Home TA Online Rasuah dan syarikat berkaitan kerajaan: Peguam ada peranan lebih besar

Rasuah dan syarikat berkaitan kerajaan: Peguam ada peranan lebih besar

Profesion guaman tidak boleh hanya melihat dari jauh.

AI-GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Alima Joned

Skandal rasuah dan jenayah lain yang melibatkan syarikat berkaitan kerajaan bukan perkara baharu.

Komen-komen netizen di media sosial yang saya baca menunjukkan rakyat di Malaysia semakin hilang sabar. Mereka tertanya-tanya sama ada kerajaan mampu menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras rasuah.

Dalam rencana ini, saya ingin menyentuh peranan akauntan dan peguam yang menjadi penasihat syarikat berkaitan kerajaan dalam usaha mencegah rasuah. Saya juga ingin merenung budaya korporat Malaysia serta sikap setengah syarikat terhadap akauntan dan peguam.

Tumpuan saya ialah generasi muda. Mereka mesti tegas dan proaktif, terutama jika menghadapi tekanan politik yang merumitkan tugas mereka sebagai penasihat undang-undang.

Peranan juruaudit dan peguam

Seperti yang kita sedia maklum, juruaudit luar menjalankan audit akaun dan rekod kewangan sesebuah syarikat. Antara tugas mereka ialah mengenal pasti dan melaporkan sebarang ketidakpatuhan terhadap tadbir urus kewangan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Berhubung skandal Tabung Haji, kita tertanya-tanya sejauh mana juruaudit dan akauntan boleh mencegah salah laku.

Cara peguam menjalankan tugas mungkin tidak begitu jelas kepada orang awam. Hal ini kerana kewajipan peguam dkawal selia oleh undang-undang dan kaedah profesion guaman.

Peguam mempunyai kewajipan bukan sahaja terhadap klien, malah juga terhadap mahkamah, rakan sejawat dan masyarakat.

Kebanyakan syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan, melantik peguam luaran untuk mengendalikan urus niaga besar. Sejauh mana peguam luaran boleh mencegah salah laku atau jenayah kewangan bergantung pada integriti, kompetensi dan profesionalisme mereka.

Pada umumnya, mereka berkewajipan mencegah rasuah dan salah guna kuasa lain.

1MDB dan peguam korporat

Bayangkan senario hipotetikal ini. Seorang klien melantik anda untuk mengendalikan pembelian hartanah (bangunan X) bernilai RM10j. Klien itu ahli parti politik X yang rapat dengan seorang menteri kabinet.

READ MORE:  Who really answers for Malaysia's public money?

Klien anda kemudian memasukkan RM70j ke dalam akaun klien. Pemindahan wang sebesar itu pasti mencurigakan sesiapa sahaja.

Wajarkah anda, sebagai peguam, berdiam diri dan membiarkan klien menggunakan wang itu untuk membeli barangan mewah yang tiada kaitan dengan pembelian bangunan X? Senario hipotetikal saya mempunyai unsur yang sama dengan kes 1MDB.

Artikel bertajuk ‘What role did US lawyers play in Malaysia’s 1MDB scandal?’ (Apakah peranan peguam Amerika dalam skandal 1MDB Malaysia?) di laman web Global Witness membincangkan penglibatan dua firma guaman Amerika dalam skandal itu.

Penglibatan itu memaksa kita menilai dengan lebih teliti akauntabiliti golongan profesional guaman di Malaysia. Kita mesti bertanya kepada diri sendiri tentang sikap berdiam diri apabila aktiviti klien mencurigakan.

Budaya ‘Yes, boss’ (ya, bos) dalam pengurusan perlu dihindari.

Kita tidak patut berlindung di sebalik kerahsiaan dan keistimewaan komunikasi antara peguam dengan klien (confidentiality and lawyer-client privilege).

Saya berkhidmat sebagai penasihat undang-undang kepada banyak syarikat berkaitan kerajaan selama lebih daripada dua dekad. Saya berpeluang bekerja bersama peguam dalaman yang begitu berkebolehan, berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang korporat dan komersial.

Kebanyakan projek pelaburan klien saya terletak di negara membangun. Klien saya kerap berdepan dengan sesetengah pegawai kerajaan atau menteri kabinet di negara tersebut yang tidak mempedulikan undang-undang.

Namun, klien saya tidak pernah melayan cubaan yang tidak wajar. Sesungguhnya, dari pengalaman saya, mereka boleh menjadi contoh warga korporat global (global corporate citizens).

Namun, saya juga pernah menemui pengurus undang-undang dalaman yang kurang berpengalaman dan pasif. Ada yang tidak mengambil berat tentang tanggungjawab mereka sebagai penasihat undang-undang.

Ada dua sebab peguam seperti ini bersikap pasif: kemalasan dan kurang keyakinan diri. Mungkin ada sebab lain.

READ MORE:  Tabung Haji losses: Political appointments must end now

Kepasifan dan kekurangan keyakinan diri juga boleh berpunca daripada suasana dalam syarikat. Peguam dalaman mungkin berasa tidak dihargai kerana sesetengah syarikat berkaitan kerajaan lebih menghormati dan mendengar nasihat akauntan sahaja.

Saya sendiri melihat sesetengah syarikat di Malaysia tidak melibatkan peguam dalam strategi perniagaan dan operasi harian.

Nasihat untuk peguam muda

Kita semua bersetuju usaha mencegah rasuah dan salah guna kuasa hanya berkesan apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing.

Tanggungjawab ini bermula dari peringkat tertinggi: pengerusi, lembaga pengarah dan pengurusan kanan.

Peguam dalaman dan luaran juga memikul peranan penting. Mereka perlu menjalankan tugas dengan profesionalisme, ketegasan dan kompetensi.

Kisah firma guaman Amerika dalam skandal 1MDB ialah peringatan bahawa sikap berdiam diri dan tidak peduli boleh menjahanamkan syarikat, rakyat dan negara.

Jika peguam korporat Malaysia berasa tidak berdaya menentang atau membendung aktiviti rasuah klien kerana politik atau kronisme, ini nasihat saya:

Tambah pengetahuan dan kemahiran: Apabila anda diambil bekerja, anda telah meyakinkan majikan bahawa anda memiliki kemahiran yang diperlukan. Jika pengetahuan anda masih di bawah tahap yang sepatutnya, ambil inisiatif untuk mengemas kini dan memperkukuh ilmu itu. Peguam yang kompeten boleh mencabar pihak pengurusan jika berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur, tadbir urus korporat atau undang-undang.

Fahami bidang perniagaan: Tugas anda ialah memberikan nasihat undang-undang. Namun, jika anda tidak memahami perniagaan klien, anda tidak dapat membantu mereka mencapai matlamat dagang. Contohnya, jika syarikat ingin membeli sebuah syarikat teknologi, luangkan masa untuk mendalami undang-undang harta intelek dan pelesenan teknologi.

Beri nasihat dengan tegas dan jelas: Beri nasihat dengan tegas, profesional dan yakin. Eksekutif korporat di Malaysia kini tiada masa membaca nasihat undang-undang yang berbelit-belit dan panjang.

READ MORE:  Who really controls Malaysia's economy? - Terence Gomez on reforms to government-linked firms

Bina rangkaian dan sistem sokongan: Komuniti peguam Malaysia sangat kecil. Dalam era media sosial dan hubungan digital, berita tersebar sepantas kilat. Jika anda dibuang kerja semata-mata kerana memberikan nasihat yang tidak disukai pengurusan, pegang teguh pada prinsip dan profesionalisme. Anda akan mendapati terdapat komuniti yang sedia menyokong anda.

Kadangkala, tindakan undang-undang terhadap majikan tidak praktikal atau memakan masa yang sangat lama.

Namun, saya menggalakkan sesiapa yang dibuang kerja semata-mata kerana menjalankan tugas supaya mengambil tindakan undang-undang. Mempertahankan prinsip dan mengekalkan integriti profesional membawa manfaat besar dalam jangka panjang.

Akauntan meneliti angka, manakala peguam meneliti aspek perundangan dan struktur urus niaga. Kedua-duanya penting.

Apabila sesebuah syarikat berkaitan kerajaan gagal akibat skandal seperti kes Tabung Haji, kerajaan mungkin campur tangan dengan menyediakan pakej kewangan. Tidak praktikal mengharapkan kerajaan tidak campur tangan selagi campur tangan itu wajar dari segi undang-undang.

Saya yakin generasi baharu dalam profesion guaman akan tampil dan berani melawan tekanan politik. Keberanian seperti ini akan membantu membina budaya korporat baharu yang lebih telus, efisien dan berintegriti, yang dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Dr Alima Joned ialah profesor adjung di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya.

Rencana ini berasaskan rencana bahasa Inggeris bertajuk ‘Corruption Scandals and GLCs: When accountants have more clout than lawyers (and what lawyers can do about it)’ yang diterbitkan oleh The Edge Malaysia Weekly edisi 26 October – 1 November 2026. Rencana ini bukan terjemahan rencana tersebut; pindaan dan ubahsuai telah dibuat.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x