
Antara filem yang cukup menghiburkan saya apabila ditonton ialah animasi Zootopia.
Ia memperihal kisah detektif yang menggunakan metafora dan karikatur dalam memberi pengajaran dengan berkesan tentang prejudis, stereotaip, keganasan polis, diskriminasi di tempat kerja, sabotaj melibatkan birokrasi serta jabatan kerajaan yang lembab.
Ada sebuah babak khusus (yang saya jamin kalian akan tergelak) menampilkan watak utama, Judy sang arnab dan Nick sang musang, yang melawan waktu untuk bergegas ke Jabatan Pengangkutan. Malang buat mereka, kesemua kakitangan pejabat terdiri dari mamalia sloth (juga bermaksud pemalas) – menyenangkan, malah cukup senang didekati namun bekerja dengan kadar cukup perlahan.
Kedengaran biasa kan?!
Malangnya, bagi ramai di antara kita di Malaysia, ia sesuatu yang mudah untuk kita fahami – walau ada di antara kita yang akan membidasnya sebagai satu gambaran yang memperakui “mitos peribumi malas” serta gambaran tidak benar terhadap perkhidmatan awam kita yang didominasi oleh kaum Melayu.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Saya sendiri pernah menjadi penjawat awam selama 30 tahun, dan sentiasa merasa marah jika mendengar tanggapan sebegitu berkenaan kurangnya efisiensi serta integriti di dalam perkhidmatan awam kita.
Benar, perkhidmatan awam di Malaysia sudah melalui banyak perubahan semenjak tahun 1960an. Bukan sahaja kadar efisiensi serta keefektifan dalam menunaikan kerja semakin membaik, pengurusan sumber manusianya juga begitu, terutamanya melibatkan kaedah penilaian perkhidmatan serta struktur gaji.
Kita boleh melihat hasil positifnya dari proses digitalisasi, sistem dalam menyelesaikan kerja, serta birokrasi melibatkan jabatan kerajaan. Namun, perubahannya berlaku sedikit demi sedikit, sementara dinamika kuasa di dalam sistem masih kekal tidak berubah.
Neutraliti melawan kesetiaan
Perkhidmatan awam seringkali digambarkan sebagai tulang belakang kerajaan.
Eksekutif yang diundi datang dan pergi setiap kali pilihan raya berlaku.
Namun, pegawai perkhidmatan awam yang tidak diundi inilah yang sentiasa ada dan kekal di dalam sistem sehinggalah mereka bersara, terutamanya jika mereka berharap untuk menerima faedah persaraan perkhidmatan awam. Pegawai awam ini sekali gus memainkan peranan kritikal dalam menentukan keadaan sesebuah negara setiap masa – serta apakah sesebuah kerajaan yang ada itu dapat kekal mentadbir.
Pada 2018 selepas Pakatan Harapan mencipta sejarah dengan menamatkan pemerintahan berterusan oleh perikatan Barisan Nasional diketuai oleh Umno, ada segelintir yang mendakwa wujudnya “daulah terpendam” di dalam perkhidmatan awam.
Namun barangkali ia lebih tepat untuk melihat dakwaan wujudnya tindakan sabotaj dan keengganan untuk menjalankan tugas sebagai tindakan seseorang individu, termasuklah mereka di kalangan pegawai awam yang diundi atau tidak diundi, berbanding sebagai sebuah jaringan tersusun melibatkan para konspirator atau mereka yang melawan.
Pendirian perkhidmatan awam serta etika kerjanya sepatutnya didasari konsep “keneutralan perkhidmatan awam”.
Namun, bagaimana ia benar-benar ditafsir dan dijalankan berubah mengikut dekad. Ia boleh jadi sikap non-partisan serta kepatuhan, kepada tingkah laku serta etika profesional yang mengutamakan kepentingan negara, kepada jenis ‘pak turut’ kepada para menteri yang menjengkelkan serta tidak waras, sekali gus merugikan kepentingan negara.
Ini berlaku lagi-lagi apabila, selama beberapa tahun, batas di antara kerajaan diketuai oleh Umno serta Umno sebagai parti politik menjadi samar-samar dan bertindan. Bagi sesetengah pegawai awam, berkhidmat kepada kerajaan yang ada bersamaan berkhidmat kepada Umno.
Pandangan sebegini dikukuhkan lagi oleh pelantikan pegawai perkhidmatan senior berdasarkan naungan politik serta kesetiaan kepada Umno, terutamanya semenjak 1980an.
Inilah era di mana tempat kerja yang menyemai budaya “Saya setuju dan sokong”. Budaya di dalam perkhidmatan awam kemudiannya menyerupai budaya di dalam parti dominan, Umno, ketika itu.
Namun, selepas pemecatan Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri ketika itu pada 1998 , kesetiaan pegawai awam kepada Umno perlahan-lahan semakin merosot.
