Home Aliran CSI Ayuh kita bergerak dari Politik Lapuk ke Politik Baru bersama-sama

Ayuh kita bergerak dari Politik Lapuk ke Politik Baru bersama-sama

Ayuh bekerja bersama dalam mengiringi Perubahan serta Harapan bagi Malaysia yang lebih baik bagi pilihan raya akan datang

Young people march against corruption in Kuala Lumpur - BENEDICT LOPEZ

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

Beberapa perkembangan dramatik yang cukup memberi Harapan berlaku sejak bulan lalu

Sungguh tidak disangka, masyarakat sivil serta orang ramai menunjukkan rasa cukup meluat terhadap ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, melibatkan pemegangan sahamnya yang kontroversi itu. Di sini, kita melihat susuk yang sepatutnya bertanggungjawab melawan rasuah di dalam negara. Namun, beliau didakwa memiliki pegangan saham di luar kemampuan serta yang dibenarkan selaku seorang penjawat awam.

Pastinya, ia menandakan wujud percanggahan kepentingan – SPRM sepatutnya menjadi simbol Malaysia melawan rasuah, namun apa yang berlaku adalah integriti ketuanya pula dipersoal secara umum!

Benar, begitu ramai rakyat Malaysia dari pelbagai latar – tua dan muda, dari kelas yang berbeza, serta latar belakang etnik-agama yang rencam – tampil ke hadapan bagi menyatakan betapa meluatnya mereka akan keadaan sekarang. Mereka mahukan Azam untuk meletak jawatan atau pun tidak dibenarkan bertugas sementara.

Orang awam juga tidak yakin apabila melihat bagaimana mereka yang di tampuk kuasa mendukung Azam. Malahan, mereka yang di tampuk kuasa mengkritik pula mereka yang cuba untuk meminta Azam meletak jawatan. Walhal, apa yang dimahukan oleh orang awam adalah sebuah siasatan bebas.

Aliran cukup berbangga di mana kami memainkan peranan penting di dalam kempen ini bagi menyiasat pemegangan saham Azam yang cukup kontroversi itu. Kami melancarkan petisyen dalam talian bagi menuntut perdana menteri untuk menyiasat hal ini.

Beriringan dengan perkara ini, kami juga mengeluarkan kenyataan bersama beberapa NGO terkemuka bagi mewakili suara rakyat Malaysia yang rencam, bagi mendesak siasatan bebas dilakukan melibatkan hal ini serta rombakan sepenuhnya SPRM. Desakan ini memuncak dengan berjalannya perarakan #TangkapAzamBaki pada 22 Januari lalu.

Bagaimana seseorang dapat memperjelaskan sentimen rakyat yang cukup meluat sepanjang bulan Januari 2022 ini yang berlaku sejurus selepas kemenangan selesa gabungan pemerintah di Melaka dan kemudiannya di pilihan raya negeri Sarawak pada akhir 2021 yang lalu?

Barangkali cara kerajaan Perikatan Nasional yang tidak bersedia serta tidak cekap dalam menguruskan banjir besar baru-baru ini turut menyumbang kepada sentimen sebegini.

Banjir di Lembah Klang serta ‘kawasan membangun’

Buat pertama kalinya, banjir menyelubungi kawasan ‘maju’di pantai barat semenanjung Malaysia, terutamanya di Lembah Klang – dan bukan sahaja berlaku di tempat yang jauh, misalannya seperti di Kelantan dan Terengganu, atau Sarawak dan Sabah seperti yang berlaku kebiasaanya.

‘Kawasan maju’ ini lebih tersusun, namun kurang kehijauannya: di mana sungai diubah menjadi longkang. Berbeza dengan keadaan muka bumi yang lebih alamiah, lebihan air tidak dapat diserap masuk ke dalam tanah.

Jadi, sungai yang dikonkritkan serta ditukar menjadi longkang itulah yang mengakibatkan air hujan penuh di dalam longkang dan sekaligus menjadikan air naik begitu deras. Selama tiga hari, itulah apa yang berlaku di Lembah Klang serta sebahagian kawasan di Pahang.

Kita semua pastinya menerima serta menonton begitu banyak video, hantaran di Instagram, klip TikTok, meme, serta maklumat di WhatsApp (dan segala macam benda lain!) tentang banjir, yang kemudiannya kita turut kongsikan kepada yang lain.

Terdapat sesetengah dari kita turut turun untuk membantu saatnya paras air meningkat atau ada yang bersama membersihkan selepas banjir mereda. Ada juga yang membantu dengan mengumpul bantuan bagi membantu rakyat Malaysia lainnya untuk membina semula rumah mereka.

Perlu juga ditekankan bahawa banjir kali ini turut melanda masyarakat bandar yang terpelajar dari kelas menengah melibatkan beberapa kota. Menyaksikan bagaimana kawasan perumahan, taman, lebuhraya serta gedung membeli-belah; sekolah, kuil, masjid serta gereja; dan kenderaan mereka sendiri tenggelam pastinya meninggalkan kesan buruk kepada rakyat Malaysia yang terkesan. Rujuk rencana oleh JD Lovrenciear berjudul “Flood havoc: Choose capable leaders to save Malaysia” yang ditulis pada Januari 2022 bagi maklumat lanjut.

Sewaktu banjir melanda, wujud gabungan NGO baru yang muncul bagi menuntut agar kerajaan mengambil kisah keadaan mereka yang terkesan dengan lebih serius. Mereka mendesak agar kerajaan melaksanakan usaha jangka masa panjang melibatkan pembangunan mapan bagi menyelesaikan masalah melibatkan banjir kilat – kerana banjir yang berlaku melibatkan beberapa faktor seperti pembalakan yang semakin banyak, pembangunan yang tidak dirancang baik, serta perubahan dalam pengurusan sungai.

Pada masa sama, Ombak-Ombak ARTStudio yang aktif di Pulau Pinang, juga meraikan ulangtahunnya yang ke-10 dengan mengimbau semula persembahan mereka melibatkan apa yang berlaku di Sungai Pinang, lembangan sungai terbesar di Pulau Pinang. Jadi, untuk beberapa bulan lamanya, mereka menyediakan persembahan yang menggabungkan wayang, tarian serta muzik yang berjudul Wayang Pacak – Seruan Nadi: Tangisan Sebuah Sungai Yang Nazak. Persembahan ini diadakan di Pulau Pinang pada 17 dan 18 November 2021, yang turut distrim secara langsung kepada penonton dengan lebih ramai.

Melihat kepada apa yang berlaku sewaktu banjir di Lembah Klang, Ombak-Ombak turut menyediakan video persembahan mereka, termasuklah klip bagaimana kita tidak sepatutnya ‘melayan’ sungai kita, bagi tujuan kesedaran orang ramai. Jemputlah semak artikel Tan Sooi Beng berjudul “Twist of fate? Dance musical about rivers under threat coincides with overflowing rivers in Selangor”, di mana anda akan dapat melihat videonya juga. Layan!

Ramai yang terkesan akibat dari respon yang tunggang-langgang – ZUNAR

Meluat dengan banjir, meradang dengan kontroversi Azam Baki

Ketidakcekapan kerajaan dalam menguruskan banjir kilat ini turut menyumbang kepada sentimen kritikal rakyat terhadap yang berkuasa.  

Rakyat barangkali terfikir bahawa pemimpin PN ini cukup tidak sabar untuk berkuasa pada pilihan raya umum akan datang dan kemudiannya memilih untuk berkuasa menggunakan pintu belakang Sheraton.

Namun, mereka juga tidak cekap dalam membaik pulih ekonomi serta melawan Covid. Mereka juga tidak tahu caranya bagi memperbaiki tahap universiti serta sekolah yang semakin memburuk, dan kini, mereka ‘bingung’ dalam menguruskan banjir juga! Lebih buruk lagi, ada yang sekadar mahu tangkap gambar dan berswafoto dengan diri sendiri ketika melawat mangsa banjir. Cukup memalukan!

Sikap kritikal yang muncul ini sekali gus membawa kepada kesedaran tentang rasuah yang berleluasa melibatkan mereka di tampuk kuasa. Bayangkan, selepas beberapa kali bertukar perdana menteri serta sesi penghakiman yang meleret sehingga beberapa tahun, yang melibatkan dua skandal kewangan terbesar yang pernah disaksikan oleh negara ini – SRC International serta kes 1MDB – namun nampaknya tiada apa yang berlaku.

