Home Aliran CSI ‘Gelombang hijau’: Punca dan implikasinya

‘Gelombang hijau’: Punca dan implikasinya

PH-BN akan hilang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang jika mereka tidak mengambil langkah tegas untuk membantu kumpulan rentan

FREE MALAYSIA TODAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Fenomena ‘gelombang hijau’ telah menjadi prominen dalam pilihan raya umum  pada 19 November 2022, bila Perikatan Nasional telah menambahkan kerusi parlimen mereka dari 30 (Pas 18 dan Bersatu 12) kepada 74.

Keputusan pilihan raya umum 2018 dan 2022 disenaraikan dalam Table 1 di bawah.

Analisis:

Kemerosotan kerusi BN dalam pilihan raya 2022:

79 (BN 2018) berbanding dengan 59 (BN + GRS + GPS 2022)  =  Kemerosotan 20 kerusi

Kemerosotan kerusi PH dalam pilihan raya 2022:

101(PH – Bersatu dalam 2018) berbanding dengan 82 (PH dalam 2022) = Kemerosotan 19 kerusi

Tambahan kerusi PN dalam pilihan raya 2022:

30 (Pas + Bersatu 2018) berbanding dengan 74 (PN 2022) = Tambahan 44 kerusi

Ertinya, PN telah memenangi 20 kerusi daripada BN dan 19 kerusi daripada PH dalam pilihan raya 2022.

Ada komentator di kalangan PH dan BN yang mendakwa bahawa penyumbang terbesar pada kemenangan besar PN dalam pilihan raya umum 2022 adalah wang yang disuap kepada para pengundi.

Tetapi gelombang ini berterusan dalam pilihan raya negeri 2023 walaupun banyak akaun PN telah dibekukan kerana kononnya terlibat dalam penyiasatan terhadap sangkaan salah guna kuasa oleh menteri PN pada tempoh masa 2020-2022.

Tetapi dalam pilihan raya negeri 2023, jumlah kerusi dewan undang negeri yang dimenang oleh PN di enam negeri telah bertambah dari 89 ke 146 (Table 2).

Di kawasan-kawasan dengan majoriti etnik Melayu, sokongan untuk Umno, Amanah dan PKR telah merosot dalam pilihan raya negeri 2023, dan ramai pengundi mengalih ke Pas dan Bersatu. Peralihan pengundi Melayu ke PN berterusan dalam pilihan raya kecil Pulai baru-baru ini, di mana sokongan Melayu untuk PH-BN dianggar 27-39%.

Untuk memahami fenomena gelombang hijau secara lebih mendalam kita perlu mengambil kira tiga naratif utama yang wujud di kalangan masyarakat Melayu.

Naratif nasionalis Melayu

Naratif nasionalis Melayu yang menyatakan kerajaan persekutuan harus dikuasai oleh parti Melayu supaya hak dan kepentingan masyarakat Melayu dapat dilindungi dan dipelihara. Analisa golongan nasionalis adalah bahawa masyarakat Melayu telah diabaikan dalam zaman penjajahan dan oleh itu telah dipinggirkan dalam ekonomi moden. Oleh itu masyarakat Melayu memerlukan bantuan khas untuk dapat membangunkan kebolehannya dan bersaing dalam dunia moden.  Statistik dalam Table 3 mempamirkan kedudukan kaum Melayu pada tahun 1973 yang menunjukkan bahawa kerisauan pihak nasionalis Melayu memang mempunyai asas. 

Program-programdi bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membangunkan masyarakat Melayu melalui pendidikan, kuota kemasukan ke institut pengajian tinggi awam, biasiswa dan kuota pengambilan untuk jawatan kerajaan telah menambahkan nisbah individu Melayu dalam pekerjaan seperti doktor, peguam, jurutera, guru, pensyarah, jururawat, juru terbang dan kerja lain di ekonomi moden.

