah membuat kenyataan bahawa warga dan penduduk di kedua-dua Parlimen masih boleh membuat permohonan yang akan diteliti oleh pihak ICU untuk diluluskan”.
Kami berpegang pada kata-katanya, dan justeru mencabar Jabatan Perdana Menteri untuk menggantung akses MyKhas Fahmi sendiri selama sebulan. Biarlah beliau merasai sendiri apa yang telah kami lalui masing-masing selama 50 dan 41 hari.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Kami menantikan kenyataan Fahmi selepas itu, supaya beliau dapat mengesahkan bahawa hak dan fungsinya sebagai wakil rakyat sememangnya tidak terjejas sama sekali.
Mengenai dakwaan keduanya bahawa penduduk boleh membuat permohonan terus kepada ICU: kini sudah 35 hari berlalu dan sepanjang tempoh itu, tiada seorang pun penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen tersebut diberitahu bagaimana untuk mengemukakan permohonan kepada ICU. Tiada prosedur. Tiada borang. Tiada titik hubungan.
Jabatan Perdana Menteri telah mendakwa 35 hari yang lalu tentang kewujudan akses untuk penduduk tetapi sebenarnya tidak berbuat apa-apa pun dalam praktiknya.
Justeru, kami mengulangi seruan kami untuk penjelasan bertulis. Menahan penjelasan tersebut bukanlah sekadar hal teknikal; ia adalah tadbir urus yang buruk dan pengelakan daripada akauntabiliti.
Tanpa sebab yang dinyatakan, kami dinafikan hak asasi untuk mendapatkan remedi undang-undang terhadap Jabatan Perdana Menteri, yang pada pandangan kami merupakan satu ketidakadilan terhadap rakyat Subang dan Petaling Jaya.
Tanpa penjelasan tersebut, kami hanya dapat membuat kesimpulan bahawa akses kami disekat berikutan perbezaan politik dalaman PKR, sebuah parti yang mana Perdana Menteri Seri Anwar Ibrahim merupakan presidennya.
Kami tegaskan dengan jelas: pertikaian dalaman parti wajar diselesaikan melalui prosiding tatatertib parti, bukan melalui jentera Jabatan Perdana Menteri.
Berkenaan hal parti, surat tatatertib telah dikeluarkan kepada kami masing-masing pada 23 Mei dan 2 Julai. Namun tiada sebarang tindakan lanjut oleh pihak parti, dan 48 hari telah berlalu sejak itu.
Penggunaan kuasa budi bicara Jabatan Perdana Menteri sedemikian rupa untuk menghukum AP yang dipilih rakyat dan, seterusnya penduduk mereka, atas alasan perselisihan parti merupakan satu penyalahgunaan kuasa.
Selain itu, kami turut maklum sikap hipokrit dan tidak konsisten dalam pelaksanaan kuasa budi bicara Jabatan Perdana Menteri berkenaan MyPortal, yang digunakan sebagai alat ganjaran atau hukuman.
Apabila enam AP Bersatu memberikan sokongan mereka kepada perdana menteri antara Oktober 2023 hingga Januari 2024, mereka diberi ganjaran berupa peruntukan dan akses penuh MyKhas.
Baru-baru ini pula, Umno telah berselisih secara terbuka dengan perdana menteri sepanjang pilihan raya Johor, namun tiada tindakan penafian akses diambil terhadap mana-mana AP mereka.
Sebagai perbandingan, kami bertanya, apakah kesalahan yang telah kami lakukan sehingga dihukum sebegini rupa? Enam AP PKR telah menghadiri acara hala tuju anjuran Rafizi Ramli dan Nik Nazmi pada 17 Mei. Kami hadir sebagai tetamu dan bukan sebagai penceramah, namun hanya dua daripada enam orang kami yang dipilih untuk dihukum.
Oleh itu kami terpaksa membuat kesimpulan bahawa kes kami jelas merupakan penganiayaan politik yang bersifat terpilih.
Isu ini bukan lagi sekadar isu Subang atau Petaling Jaya semata-mata. Jika wakil rakyat boleh dilucutkan alat untuk berkhidmat kepada penduduk mereka, tanpa penjelasan, tanpa proses dan tanpa jalan penyelesaian, maka tiada seorang pun AP, dan tiada seorang pun rakyat yang selamat daripada layanan sewenang-wenangnya sama daripada Jabatan Perdana Menteri.
Kami ingin mengingatkan perdana menteri agar merenung dan seterusnya menunjukkan, melalui tindakan sebenar dan bukan kenyataan kosong, komitmen beliau terhadap keadilan asasi.
Khususnya, beliau perlu menjawab kepada rakyat Subang dan Petaling Jaya sama ada beliau berhasrat untuk menegakkan dan mengamalkan erti sebenar Keadilan.
Wong Chen ialah AP Subang dan Lee Chean Chung ialah AP Petaling Jaya.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











