Home Civil Society Voices Pulihkan tapak pelupusan sampah Jelutong, tetapi bukan di depan rumah kami

Pulihkan tapak pelupusan sampah Jelutong, tetapi bukan di depan rumah kami

AI-GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Jawatankuasa tindakan Protect Karpal Singh Drive, ProtectKarpal, membantah secara keras cadangan memproses sisa yang dikorek dari tapak pelupusan sampah Jelutong berhampiran kawasan kediaman berkepadatan tinggi di sepanjang Persiaran Karpal Singh.

ProtectKarpal, di bawah naungan Persatuan Penduduk Bandar Sri Pinang Pulau Pinang, juga menuntut kerajaan negeri Pulau Pinang mengutamakan penghantaran sisa yang dikorek ke kemudahan berlesen yang terletak jauh dari kawasan perumahan untuk tujuan kitar semula, rawatan dan pelupusan selamat.

Menurut laporan media, PLB Engineering Berhad (PLB) telah mengemukakan permohonan kepada PlanMalaysia Pulau Pinang pada 2 November untuk mendapatkan kebenaran bagi mengendalikan mesin kitar semula di tapak pelupusan Jelutong.

Mengapakah ribuan penduduk perlu didedahkan kepada risiko pemprosesan sisa berskala industri, sedangkan kaedah pemprosesan di kemudahan luar tapak yang dilengkapi sistem kawalan sewajarnya dijadikan sebagai alternatif?

Jangan jadikan ini zon pemprosesan sisa

Penelitian ProtectKarpal terhadap laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling yang dipamerkan kepada umum pada Februari 2025 menunjukkan cadangan untuk meletakkan sehingga 20 mesin kitar semula tugas berat, secara berperingkat, bermula dari tapak pelupusan sedia ada menuju ke Persiaran Karpal Singh – betul-betul di hadapan kawasan kediaman berkepadatan tinggi.

Aktiviti yang dicadangkan merangkumi pengeringan, pengasingan, penghancuran dan pemprosesan sisa tapak pelupusan secara terbuka selama 10 jam sehari.

Operasi ini akan melibatkan bahan yang dikorek daripada tapak pelupusan yang telah menerima pelbagai jenis sisa selama beberapa dekad, bukannya bahan kitar semula bersih yang telah diasingkan.

Menjadikan kawasan persisiran kediaman Persiaran Karpal Singh sebagai zon pemprosesan sisa secara terbuka untuk tempoh yang panjang adalah tidak boleh diterima.

Aktiviti penghancuran dan pengasingan secara mekanikal boleh menghasilkan zarah terampai halus (PM2.5 dan PM10), bunyi bising dan bau yang tidak menyenangkan.

READ MORE:  After 3 PH defeats, ProtectKarpal warns Penang CM to honour promise or face voters

Gangguan terhadap sisa tertimbus juga berpotensi membebaskan gas tapak pelupusan, bioaerosol dan bahan pencemar lain, bergantung pada komposisi bahan yang dikorek.

Ini telah dikenal pasti akan membahayakan alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat. Sekadar jaminan bahawa mesin kitar semula boleh beroperasi dengan selamat adalah tidak mencukupi untuk menilaikan kesannya terhadap kawasan perumahan berhampiran.

Penduduk, kanak-kanak, warga emas dan peniaga berhampiran tidak sepatutnya terpaksa menanggung risiko pencemaran dan gangguan selama bertahun-tahun semata-mata kerana pemprosesan sisa berhampiran kawasan pengorekan mungkin lebih menguntungkan dari segi komersial.

Tanggungjawab membuktikan keselamatan terletak pada pemaju, bukannya penduduk yang terpaksa membuktikan kemudaratan selepas terdedah kepada pencemaran.

Jauhkan pemprosesan sisa

ProtectKarpal menuntut penilaian bebas terhadap pilihan menghantar sisa yang dikorek ke kemudahan pemprosesan luar tapak di kawasan yang mempunyai pengezonan bersesuaian, dilengkapi sistem pemprosesan tertutup, kawalan pencemaran dan kemudahan pelupusan selamat.

Aktiviti penghancuran, pengasingan dan kitar semula berskala intensif perlu ditempatkan jauh dari kawasan berpenduduk padat sekiranya terdapat alternatif luar tapak yang lebih selamat dan berdaya maju dari segi teknikal.

Pendekatan ini merupakan salah satu kaedah yang telah digunakan dalam pemulihan tapak tercemar, bukannya tuntutan yang tidak munasabah atau mustahil dilaksanakan dari segi teknologi.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengamalkan pendekatan berasaskan risiko dalam pemulihan tanah tercemar, dengan memberi keutamaan kepada perlindungan kesihatan manusia dan alam sekitar ketika menilai pilihan pemulihan.

Oleh itu, kerajaan negeri mesti menjelaskan mengapa pemprosesan sisa secara intensif perlu dijalankan berhampiran kawasan perumahan, bukannya di kemudahan yang lebih sesuai untuk operasi sedemikian.

Permohonan kebenaran merancang yang terbaharu ini turut menimbulkan persoalan serius: adakah pemaju memohon kebenaran untuk mengendalikan sebuah mesin, beberapa buah mesin, atau fasa pertama skim kitar semula berskala lebih besar seperti yang dinyatakan dalam laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling 2025?

READ MORE:  Probe PDC now: PAC urged to investigate Jelutong landfill deal over developer audit warnings

Kerajaan negeri mesti mendedahkan cadangan lokasi mesin, kapasiti pemprosesan, waktu operasi dan tempoh penggunaan mesin yang dicadangkan, termasuk sama ada permohonan susulan boleh menyebabkan operasi tersebut berkembang secara berperingkat ke arah kawasan perumahan.

Kebenaran sementara tidak boleh dijadikan jalan belakang untuk mewujudkan operasi pemprosesan sisa secara besar-besaran.

Satu lagi janji dimungkiri

Permohonan ini dibuat selepas PLB diberikan satu lagi lanjutan masa sehingga 31 Januari 2027, walaupun Ketua Menteri Chow Kon Yeow telah berjanji secara terbuka bahawa tiada lagi lanjutan akan diberikan selepas tarikh akhir muktamad pada 18 Oktober.

Majlis mesyuarat kerajaan negeri meluluskan lanjutan tersebut pada 28 Oktober, sedangkan JAS dilaporkan telah mengenal pasti 22 isu berkaitan keserasian guna tanah pada 28 September.

PlanMalaysia kemudiannya dilaporkan mengemukakan garis panduan penggunaan tanah sementara pada 29 Oktober, diikuti permohonan PLB pada 2 November.

Apakah bukti teknikal yang menjadi asas keputusan majlis mesyuarat memberikan lanjutan masa tersebut, dan sejauh manakah kepentingan kesihatan serta keselamatan penduduk sekitar telah diambil kira?

Ketua Menteri Chow mesti menjelaskan mengapa komitmen awamnya diubah dan mendedahkan penilaian alam sekitar serta perancangan yang menyokong keputusan tersebut.

Jangan menjejaskan kesihatan penduduk

ProtectKarpal menyokong sepenuhnya usaha pemulihan segera tapak pelupusan sampah Jelutong.

Namun, pemulihan sepatutnya mengurangkan risiko alam sekitar, bukannya mewujudkan bahaya tambahan kepada komuniti perumahan berhampiran.

Kami tetap menuntut penamatan perjanjian pembangunan bersama sedia ada melalui proses yang sah serta penolakan cadangan penambakan laut seluas 70 ekar.

ProtectKarpal menuntut kerajaan negeri:

  • Menolak pemohonan bagi pemprosesan sisa secara intensif berhampiran kawasan perumahan
  • Melaksanakan penilaian perbandingan yang telus antara kaedah pemprosesan di tapak dan di luar tapak, dengan mengutamakan kemudahan berlesen yang jauh dari kawasan berpenduduk padat serta kaedah pengangkutan yang selamat
  • Mendedahkan permohonan lengkap pemaju bagi penggunaan mesin kitar semula, cadangan operasi pemprosesan dalam laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling serta bukti yang menjadi asas lanjutan masa terbaharu yang diluluskan majlis mesyuarat
  • Memastikan penyertaan penduduk secara bermakna sebelum meluluskan sebarang pelan pemulihan atau pemprosesan sisa yang menjejaskan komuniti sekitar
READ MORE:  No more extensions for Jelutong landfill!

Tapak pelupusan Jelutong sememangnya perlu dipulihkan.

Namun, penduduk tidak sepatutnya dipaksa hidup bersebelahan operasi pemprosesan sisa berusia puluhan tahun pada skala industri kerana terdapat alternatif yang lebih selamat.

Persiaran Karpal Singh merupakan kawasan persisiran yang menempatkan kediaman, aktiviti rekreasi dan perniagaan, bukannya kawasan perindustrian untuk rawatan sisa.

Proses sisa di kemudahan yang sesuai, jauh dari kawasan kediaman. Lindungi kesihatan penduduk. Pastikan pemulihan benar-benar bertanggungjawab terhadap alam sekitar. – ProtectKarpal

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x