Namun, ia masih tidak boleh diterjemahkan kepada kesetiaan tanpa berbelah bahagi kepada “kerajaan perpaduan” yang dipimpin oleh Pakatan Harapan buat masa sekarang. Ingatlah, ketika pilihan raya umum November lalu, calon pembangkang Perikatan Nasionallah yang memenangi kerusi Putrajaya, di mana kebanyakan pengundi adalah pegawai perkhidmatan awam.
Suasana yang membenarkannya berlaku
Semenjak beberapa dekad lalu, pegawai perkhidmatan awam yang mempunyai tahap profesionalisme serta etika kerja tinggi dapat mengenal pasti penyelewengan yang dilakukan oleh pegawai yang perasuah serta tidak berprinsip, sama ada diundi atau tidak.
Namun, seringkali pegawai kerajaan tidak mempunyai suasana yang membenarkannya untuk menyuarakan kebimbangan mereka tanpa berdepan risiko diambil tindakan.
Ramai yang kekal setia kepada kerajaan yang ada hari ini, walaupun berdepan keputusan atau dasar yang secara jelas salah, daripada keluar daripada sistem dan hilang semua faedah yang bakal diterima dek jawatan mereka. Sekali gus, mereka bersekongkol dengan hanya diam dan mematuhi segalanya.
Beberapa orang yang berani menyuarakan pendapat mereka secara terbuka pula sering terpaksa menanggung beban yang berat: mereka dikenakan tindakan tatatertib atau ada yang ‘dipulihkan’ dengan dinafikan kenaikan pangkat, dipindahkan ke lokasi terpencil atau hanya dipinggirkan dengan prospek kemajuan dalam kerjaya mereka malap.
Yang lain pula memilih untuk melawan secara senyap dan rahsia, dengan membocorkan dokumen, mengabaikan arahan atau hanya tidak melaksanakan apa yang mereka lihat sebagai keputusan dan dasar yang tidak baik. Penjawat awam seperti Nor Salwani Muhammad dan Dr Madinah Mohamad, yang mendedahkan bagaimana laporan audit 1MDB didakwa, diusik atas arahan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, melintas di fikiran.
Walau bagaimanapun, keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini untuk membebaskan dan melepaskan Najib serta ketua pegawai eksekutif 1MDB daripada pertuduhan gangguan, ditambah pula dengan penegasan oleh bekas juruaudit negara Ambrin Buang bahawa beliau telah membenarkan pindaan itu, menggambarkan bagaimana konsep neutraliti perkhidmatan awam boleh menjadi sangat subjektif dalam amalan.
Selepas kerajaan pimpinan Umno digulingkan pada 2018, Perdana Menteri yang baru dilantik Dr Mahathir Mohamad mencadangkan untuk menggantikan frasa “Saya yang menurut perintah”, yang digunakan untuk menandatangani semua surat-menyurat kerajaan sejak 2007, kepada “Saya yang menjalankan amanah”.
Walaupun ini mungkin kelihatan remeh atau kosmetik bagi sesetengah orang, kerajaan pimpinan PH mula memikir ulang perkhidmatan awam dengan mengetuai serangan terhadap rasuah dan salah guna kuasa oleh eksekutif yang dipilih, bermula dengan pendakwaan terhadap mantan Perdana Menteri Najib dan beberapa ahli penting kabinetnya.
Inilah yang didesak oleh penyokong dan pengundi PH, tetapi sama ada perkhidmatan awam secara keseluruhan menyokong proses itu boleh dipertikaikan.
Suasana yang memudahkan penyuaraan pendapat, bagaimanapun, mendorong beberapa penjawat awam untuk tampil menyuarakan kebimbangan mereka atau memberikan maklumat yang sangat diperlukan tanpa rasa takut akan tindakan balas.
Mungkin akibat dakwaan mengenai kewujudan ‘deep state’ ketika itu, termasuk dalam kalangan akademik, terdapat kekurangan penglibatan dan pendekatan yang betul dalam melaksanakan dekonstruksi perkhidmatan awam.
Akhirnya, ini menyumbang kepada kerajaan pimpinan PH tidak dapat melengkapkan tempoh pertamanya dalam jawatannya.
Pendekatan Anwar
Dengan Anwar Ibrahim menerajui kerajaan pimpinan PH pada penggal keduanya, dilihat mempunyai pendekatan yang berbeza serta ketara dalam mendekonstruksi perkhidmatan awam.
Pendekatannya lebih kepada menghormati, mendamaikan dan menaikkan semangat, sentiasa menonjolkan kepakaran dan kecekapan yang wujud dalam perkhidmatan awam serta menggalakkan kerja berpasukan dan kerjasama.
PM masih mengulang-ulang pesanannya agar penjawat awam bersikap jujur, cekap dan amanah. Namun, beliau melalukannya dengan kaedah yang tidak mengancam dengan mencuba untuk membina kepercayaan dan mengubah cara fikir dengan memasukkan unsur ajaran Islam, menyedari sepenuhnya akan rasa tidak selamat dan minda tertawan yang mungkin wujud di kalangan segelintir kakitangan awam.