Suatu kelas pertengahan Melayu telah dicipta melalui tindakan afirmatif (affirmative action) di bawah DEB dan kewujudan kelas ini telah melegakan kerisauan masyarakat Melayu terhadap keadaan ekonomi bangsa mereka. 

Tetapi walaupun adanya perkembangan positif dalam status ekonomi masyarakat Melayu dalam 67 tahun sejak kemerdekaan semenanjung, kaum Melayu masih tertinggal dalam ekonomi negara bila dibanding dengan kaum etnik minoriti. Hakikat ini adalah dipamirkan dalam dua table yang berikut.

READ MORE:  A company to manage the resources of Perikatan Nasional-governed states

Table 5: Gaji median pekerja di sektor formal pada Mac 2003   

Gaji median (bulanan)

  • Melayu – RM2,200#
  • Cina – RM4,000
  • India – RM2,500

# ini bererti 50% daripada pekerja Melayu di sektor swasta formal pada bulan Mac 2023 menerima gaji RM2,200 ke bawah          

Sumber: Kenyataan Dr Mohd Uzir Mahidin, ketua pengarah Jabatan Perangkaan pada 5 Ogos 2023 berdasaran analisa gaji 6.5 juta pekerja swasta dalam sektor formal

Kedua-dua set data ini menunjukkan bahawa dalam sektor formal (di mana caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dilakukan) gaji purata pekerja Melayu adalah sangat rendah berbanding gaji purata pekerja kaum Cina. Oleh itu, simpanan KWSP pekerja Melayu juga kecil berbanding simpanan KWSP pekerja Cina dan India.

Table 4 juga menunjukkan bahawa pekerja Cina di sektor formal mempunyai aset kewangan yang mencukupi untuk bertahan pada zaman perintah kawalan pergerakan (PKP), dan majoriti antara mereka tidak dipaksa mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka untuk menangani krisis pengecutan pendapatan pada zaman tersebut.  

Data seperti ini menjadi alasan bagi pihak nasionalis yang mendesak untuk meneruskan dan memperkasakan program untuk meningkatkan ekonomi kaum Melayu.

Mereka juga amat tidak setuju syoruntuk mengamalkan sistem meritokrasi dalam kemasukan pelajar ke kolej dan universiti kerana mereka risau pelajar Melayu masih tidak dapat bersaing.

Untuk menjamin polisi membantu kaum Melayu, pihaknasionalis mengutamakan kewujudan parti politik Melayu yang boleh menguasai kerajaan supaya dana kerajaan boleh diguna untuk membantu komuniti mereka yang masih tertinggal.

Naratif mengutamakan Islam

Naratif kedua dalam masyarakat Melayu adalah bahawa jalan keluar daripada zaman penjajahan, exploitasi oleh negara-negara Barat dan kemiskinan, ke arah sebuah masyarakat yang adil dan makmur adalah melalui menegakkan Islam dan meresapkan nilai-nilai atau undang-undang Islam ke dalam sistem pentadbiran negara.

Gerakan politik ini wujud bukan sahaja di Malaysia, tetapi merupakan satu aliran politik utama di banyak masyarakat beragama Islam dari Nigeria ke Senegal ke Tunisia ke Timur Tengah ke Iran, Afghanistan, Pakistan, Bangladesh dan India ke Indonesia. Ianya merupakan sebahagian dalam arus anti-kolonial.

Aliran politik Islam telah wujud di Malaya jauh sebelum parti Pas ditubuhkan pada 1951. Pada Mac 1947 persidangan Islam se-Malaya telah dianjurkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya di bawah pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy.

Setahun selepas itu, pada Mac 1948 Hizbul Muslimin telah ditubuhkan sebagai sebuah parti politik. Tetapi ianya diharamkan oleh pihak British dalam beberapa bulan atas sangkaan ia mempunyai hubungan dengan Parti Komunis Malaya.

Aktivis progresif zaman ini harus menerima hakikat bahawa agama Islam adalah sebahagian penting dalam identiti dan jati diri penganutnya. Satu tinjauan yang dilaksanakan oleh Merdeka Center pada tahun 2022, di mana 1,216 anak muda beragama Islam yang berumur 15 hingga 25 tahun ditemu bual, mendapati bahawa lebih daripada 80% responden berkata agama adalah amat penting pada mereka.     

READ MORE:  What's in a bag?

Aliran politik Islam tidak seragam. Ada antara penganutnya yang mengutamakan perlaksanaan undang-undang hudud, umpamanya di Nigeria, Mali, Afghanistan, Pakistan dan Aceh. Hadi Awang dan beberapa lagi pemimpin Pas boleh disertakan dalam kumpulan ini.

Ada juga Islamis yang berpegang kepada Maqasid Syariah, yang bermakna mereka mahu meresap nilai-nilai Islam termasuk keadilan, inklusiviti, kebajikan kepada semua rakyat dan sikap mesra alam ke dalam sistem pentadbiran negara. Pendekatan ini boleh dilihat dalam Parti Ennahda di Tunisia, Parti Amanah di Malaysia dan juga gerakan seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Ikram. Malangnya gerakan progresif ini sangat lemah di peringkat akar umbi di Malaysia. Pas jauh lebih aktif.

Penglibatan CIA dan kumpulan risikan Barat lain telah main peranan utama dalam memupuk dan menghasut puak Islamis yang bercenderung memakai keganasanuntuk mencapai matlamat mereka. Kumpulan sebegini biasanya diperalatkan oleh pihak Barat untuk sabotaj dan, jika boleh, mengguling regim yang berpendirian berkecuali ataupun pro-Soviet dalam Perang Dingin (1960-1990).

Tetapi lama-kelamaan, puak-puak ini membebaskan diri daripada penganjur Barat mereka dan kini merupakan satu komponen yang kuat dan merbahaya dalam gerakan Islamis di beberapa negara.

Ada juga ahli falsafah seperti Ali Syariati di Iran yang menggunakan analisa Marxist sebagai alat untuk menganalisa masyarakat beliau dan sebagai pedoman untuk melaksanakan prinsip2 Islam.          

Naratif kelas

Masyarakat Melayu di Malaysia telah mengalami banyak perubahan sejak kemerdekaan negara. Pada 1957 lebih kurang 90% daripada masyarakat Melayu berada di kawasan luar bandar dan bekerja sebagai pesawah, pekebun getah, nelayan dan ‘kerja kampung’.

Sekarang, hampir 80% daripada penduduk Melayu berada di bandar. Hanya lebih kurang sejuta orang Melayu ataupun 10% daripada Melayu dalam pasaran kerja bekerja sebagai petani dan nelayan.

Pada masa Merdeka selain daripada kakitangan kerajaan, askar dan polis, tiada ramai orang Melayu yang bekerja untuk gaji di sektor formal.

Sekarang, pekerja formal di sektor swasta merupakan golongan terbesar di masyarakat Melayu – lebih kurang empat juta orang, ataupun 40% daripada tenaga kerja Melayu. Dan pekerja tidak formal adalah lebih kurang sejuta orang dan peniaga kecil juga berjumah sejuta ke atas. Kakitangan kerajaan pula berjumlah 1.6 juta ataupun 16% daripada tenaga kerja orang Melayu.

Gambar rajah di atas memberi suatu gambaran kasar terhadap perubahan dalam pekerjaan orang Melayu dari tahun 1957 hingga ke sekarang.

Kesimpulannya adalah masyarakat Melayu telah berubah menjadi sebuah masyarakat di mana majoritinya duduk di bandar dan kebanyakan antara mereka adalah pekerja – di sektor swasta, di sektor bukan formal dan sebagai kakitangan kerajaan. Sebilangan besar (mungkin 10% daripada semua Melayu di pasaran kerja) adalah peniaga kecil.

Sebagai pekerja dan peniaga di bandar mereka terdedah kepada kesan negatif polisi neoliberal di mana kos hidup melambung naik – makanan, penginapan, rawatan perubatan, pendidikan anak – tetapi gaji mereka tetap di tahap yang amat rendah.

