Kenaikan kos dan kepercayaan yang semakin pudar membentuk bagaimana orang muda melihat masa depan mereka.
Tiga tahun lalu, saya menulis sebuah artikel mengenai enam pilihan raya negeri yang berlangsung pada tahun tersebut.
Saya menyatakan bahawa kita sepatutnya meraikan kemenangan-kemenangan kecil, namun pada masa yang sama kekal berwaspada terhadap kerajaan Pakatan Harapan. Saya memberi amaran bahawa gabungan itu berisiko kehilangan lebih banyak kerusi sekiranya ia terus mengambil pendekatan yang terlalu konservatif demi memenangi hati pengundi.
Tiga tahun dan dua pilihan raya negeri kemudian, dan sebuah lagi akan berlangsung di Melaka dalam masa beberapa minggu, gabungan itu nampaknya enggan mengubah haluan. Ini berlaku walaupun unjuran keputusan bagi pilihan raya umum akan datang, yang mesti diadakan menjelang awal tahun 2028, menunjukkan gabungan tersebut memperoleh kurang daripada 45 kerusi.
Keputusan itu akan menjadi lebih buruk berbanding 82 kerusi yang dimenangi oleh gabungan pembangkang pada ketika itu dalam pilihan raya umum 2008. Ketika itu, kita buat pertama kalinya melihat sinar harapan bahawa perubahan adalah sesuatu yang mungkin dicapai.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Namun, perubahan ke arah sebaliknya juga merupakan satu bentuk perubahan.
Dalam artikel yang sama, saya turut menyentuh mengenai sebuah temu bual bersama Ibrahim Suffian dari Merdeka Center dalam rancangan Consider This yang dikendalikan oleh Melisa Idris. Beliau menjelaskan bagaimana keresahan ekonomi boleh menjadi punca utama perpecahan dan politik identiti dalam kalangan kita.
Seperti mana-mana bentuk keresahan, terdapat keselesaan dalam mencari solidariti dengan seseorang yang berkongsi ketakutan yang sama, atau dengan pihak yang mendakwa mempunyai jawapan kepada keresahan itu. Hal ini akhirnya membawa kepada pelbagai bentuk politik identiti yang kita lihat pada hari ini.
Susulan pilihan raya negeri Negeri Sembilan, di mana gabungan Barisan Nasional-Perikatan Nasional – termasuk Pas – muncul sebagai pemenang, penganalisis Tricia Yeoh telah membangkitkan isu yang sama. Terasa seolah-olah kerajaan gabungan semasa belum melakukan secukupnya untuk meredakan keresahan ini sepanjang tiga tahun yang lalu.
Fenomena global
Walau bagaimanapun, ini merupakan satu fenomena global. Golongan muda yang mengalami keresahan ekonomi sedang mengadakan protes di jalanan di banyak tempat di Eropah dan Asia.
Keresahan ekonomi kita hanya diterjemahkan dalam bentuk yang berbeza. Daripada mengadakan protes, kita menegaskan identiti masing-masing atau menjadi berpecah belah dalam isu kaum, etnik, bahasa dan agama. Keadaan ini telah mewujudkan masalah kepercayaan dalam kalangan masyarakat di Malaysia, terutamanya dalam ruang digital.
Ahli ekonomi Sum Dek Joe mengetengahkan isu defisit kepercayaan yang sama antara rakyat dan kerajaan dalam ulasan pasca-belanjawan di rancangan Consider This. Kita sukar untuk percaya bahawa kerajaan akan menyediakan perkhidmatan, pengangkutan awam atau pendidikan yang lebih baik sekiranya kita melepaskan subsidi petrol bulanan yang amat besar, di tengah-tengah lonjakan harga minyak global ketika ini.
Sekatan separa kerajaan terhadap aplikasi Waze – yang melarang penjawat awam menggunakannya untuk urusan rasmi – serta reaksi negatif yang timbul merupakan petanda jelas wujudnya ketidakpercayaan orang ramai terhadap kerajaan, walaupun kerajaan menyatakan sekatan itu dibuat atas dasar kebimbangan terhadap keselamatan data.
Ramai di antara kita terpaksa mengharungi jalan raya di Kuala Lumpur yang mengelirukan akibat rangkaian pengangkutan awam yang lemah. Apabila hujan turun, lalu lintas akan terhenti sepenuhnya. Saya sendiri pernah mengalaminya semasa bekerja di sana.
Hal ini berpunca daripada dasar yang diamalkan selama berdekad-dekad, yang menyebabkan kita bergantung kepada kenderaan persendirian dan subsidi petrol. Saya menggesa rombakan menyeluruh terhadap sistem pengangkutan awam kita, dengan kuasa kawalan diserahkan kepada peringkat negeri dan tempatan, selaras dengan Agenda Pilihan Raya Rakyat Aliran.
Namun, sukar untuk mempercayai bahawa walaupun kita mempunyai lebihan belanjawan atau ekonomi yang kukuh, kita semua akan berkongsi wawasan yang sama untuk menjadi sebuah negara maju. Nampaknya, ramai yang memilih untuk kekal di tempat mereka sekarang – menikmati subsidi serta politik naungan yang disediakan oleh parti-parti politik.
Bagi saya, ini membayangkan permainan jumlah sifar (zero-sum game) di mana keuntungan satu pihak adalah kerugian pihak yang lain. Suatu hari nanti, sumber akan menjadi terhad dan kerajaan tidak lagi mempunyai apa-apa untuk ditawarkan. Maka, orang ramai akan berebut untuk mendapatkan apa sahaja yang masih ada.
Perkara ini sudah pun berlaku; itulah sebabnya kita melihat keresahan ekonomi yang begitu tinggi.
Kos penjagaan kesihatan
Saya sendiri telah merasainya. Gaji tahunan saya sahaja tidak mampu menampung, apatah lagi menyamai, perbelanjaan perubatan pada masa hadapan.
Nenek saya, yang hampir berusia 80 tahun dan tidak akan mempunyai pendapatan sepanjang hayatnya yang berbaki, baru-baru ini berdepan bil sebanyak RM80,000 untuk tempoh hanya tiga bulan di sebuah hospital swasta. Kos pemulihan pula menambah RM10,000 lagi sebulan – sehingga RM120,000 setahun.
Berdasarkan pengalaman kami, kebanyakan syarikat insurans tidak bersedia menanggung kos sebegini untuk warga emas seusia beliau. Pada tahun 2025, median gaji dan upah bulanan di Malaysia ialah RM2,940, atau kira-kira RM35,280 setahun – jumlah yang jauh daripada mencukupi untuk menampung kos sedemikian.
Mungkin ada yang berpendapat keluarga kami sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital awam. Namun, seperti yang sering kita bincangkan mengenai kesihatan awam, sistem penjagaan kesihatan awam kita kini berada pada tahap kapasiti maksimum.
Apabila nenek saya pertama kali dimasukkan ke hospital besar, beliau sudah berisiko mengalami strok dan mungkin mengalami kegagalan pelbagai organ. Para doktor memberi amaran kepada kami supaya bersedia dari segi emosi.
Situasi ini menjadi satu yang tak terbayangkan, di mana kami perlu membayar jumlah yang sangat besar semata-mata untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang lebih baik. Bagi saya, angka-angka ini tidak masuk akal, dan saya tidak faham bagaimana kadar bayaran sebegini ditetapkan.
Sudah tentu, jika kerajaan bersedia membaiki sistem kesihatan awam, nasib datuk dan nenek saya mungkin berbeza. Ini bermakna perlunya penubuhan suruhanjaya bebas, menggandakan peruntukan kesihatan awam kepada 4% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), penambahan kakitangan dan hospital, serta yuran bersubsidi di hospital yang dikendalikan oleh syarikat berkaitan kerajaan – selaras dengan Agenda Pilihan Raya Rakyat yang dikemukakan oleh Aliran.
Beban buat golongan muda
Kini saya faham mengapa ibu bapa serta datuk dan nenek saya mahu saya menjadi doktor. Ia bukan didorong oleh keinginan tulus untuk menyelamatkan atau menghargai nyawa, sebaliknya untuk menjimatkan wang mereka sendiri. Agak ironik.
Nenek saya sering berpesan kepada saya dalam bahasa Mandarin supaya kita makan lebih banyak hari ini, jika tidak kita tidak akan dapat makan esok.
Kini saya sedar, ungkapan itu merupakan satu lagi cerminan keresahan ekonomi yang tidak selesai selama berdekad-dekad.
Ia adalah beban yang terpaksa dipikul oleh golongan muda hari ini. Saya ragu sama ada kerajaan dan rakyat mampu memperbaharui kontrak sosial demi memulihkan peluang serta mobiliti sosial.
Akhirnya, daripada mempercayai kerajaan untuk meredakan keresahan ini, adalah lebih baik bagi golongan muda, termasuk saya sendiri, untuk mencari jalan penyelesaian secara berdikari. Pendekatan ini selari dengan keperluan untuk golongan muda berdikari, seperti yang pernah saya utarakan dalam surat berita pertama saya.
Semoga kita tidak mewariskan keresahan ini kepada generasi akan datang.
John Fong
Editor bersama, surat berita Aliran
28 Oktober 2026
Diterjemahkan oleh Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











