
Aliran menjunjung keputusan Agong yang menolak saranan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat dan menggantung demokrasi berparlimen.
Kami lega bahawa ehsan telah muncul mengatasi kekuasaan yang boleh menjatuhkan Malaysia tersungkur.
Darurat demi menjamin kelangsungan pentadbiran Muhyiddin akan merosakkan negara. Ia boleh menggugat ekonomi, yang sedang terkesan teruk akibat rewakan meranah. Pengisytiharan darurat akan beri laluan kepada pemerintahan kediktatoran. Ia boleh melunakkan Parlimen, tempat bersidangnya wakil rakyat yang dipilih, sebagai ruang berdebat, membina kesepakatan dan membuat dasar perundangan. Ia mungkin boleh melemahkan Parlimen sebagai komponen asasi sistem semak dan imbang kita.
Selain itu, ia barangkali boleh menghancurkan sistem demokrasi berparlimen kita.
Untuk beberapa hari hingga malam Ahad, bak tersekat nafas sejagat negara. Banyak kumpulan masyarakat madani, politikus dari kedua belah kutub, akademik, veteran tentera dan anggota-anggota perubatan serta perundangan bersuara terhadap perintah darurat. Beberapa petisyen dalam talian diluncurkan dari pelbagai penjuru.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Laksana suatu semangat baharu melihat banyak kumpulan dan perseorangan bangkit mempertahankan sistem demokrasi berparlimen kita. Ia adalah kuasa rakyat.
Pada malam Ahad [25 Oktober], berkumandang serentak helaan nafas lega seluruh pelusuk negara. Nyaris sahaja nusa di ambang kejatuhan – dan kemudian ia telah dipertahankan daripada demikian rupa.
Amatilah bahawa pihak istana mengiktiraf peranan Parlimen sebagai sebahagian daripada sistem semak dan imbang. Ini bermaksud Ahli-ahli Parlimen mestilah terus memainkan peranan mereka dalam memantau jikalau kuasa eksekutif melampau dan disalah gunakan.
Buat Muhyiddin dan juak-juak penasihatnya yang mengancam negara dengan perintah darurat, perkara mulia untuk dilakukan ialah dengan meletakkan jawatan.
Sementara kepincangan politik negara masih belum selesai, satu perkara sudah jelas: jangan lagi pemimpin negara dan kabinetnya cuba mendapatkan pengisytiharan darurat untuk rosakkan demokrasi berparlimen kita semata-mata bagi menjamin kelangsungan rejim mereka.
Dan juga, kecaman terhadap kumpulan-kumpulan masyarakat madani dan individu yang menyokong darurat atau penggantungan Parlimen. Tak segankah kalian.
Dalam kenyataan kami sebelum ini, kami menggesa kesemua rakyat Malaysia jangan membiarkan kegelapan menyelubungi tanah air dan sebaliknya menyeru dengan lantang dan bersungguh bersama semua yang cakna demi menjunjung demokrasi berparlimen kita.
Rakyat Malaysia bangkit melawan alpa dengan padu dan menunjukkan kesanggupan mereka dengan bersuara lantang mempertahankan sistem demokrasi berparlimen kita. Untuk ini, kami amat tersentuh hati dan panjatkan kesyukuran.
Jawatankuasa eksekutif Aliran26 Oktober 2020
Diterjemahkan oleh Shazni Bhai
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
