
Kenneth Wong See Huat
Sebuah tingkap kayu boleh diselamatkan daripada rumah yang dirobohkan. Namun, bagaimana pula dengan hubungan kejiranan, pengetahuan dan kehidupan yang pernah berlangsung di sebaliknya?
Persoalan ini menjadi semakin penting apabila kita membincangkan warisan Pulau Pinang. Apakah makna memelihara ingatan sebuah kota jika masyarakat yang membentuknya semakin kehilangan tempat untuk terus hidup?
Saya ialah kurator pameran Echoes in Between: Penang as Living Archive (Gema di antara: Pulau Pinang sebagai arkib hidup). Pameran itu diadakan di ChinaHouse, George Town, dari 29 Julai hingga 11 Ogos.
Pameran ini menjadi ruang untuk memikirkan hubungan antara kehilangan tempat dengan kelangsungan warisan hidup. Untuk meneleti persoalan ini, saya menghimpunkan karya seni, kesaksian komuniti dan serpihan seni bina.
Apabila rumah menjadi serpihan
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Pameran itu memaparkan tingkap dan bingkai yang diselamatkan daripada rumah Siam terakhir di Pulau Tikus. Lukisan Kampung Siam oleh Lim Jee Yuan serta sumbangan dan ingatan Nai Boonphrom Sararaksh turut dipamerkan. Serpihan ini membuktikan bahawa sejarah pernah didiami.

Karya Ahmad Syadzwan pula menggabungkan cukilan kayunya dengan cetakan lino. Sebanyak 15 peserta awam menghasilkan cetakan itu dalam sebuah program di rumah berkenaan sebelum dirobohkan. Tindakan mencukil, mencetak dan berkumpul menjadikan seni sebahagian daripada ingatan kolektif.
Namun, menyimpan serpihan rumah tidak dapat mengembalikan ruang pertemuan yang telah hilang. Sebuah pameran boleh membawa kisah komuniti kepada khalayak. Meskipun begitu, ia tidak dengan sendirinya memulihkan keadaan yang membolehkan komuniti itu terus hidup bersama.
Di sinilah pemuliharaan perlu dinilai dengan lebih mendalam. Jika kejayaan hanya diukur melalui objek yang disimpan atau imej yang dirakam, kehilangan hubungan sosial mudah terlepas pandang.
Warisan bergantung pada kehidupan harian
Batik Lim Anuar merakam perkampungan nelayan yang telah hilang di Batu Ferringhi.

Lakaran Jordan Ong tentang Kampung Dodol pula mendokumentasikan persekitaran komuniti yang berubah.
Kedua-duanya mengingatkan saya bahawa rumah, pekerjaan dan kejiranan saling bergantung.
Apabila hubungan antara tempat tinggal dengan tempat bekerja terputus, kesannya melangkaui perubahan pemandangan. Jaringan sokongan harian juga boleh terjejas: siapa menjaga anak jiran, siapa membantu warga emas dan di mana penduduk bertemu untuk bertukar khabar?

Karya Anthony Cheah tentang kopitiam dan ottu kadai, kedai runcit tradisional masyarakat India, memperlihatkan dimensi ini melalui ruang biasa. Hubungan antara peniaga dengan pelanggan membawa pengetahuan setempat, bahasa pertuturan dan rasa saling mengenali.

Justeru, mengekalkan rupa sebuah kedai belum tentu mengekalkan fungsi sosialnya. Jika ruang itu tidak lagi mampu menampung peniaga dan pelanggan setempat, kesinambungan warisannya turut berubah.
Hal ini tidak bermaksud kehidupan lama perlu dibekukan. Penduduk berhak menikmati kemudahan, keselamatan dan peluang ekonomi yang lebih baik.
Persoalannya ialah bagaimana perubahan dirancang dan siapa yang mendapat manfaat. Persoalan lain ialah sama ada mereka yang terkesan mempunyai suara dalam keputusan itu.
Karya Khoo Cheang Jin tentang Perayaan Hantu Lapar menunjukkan bahawa warisan juga berlangsung melalui tubuh, masa dan penyertaan.

Body of Faith (Tubuh Kepercayaan) oleh Matthew Tan turut menunjukkan hal ini. Karya itu melibatkan Cadence Cheah dalam rakaman perarakan Sembilan Maharaja Dewa.

Ritual memerlukan persediaan, tenaga sukarela, pengetahuan antara generasi dan ruang untuk berkumpul. Rakaman boleh menyimpan gambaran upacara, tetapi kelangsungannya bergantung pada orang yang masih mampu dan mahu melaksanakannya.
Jika warisan hanya dinilai melalui daya tarikan visualnya, kerja yang menyokongnya mudah tidak kelihatan. Kita menikmati perarakan tanpa semestinya memahami usaha komuniti yang membolehkannya berlangsung.
Daripada merekod kepada menyokong
Pengalaman ini membawa saya kepada tiga keutamaan.
Pertama, penilaian terhadap perubahan sesuatu kawasan perlu mengambil kira hubungan sosial dan kegiatan harian. Sebelum keputusan dibuat, penduduk, penyewa dan peniaga kecil perlu diberi ruang untuk menerangkan bagaimana mereka menggunakan tempat itu. Mereka juga perlu diberi peluang menjelaskan kesan perubahan terhadap kehidupan mereka.
Kedua, sokongan warisan perlu sampai kepada pengamalnya. Ruang berniaga yang mampu ditanggung, tempat berkumpul dan peluang mewariskan kemahiran kepada generasi muda wajar menjadi sebahagian daripada perbincangan pemuliharaan. Keindahan bangunan sahaja tidak mencukupi untuk meneruskan kehidupan di dalamnya.
Ketiga, pendokumentasian perlu dilakukan bersama komuniti. Mereka patut mengetahui bagaimana cerita dan imej mereka digunakan, mempunyai peluang membetulkan tafsiran, serta dapat mengakses semula bahan yang dikumpulkan. Menjadi subjek pameran seharusnya membuka ruang untuk turut menentukan cara kisah mereka sendiri disampaikan.
Sebagai kurator, saya juga perlu mengakui batas pilihan saya. Pameran itu bersifat sementara dan terpilih. Ia tidak boleh mewakili keseluruhan Pulau Pinang.
E-katalog dan muzium mikro digital boleh meluaskan capaian, tetapi tidak menggantikan tempat tinggal, pekerjaan atau ruang bersama.
Pulau Pinang terus mengingati melalui kegiatan memasak, bekerja, berniaga, menjalankan ritual dan bercerita. Untuk menjaga arkib hidup ini, kita perlu menyokong keadaan yang membolehkan kegiatan itu diteruskan.
Sebuah tingkap yang diselamatkan boleh membuka pandangan kepada sejarah. Tanggungjawab kita seterusnya ialah memastikan masyarakat yang membawa sejarah itu mempunyai tempat dalam masa depan kota.
Kenneth Wong See Huat ialah kurator bebas, penulis dan pengamal warisan yang berpangkalan di Pulau Pinang. Beliau merupakan pengasas People Ideas Culture dan kurator Echoes in Between: Penang as Living Archive.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme










