Home TA Online Palestin dan soalan tentang penjajahan: Apa yang dapat dipelajari oleh warga Malaysia?...

Palestin dan soalan tentang penjajahan: Apa yang dapat dipelajari oleh warga Malaysia? (Bahagian 2/2)

Membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel dan memecahkan hubungan imperialis AS-Israel akan membantu membebaskan dunia.

A map showing the loss of Palestinian land over time - PALESTINEPORTAL.ORG

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Penentangan merentas etnik terhadap penguasaan penjajah

Malaya mempunyai sejarah penentangan merentas bangsa, bahkan pemberontakan menentang pemerintahan British. Orang Melayu dan bukan-Melayu memainkan peranan penting untuk bercakap, membuat penerbitan, berhimpun menentang pemerintahan dan berlawan menentang penjajahan British ke atas Malaya.

Satu contoh penentangan merentas bangsa ialah gabungan anti-penjajah Putera-AMCJA.

Putera ialah Pusat Tenaga Rakyat. Ia ditubuhkan pada Februari 1947 dan terdiri daripada organisasi-organisasi bangsa Melayu.

AMCJA ialah All-Malaya Council of Joint Action yang diasaskan pada Disember 1946. Berbeza daripada Putera, AMCJA terutamanya berasaskan masyarakat bukan-Melayu.

Perhatikan bahawa kedua-dua pertubuhan ini tidak mengikat identiti mereka kepada mana-mana bangsa manusia. Putera misalnya tidak menyebut pertubuhannya sebagai Pusat Tenaga Orang Melayu tetapi Pusat Tenaga Rakyat. Samalah dengan AMCJA – mereka ialah ‘All-Malaya’.

Kedua-duanya ialah organisasi haluan kiri yang terikat bersama oleh semangat anti-penjajah dan keinginan untuk mempunyai identiti bangsa berasaskan negara.

Putera-AMCJA berkempen untuk pemerintahan sendiri yang demokratik dan dipilih melalui pilihan raya, yang akan dengan segera membawa kepada sebuah Malaya yang merdeka, berdaulat dan bebas daripada penjajahan.

Ia mengemukakan Cadangan Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947 sebagai alternatif yang bersifat demokratik kepada rancangan Persekutuan yang disokong oleh British. Cadangan Perlembagaan Rakyat mengakui hakikat utama sejarah dan politik Melayu, termasuk ciri kemelayuan tanah ini.

Tidaklah mengejutkan apabila Cadangan Perlembagaan Rakyat ditolak oleh British yang belum bersedia untuk membiarkan Malaya mempunyai kerajaan sendiri. British melihat usul-usul Putera-AMCJA yang merentas bangsa sebagai “bertentangan dengan matlamat mereka di Malaya [sebab pemerintahan sendiri] merupakan keutamaan pihak pembangkang.” (Merdeka!, Khong Kim Hoong, 1984).

Satu lagi contoh ialah pemberontakan menentang pemerintahan British oleh komunis, yang diumumkan oleh British sebagai ‘darurat’ dari tahun 1948 sehingga 1960.

Sekalipun kebanyakan yang menyertai pemberontakan ialah bangsa Cina, penglibatan orang Melayu adalah bersungguh-sungguh dan bermakna, sama ada dalam perjuangan bersenjata, pertubuhan, jaringan sokongan atau lingkungan-lingkungan pemimpin. Terdapat solidariti Melayu-Cina di peringkat peribadi dan politik; bahkan ada perkahwinan antara Melayu dan Cina dalam kalangan tokoh-tokoh komunis.

READ MORE:  Palestine: The essence of childhood has been destroyed

Pengumuman ‘darurat’ pada Jun 1948 disusuli dengan gelombang demi gelombang penahanan mereka yang dilihat sebagai berhaluan kiri oleh penguasa-penguasa penjajah British. Apa yang menarik ialah besarnya bilangan orang Melayu yang ditahan sebagai berhaluan kiri, komunis atau penyokong mereka – dianggarkan lebih daripada 1,000.

Hal ini, walau bagaimanapun, tidak disiarkan oleh British kerana “Mereka takut sekiranya diketahui tentang keterlibatan orang Melayu dengan komunis akan melemahkan propaganda mereka yang menyebut bahawa komunis [yang menentang kuasa penjajah] kebanyakannya adalah orang Cina.” (The Masked Comrades, Cheah Boon Kheng, 1979.)

Pokok perbincangan kita ialah bahawa perjuangan Palestin untuk keadilan adalah merentas agama dan merentas bangsa, berakar pada identiti bangsa sebuah negara.

Hal ini mengingatkan kita kembali kepada sejarah kita sendiri apabila kita juga bersatu merentas etnik dalam penentangan kita terhadap penguasaan penjajah.

Kesedaran ini patut mendorong kita untuk memperkuat ikatan kebersamaan sebagai warga Malaysia dan bukannya tidak habis-habis menekankan perbezaan dan permusuhan sesama kita, tidak kiralah sama ada benar ataupun sekadar sangka-sangkaan.

Hal ini termasuklah perbandingan yang memisahkan, oleh orang Melayu dan bukan-Melayu, tentang situasi di Palestin dan pandangan tentang situasi masing-masing di Malaysia. Perbandingan semacam itu adalah salah dan tidak dapat dibuktikan.

Dalam konteks Malaysia, dapat difahami jika kebanyakan yang menyatakan solidariti dengan Palestin ialah orang Islam kerana ada unsur kepentingan solidariti sesama Islam. Kebanyakan penduduk Malaysia beragama Islam sebagaimana kebanyakan penduduk Palestin beragama Islam.

Namun, ketidakadilan terhadap orang Palestin adalah lebih daripada itu. Orang bukan-Islam di Malaysia lebih banyak berdiam diri, dan perpecahan ini perlu diatasi. Seperti yang disebut sebelum ini, Palestin berhak menerima solidariti yang tidak berbelah bahagi daripada kita, bukannya perpecahan kita.

READ MORE:  A 94-year-old terrorist?

Sebenarnya, solidariti sejagat dengan Palestin ialah peluang untuk kita memperkuat solidariti kita sebagai warga Malaysia yang merentas bangsa.

Maruah dan bergantung kepada diri sendiri

Selama empat generasi atau lebih, orang Palestin telah menghadapi penindasan melampau oleh penjajah Zionis secara paksa dan apa sahaja yang melibatkannya.

Namun, orang Palestin terus berdiri tanpa mengalah.

Apabila mereka dapat dan perlu melawan (yang sudah menjadi hak mereka sebagai orang yang dijajah dan terancam), mereka melawan – dengan senjata yang sederhana yang mereka ada berbanding dengan senjata yang tersedia untuk pasukan-pasukan penjajah Israel.

Namun, orang Palestin amat menekankan pendidikan. Sekalipun sudah berdekad dipaksa berpindah, dijajah dan dibuang negara, kadar celik huruf orang Palestin adalah antara yang tertinggi di dunia dan dikatakan sebagai antara golongan yang paling berpendidikan tinggi dalam dunia Arab.

Tidak kira apa pun yang berlaku, mereka meneruskan pendidikan. Pendidikan ialah satu cara untuk tidak mengalah, satu bentuk tentangan yang bermaruah dengan membina keupayaan sendiri dan bergantung kepada diri sendiri untuk masa depan yang merdeka yang mereka yakin akan tiba.

Tidak keterlaluan jika anda mengatakan bahawa, walau bagaimanapun, orang Palestin telah membawa diri mereka dengan penuh maruah yang patut kita kagumi.

Hal ini ialah satu peringatan kepada kita. Maruah dan rasa hormat diri adalah penting.

Ketika kita menuding jari ke arah Israel menuduh mereka melakukan penghapusan kaum (genocide) tanpa sebarang tanggungjawab, kita harus ingat bahawa adalah sangat penting untuk kita tidak melakukan sesuatu di sini yang menyebabkan kepercayaan dan rasa bertanggungjawab rakyat terhakis; yang meragut kepercayaan rakyat terhadap pimpinan; dan meruntuhkan pegangan moral masyarakat Malaysia.

Menunjukkan solidariti dengan Palestin bererti mengambil satu pendirian moral. Namun, kita tidak dapat melakukannya dengan meyakinkan jika pada masa yang sama kita merobek jiwa kita dengan melakukan hal-hal yang salah dan memalukan di dalam negara.

READ MORE:  From words into action - Ilan Pappé

Pada masa yang sama, membina keupayaan dan bergantung kepada diri sendiri adalah penting.

Malaysia mungkin tidak lagi berada di bawah pemerintahan penjajah secara rasmi. Namun, kita tetap terdedah pada satu sistem global yang masih dibentuk oleh kuasa neo-imperial Barat.

Kita mesti membina keupayaan bergantung kepada diri sendiri dan menambah baik pelbagai bidang lain – termasuk keselamatan makanan, pendidikan, tadbir urus, ketaksamaan sosial dan ekonomi, beban hutang, kajian saintifik, teknologi dan tenaga.

Kesimpulan

Negara Israel Zionis ditubuhkan melalui penjajahan dan perampasan hak orang asal Palestin. Tindakan Israel Zionis terus-menerus diupayakan oleh AS dan negara-negara lain.

Hubungan empayar (imperial nexus) Israel-Amerika, dengan sebelah lutut menekan leher orang Palestin, membolehkan Israel mencetuskan peperangan berterusan dan mengakibatkan kekacauan yang tidak berkesudahan bukan sahaja di rantau itu tetapi juga sejagat.

Oleh sebab itu, membebaskan cengkaman Israel ke atas Palestin dan memutuskan hubungan tersebut akan membantu membebaskan dunia.

Tetapi Zionisme sedang merosot; ia sedang mereput. Oleh sebab itu, semakin banyak orang seantero dunia menutup hidung apabila mereka melewati badan Zionisme yang sedang mereput dan dagingnya membusuk.

Secara keseluruhan, semangat penentangan rakyat Palestin, walau bagaimana sekalipun, adalah satu sumber inspirasi.

Ia menunjukkan jalan luhur yang harus ditempuh oleh rakyat Malaysia, baik dalam tindakan dan solidariti kita terhadap perjuangan Palestin, mahupun dalam tindakan kita di dalam negara sendiri.

Rujuk ke bahagian 1.

Makalah ini berdasarkan sebuah forum dengan tajuk yang sama yang diadakan pada 10 Oktober 2026 di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur. Penulis seorang daripada panel forum.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x