Musim itu kembali lagi – saatnya kita meraikan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
Selain meraikan hari istimewa ini, ia juga merupakan detik dalam merenung sejauh mana kita telah melangkah, apa yang telah kita jadi, dan ke mana hala tuju kita. Ia adalah masa untuk bersyukur atas apa yang kita miliki, dan berharap untuk apa yang akan datang.
Kemerdekaan bermaksud membebaskan. Lebih enam dekad berlalu, masih banyak lagi pembebasan yang perlu dilakukan. Ini bermakna membebaskan masyarakat daripada ketidaksamaan, prejudis dan ketaksuban yang mendalam.
Di teras itulah terletaknya semangat sebenar kemerdekaan: pelbagai budaya, pelbagai agama, kosmopolitan, inklusif dan terbuka. Itulah yang menjadikan negara ini istimewa.
Semangat ini telah lama menjadi sebahagian daripada masyarakat kita, dibentuk oleh lokasi strategik kita di titik pertemuan Timur dan Barat. Kita sentiasa mengalu-alukan orang asing dari seluruh dunia, dan kita berbangga dengan sejarah pluralistik dan semangat penerimaan kita.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Itulah sebabnya gelombang kebencian xenofobia yang sekarang terjadi terhadap pelarian Rohingya dan penduduk tanpa dokumen cukup membimbangkan. Ia bertentangan dengan ciri masyarakat yang terkenal dengan layanan mesranya.
Lama sebelum Malaysia menjadi sebuah negara, ia merupakan destinasi selamat bagi mereka yang melarikan diri daripada kemiskinan dan penindasan di tempat lain. Perkara yang sama juga berlaku kepada pelarian dan pendatang tanpa izin di sini sekarang.
Gelombang kebencian yang membimbangkan
Mengapa kebencian ini begitu meningkat sekarang? Mengapa Rohingya menjadi sasaran pada saat ini?
Ketepatan masa ini menunjukkan oportunisme politik oleh para pelaku tertentu yang tidak bertanggungjawab. Menggalakkan kebencian terhadap pihak luar adalah taktik yang telah diuji berulang kali, yang digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada perjuangan sebenar rakyat.
Kos sara hidup terus meningkat. Gaji tidak berubah. Pengangguran dan pengangguran tak ketara belia kekal tinggi sekitar 10%, walaupun kadar pengangguran keseluruhan hanya 3%.
Kehadiran AI yang semakin berleluasa dalam kehidupan kita memburukkan lagi keadaan. Mengapa bayar gaji yang mencukupi kepada pekerja sedangkan mesin boleh melakukan kerja dengan lebih pantas dan lebih murah?
Mudah untuk melihat mengapa orang ramai, terutamanya golongan muda, berasa kecewa dan marah. Ramai yang melihat kerajaan hanya terikat kepada golongan elit dan tidak berhubung dengan perjuangan biasa.
Bagi mereka yang berkuasa, membangkitkan kebencian terhadap golongan yang paling rentan, pelarian dan pendatang tanpa izin, adalah cara yang mudah untuk mengalihkan kemarahan orang ramai ke tempat lain. Ia juga bagi membantu mengekalkan populariti pemerintah yang semakin merosot.
Kita pernah melihat perkara ini berlaku sebelum ini. Semasa pandemik Covid, pelarian Rohingya dan pekerja migran telah ditangkap ketika serbuan besar-besaran, disertai dengan kempen maklumat salah yang membinasakan. Ia kelihatan sama seperti apa yang sedang berlaku sekarang.
Ketika itu, isu itu digunakan untuk mengalih perhatian orang ramai daripada mendesak kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan secara ‘pintu belakang’ bertanggungjawab. Pentadbiran itu, yang mengambil alih kuasa tanpa pilihan raya umum, enggan membuka Parlimen dan gagal menyokong orang ramai yang bergelut melalui perintah berkurung dan sekatan lain.
Kerajaan telah berubah sejak itu, tetapi taktik yang digunakan tetap sama.
Tiada gunanya mencipta hal baru
Mengetepikan emosi, apa yang sebenarnya perlu dilakukan oleh Malaysia terhadap pelarian dan pendatang tanpa izin? Suka atau tidak, mereka akan kekal di sini dan sudah menjadi sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada struktur sosial kita.
Mereka yang membenci pelarian serta pendatang tanpa izin menyamakan kedua-dua kumpulan ini seolah-olah sama. Tetapi mereka adalah dua kumpulan berbeza dengan status undang-undang yang berbeza.
Pelarian memegang status yang diiktiraf secara rasmi di bawah agensi pelarian PBB, yang disertakan dengan hak-hak tertentu. Migran tanpa dokumen hanyalah seseorang yang bekerja di Malaysia tanpa permit.
Memahami perbezaan ini, mari kita lihat isu ini secara objektif, dengan cara yang benar-benar memberi manfaat kepada negara.
Pelarian Rohingya khususnya tidak akan ke mana-mana sehingga mereka ditempatkan semula di tempat lain – satu proses yang boleh mengambil masa bertahun-tahun. Mereka adalah manusia yang berhak mendapat hak asasi: akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan yang membolehkan mereka hidup dengan bermaruah. Menafikan atau menyekat hak-hak ini berisiko mewujudkan masalah sosial yang lebih besar kepada Malaysia di masa hadapan.
Jadi, apa yang perlu mereka lakukan sementara menunggu? Menghantar mereka kembali ke Myanmar bukanlah satu pilihan – ia sama seperti hukuman mati.
Malaysia tidak perlu mencipta penyelesaian baru. Banyak negara telah berjaya mengintegrasikan pelarian. Pelarian seringkali sanggup mengambil kerja-kerja sukar yang cenderung dielak oleh penduduk tempatan dan yang sudah dialihdayakan oleh Malaysia kepada pekerja migran, sama ada yang berdokumen atau tidak.
Hasilnya, pelarian akan membayar cukai dan menyumbang kepada ekonomi dengan membeli barangan dan perkhidmatan daripada perniagaan tempatan. Kanak-kanak pelarian boleh bersekolah, dan sesetengahnya mungkin membesar untuk memberi sumbangan sebenar kepada Malaysia. Siapa tahu? Malah mungkin terdapat bakal penerima Hadiah Nobel di kalangan mereka.
Ketika diberi peluang kedua
Terdapat banyak contoh cemerlang pelarian yang berkembang maju apabila diberi peluang kedua.
Ilhan Omar, ahli Kongres selama empat penggal dari Minnesota, tiba di AS sebagai pelarian berusia empat tahun dari Somalia. Beliau kini merupakan sebahagian daripada ‘The Squad’, sebuah kumpulan progresif dalam Kongres AS yang berkempen untuk keadilan sosial dan menentang keras dasar-dasar buruk pentadbiran Donald Trump.
Pada tahun 2023, Ryyan Alshebl, seorang pelarian Syria, telah dipilih sebagai Datuk Bandar Ostelsheim, sebuah pekan kecil berhampiran Stuttgart, Jerman. Beliau tiba di Jerman lapan tahun sebelumnya tanpa dapat bertutur sepatah kata pun dalam bahasa Jerman. Melalui kerja keras, dan usaha integrasi Jerman, beliau kemudiannya dipilih sebagai penjawat awam, membalas budi komuniti yang telah membantunya.
Kisah kejayaan seperti ini adalah perkara biasa. Ramai warga Rohingya yang kini ditempatkan semula di AS dan Australia dengan penuh kasih sayang mengenang kembali tahun-tahun mereka di Malaysia, kebaikan dan kehangatan yang ditunjukkan kepada mereka oleh orang-orang yang pemurah dan berhati besar di sini.
Begitulah Malaysia yang saya kenali dan cintai. Bukan Malaysia yang menghambur kebencian dan ancaman bunuh kepada mereka yang telah kehilangan segalanya kecuali nyawa mereka, dan satu-satunya keinginan mereka adalah untuk dilayan dengan susila.
Rakyat Malaysia yang saya kenali tidak akan menggunakan emoji ketawa di bawah kisah tragis seorang bapa Rohingya dan dua anak lelakinya yang masih kecil yang maut dalam kebakaran rumah di Bagan Serai. Orang yang berbelas kasihan dan berempati tidak akan mengganggu kanak-kanak Rohingya dalam perjalanan ke sekolah, atau memaksa sekolah sedemikian ditutup.
Dalam semangat Merdeka, saya ingin menyeru warga senegara saya: marilah kita ‘merdekakan’ minda kita daripada belenggu kebencian dan ketaksuban. Itulah pekara minimum yang kita boleh lakukan, bukan sahaja sebagai rakyat Malaysia, tetapi sebagai manusia yang baik.
Azmil Tayeb
Editor bersama, surat berita Aliran
1 September 2026
Terjemahan: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme










