Home Newsletters Meninjau semula DEB: Jangan kita cipta semula dasar berasaskan kaum

Meninjau semula DEB: Jangan kita cipta semula dasar berasaskan kaum

Dasar yang dirangka untuk tahun 1971 tidak dapat menyelesaikan ketidaksamaan pada tahun 2026.

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

“Emancipate yourselves from mental slavery;
None but ourselves can free our minds.”

– Bob Marley, Redemption Song

Syarahan Profesor Emeritus Jomo KS bertajuk ‘Meninjau Semula DEB Selepas Separuh Abad’ yang berlangsung di Petaling Jaya pada 17 Oktober lalu merupakan peluang yang amat baik untuk merenung kembali salah satu dasar awam yang paling berimpak besar di Malaysia.

Yang paling utama, syarahan ini mencabar kita untuk mempersoalkan sama ada dimensi berasaskan kaum dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih memenuhi keperluan negara, lebih 50 tahun selepas ia diperkenalkan.

Kerajaan ‘Madani’ sekarang mempromosikan usaha seperti Putera35, iaitu Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035. Wajar untuk kita bertanya, adakah Malaysia sedang menangani ketidaksamaan yang wujud masa kini, atau sekadar mengitar semula penyelesaian lama?

DEB dalam konteks

Jomo memulakan perbincangan dengan meletakkan DEB dalam konteks sejarah yang lebih luas. Terlalu kerap, dasar ini hanya dilihat sebagai respons terhadap rusuhan 13 Mei 1969. Hakikatnya, ia muncul daripada ketidakseimbangan ekonomi selama beberapa dekad yang berakar umbi dalam penjajahan.

Satu pengaruh intelektual yang penting ialah buku perintis karya James Puthucheary pada tahun 1960 yang berjudul Ownership and Control in the Malayan Economy. Puthucheary berhujah bahawa masalah asas bukanlah kekayaan yang dimiliki oleh mana-mana kumpulan etnik tempatan, sebaliknya ia berpunca daripada penguasaan modal asing yang amat besar dalam ekonomi negara.

Jomo turut mengetengahkan sumbangan Agoes Salim. Puthucheary dan Agoes merupakan sebahagian daripada lingkaran intelektual di sekeliling Abdul Razak Hussein yang membantu membentuk DEB.

Perhatian mereka tidak pernah sekadar pengagihan semula kekayaan berasaskan etnik. Perhatian itu ialah pembangunan negara, pembasmian kemiskinan dan penyahjajahan ekonomi.

Pada dasarnya, DEB merupakan satu program tindakan afirmatif. Ia dirangka untuk menangani jurang sosioekonomi yang mendalam antara pelbagai komuniti. Matlamatnya ialah untuk mengurangkan kemiskinan, memperluas peluang bagi golongan bumiputera, serta membina perpaduan nasional.

READ MORE:  Poverty has no ethnicity

Tindakan afirmatif bukan unik kepada Malaysia, dan ia juga bukan sesuatu yang dengan sendirinya wajar dibantah.

India telah melaksanakan langkah serupa bagi kasta yang sejak sekian lama dipinggirkan, khususnya golongan Dalit.

Di seluruh dunia, tindakan afirmatif untuk wanita diterima secara meluas kerana halangan sistemik masih mengehadkan keterwakilan mereka dalam pelbagai profesion dan institusi.

Dalam masyarakat yang ditandai ketidaksamaan sejak dahulu, intervensi yang bersasar boleh dianggap wajar.

Persoalan utamanya ialah sama ada keadaan yang mewajarkan intervensi sedemikian masih wujud dalam bentuk asalnya.

Jika DEB dinilai berdasarkan objektif pertamanya yang paling penting – iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum – maka ia merupakan satu kejayaan yang tidak dapat dinafikan.

Malaysia telah mengalami transformasi yang luar biasa sejak tahun 1971. Menurut Jabatan Perangkaan, kadar kemiskinan mutlak telah turun kepada 5.1% pada tahun 2024, berbanding 6.2% pada tahun 2022. Kadar kemiskinan tegar kini berada pada paras hanya 0.09%.

Kemiskinan relatif masih ketara pada kadar 16.7%, namun tahap kekurangan yang ekstrem telah berkurangan secara drastik.

Taburan kemiskinan mengikut etnik juga mencerminkan kemajuan yang besar. Kadarnya ialah 6.6% dalam kalangan bumiputera, 3.1% dalam kalangan etnik India dan 1.5% dalam kalangan etnik Cina.

Angka-angka ini menunjukkan bahawa misi dasar tersebut untuk membasmi kemiskinan telah sebahagian besarnya mencapai matlamatnya.

Politik, bukan dasar

Pengurangan kemiskinan kurang mendapat perhatian pada masa kini. Namun, penggubal dasar kekal tertumpu pada teras kedua DEB: sasaran pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30%.

Seperti yang dinyatakan oleh Jomo, perdebatan ini menjadi rumit disebabkan oleh kaedah pengukuran yang berbeza. Pengiraan berdasarkan nilai tara sering kali menghasilkan keputusan yang jauh berbeza berbanding pengiraan berdasarkan nilai pasaran.

Mohamed Tawfik, selaku pembahas, memberitahu hadirin bahawa bapanya, Dr Ismail Abdul Rahman, timbalan PM yang kedua, sentiasa menganggap sasaran DEB sebagai sesuatu yang bersifat sementara, ibarat handikap dalam permainan golf. Ia tidak pernah bertujuan untuk kekal selama-lamanya.

READ MORE:  Why NEP failed - Kamal Salih

Para sarjana seperti Terence Gomez telah mengetengahkan bagaimana entiti pelaburan berkaitan kerajaan kini mendominasi pemilikan dan kawalan ekonomi, sekali gus menimbulkan persoalan tentang apa sebenarnya yang diukur oleh sasaran 30% tersebut.

Isu ini jelas jauh lebih dipertikaikan berbanding gambaran yang sering dipaparkan dalam naratif rasmi.

Rasional asal bagi meningkatkan pemilikan bumiputera juga berkait dengan usaha mengurangkan penguasaan asing dalam ekonomi. Pemilikan ekuiti oleh pihak asing dilaporkan telah menurun kepada sekitar 18% – satu penurunan yang drastik berbanding dekad terdahulu.

Jika pengurangan kemiskinan dan pengukuhan pemilikan tempatan dalam ekonomi telah mencatat kemajuan yang besar, mengapa pemilikan ekuiti masih dianggap sebagai kayu ukur utama bagi pembangunan negara?

Jawapannya lebih bersifat politik berbanding ekonomi.

Usaha Putera35 oleh kerajaan Madani menggemakan bahasa dan objektif sasaran pemilikan berasaskan etnik, ketika cabaran yang dihadapi Malaysia telah berubah dengan ketara.

Pendekatan ini kurang selari dengan komitmen Anwar Ibrahim sebelum ini untuk beralih daripada dasar ekonomi berasaskan kaum kepada pendekatan yang berpaksikan keperluan serta kekurangan sosioekonomi.

Penekanan berterusan terhadap sasaran berasaskan kaum semakin kelihatan kurang sebagai satu keperluan ekonomi dan lebih sebagai akomodasi politik kepada sentimen etnik Melayu-Bumiputera.

Ketidaksamaan dalam kumpulan etnik

Ironinya, salah satu pencapaian terbesar DEB telah mewujudkan landasan untuk perbincangan yang berbeza.

Selama lebih lima dekad, dasar tindakan afirmatif telah membantu melahirkan kelas menengah Melayu dan bumiputera yang besar. Hal ini menyumbang secara signifikan kepada mobiliti sosial, kestabilan politik dan keharmonian antara etnik. Ia mengurangkan persepsi penyisihan serta membuka akses kepada peluang yang sebelum ini di luar jangkauan ramai orang.

Namun, kejayaan turut mengubah sifat ketidaksamaan. Pada hari ini, jurang yang paling mendesak semakin banyak ditemui dalam kalangan kumpulan etnik itu sendiri, berbanding antara kumpulan etnik yang berbeza. Terdapat orang Melayu yang kaya hidup bersama-sama dengan orang Melayu yang lebih miskin. Keadaan yang sama turut berlaku dalam kalangan masyarakat Cina, India dan komuniti lain.

READ MORE:  Who really benefits from the 50% rule?

Jurang yang paling penting kini ialah jurang pendapatan, kekayaan dan peluang, bukannya etnik. Seperti yang dihujahkan oleh pengulas Aliran, Loh Chee Seng, ketidaksamaan dalam setiap kumpulan etnik yang semakin melebar mungkin kini menjadi cabaran yang lebih serius berbanding ketidaksamaan antara etnik.

Dasar yang dirangka untuk realiti tahun 1971 tidak mampu menangani realiti tahun 2026.

DEB wajar diiktiraf atas pencapaian bersejarahnya. Ia telah membantu mengurangkan kemiskinan, memperluas peluang pendidikan, membina kelas menengah bumiputera yang besar serta memupuk kestabilan negara pada satu tempoh kritikal dalam pembangunan Malaysia.

Namun, dasar yang berjaya tidak seharusnya menjadi dogma yang tidak boleh diubah.

Selepas lebih 50 tahun, cabaran sosial dan ekonomi Malaysia telah berubah. Dasar awam harus lebih menumpukan kepada keperluan berbanding kaum, dengan menyasarkan kemiskinan, kerentanan dan penyisihan, di mana sahaja ia berlaku.

Program untuk isi rumah 40% terendah, golongan miskin tegar dan isi rumah kurang bernasib baik yang lain menawarkan rangka kerja yang lebih relevan untuk masa depan.

Untuk memparafrasakan lirik Bob Marley, kerajaan Madani harus membebaskan diri daripada perhambaan mental kepada dasar yang telah lama melepasi tempoh kegunaan terbaiknya. Cabarannya bukanlah untuk memelihara DEB selama-lamanya. Ia ialah untuk membina berdasarkan kejayaannya sambil mengiktiraf batasannya.

Malaysia tidak memerlukan DEB yang dihidupkan semula. Ia memerlukan dasar yang mencerminkan realiti masyarakat yang matang, pelbagai dan semakin terpecah mengikut kelas.

Johan Saravanamuttu
Editor bersama, surat berita Aliran
24 Oktober 2026

Diterjemahkan oleh Zikri Rahman

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Johan Saravanamuttu
Dr Johan Saravanamuttu, a long-time Aliran member, is emeritus professor at Universiti Sains Malaysia and adjunct professor at the Asia Europe Institute, University of Malaya. He believes in politics as a vocation but is frustrated that it is often the refuge of opportunists and the morally depraved.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x