Kita dimalukan di seluruh dunia namun nampaknya tiada apa yang berlaku bagi mengembalikan maruah kita. Sebaliknya, bekas Perdana Menteri Najib Razak, seorang penjenayah yang dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta didenda sebanyak RM210 juta pada Julai 2020 akibat dari penglibatannya dalam rasuah, tetap kekal bebas. Bahkan, beliau dengan beraninya turut terlibat dalam kempen pilihan raya!

READ MORE:  Tindakan SKMM menyekat paparan dalam talian semasa banjir dikecam (Malay/English)

Juga ada beberapa pendengaran kes yang turut dilambat-lambatkan melibatkan beberapa yang lain, termasuklah melibatkan presiden Umno Zahid Hamidi. Ada juga beberapa kes di mana pemimpin yang terlibat kemudiannya dibebaskan dari pertuduhan (‘dilepaskan tanpa dibebaskan’), termasuklah bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman dari Umno.

Saya percaya rakyat Malaysia dari kelas menengah serta dari latar belakang etnik, khususnya di kawasan bandar, pastinya semakin meradang dengan segala macam kisah rasuah ini – seperti kisah di mana ada keluarga diraja Saudi yang memasukkan berbilion dolar ke dalam akaun seseorang; bagaimana wujudnya akaun yang dimiliki oleh sebuah yayasan untuk membuat kerja amal kebaikan, dan kini, bagaimana seorang adik menggunakan akaun abangnya untuk menjalankan proses jual beli saham.

Anak muda menyusun

Pada 22 Januari, sekitar ribuan anak muda Malaysia berkumpul di Bangsar (ha ha, bukannya di Sogo seperti yang diumumkan awal!) bagi menuntut ketua SPRM Azam Baki agar ditangkap, saatnya begitu banyak usaha bagi beliau memperjelaskan kontroversi melibatkan pemilikan sahamnya itu seakan sia-sia. Mereka juga mahukan SPRM untuk dialihkan dari Jabatan Perdana Menteri dan diletakkan di bawah Parlimen, serta anggota baru untuk dilantik ke SPRM.

Kontroversi ini berlanjutan selama beberapa minggu, termasuklah di Parlimen, di mana perkara berkaitan pemilikan saham ini turut dibahaskan. Nampaknya, nilai saham yang dimilikinya itu cukup tinggi berbanding dari apa yang dibenarkan oleh seorang penjawat awam dengan pangkat yang sebegitu besar. Paling mengarut, beliau memberikan alasan bahawa adiknya telah menggunakan akaun di bawah namanya bagi membeli saham tanpa pengetahuannya!

Azam dipanggil ke jawatankuasa terpilih parlimen bagi menjawab persoalan ini. Namun beliau membantah atas alasan bahawa perbincangan ini boleh dikategorikan sebagai sub judice kerana beliau sudah memfailkan saman fitnah terhadap wartawan yang melaporkan pemilikan sahamnya yang cukup kontroversi itu. Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat mengkritiknya kerana ingkar kepada Parlimen – pastinya tanpa memberi apa-apa kesan.

Memburukkan lagi keadaan, Suruhanjaya Sekuriti turut melihat akaunnya dan merasakan tidak wujud sebarang proksi, melainkan Azam sendiri yang menguruskan akaunnya. Sekali gus, ia bermakna bahawa Azam menipu sewaktu beliau mendakwa pada awalnya bahawa adiknyalah yang menguruskan akaun tanpa pengetahuannya.

Tambah memelikkan, Azam, serta SPRM sendiri, mengalu-alukan hasil penyiasatan Suruhanjaya Sekuriti itu.

Lanjutan itu, anggota panel penasihat SPRM juga mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak dirunding oleh pengerusi panel, yang sebulat suara mahu membebaskan Azam dari tuduhan!

Pemimpin perarakan protes dilaporkan turut melibatkan sayap pemuda parti politik serta aktivis. Malam sebelum protes, siri ceramah ‘Pentas Anak Muda’ dianjurkan di Bangsar, bagi menyeru penglibatan orang awam bagi perarakan #TangkapAzamBaki keesokan harinya.

Selepas perarakan, polis memanggil dan menyoal beberapa pemimpin anak muda. Mereka termasuklah timbalan presiden Muda, Dr Thanussha Francis Xavier; pemimpin muda Amanah Mohd Hasbie Muda, timbalannya Zubair Rahim termasuklah ahli jawatankuasa Asmaaliff Adam dan Abbas Azmi; ketua Pemuda DAP Howard Lee; setiausaha Angkatan Muda Keadilan Ahmad Syukri Abd Razak serta anggota parti dan aktivis Adam Adli; pengerusi Jalinan Nusantara Malaysia Mohd Azam Mektar; pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Abu Hafiz Salleh Hudin; peguam Bakri Omar; dan aktivis media sosial Amira Aisha.

Selain dari anak muda melibatkan sembilan parti politik pembangkang, terdapat 23 NGO lain – termasuklah Aliran, Abim, Gerak, Patriot, Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall Youth dan Pusat Kegiatan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) – yang disenaraikan sebagai penganjur jawatankuasa bertindak protes #TangkapAzamBaki.

Ia cukup mengarut di mana enam jalan utama serta 24 stesen keretapi melibatkan empat laluan – sekitar Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid Jamek di Kuala Lumpur – ditutup oleh polis pada 22 Januari pada jam 7 pagi.

Melihat kepada sekatan yang diarahkan oleh pihak polis, para demonstran kemudiannya ‘mengalihkan’ perarakan ke Bangsar. Di sana, ribuan pegawai polis, termasuklah unit Light Strike Force, dikerah bagi berdepan para demonstran yang jelas lebih kecil bilangannya!

Petisyen Aliran; kenyataan bersama masyarakat sivil

Pada 1 Januari 2022, tiga minggu lalu, Aliran memulakan petisyen dalam talian bagi menuntut perdana menteri bagi menyiasat kes Azam Baki.

Usaha Aliran ini dimulakan sejurus selepas peletakan jawatan Dr Edmund Terence Gomez, seorang ahli ekonomi dan politik tersohor, yang juga merupakan ahli Aliran, dari panel pencegahan rasuah dan perundingan yang ditubuhkan SPRM.

Walaupun permohonan serta peringatan oleh Gomez terhadap SPRM bagi melihat isu pemilikan saham yang cukup kontroversi melibatkan Azam – yang di mana, jika benar, menandakan wujud percanggahan kepentingan melibatkan peranannya sebagai ketua SPRM – namun ketua panel tidak menjalankan sebarang penyiasatan.

Petisyen Aliran juga menyeru agar penyusunan SPRM dijalankan bagi memastikan ketelusan.

Ia juga menuntut agar SPRM diletakkan di bawah Parlimen berbanding Jabatan Perdana Menteri, di mana ia dapat diselia oleh jawatankuasa istimewa terpilih parlimen yang rentas parti. Di sini, sekurang-kurangnya, ia dapat bertindak dengan lebih bebas.

(Sehingga sekarang, hampir 20,000 orang menandatangai petisyen. Jika kalian belum membaca petisyen dan menandatanginya, silakan berbuat demikian sekarang di sini.)

Begitu banyak artikel di media arus perdana, dan lebih banyak lagi di media sosial yang menuntut agar dakwaan terhadap Azam disiasat.

Menariknya, bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang juga seorang penjenayah, turut menyatakan sokongan terhadap SPRM! Beliau mengutuk para pengkritik yang melakukan ‘serangan terpilih’ terhadap SPRM. Pemimpin Pas, Hadi Awang pula mendakwa serangan ini adalah usaha pembangkang serta para pengkritik Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob serta kerajaan yang diperintahnya.

Beberapa pihak yang mempertahankan Azam pula cuba untuk mengalihkan kontroversi ini menjadi sebuah isu perkauman. Jelas yang ketika isu ini panas, beberapa kenyataan berterusan yang menghentam kewujudan sekolah rendah vernakular di dalam negara turut dimainkan. Syukurlah yang kenyataan sampah berbaur perkauman ini tidak mendapat perhatian – kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini sepakat mengutuk apa yang berlaku melibatkan Azam.

Pada 11 Januari, Aliran bersama kelompok gerakan sivil seperti Gerak, Patriot dan Suaram, mengeluarkan kenyataan menuntut agar tindakan diambil ke atas Azam. Empat puluh lima NGO yang lain – termasuklah Abim, Bersih, G25, Ikram, Gabungan Bertindak Malaysia, Ideas dan Centre for Independent Journalism – menyokong kenyataan ini.

Melihat bagaimana SPRM cuba untuk mempertahankan Azam, NGO ini kemudiannya menuntut agar siasatan bebas dilakukan ke atas krisis yang berlaku. Tanpa siasatan bebas ini, bagaimana SPRM dapat mengembalikan kredibilitinya semula?

Mereka juga menuntut agar pasukan penyiasat bebas untuk memahami bagaimana pengerusi penasihat SPRM itu cuba untuk mempertahankan Azam tanpa berunding dengan anggota lembaga yang lain.

READ MORE:  Hundreds of lawyers join walk for the independence of the judiciary

NGO ini juga ingin mengetahui bagaimana ketua SPRM ini membenarkan adiknya untuk membeli saham menggunakan akaun sekuritinya walhal ia boleh jadi sebuah kesalahan undang-undang. Sila rujuk kenyataan penting yang didukung oleh 49 buah NGO ini yang merupakan sebuah gambaran latar belakang warga Malaysia yang cukup rencam dari soal etnik dan agama.

Perubahan yang dicapai menerusi MoU

Sebuah lagi berita yang memberi Harapan kepada kita melibatkan barisan pembangkang ‘tradisional’. Barangkali kalian ada membaca rencana oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, berkenaan dengan status memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh pembangkang dengan Ismail Sabri ketika beliau naik ke tampuk kuasa pada pertengahan 2021 lalu.

Ketika itu, ramai rakyat Malaysia yang gusar akan keadaan semasa negara – dengan pandemik Covid yang semakin memburuk, ekonomi merudum dan penggangguran meningkat, serta segala macam percaturan politik sejurus selepas Langkah Sheraton.

Jadi, berbanding memilih untuk mencabar Ismail Sabri lewat undi tidak percaya di dalam Parlimen, yang barangkali akan mengakibatkan pembubaran serta sekali lagi pilihan raya saat pandemik semakin memburuk, pihak pembangkang yang mengikut permohonan Agong, bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan baru. MoU itulah hasilnya.

Tampaknya, terdapat 18 tuntutan yang dipersetujui. Menurut Wong Cheng, 13 dari tuntutan ini sudah diselesaikan, tiga masih belum selesai, dan dua lagi masih berlangsung.

Perubahan yang diselesaikan adalah:

  1. Penurunan umur minimum mengundi ke umur 18
  2. Perubahan keperlembagaan Perjanjian Malaysia 1963
  3. Memasukkan ahli parlimen pembangkang ke dalam majlis pemulihan kebangsaan
  4. RM45bn untuk Covid
  5. Penambahbaikan bagi pedekatan mencari, menguji, menjejak, mengasing dan menyokong serta pemvaksinan
  6. Bantuan RM10bn melibatkan 11 juta penduduk yang terkesan
  7. Pengecualian bunga bank bagi warga miskin
  8. Bantuan bagi perusahaan kecil dan sederhana 
  9. Bekalan vaksin yang mencukupi
  10. Memperkasa ahli jawatankuasa terpilih parlimen
  11. Peruntukan samarata bagi MP (tanpa mengira parti)
  12. Kepengerusian jawatankuasa terpilih yang seimbang
  13. Menaikkan kedudukan ketua pembangkang bersesuaian dengan sistem demokrasi Westminster

Tuntutan yang belum diselesaikan adalah:

  1. Undang-undang mengekang lompat parti (dijangkakan pada Jun 2022)
  2. Mengehadkan jawatan PM selama tempoh 10 tahun (dijangkakan pada Mac 2022)
  3. Akta Perkhidmatan Parlimen (dijangkakakan pada Mac 2022).

Nampaknya, perbincangan masih berlangsung melibatkan lagi dua perkara iaitu:

  1. Kebebasan kehakiman
  2. Reformasi melibatkan peraturan mesyuarat Parlimen

Tampaknya menerusi rencana Wong Chen ini, pembangkang juga berkongsi tanggungjawab bersama bagi menambah baik keadaan di Malaysia bagi menguruskan pandemik Covid.

Statistik yang seringkali dibentangkan oleh menteri kesihatan menunjukkan hampir 90% dari populasi dewasa di Malaysia sudah menerima suntikan yang pertama dan kedua, sekali gus menempatkan Malaysia di antara negara penerima vaksin paling tinggi di dunia. Ia sesuatu yang boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan masa yang dihadapi pada awalnya, termasuklah kekurangan akses kepada vaksin serta tindak balas caca-marba oleh bekas menteri kesihatan ‘air suam’ ketika itu. Ia sesuatu yang baik juga untuk pembangkang berjaya untuk mempengaruhi dan memberi tekanan kepada kerajaan supaya meneruskan bantuan RM45bn bagi menguruskan Covid.

Juga, pembangkang menyatakan bahawa mereka memainkan peranan dalam mempengaruhi kerajaan bagi membiayai serta memperkenalkan program pemulihan ekonomi. Ia termasuklah memastikan dana sebanyak RM10bn disediakan bagi warga Malaysia yang terkesan, membantu perusahaan kecil dan sederhana serta mengecualikan bunga bayaran bank kepada warga miskin.

Paling penting, kerajaan dan pembangkang juga harus berbangga dalam meluluskan usul bagi menurunkan umur minima pengundi ke 18. Ya, usul ini diterima ketika saat akhir sewaktu Mahiaddin Yasin menjadi PM. Jadi, ia sesuatu yang cukup baik ia akhirnya diluluskan.

Nampaknya, pengundi baru sekarang tidak lagi perlu mendaftar untuk mengundi. Menurut Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pilihanraya, nama mereka akan dimasukkan ke dalam senarai pengundi dan mereka akan dapat mengundi pada pilihan raya negeri Johor yang akan datang, jika mereka mahu.

Syabas juga kepada kerajaan kerana meluluskan pendaftaran parti baru, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dengan atau tanpa desakan pembangkang.

Memasukkan semula agenda Perjanjian Malaysia juga cukup signifikan. Benar, ia menyumbang kepada kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak pada pilihan raya negeri baru-baru ini. Lebih penting, ia juga mengembalikan janji Kuala Lumpur untuk autonomi dalam beberapa bidang ke Kuching dan Kota Kinabalu, seperti yang dipersetujui ketika mereka menjadi sebahagian dari Malaysia pada tahun 1963.

Pun begitu, saya kecewa bahawa agenda untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan tidak dimasukkan di dalam senarai MoU. Saatnya di seluruh dunia bergerak bagi mendesentralisasi kerajaan bagi menggalakkan demokrasi partisipatori serta pentadbiran yang efektif di peringkat tempatan, kita masih enggan untuk mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican, mendakwa bahawa tiada keperluan untuk berbuat demikian, kerana sistem lantikan sedia ada sudah pun berfungsi sebaiknya. Beliau takut jika berlaku pemilihan di peringkat tempatan, ia akan mengganggu mereka yang ingin berkhidmat dari melakukan kerja mereka dengan baik.

Tambahan lagi, beliau berkata, menganjurkan sebuah lagi peringkat pilihan raya akan melibatkan belanja sebanyak RM302 juta setiap dua tahun, kerana ini akan melibatkan 151 kawasan tempatan di mana setiap kawasan menelan belanja sebanyak RM2 juta (The Malay Mail, 9 December 2021).

Jelas, menteri ini tidak tahu apa yang diperkatakannya. Ingat, Indonesia dan Filipina, yang kedua-duanya bukanlah sebuah negara persekutuan, juga menjalankan reformasi yang menyeluruh bagi proses desentralisasi kerajaan tempatan, termasuklah mengembalikan pilihan raya di peringkat tempatan. Keduanya, lebih-lebih lagi Indonesia, menunjukkan pembangunan ekonomi yang baik di peringkat tempatan selepas itu.

Jadi, mengembalikan pilihan raya tempatan merupakan tuntutan yang sepatutnya diutamakan pada pilihan raya akan datang.

Begitu juga, bagi mendesentralisasikan sistem pendidikan; desentralisasikan pengurusan bencana, termasuklah bagi menyelesaikan permasalahan banjir kilat; dan, pastinya untuk menyusun semula SPRM dan meletakkannya dari Jabatan Perdana Menteri ke Parlimen bagi melawan rasuah.

Reformasi kehakiman, yang merupakan salah satu perkara dalam MoU juga tampaknya berlaku cukup perlahan, di mana ia turut berkait soal melawan rasuah. Jadi, ia juga mesti diutamakan.

Politik lapuk lawan baru

Politik lapuk di Malaysia dikuasai oleh kelompok kecil elit yang bergantung kepada parti politik berdasarkan kaum sejak 60 tahun yang lepas. Mereka hanya berpaut kepada Barisan Nasional, sebuah gabungan rentas kaum yang dikuasai oleh Umno.

Parti politik yang membentuk BN juga terlibat dengan aktiviti perniagaan – membuka bank, empayar media, konglomerat pembinaan serta perusahaan pendidikan. Selagi mana parti ini berfungsi di dalam sistem naungan, yang menanggung anggotanya yang di bawah, sokongan kepada elit BN akan kekal utuh.

READ MORE:  Happy Lunar New Year … a heady Year of the Tiger awaits…

Namun, sistem naungan yang sebegini pastinya membawa kepada ‘politik wang’, yang selangkah menuju rasuah dan nepotisme. Tidak mengejutkan, politik lapuk bergelumangan dengan rasuah sehingga mereka yang di puncak kuasa. Jangan kita lupa bahawa bekas Perdana Menteri Najib sendiri dijatuhkan hukuman bersalah kerana rasuah.

Politik baru, kita berharap, dapat merentasi kaum serta terpelihara dari politik wang serta naungan. Politik begini akan membuka ruang agar pilihan raya bebas dan bersih digerakkan oleh penglibatan yang demokratik, termasuklah di peringkat tempatan.

Kita juga berharap agar sebuah gabungan rentas kaum dapat menggantikan Umno-BN, yang sudah pun berkuasa lebih 50 tahun lamanya. Kita hanya dapat berharap bahawa barangkali akan wujud penggiliran kuasa di antara gabungan politik yang merentas kaum ini.

Jadi, kita cukup teruja apabila gabungan Pakatan Harapan, yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohamad, mengalahkan Umno-BN pada pilihan raya umum 2018 yang lalu.

Kita hanya berharap agar wujud pendemokrasian yang meluas melalui perubahan di institusi penting seperti kehakiman, polis, SPRM, universiti serta sistem pendidikan secara keseluruhan.

Serta semua undang-undang yang menindas dapat dimansuhkan, harapnya.

Barangkali kita juga akan dapat menyaksikan lebih banyak rundingan dengan rakyat sebelum sesebuah polisi digubal melalui penubuhan jawatankuasa terpilih parlimen.

Atau adanya suruhanjaya inkuiri diraja yang baru ditubuhkan bagi menyiasat beberapa masalah kronik, misalnya bermula dengan isu rasuah yang cukup berleluasa.

Begitulah harapan kita dengan wujudnya Politik Baru.

Pun, apa yang berlaku adalah sebaliknya! Keputusan pilihan raya umum 2018 digagalkan dengan terjadinya Langkah Sheraton pada Februari 2020. Harapan bagi sebuah politik baru hilang.

‘Politik P Besar’ lawan ‘politik p kecil’

Parti lama seperti Umno-BN, pembentukan parti serta gabungan yang baru, mengadakan pilihan raya – semua ini berkait rapat dengan ‘Politik P Besar’, ruang politik prosedur yang hanya kisah dengan pergulatan merebut kekuasaan. Politik P Besar ini dikuasai oleh Umno-BN lebih dari 60 tahun. Rakyat biasa tidak mempunyai suara atau kuasa terhadap Politik P Besar yang sebegini. 

Mujur, wujud sebuah bentuk politik baru: ‘politik p kecil’, yang bergerak di luar kerangka parti politik serta pilihan raya formal. Ia digerakkan oleh kelas menengah yang terpelajar, terutamanya mereka yang muda. Ruang politik ini termasuklah isu serta advokasi berkaitan pentadbiran yang telus; melibatkan isu hak asasi dan keadilan, termasuklah buat pekerja migran, Orang Asli dan Orang Asal; kesetaraan gender, pembangunan mampan serta pemuliharaan alam sekitar serta budaya warisan, termasuklah bagi menaikkan muzik dan seni berasaskan rakyat. Melawan rasuah serta kronisme, serta berusaha untuk mendampingi rakyat dari latar etnik-agama yang berbeza menerusi dialog rentas agama juga turut menjadi asas kepada politik p kecil.

Ya, mereka yang cenderung kepada politik p kecil ini menuntut untuk didengar suara dan berunding. Mereka gemar menghadiri mesyuarat peringkat tempatan, menandatangani petisyen serta mengeluarkan kenyataan bersama. Mereka juga celik IT dan menggunakan Facebook, Twitter, WhatsApp, TikTok, Instagram dan YouTube bagi menyebarkan pendapat, sumber serta maklum balas mereka.

Mereka juga menghadiri protes besar-besaran seperti Bersih dan juga sekecil-kecil protes seperti #TangkapAzam Baki. Mereka gemar menganjurkan ‘flash mob’ di jalanan serta di gedung beli-belah.

Mereka semua terdedah kepada, jika tidak terlibat secara terus, dengan bentuk politik p kecil yang sebegini dalam mengedepankan tuntutan dan isu mereka dengan tidak semestinya kisah untuk semata-mata mengundi bagi menukar kerajaan dari semasa ke semasa.

Bekerja bersama

Sentimen kecewa dengan Politik P Besar, bukan saja dengan mereka yang berkuasa tetapi juga dengan pembangkang, serta pemimpin mereka juga tampaknya semakin meluas.

Akhirnya, ada ura-ura, terutamanya di antara kelompok NGO “untuk buat hal sendiri”, “untuk menubuhkan parti sendiri” serta berniat “untuk meletakkan calon mereka sendiri”, dengan tujuan akhir bagi menjalankan rancangan mereka pada pilihan raya akan datang.

Saya merasakan ia sebuah langkah yang barangkali tidak memberikan apa-apa manfaat. Benar yang masalah wujud dengan parti pembangkang serta pemimpin mereka yang sedia ada. Namun, rancangan ini perlu difikirkan dengan penuh cermat dan perlulah sokongan yang meluas. Mana-mana parti alternatif yang baru perlu bersedia untuk bertanding di kebanyakan kerusi dan bersedia untuk menang selepas kiraan undi selesai: sasarannya hanya satu – membentuk kerajaan baru. Namun rancangan sebegini nampaknya tidak pernah dibincangkan dengan orang awam.

Tidak seperti anak muda di Myanmar, kita di Malaysia tidak mengambil jalan revolusionari untuk berkuasa. Tidak juga seperti mereka yang di Indonesia, yang cukup teruja dengan pemimpin baru mereka, yang cukup berbeza dengan pemimpin tentera sebelum ini. Di Indonesia, gerakan reformasi terus bergerak.

Pilihan di Malaysia cukup terhad dan sungguh terbatas. Walaupun betapa kecewanya kita, namun kita harus mencuba untuk mengahwinkan penglibatan politik p kecil yang partisipatori ini dengan Politik P Besar, melibatkan NGO yang bergerak berasaskan politik tuntutan serta proses pilihan raya formal berasaskan parti dan bagaimana mereka dapat membicarakan isu yang luas secara serentak.

Kita tidak boleh menilai begitu tinggi impak daripada aktivisme berasaskan NGO yang digerakkan isu – seperti memprotes isu Azam Baki yang cukup kontroversi ini atau apabila menuntut agar kerajaan lebih bersedia dalam menguruskan banjir.

Pada waktu sama, kita juga jangan memandang rendah kesan, pengaruh serta kemampuan parti politik tertentu untuk ‘membeli’ (di mana di Malaysia, mereka mempunyai sumber – melibatkan media arus perdana, kewangan yang kukuh bagi membiayai proses pilihan raya, serta jentera gerak kerja sama ada yang dimiliki oleh parti atau pun oleh kerajaan, yang digunakan bagi parti mereka sendiri). Mereka juga ada kemampuan untuk menurunkan umur mengundi ke 18, memasukkan semula agenda berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 dan bermacam-macam perkara lagi.

Parti politik juga punya cara mereka tersendiri untuk menyaingi NGO. Mereka pastinya berupaya untuk memanipulasi media serta memburuk-burukkan individu atau kelompok (bahkan parti pembangkang dan pemimpin mereka). Mereka boleh ‘merampas’ perbincangan yang serius dan mengubahnya menjadi sebuah perkara hitam-putih, melagakan kita di antara satu sama lain dan kadang menjadi cercaan yang berbaur perkauman.

Oleh kerana itu, kita di NGO ini perlu bekerja bersama dengan pembangkang, tidak kiralah seburuk dan sebaik mana pun keadaannya. Kita yang berada di ruang politik p kecil perlu terus bekerjasama dengan mereka yang berada di dunia Politik P Besar. Bersama, kita berupaya memberi Harapan dan kemungkinan Perubahan yang lebih Baik.

Ayuh kita bersedia menuju ke pilihan raya bersama-sama. Ayuh kita bergerak dari Politik Lapuk ke Politik Baru bersama-sama.

Francis Loh
Editor bersama, surat berita Aliran
31 Januari 2022

Terjemahan oleh Zikri Rahman

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:


The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments

Most Read

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x