Cecilia Anthonysamy
Segalanya bermula dengan fikiran. Fikiran yang mendorong kita melakukan apa yang kita rasa adalah kebaikan.
Yang menarik ialah kebaikan untuk siapa? Kebaikan untuk diri sendiri sahaja? Kebaikan untuk sesama manusia, untuk keluarga sendiri sahaja atau juga termasuk masyarakat?
Bagaimanakah kita mendapat idea bahawa satu perkara itu ialah satu kebaikan? Adakah gaji kehidupan wajar (living wage) satu kebaikan?
Adakah agama menunjukkan nilai-nilai kebaikan kepada kita, atau adakah kita mendapat nilai-nilai kebaikan daripada apa yang kita lihat dalam masyarakat atau yang dimomokkan dalam media? Adakah kita berkebolehan menilai apa itu baik, atau kita hanyut ditolak arus?
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Fikirkanlah nilai-nilai kebaikan sesama manusia yang diseru agama. Nilai ini mengharuskan gaji kehidupan wajar agar martabat seorang insan dihormati sesama insan. Ada?
Adakah gaji kehidupan wajar akan diimplementasikan atas dasar bahawa ia adalah satu perkara yang baik, diberikan kerana majikan baik hati dan peduli atas kebaikan pekerja-pekerja?
Mari kita imbas balik sejarah gerakan gaji kehidupan wajar.
Sejarah di UK
Tahun 2026 merupakan 25 tahun sejak bermulanya Gerakan Gaji Kehidupan Wajar di UK. Pada tahun 2001, semua golongan masyarakat di Timur London berkumpul membincangkan masalah yang dihadapi oleh masyarakat masing-masing. Mereka termasuk golongan dari masjid, gereja dan sekolah.
Satu masalah asyik timbul berulang kali: gaji rendah.
Pada masa itu, pekerja pembersihan (cleaners) hanya dibayar £3.70 sejam. Jadi semua pekerja yang menerima gaji rendah bersatu menyeru majikan membayar gaji bermaruah (decent wage) yang boleh menampung kos kehidupan.
Pada tahun 2003, Abdul Durrant, seorang pekerja pembersihan di bank, berucap dalam mesyuarat tahunan: “Kita bekerja di pejabat yang sama, tapi hidup dalam dua alam yang berbeza.” Dia menceritakan bagaimana dia hidup dengan £4.50 sejam sambil membesarkan enam orang anaknya.
Ini menjadi berita muka depan banyak akhbar. Akibatnya, dalam tempoh 18 bulan, bank itu menaikkan gaji pekerja pembersihannya. Inilah titik perubahan (turning point) bagi kempen gaji kehidupan wajar.
Gerakan Gaji Kehidupan Wajar peringkat nasional di UK dilancarkan pada tahun 2011. Yayasan Gaji Kehidupan Wajar (The Living Wage Foundation) ditubuhkan untuk mengiktiraf dan meraikan majikan yang membayar lebih daripada yang dituntut oleh undang-undang (Sejarah gaji kehidupan wajar).
Sejarah di New Zealand
Gerakan Gaji Kehidupan Wajar di New Zealand bermula pada tahun 2011, hasil buah fikiran Kesatuan Pekerja Perkhidmatan dan Makanan (Service and Food Workers Union).
Gerakan ini berkembang pesat. Antara ahlinya adalah pelbagai kumpulan agama dan organisasi kemasyarakatan, selain daripada kesatuan-kesatuan pekerja.
Tujuan gerakan ini adalah untuk meningkatkan gaji pekerja yang dibayar gaji rendah, seperti pekerja pembersihan kontrak (contract cleaners) yang perlu bekerja 70 jam seminggu hanya untuk cukup makan (make ends meet).
Pada tahun 2012, gerakan baharu yang bersatu atas kerisauan akan impak kemiskinan ke atas pekerja, keluarga dan masyarakat dilancarkan di Auckland – Gerakan Gaji Kehidupan Wajar (Living Wage Movement Aotearoa New Zealand).
Beberapa bulan kemudian, gerakan ini dilancarkan di Wellington. Ia kemudian berkembang pesat di setiap bandar di seluruh NZ. Gerakan ini menjadi kumpulan pendesak, tapak perbincangan dan pengemuka hujah bernas berdasarkan bukti nyata.
Pada tahun 2013, gaji kehidupan wajar pertama dikenal pasti oleh pakar mandiri di Unit Penyelidikan Polisi Sosial Family Centre (Family Centre Social Policy Research Unit) di New Zealand. Kadar ini ditetapkan agar pekerja dan keluarga mereka boleh hidup bermaruah dan mengambil bahagian dalam masyarakat.
Program akreditasi dimulakan pada tahun 2014 di New Zealand untuk memastikan majikan yang mendakwa membayar gaji kehidupan wajar benar-benar berbuat demikian, termasuk untuk pekerja kontrak. Akreditasi gaji kehidupan wajar telah menjadi kayu ukur (benchmark) majikan yang baik.
Kuasa Gerakan Gabungan Rakyat Jelata di belakang kempen gaji kehidupan wajar telah membuktikan hasilnya. Gaji beribu-ribu pekerja berpendapatan rendah – yang bekerja di syarikat korporat, kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, perniagaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) serta NGO – telah dinaikkan ke aras gaji kehidupan wajar.
Di Malaysia, badan-badan agama yang memperjuangkan kebaikan seruan agama harus bergabung dengan gerakan pekerja demi mengangkat maruah manusia dan mencapai gaji kehidupan wajar. Doa sahaja tidak mencukupi untuk kebaikan. Impak agama harus membina kemanusiaan.
Gaji kehidupan wajar tidak akan jatuh dari langit, kecuali melalui perjuangan menumpas penindasan yang melibatkan seluruh pelosok masyarakat.
Cecilia Anthonysamy ialah seorang ahli Aliran.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