Pada masa yang sama, mereka juga terdedah kepada kekayaan lapisan Melayu yang kaya raya – ahli politik, kaum profesional, pengurus dan CEO syarikat berkaitan kerajaan, kontraktorbesar – dan mereka menyaksi dengan mata sendiri betapa mewah kehidupan kaum atasan Melayu ini.

READ MORE:  The further greening of Sungai Bakap

Golongan pendapatan isi rumah 40% terendah dan 40% pertengahan Melayu di bandar juga sedar berkaitan amalan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan elit Melayu.

Kesemua ini telah menjana persepsi kelas di mana ramai pekerja Melayu dan peniaga kecil rasa tidak puas dengan caranya segelintir kecil Melayu hidup dengan mewah tetapi orang ramai dicabar oleh harga barang yang sering naik, gaji yang tidak mencukupi dan hutang yang semakin membebankan.

Inilah persepsi yang menarik ramai orang Melayu untuk menyertai gerakan Reformasi yang dicetus oleh Anwar Ibrahim pada tahun 1998.                                                                                                                

Punca dan implikasinya

Daripada semua yang dihurai di atas, boleh disimpulkan bahawa ramai pengundi Melayu mengalih kepada PN sekarang kerana:

  • mereka muak dengan paras rasuah dan salah guna kuasa oleh pemimpin Umno. Ini adalah satu aspek positif dalam gelombang politik ini
  • mereka tidak lagi percaya PKR dan Amanah boleh menjaga ‘kepentingan’ masyarakat Melayu selepas pengalaman mereka dalam tempoh Mei 2018- Februari 2020 kerana beberapa langkah diambil oleh kerajaan PH pertama telah menjejas kepentingan masyarakat Melayu
  • mereka terasa lebih yakin terhadap Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Pas dan Bersatu kerana ianya merupakan sebuah gabungan parti nasionalis dan Islam  

Implikasinya gelombang hijau:

  • Gelombang ini menunjukkan bahawa adalah pentingnya ‘to get it right the first time’. Ramai di kalangan masyarakat Melayu (lebih kurang 25%) sedia meletakkan kepercayaan mereka atas PH pada tahun 2018. PH telah memenang majoriti muda pada masa itu – 113 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum 2018. Tetapi kerajaan Dr Mahathir Mohamad-Lim Guan Eng telah melakukan beberapa kesilapan yang mengecewakan dan menakutkan masyarakat Melayu dan oleh itu PH sekarang ditolak oleh pengundi Melayu
  • Gelombang hijau ini tidak sebegitu ‘hijau’ walaupun wujudnya unsur Islamis dalamnya. Gambarannya sebagai ‘hijau’ adalah sebahagian strategi PH untuk menakutkan penyokongnya supaya mereka keluar mengundi
  • Jika Anwar Ibrahim dan PH tidak mengambil langkah tegas untuk respon pada naratif ketiga yang dihuraikan di atas, dan membukti secara jelas bahawa “kerajaan perpaduan” sanggup melaksanakan polisi dan program untuk membantu masyarakat golongan pendapatan isi rumah 40% terendah dan 40% pertengahan, PH-BN akan hilang lebih banyak kerusi kepada PN dalam pilihan raya umum akan datang. Malangnya PH telah memegang kepada  pendirian bahawa programuntuk membantu golongan 40% terendah terpaksa ditangguh sehingga defisit negara diturunkan kepada 3% keluaran dalam negera kasar (KDNK)
  • Strategi bergantung pada Umno untuk menarik balik pengundi Melayu tidak akan berhasil selama Zahid Hamidi memegang jawatan presiden Umno. Ia dipandang sebagai orang yang telah melakukan rasuah dan kehadiran beliau akan terus mendorong pengundi Melayu untuk memilih PN
  • Ada kemungkinannya bahawa PN akan menubuhkan kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum akan datang
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x