Bermula dari ucapan sulungnya kepada kakitangan awam, Anwar cukup lantang berbicara mengenai tadbir urus yang baik dan keperluan untuk perubahan, terutamanya perubahan atas ke bawah. Beliau telah mengetengahkan masalah ‘kebocoran’, rasuah sistemik serta amalan sakau-menyaka, serta “budaya meminta komisen” dalam perkhidmatan awam.
PM juga telah mengambil tindakan segera untuk menangani perolehan dan kelulusan yang diragui tanpa tender terbuka.
Kita sudah dapat melihat beberapa hasil positif daripada pendekatan atas ke bawah ini. Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini berkata: “Apabila ada dorongan dan kemahuan politik dari atasan, terutamanya perdana menteri, ia memudahkan kerja saya.”
SPRM melaporkan bahawa penjawat awam adalah kelompok terbesar yang ditahan untuk siasatan rasuah dan salah guna kuasa, termasuk banyak kes berprofil tinggi.
Beberapa menteri kabinet telah membuat lawatan dan pemeriksaan mengejut bagi melihat perkhidmatan di hospital kerajaan, stesen komuter dan pusat pemeriksaan imigresen.
Kementerian Pendidikan juga kini telah menubuhkan sistem pemberi maklumat sendiri untuk menerima aduan orang ramai terhadap kakitangannya di semua peringkat termasuk sekolah.
Sudah tentu banyak lagi yang perlu dilakukan, lebih-lebih lagi apabila memandangkan aduan dan kritikan bertali arus yang masih dilemparkan kepada perkhidmatan awam. Ia memerlukan pendekatan bersepadu dengan sokongan daripada semua peringkat dan semua cabang perkhidmatan awam.
Bagaimanapun, Anwar amat menyedari bagaimana terdapat ‘sarang tebuan’ yang tidak boleh dijolok semberono dalam perkhidmatan awam, seperti yang dilihat oleh responsnya terhadap komen mengenai perkhidmatan awam yang didominasi orang Melayu dengan kekurangan kepelbagaian di dalamnya: “Kami tidak mempertimbangkan cadangan itu kerana saya fikir ia bukanlah sebuah masalah sekarang.”
Pengecilan saiz perkhidmatan awam dan kekurangan peluang kemajuan kerjaya bagi penjawat awam etnik minoriti juga merupakan isu yang masih belum ditanganinya.
PM juga telah membuat beberapa keputusan yang bertentangan dan bercanggah, sama ada digerakkan oleh kehendak bebas atau dipaksa oleh keadaan, menyebabkan ramai yang mempersoalkan keikhlasan, motif dan keupayaan beliau untuk membawa perubahan yang ketara di dalam perkhidmatan awam.
Keputusan buruk ini termasuklah pelantikan jawatan awam melibatkan individu yang tercemar oleh rasuah atau pelantikan politik dalam perusahaan milik kerajaan.
Anwar juga mempunyai banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menangani kelemahan institusi yang telah mengakibatkan rasuah dari atas ke bawah dalam perkhidmatan awam dan, yang penting, penguasaan golongan elit terhadap sumber awam melalui kronisme serta pakatan sulit dengan entiti swasta.
Langkah pertama kepada reformasi perkhidmatan awam ialah mengakui bahawa kita ada masalah – dan perlu dihargai, PM telah melakukannya sejak hari pertama.
Membina semula perkhidmatan awam perlu melibatkan perubahan minda dan langkah untuk menangani kelemahan institusi. Ia memerlukan cabaran dan pembongkaran kepada beberapa elemen status quo yang memudaratkan kepentingan negara, sebelum membina semula asas yang lebih baik dan kukuh.
Ia akan mengambil masa dan memerlukan ketabahan dan kesabaran. Jadi PM perlu berhati-hati dalam memupuk hubungan simbiotik dengan perkhidmatan awam.
Peranan kita
Bagaimanapun, membina semula perkhidmatan awam bukan hanya tanggungjawab Anwar dan pentadbirannya. Kita semua mempunyai peranan dalam proses ini.
Bagi memastikan perkhidmatan awam berkhidmat dengan baik dan memenuhi jangkaan kita sebagai ‘pelanggan’, kita perlu memainkan peranan kita. Kita harus memberi penghargaan di tempat yang sepatutnya dan memberi komen apabila perkhidmatan awam gagal dalam komitmennya – dan pada hari ini, media sosial telah menjadikannya lebih mudah.
Sebagai sebuah organisasi masyarakat sivil, Aliran telah melakukan perkara itu, melalui banyak kenyataan akhbar dan tulisan oleh ahli kami.
Jadi, marilah kita terus maju dengan berani dan tekad untuk membina semula perkhidmatan awam yang lebih baik dalam menuntut semula negara kita.
Mary Magdaline Pereira
Editor bersama, surat berita Aliran
29 April 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme
