Home New Writers Apabila kamera beredar dari Gaza, solidariti kita diuji

Apabila kamera beredar dari Gaza, solidariti kita diuji

Empat soalan jujur tentang kemanusiaan kita terhadap Gaza.

@EZZINGAZA ON X

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Mohd Fudzail Mohd Nor

Setiap 29 November, dunia memperingati Hari Solidariti Antarabangsa dengan rakyat Palestin.

Tarikh ini ditetapkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1977 sempena resolusi pembahagian Palestin yang diluluskan pada 29 November 1947.

Resolusi itu menjanjikan dua buah negara, tetapi hampir lapan dekad kemudian, hanya sebuah yang benar-benar berdiri.

Tahun ini, peringatan tersebut tiba ketika Gaza menghadapi musim sejuk kedua sejak gencatan senjata Oktober 2025, dalam keadaan yang jauh daripada damai.

Saya pernah menjejakkan kaki ke Gaza bersama delegasi Selangor pada bulan Ramadan 2019, bersama presiden Mapim Azmi Hamid. Saya juga pernah berdepan dengan askar Israel di sempadan Gaza.

Sejak sekian lama, saya mempunyai ramai sahabat Palestin, sama ada di tanah air mereka atau di perantauan. Sebahagian sahabat di Gaza kini sudah terputus hubungan dengan saya, dan saya tidak tahu nasib mereka. Bagi saya, Gaza tidak pernah menjadi sekadar tajuk berita.

Angka-angkanya sukar dihadam. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, yang digunakan oleh pejabat penyelarasan hal ehwal kemanusiaan PBB (Ocha), lebih 73,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 174,000 cedera sejak Oktober 2023.

Gencatan senjata juga tidak menghentikan pembunuhan. Sehingga awal November 2026, lebih 1,500 orang dilaporkan terbunuh sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Pada 12 November serangan udara Israel mengenai jabatan pembedahan Hospital Nasser di Khan Younis dan mengorbankan enam nyawa.

Kemudian datang hujan. Ribut pertama musim sejuk melanda Gaza pada malam 6 November. Banjir menenggelamkan khemah, merobohkan bangunan yang sudah rosak dan membasahi selimut serta tilam yang menjadi satu-satunya pelindung keluarga yang kehilangan rumah.

Menjelang 8 November, lebih 26,000 isi rumah memohon bantuan, lebih 6,000 tempat perlindungan musnah dan 17,400 lagi rosak. Stok khemah, kanvas dan selimut di dalam Gaza hampir habis sama sekali.

READ MORE:  The Israelisation of international relations: A view from a small country

Inilah yang paling menyayat hati. Lebih 150,000 khemah yang dibeli oleh agensi kemanusiaan dan negara-negara anggota PBB sedang menunggu di luar Gaza. Bantuan itu wujud, tetapi tidak dibenarkan masuk.

Pada 1 November pihak berkuasa Israel memaklumkan kepada agensi PBB bahawa penghantaran bantuan dan barangan komersial dari Mesir digantung, dengan beberapa pengecualian.

Ketua penyelaras bantuan kecemasan PBB Tom Fletcher mendesak kerajaan-kerajaan dunia agar tidak lagi menangguhkan bantuan musim sejuk. Krisis di Gaza bukan bencana alam. Ia krisis akses yang dicipta oleh manusia.

Rakyat dan kerajaan Malaysia wajar dipuji kerana tidak berdiam diri. Pada Mac 2026 perdana menteri melancarkan misi bantuan kemanusiaan 30 kontena ke Gaza yang diterajui Mapim bersama gabungan Sumud Nusantara.

Misi itu membawa 374 tan bantuan, yang dijangka memanfaatkan lebih 100,000 rakyat Palestin. Sukarelawan Malaysia turut menyertai Global Sumud Flotilla, malah ada yang menjadi kapten kapal, dan sebuah lagi misi flotila dirancang hujung tahun ini. Kemurahan hati rakyat Malaysia terhadap Palestin tidak perlu dipertikaikan.

Namun solidariti yang sebenar perlu diuji dengan beberapa soalan yang jujur.

Pertama, adakah solidariti kita berprinsip atau bermusim? Gelombang simpati sering memuncak ketika gambar kanak-kanak yang terkorban tersebar di media sosial, lalu reda apabila berita beralih ke tempat lain.

Pembinaan semula Gaza akan mengambil masa berdekad-dekad. Yang diperlukan bukan sekadar derma ketika kecemasan, tetapi komitmen jangka panjang, seperti biasiswa untuk pelajar Palestin, latihan dan bekalan perubatan, pembinaan semula sekolah dan universiti, serta sokongan kepada keluarga anak-anak yatim.

Kedua, adakah solidariti kita disertai ketelusan? Wang derma rakyat ialah amanah. Setiap pertubuhan yang mengutip derma atas nama Gaza wajar menerbitkan laporan kewangan yang diaudit, menjelaskan saluran penghantaran dan melaporkan hasilnya kepada penderma.

READ MORE:  Ms Rachel reacts to children watching her in Gaza: 'It moves me beyond words'

Kepercayaan awam ialah modal terpenting gerakan kemanusiaan. Jika kepercayaan itu terhakis oleh satu dua skandal, yang paling rugi ialah rakyat Gaza sendiri.

Ketiga, adakah solidariti kita konsisten? Penderitaan Gaza wajib dibela kerana ia penderitaan manusia, bukan semata-mata kerana mangsanya seagama dengan majoriti rakyat Malaysia.

Di Gaza sendiri, umat Kristian Palestin turut terkorban dan kehilangan gereja serta rumah mereka. Prinsip kemanusiaan yang sama sepatutnya membuat kita peduli terhadap rakyat Sudan, terhadap etnik Rohingya dan terhadap rakyat Myanmar yang terus menderita.

Prinsip itu juga sepatutnya mengingatkan kita tentang pelarian yang sedang berlindung di negara kita sendiri kerana Malaysia masih belum menandatangani Konvensyen Pelarian 1951. Solidariti yang memilih mangsa mengikut identiti bukan solidariti kemanusiaan, tetapi solidariti kelompok.

Keempat, adakah solidariti kita berani menuntut keadilan, bukan sekadar menghulurkan sedekah?

Bantuan kemanusiaan hanya merawat luka. Luka itu akan terus dibuka selagi tiada akauntabiliti.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah berulang kali menegaskan kewajipan Israel untuk membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.

Malaysia wajar terus menggunakan pengaruh diplomatiknya di Asean, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan PBB untuk menuntut akses bantuan tanpa sekatan, perlindungan terhadap pekerja kemanusiaan dan wartawan, serta pertanggungjawaban atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Sebagai penulis, saya percaya solidariti juga perlu berlaku dalam bidang ilmu dan kata-kata. Kesusasteraan Palestin, daripada puisi Mahmoud Darwish hingga cereka Ghassan Kanafani, merakam maruah sebuah bangsa yang enggan dilupakan.

Penyair dan pensyarah Gaza Refaat Alareer terbunuh dalam serangan udara pada Disember 2023, tetapi suaranya terus hidup melalui karyanya.

Penerbit, penterjemah dan institusi bahasa di Malaysia boleh memainkan peranan dengan menterjemahkan lebih banyak karya Palestin ke dalam bahasa Melayu dan menerbitkan kesaksian rakyat Gaza. Dengan cara itu, generasi muda kita mengenali Palestin bukan sekadar sebagai statistik, tetapi sebagai manusia yang mempunyai nama, sejarah dan impian.

READ MORE:  Irish Gaza flotilla members arrive home after detention in Israel

Gaza menguji bukan sahaja ketabahan rakyat Palestin, tetapi juga kejujuran nurani kita.

Solidariti kemanusiaan menuntut kita hadir ketika kamera sudah beredar, telus ketika memegang amanah, konsisten ketika mangsanya berlainan wajah, dan berani ketika keadilan dituntut.

Jika solidariti kita hanya bernyawa ketika Gaza menjadi tajuk utama, apakah bezanya kita dengan dunia yang memilih untuk berpaling?

Mohd Fudzail Mohd Nor, seorang OKU, ialah penulis dan penerbit yang memenangi pelbagai anugerah sastera serta perunding strategi digital. Beliau pernah menjejakkan kaki ke Palestin, termasuk Gaza, dan telah mengembara ke lebih 60 negara dan menulis lebih 100 buku dan e-buku.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x