Cecilia Anthonysamy
Jalur basikal harus diutamakan di jalan raya di bandar-bandar di Malaysia. Basikal ialah satu bentuk pengangkutan yang sangat menguntungkan.
Basikal menggunakan tenaga kayuhan manusia sendiri, jadi ia jauh lebih murah. Ia juga membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar. Orang yang mengayuh basikal berpeluh dan mendapat senaman yang membina otot, malah boleh melegakan tekanan jiwa sambil berkayuh.
Jadi, jika basikal baik dari segi ekonomi, kesihatan dan pencemaran, kenapa Malaysia tiada perundangan atau polisi untuk menggalakkan lebih ramai orang berbasikal?
Mungkin sebabnya begini: orang yang menggunakan basikal tidak membayar cukai, tidak menjana sebarang keuntungan kepada negara, dan tidak menyumbang kepada peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK). Tetapi betulkah begitu?
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Polisi yang menggalakkan orang ramai berbasikal boleh memacu pertumbuhan kedai basikal serta perkhidmatan baik pulih dan servis. Ia juga mungkin membantu perniagaan kecil-kecilan, malah rantaian perniagaan yang lebih besar. Adakah kita hanya mengutamakan aktiviti yang menjana hasil kewangan semata-mata?
Di luar negara, China, Jepun, Thailand, Filipina, Belanda, Perancis, Denmark, Austria, Belgium, Jerman, Sweden, Norway dan Kanada antara negara yang secara sedar melaksanakan polisi untuk menggalakkan penggunaan basikal di jalan raya.
Pengajaran dari Amsterdam

Source: Bicycle Network, Australia
Amsterdam ialah ibu kota basikal dunia. Pada awal Abad ke-20, terdapat lebih banyak basikal berbanding kereta di Belanda, dan berbasikal dianggap sebagai pengangkutan yang ‘dihormati’ untuk lelaki dan perempuan.
Selepas Perang Dunia Kedua, ekonomi Belanda berkembang pesat. Polisi yang mengutamakan kereta pun diperkenalkan, dan penggunaan basikal menyusut sebanyak 6% setiap tahun.

Perjalanan berbasikal menyusut daripada 80% kepada 20% di Amsterdam antara tahun 1950-an dan 1970-an. Sumber: Bruheze dan Veraart, The Guardian
Akibatnya, kadar kematian akibat kemalangan meningkat. Ia mencecah kemuncak sebanyak 3,300 kematian pada 1971, dengan lebih 400 daripadanya kanak-kanak.
Rakyat Belanda sangat marah. Salah satu gerakan protes ketika itu ialah Stop de Kindermoord (hentikan pembunuhan kanak-kanak).
Gerakan itu berkembang pesat. Ahlinya berdemonstrasi secara beramai-ramai, menduduki kawasan tumpuan kemalangan, dan memilih hari-hari tertentu untuk menutup jalan raya supaya kanak-kanak boleh bermain dengan selamat. Pihak polis turut banyak membantu aktiviti sebegini pada masa itu.
Para aktivis Stop de Kindermoord juga berbasikal beramai-ramai ke rumah perdana menteri Belanda. Mereka menyanyikan lagu-lagu dan meminta untuk minum teh bersama Perdana Menteri, yang akhirnya keluar berbincang dengan mereka.
Dua tahun kemudian, First Only Real Dutch Cyclists’ Union ditubuhkan untuk menuntut lebih banyak ruang awam untuk basikal. Mereka menganjurkan kayuhan basikal di sepanjang jalan raya yang berbahaya, sambil menyenaraikan masalah yang dihadapi oleh pengayuh basikal. Ahli-ahlinya mulanya ditahan polis.
Namun isu ini akhirnya mendapat perhatian – dan mereka berjaya mendapatkan jalur basikal yang dituntut.
Krisis minyak 1973, ketika harga minyak meningkat sehingga empat kali ganda, turut membantu perjuangan berbasikal di Amsterdam. Perdana menteri Belanda ketika itu menyeru rakyat mengamalkan cara hidup sihat dan menjimatkan tenaga.
Adakah kita berbeza?
Bukankah kita menghadapi masalah yang serupa? Perdana menteri kita turut kerap menyeru cara hidup sihat dan penjimatan tenaga.
Namun, pengayuh basikal di Amsterdam berani turun beramai-ramai ke jalan raya untuk menuntut apa yang mereka percaya baik untuk keselamatan anak-anak mereka. Mereka bertindak dengan penuh emosi dan keazaman.
Apa kata kajian saintifik
Menurut kajian antarabangsa ‘Infrastructure, programs, and policies to increase bicycling: An international review’ (Pucher et al, Preventive Medicine, 2010):
- Berbasikal ialah aktiviti yang sihat. Banyak kajian menunjukkan kesannya terhadap aktiviti fizikal, kadar obesiti, kesihatan jantung dan kadar kematian (antaranya Anderson et al, 2000; Bassett et al, 2008; Bauman et al, 2008).
- Manfaat kesihatan daripada berbasikal jauh melebihi risiko kecederaan akibat kemalangan jalan raya. Jadi berbasikal bukan aktiviti berbahaya. Kajian turut menunjukkan apabila kadar berbasikal meningkat, kadar kecederaan sebenarnya berkurangan (Elvik, 2009; Jacobsen, 2003; Robinson, 2005).
- Mungkin kerana bukti manfaat kesihatan ini, banyak agensi kerajaan dan badan kesihatan awam telah berkempen untuk menggalakkan lebih ramai orang berbasikal – sebagai cara meningkatkan kesihatan individu, mengurangkan pencemaran udara, karbon, kesesakan dan bunyi bising, serta bahaya lain akibat penggunaan kereta (BMA, 1992; Cavill et al, 2006; WHO, 2002).
Isunya, bagaimana untuk meningkatkan kadar berbasikal di Malaysia?
Cecilia Anthonysamy ialah seorang ahli Aliran.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme










