Mustaqim Badrul Hisham
Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sepatutnya menjadi titik perubahan bagi kebebasan mahasiswa, bukan sekadar menukar kulit undang-undang.
Pada 15 Ogos Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Auku, tanpa memperkenalkan undang-undang baharu yang terus menyekat gerakan mahasiswa. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan sebarang pindaan atau akta pengganti yang mengekang hak dan kebebasan mahasiswa.
Kementerian Pendidikan Tinggi kemudian mengumumkan langkah segera pada 28 Ogos bagi memperluas kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun.
Walaupun begitu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir dalam kenyataan pada 15 Ogos berkata kementerian sedang merangka akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan Auku, selaras dengan agenda ‘akta satu pendidikan tinggi’ dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Oleh itu, komitmen terhadap kebebasan itu tidak boleh dinilai berdasarkan pengumuman awal sahaja. Ia perlu dinilai berdasarkan isi akhir undang-undang dan peraturan baru yang dicadangkan.
Peraturan kehidupan kampus yang masih mengawal tindak-tanduk mahasiswa juga perlu diteliti.
Sekatan di asrama
Antara sekatan yang wajar diberi perhatian ialah ‘curfew’ (waktu wajib pulang) kolej kediaman. Kaedah tatatertib di kebanyakan universiti awam menetapkan penghuni asrama tidak boleh berada di luar asrama selepas pukul 11 malam tanpa kebenaran warden. [Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara tradisinya antara universiti awam yang tidak mengenakan sekatan sedemikian.]
Ini menunjukkan kawalan terhadap pergerakan mahasiswa bukan sahaja berkait dengan Auku, malah berakar dalam perundangan subsidiari dan peraturan kediaman. Oleh itu, pemansuhan Auku sahaja tidak semestinya menghapuskan halangan terhadap kebebasan mahasiswa dalam kehidupan harian.
Curfew bukan sekadar menetapkan waktu pulang. Peraturan ini boleh mengehadkan peluang mahasiswa untuk bermesyuarat, berbincang, menyelaras tindakan dan berhimpun secara aman pada waktu malam.
Perbincangan atau perhimpunan mungkin tidak dilarang secara langsung. Namun, mahasiswa yang perlu mendapat kebenaran untuk berada di luar kolej masih tertakluk pada kawalan pentadbiran.
Inilah beza antara kebebasan formal dengan kebebasan substantif (sebenar). Hak berhimpun mungkin diiktiraf, tetapi keupayaan melaksanakannya dibatasi peraturan yang mengawal masa dan pergerakan.
Sekatan sebegini juga berisiko mewujudkan kesan gerun. Mahasiswa mungkin memilih untuk tidak berhimpun kerana bimbang melanggar peraturan kediaman.
Tidak hairanlah dua universiti tanpa curfew, iaitu UM dan UKM, antara tempat aktivisme mahasiswa berkembang.
Peraturan tidak seragam
Keadaan menjadi lebih bermasalah kerana penguatkuasaan curfew tidak seragam. Selain UM dan UKM yang tidak melaksanakannya, ada universiti yang melanjutkan waktu curfew sehingga tengah malam. Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula kekal pada pukul 11 malam.
Curfew sering dipertahankan sebagai langkah keselamatan. Namun, penguatkuasaan yang berbeza-beza menimbulkan persoalan tentang keberkesanannya.
Peraturan ini juga tidak terpakai kepada pelajar yang tinggal di luar kampus. Perbezaan kebebasan antara mereka dengan pelajar kolej kediaman wajar diteliti.
Sebagai alternatif, curfew boleh digantikan dengan peraturan waktu senyap yang menekankan ketenteraman penghuni, bukan larangan menyeluruh terhadap pergerakan.
Peraturan kolej kediaman UKM, misalnya, menetapkan waktu senyap dari tengah malam hingga 6 pagi dan mengambil tindakan terhadap pelajar yang membuat bising.
Model ini menunjukkan ketenteraman kediaman boleh dipelihara tanpa menjadikan waktu pulang sekatan umum.
Universiti masih boleh menguatkuasakan peraturan tentang kebisingan, keselamatan dan gangguan kepada penghuni lain. Mahasiswa tidak perlu dihalang bergerak atau berhimpun secara aman hanya kerana hari sudah lewat.
Walau bagaimanapun, penggubalan peraturan alternatif juga perlu dibuat dengan berhati-hati.
Kesimpulannya, pemansuhan Auku perlu disusuli pembaharuan terhadap peraturan lain yang mengehadkan kebebasan mahasiswa.
Ini tidak bermakna mahasiswa bebas mengganggu penghuni lain atau mengabaikan keselamatan. Sekatan terhadap pergerakan mesti mempunyai tujuan yang munasabah dan tidak melampaui keperluan sebenar.
Kerajaan dan universiti wajar menamatkan curfew menyeluruh dan menggantikannya dengan peraturan waktu senyap seperti model UKM.
Jika Auku hendak dimatikan demi kebebasan mahasiswa, curfew yang mengekalkan kawalan serupa juga mesti berakhir.
Mustaqim Badrul Hisham, seorang ahli Aliran, ialah graduan pentadbiran awam dan seorang advokat hak mahasiswa yang aktif dalam Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (Aksi) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram). Penulisannya banyak menumpukan kritikan terhadap dasar-dasar yang meminggirkan rakyat marhaen, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme











