
Isu minyak sawit perlu diletakkan dalam gambaran lebih besar iaitu pelepasan karbon dioksida, perubahan iklim, campuran sumber tenaga dan keselamatan makanan. Tulisan oleh Paul Lim.
Saya telah baca rencana Ch’ng Chin Yeow tentang menukarkan minyak sawit sebagai keluaran bermutu tinggi dan berhajat untuk tambahkan sisi pandang daripada Kesatuan Eropah.
Mengapa? Dalam serangan Malaysia terhadap Kesatuan Eropah oleh menteri kerajaan, telah disebutkan orangutan dan NGO yang berjuang untuk mereka. Tetapi isu ini adalah lebih besar daripada melindungi orangutan.
Rencana Ch’ng memberikan pertimbangaan terhadap persijilan Malaysia: untuk memudahkan penerimaan minyak sawit dan barangan pengguna Malaysia seperti kosmetik dan keluaran makanan.
Kerajaan Malaysia telah mendesak penerimaan Kesatuan Eropah terhadap persijilan Malaysia. Namun terdapatnya produk tanpa minyak sawit di para-para pasar raya membuktikan bahawa minyak sawit bukan tiada gantinya.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
- Make a pledge or schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter
- Become an Aliran member
Isu minyak sawit digunakan bukan sahaja dalam pembuatan malah juga dalam biodiesel – inilah peluru dalam serangan Malaysia. Terikat dengan ini adalah satu lagi dimensi: kegunaan minyak sawit dalam Malaysia itu sendiri. Ia adalah saling berjalin.
Dagang luaran minyak sawit
Pengusahaan kelapa sawit telah menggantikan penanaman getah, dan Malaysia bukan lagi pengeksport getah nombor satu. Ini adalah warisan monokultur semenjak zaman penjajahan British, membawa ke merdeka – bertukar daripada satu tanaman kepada yang lain.
Apa lagi lepas ini? Nyiur seperti di Filipina? Koko seperti di Vietnam? Semuanya berkenaan menjana keuntungan besar untuk pemilik, pemegang saham, syarikat – baik milikan kerajaan dan swasta – dengan menjualnya ke luar negara. Amerika Syarikat, Eropah, India dan China adalah destinasi eksport yang utama.
Kesilapan Malaysia adalah dengan meletakkan kesemua telurnya dalam satu atau hanya beberapa bakul seperti Amerika Syarikat, Eropah, India dan China. Ini adalah pemikiran jangka pendek. Ini menjadikan negara terlalu bergantung dan berharap kepada perdagangan luaran.
Minyak sawit (dulunya getah) adalah tonggak sektor perusahaan utama, yang lain pula adalah petrol. Berapa lama boleh Malaysia bergantung kepada kedua-dua produk ini bagi menampung ekonominya? Apakah pemberat kepentingan sektor pembuatan? Adakah pelancongan akan menjadi satu lagi kebergantungan luaran? (Ekonomi negara-negara Eropah selatan juga amat bergantung kepada pelancongan.)
Jika Malaysia perlukan pengeluaran tanaman kontan untuk eksport, maka ia adalah cerminan bahawa pembuatan, penindustrialisasi dan revolusi industri keempat bukan di dasar yang kukuh. Kita mestilah mempelbagaikan keseluruhan ekonomi.
Pada isu boikot Kesatuan Eropah ke atas minyak sawit Malaysia, mantan menteri industri utama sering mengutarakan penat lelah pekebun kecil, namun sedikit sahaja yang diperkatakan mengenai orang besar dalam industri minyak sawit. Pekebun-pekebun kecil ini digalakkan, dibekalkan dengan benih dan digalakkan untuk sertai pengeluaran minyak sawit bagi menjana lebih lagi pendapatan dan keuntungan. Ini dipromosikan sebagai cara untuk mengangkat rakyat keluar daripada kemiskinan.
Memang elok membawa soal moraliti ketika berbicara tentang mata pencarian pekebun kecil kepada Kesatuan Eropah. Tetapi kita mungkin tidak sedar ada peladang-peladang di Eropah yang membunuh diri setiap hari kerana tidak dapat meneruskan hidup dengan tanaman mereka walaupun terdapat bantuan Kesatuan Eropah dan kerajaan. Tidakkah ini lebih dramatik? Eropah juga perlu menjaga petani-petaninya dan mempertahankan kepentingan komuniti pertaniannya.
Pekebun kecil Malaysia telah dijual dengan suatu impian, dan hatta mereka beralih daripada menanam lain-lain tanaman yang mereka telah pun usahakan. Tidakkah ini mentaliti dan logik yang sama kita lihat dalam penjualan durian Musang King kepada China? Mensasarkan keuntungan lumayan dari China, pada hakikatnya orang besar sedang mengawal pekebun kecil kebun durian.
Keselamatan makanan sebagai keutamaan di pertiwi Malaysia – dan apa ada dengan Eropah?
Gambaran yang lebih besar ialah tentang keselamatan makanan, mampu diri makanan dan keterjaminan makanan. Malaysia bukan lagi cukup dengan beras, makanan ruji kita, dan telah sekian lama mengimport lebih kurang 30-40% beras sejak 30 tahun kebelakangan.
Bolehkah pekebun kecil kelapa sawit ini yang mata pencarian mereka dipertaruhkan, bercucuk tanam tanaman lain untuk pengguna Malaysia? Bolehkah tanah kelapa sawit dengan pencemaran tahap tinggi ditukar kepada tanah untuk pengeluaran makanan? Bertahun-tahun disirami racun perosak dan fungus akan ada akibatnya pada tanah itu.
Negara mesti memikirkan semula keutamaannya. Bukankah matlamat pertanian untuk menyediakan rakyat dengan makanan bermutu, selamat berbanding daripada mengeksport pula ke Singapura? Berapa ramai keluarga Malaysia menggunakan minyak sawit untuk memasak, membikin kuih, dan lain-lain? Bukankah negara ini patut mempelbagaikan sebahagian besar ekonomi pertaniannya untuk memastikan keselamatan makanan? Bagaimana dengan pertanian buah-buahan dan sayuran, misalannya?
Dasar Pertanian Bersama Kesatuan Eropah, ketika ia mula ditubuhkan, menyasarkan keselamatan dan kemandirian Eropah dalam makanan – sebelum ia dilonggok kepada pasaran dunia kerana pengeluaran berlebihan dengan kesan yang memusnahkan kepada para petani, terutamanya di negara-negara lebih miskin. Eropah mengutamakan keselamatan makanan lebih daripada eksport makanan.
Malaysia perlu meletakkan keutamaannya dengan betul. Perlunya kemandirian dalam pengeluaran makanan, dan ini perlukan perancangan jangka panjang. Seseorang pastinya merenung apakah pemikiran jangka panjang yang ada berdekad terdahulu. Adakah dasarnya adalah jalan saja dengan apa yang ada – ambil kesempatan ke atasnya dan, bila peluang seterusnya timbul, bertindak balas? Jika begitu, ia hanyalah sekadar dasar bertindak balas. Adakah hala tuju dasar pertanian semata-mata alat memenangi undi? Ia patutnya bukanlah isu memancing undi, dek kerana politik perkauman. Keselamatan makanan adalah mustahak untuk rakyat, bagi mana-mana negara pun.
Minyak sawit sebagai biodiesel – sesuatu untuk direnungkan
Saya masih ingat pengeluaran biodiesel untuk kegunaan Eropah. Lagi sekali, dengan mentaliti mahu kaut untung besar ini, malahan sekumpulan korporat Malaysia mendirikan kilang penapisan di Rotterdam untuk menghasilkan biodiesel minyak sawit.
Bagaimanapun, tiada inisiatif diambil untuk hasilkan biodiesel daripada minyak sawit untuk kegunaan dalam Malaysia. Eropah mahukan biodiesel, kita hasilkan buat mereka. Tetapi di Malaysia, kita gunakan petrol. Adakah terdapat dulu atau malahan kini sebarang usaha serius untuk gunakan biodiesel sebagai salah satu cara mengurangkan pelepasan karbon dioksida di Malaysia?
Bukan sahaja Malaysia takut Eropah akan kurangkan import biodiesel minyak sawit. Malahan juga khuatir kalau petani Eropah gunakan tanah untuk mengusahakan tanaman seperti biji sesawi sebagai biodiesel dan bukan untuk makanan. Maka, terdapat gerakan yang mendesak agar kurangkan kebergantungan terhadap biodiesel berasaskan tanaman.
Eropah sedang memanjat rantai nilai bagi menghasilkan tenaga. Ada perbincangan yang berlangsung tentang bahan api biodiesel generasi kedua, yang bukan berasaskan tanaman, tapi saya bukanlah pakar akan hal ini.
Lebih penting lagi, kereta elektrik dan kenderaan dijana elektrik bukan berkuasa biodiesel. Biodiesel untuk hasilkan tenaga elektrik? Tak tahulah pula saya.
Kapal-kapal bergerak dengan kuasa elektrik? Sekurang-kurangnya ada satu yang beroperasi.
Hapuskan bahan api fosil? Gergasi industri petroleum sedang memikirkan jalan keluar. Apa yang difikirkan Petronas? Kita patutnya memikirkan bagaimana mengurangkan pelepasan karbon monoksida, bagaimana menjadi neutral karbon.
Lebih banyak pelaburan ke arah hidrogen bersih (sudah ada pun eksperimen dengan kereta api menggunakan hidrogen) dan tenaga solar (datang dari padang pasir di Afrika Utara, sebagai contoh, yang mana akan beri manfaat kepada negara-negara Afrika Utara), teknologi angin, dan tenaga ombak dan pasang surut.
Semua ini bagi mengurangkan pelepasan karbon dan memastikan kenaikkan suhu dunia bawah 1.5C.
Kini ada juga eksperimen mengenai penangkapan karbon. Satu projek mega kejuruteraan dan penyelidikan pelakuran nuklear antarabangsa ITER di Perancis bertujuan menghasilkan tenaga haba, dengan China, India, Jepun dan Korea Selatan sebagai negara Asia yang turut serta.
Kesatuan Eropah mensasarkan untuk jadi neutral karbon pada 2050. China telah berjanji akan jadi pada 2060.
Akan sampai suatu masa apabila import ke dalam Kesatuan Eropah perlu patuh akan keneutralan karbon, bermula dari asal puncanya. Ini akan mengundang masalah besar untuk negara miskin dan membangun.
Perumahan dan bangunan lain akan memerlukan pengubahsuaian supaya jadi cekap tenaga dan hanya gunakan bahan binaan yang membawa keneutralan karbon.
Hanya sedikit sahaja petunjuk yang Malaysia sedang memikirkan tenaga baharu sedemikian untuk jangka masa panjang. Sebaliknya, ia nampak tersepit dengan politik untuk meraih kuasa.
Jika kesemua ikhtiar teknologi di atas berjaya, di manakah terletaknya biodiesel minyak sawit Malaysia kalau dibandingkan dengan sumber tenaga boleh diperbaharui dan gantian yang neutral karbon?
Jika Malaysia mahu berfikir panjang, ia patut berhenti berfikir hanya bergantung kepada eksport minyak sawit bagi meneruskan ekonominya. Fikirkan alternatif. Apakah rancangan tenaga Malaysia untuk masa depan? Adakah ia akan import teknologi baharu untuk kegunaan sendiri dan kekal bergantung kepada teknologi? Apakah fikiran dan bicara ahli sains Malaysia tentang masa depan? Bilakah Malaysia boleh jadi neutral karbon?
Menteri-menteri Malaysia, kementerian mereka, penjawat awam dan pakar-pakar yang ambil bahagian dalam mesyuarat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Perjanjian Paris – apa yang mereka fikirkan? Apakah komitmen yang telah dilakukan bagi mematuhi Perjanjian Paris? Bagaimana melaksanakannya? Adakah semua ini telah berlalu dengan segala politik demi kuasa? Apa yang telah diperkatakan kepada rakyat Malaysia – atau adakah perancangan untuk masa depan suatu rahsia?
Adakah pelepasan karbon dioksida juga satu isu umum di Malaysia? Saya raguinya. Apa-apa cadangan untuk mengurangkan bilangan kereta? Tiada. Apakah dasar yang sedia ada untuk kereta elektrik dan, lebih penting lagi, untuk menjana tenaga elektrik untuk kenderaan awam? Memang terdapat dasar sedemikian, tapi apakah pulangan yang ada untuk menggalakkan elektrifikasi dan beralih kepada tenaga boleh diperbaharui?
Apakah peranan ahli sains Malaysia, pereka cipta, pembikin dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida? Adakah anda dengar apa-apa daripada mereka?
Dimensi lain
Semua ini sebahagian daripada dimensi lain – selain daripada menyelamatkan planet dengan menyelamatkan alam, menyelamatkan hutan sebagai tadahan karbon, dan melindungi kepelbagaian hayat, sumber air, ekosistem dan kehidupan orang asal yang mata pencarian mereka bergantung kepada hutan, kesemua itu Ch’ng telah tuliskan dalam rencananya.
Hatta, isu minyak sawit perlu diletakkan dalam gambaran yang lebih luas iaitu pelepasan karbon dioksida, perubahan iklim dan campuran sumber tenaga; serta menyelamatkan planet yang telah dieksploitasi berlebihan and memulihara hutan, alam fauna dan ekosistem.
Paul Lim sedang bersara di sebuah kampung pedalaman di Belgium selatan tetapi bangkit untuk menulis apabila dia terbaca rencana menarik seperti yang dikarang oleh Ch’ng. Dia pakar dalam perhubungan Eropah dengan Asia, termasuk Malaysia, semasa bekerja di Brussels. Dia juga pernah mengajar di pusat-pusat pengajian di Malaysia.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme