Home Aliran CSI Pindah! Kerajaan mahu bina empangan

Pindah! Kerajaan mahu bina empangan

Penduduk Kampung Bengoh sendiri berpindah ke kawasan bukit yang lebih tinggi dari paras takungan air Empangan Bengoh - SACCESS

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Masyarakat terpinggir seperti Orang Asal sentiasa menjadi target bagi pengusiran dan penempatan semula untuk projek pembinaan empangan – trend yang menyumbangkan kesan yang serius ke atas kehidupan mereka, ujar Carol Yong.

Empangan hidroelektrik Baleh di Hulu Rajang, Kapit dijangka siap sepenuhnya pada 2025.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg telah menegaskan bahawa empangan itu sangat penting bagi memastikan kapisitas tenaga yang mencukupi untuk pertambahan pembangunan negeri Sarawak bagi tujuan mencapai status pendapatan tinggi menjelang 2030.

Empangan Baleh, dengan keupayaan menjana 1,285 megawatt tenaga elektrik, kian lama diingini juga oleh kerajaan negeri Sarawak dan Sarawak Energy Berhad (SEB) demi menyokong pembangunan Sarawak ke arah mencapai status negeri maju. SEB merupakan syarikat tenaga dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri untuk penjanaan, penghantaran dan pengedaran elektrik bagi Sarawak.

Bukankah mantra “demi pembangunan Sarawak” pernah didengari terkait dengan projek pembangunan empangan yang telah dibina di Sarawak seperti Batang Ai, Bakun, Murum dan Bengoh? Berapa banyak empangan harus dibina sebelum Sarawak meloncat menjadi sebuah negeri yang maju?

Kuasa dan kekayaan di tangan segelintir elit

Adakah kita hairan pengerusi SEB Abdul Hamed Sepawi adalah sepupu Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun dan sekarang Yang DiPertua negeri itu?

Selain itu, Hamed Sepawi mempengerusi Naim Cendera Sdn Bhd, syarikat gergasi perindustrian dan binaan dalam pelbagai projek pembangunan prasarana dan infrastruktur Sarawak.

Naim Cendera mendapat kontrak tanpa tender bernilai RM311 juta untuk pembinaan Empangan Air Bengoh di daerah Ulu Bengoh. Ulu Bengoh terletak kira-kira 65km dari Bandar Kuching dan didiami oleh penduduk etnik Bidayuh.

Kerja pembinaan Empangan Bengoh bermula pada Oktober 2008, dan sebenarnya dilaksanakan oleh Sinohydro, syarikat binaan empangan negara China, yang Naim Cendera subkontrak dengan RM145 juta.

Bukan sahaja itu, Hamed Sepawi juga pengerusi eksekutif Ta Ann Holdings Berhad, syarikat yang antara lainnya giat dalam industri pembalakan dan perladangan kelapa sawit. Syarikat ini bukan sahaja tertera rekod buruk di Sarawak, mengikut lapuran berita, tetapi juga sejauh Tasmania, Australia, di mana terdapat protes bersangkutan dengan dakwaan pembalakan hutan di sana.

Inikah dikatakan pembangunan apabila dengan jelas kuasa dan kekayaan di tangan segelintir elit Sarawak yang bertalian politikus-politikus? Jika golongan elit politik dan ekonomi semakin hari semakin memperkayakan diri mereka sendiri dan hidup bermewah-mewahan, mungkinkah pengagihan kekayaan hasil negeri dan manfaat pembangunan lebih saksama antara golongan kaya dan miskin, bandar dan luar bandar, perempuan dan lelaki, apabila Sarawak mencapai status negeri maju, sekarang mahupun di masa depan?

READ MORE:  Electoral Commission has no power to increase state assembly seats - Rose

Siapakah pihak sebenarnya mendapat manfaatnya?

Memang ada kesan-kesan baik daripada empangan yang berfungsi sebagai struktur pengawalan banjir dan pengalihan pengairan untuk pertanian.

Namun, empangan sekarang yang dimodenkan dan dikembangkan mengikut logik kerajaan persekutuan dan negeri adalah untuk menjana kuasa hidroeletrik dan bekalan air. Persoalannya, siapakah pihak sebenarnya yang menikmati hasil dari empangan itu?

Jika niat tujuan tulen kerajaan membina empangan adalah untuk meninggikan taraf kehidupan penduduk di perkampungan yang masih mundur dan miskin, kenapa pula mereka diarahkan berpindah keluar dari kawasan yang dibangunkan dengan empangan ke penempatan baru yang belum mereka ketahui?

Misalnya kes penduduk kampung Bidayuh yang mendapat injunksi mahkamah dalam pusingan awal dalam tahun 2008 mengarahkan Naim Cendera Lapan menghentikan kerja-kerja kuari di Derod Mawah (Gunung Mawah), tetapi proses kerja-kerja syarikat tersebut terus giat dilakukan.

Kuari itu bertujuan membekalkan batu-batu untuk pembinaan Empangan Air Bengoh, yang melibatkan penempatan semula empat buah kampung Bidayuh, iaitu Taba Sait, Rejoi, Bojong dan Semban dengan kira-kira 1,600 orang.

Lebih-lebih lagi, protes penduduk kampung dengan sokongan masyarakat sipil untuk menghalang pembinaan empangan, menghentikan kerja-kerja “Caterpillar” menolak tanah milik penduduk dan musnahkan tanaman mereka, dan keengganan memindah ke penempatan baru – semuanya tidak diendar, bak takdir sungai diempang, dan kerja empangan tamat pada tahun 2016.

Walaupun pampasan gantirugi – mengikut sukatan pihak berkuasa dan pembina empangan – dibayar untuk tanah penduduk kampung yang dibanjiri atau diambilalih kerajaan, namun kadarnya tidak setimpal dengan kerugian keseluruhan yang dialami oleh mereka, khususnya kehilangan tanah warisan yang berkait-rapat dengan identiti dan jiwa orang asal sebagai satu bangsa yang unik.

Telah berdekad-dekad lamanya majoriti rakyat biasa di Sarawak, sepertimana juga di Sabah dan semenanjung, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman serta golongan di pinggir bandar dan peneroka bandar (“setinggan”), masih kekal miskin dan jarang mendapat manfaat dari projek-projek ‘pembangunan’ termasuk pembinaan empangan.

Sesetengah perkampungan penempatan semula langsung tiada bekalan air bersih, eletrik dan pembangunan infrastruktur lain yang sempurna.

Manakala sesetengah yang lain mendapatnya tetapi tidak percuma dan jika mereka gagal membayar bilnya, sambungan air atau eletrik akan dipotong.

READ MORE:  Mounting concerns surround Sarawak’s carbon market strategy - Save Rivers

Terbukti dari pelbagai contoh skim rancangan penempatan semula yang kononnya modal arus pemodenan masyarakat luar bandar. Antaranya ialah Batang Ai dan Bakun Asap-Koyan di Sarawak; RPS Banun di Hulu Gerik, Perak; Kampung Tampasak di Penampang, Sabah; dan Kampung Gerachi dan Peretak di Kuala Kubu Baru, Selangor.

Sebaliknya, penjanaan tenaga dan air dari empangan sebahagian besarya adalah untuk keperluan orang bandar serta industri-industri berat yang intensif tenaga. Kuasa hidroeletrik dari ketiga-tiga empangan Bakun, Murum dan Baleh adalah untuk memenuhi keperluan dalam projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) dan operasi industri-industri seperti kilang aluminium, fero-aloi dan keluli.

Bekalan air dari Empangan Babagon di Sabah dan Empangan Sungai Selangor adalah untuk mememuhi keperluan air orang bandar dan industri sekitar.

Enggan berpindah pun terpaksa juga

Selangor River Sungai Selangor

Sebelum diempang, air mengalir bebas dari Sungai Selangor bagi keperluan Orang Asli Temuan – CAROL YONG

Perihal empangan, saya sangat mengingati Orang Asli Temuan di Kampung Gerachi dan Peretak yang terlibat dalam kawasan projek Empangan Air Sungai Selangor di Kuala Kubu Baru, khasnya Mak Minah di Kampung Peretak, seorang penanyi asli, aktivis kampung, ibu dan nenek.

Mak Minah sangat bimbang akan kesan-kesan dan impak-impak projek empangan ke atas masyarakat Orang Asli dan masa depan mereka. Beliau meratap kebimbangan, ketangisan dan keluhan hatinya dalam lagu-lagu asli yang dipersembahkan bersama kumpulan Akar Umbi (Mak Minah penyanyi utamanya), baik di depan publik, di perkampungan atau dalam pertemuan NGOs.

Sekiranya empangan Sungai Selangor diteruskan, Mak Minah sedar bahawa takungan air akibat empangan akan membanjiri tanah adat dan kampung mereka. Harta benda, kebun, tapak perkuburan dan sebagainya juga turut musnah. Mereka akan dipaksa untuk berpindah kerana kawasan tanah mereka diperlukan untuk projek empangan air itu.

Betapa sedihnya Mak Minah melihat keadaan kehidupan masyarakat Temuan lain yang dipaksa pindah ke skim penempatan semula, contohnya Sungai Tua akibat pembinaan Empangan Batu dan orang Temuan Sepang dipaksa berpindah ke skim Bukit Cheeding: “Penempatan baru tidak bersesuaian dengan keadaan kehidupan Orang Asli, kesempitan dan tiada kawasan hutan dan sungai!”

Walaupun sebahagian besar penduduk Kampung Gerachi dan Peretak enggan berpindah, apakah pilihan mereka? Rumah dan tanah ditenggelamkan apabila kerja-kerja pembinaan projek Empangan Sungai Selangor bermula dijalankan pada 1999.


Tapak pembinaan Empangan Sungai Selangor adalah tanah adat Orang Asli Temuan Gerachi dan Peretak – CAROL YONG

Sekaligus, pada bulan September itu, pakej penempatan semula dan pemulihan dilaksanakan dengan perpindahan penduduk Kampung Gerachi ke penempatan baru dengan “rumah batu”, biarpun tidak percuma tetapi daya tarek bagi orang kampung.

READ MORE:  Suhakam gesa hentikan pengusiran dan segerakan penyelesaian yang lebih berperikemanusiaan di Semporna (Malay/English)

Namun, Mak Minah terselindung daripada ketangisan berpindah dari kampung kesayangannya kerana beliau meninggal pada 21 September 1999, sebulan sebelum perpindahan penduduk Kampung Peretak bermula.

Kini hampir dua dekad berlalu, Empangan Air Sungai Selangor yang telah dibina dengan nyatanya gagal memperbaiki keadaan hidup kedua-dua masyarakat Temuan itu.

Saya mengunjungi mereka pada bulan Mac 2018. Apabila tertanya tentang anak-anak mereka yang sekarang sudah remaja, ramai ibubapa memberitahu saya, mereka sedang bekerja – diupah untuk pekerjaan bergaji rendah sama seperti mereka dulu, sebagai buruh kasar, pencuci, pembantu rumah dan sebagainya.


Ironinya, Orang Asal yang dipaksa pindah untuk pembinaan empangan air jarang mendapat manfaatnya – CAROL YONG

Dengan nyatanya gagal juga justifikasi kerajaan negeri Selangor, di bawah Barisan Nasional-Umno ketika itu, meluluskan projek empangan air Sungai Selangor untuk mencegah krisis air seperti yang berlaku pada tahun 1998.

Malahan kontrak pembinaan empangan itu diberikan tanpa tender kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash). Splash (dahulu dikenali sebagai Konsortium TSWA-Gamuda-KDEB) terdiri daripada syarikat berkaitan Wan Azmi Wan Hamzah, syarikat binaan Gamuda dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), syarikat perniagaan milik kerajaan negeri Selangor.

Hari ini, krisis air masih menjadi isu hangat di Selangor dan Lembah Klang. Bekalan air untuk melebihi satu juta penghuni di sekitar Lembah Klang dan Selangor sering tergendala akibat pembuangan illegal oleh pihak swasta dan kerajaaan, lalu mencemarkan Sungai Selangor dan loji air. Pada tahun 2019 sahaja, terputus bekalan air sekurang-kurangnya lima kali akibat pencemaran air dan menjejaskan bekalan air kepada warga Lembah Klang.

Begitukah kesudahannya akibat memindahkan penduduk Kampung Gerachi dan Peretak dan sekali gus membanjiri 600 hektar tanah adat mereka untuk pembangunan empangan air yang siap dibina pada 2003, namun pihak berkuasa cuai dalam mengawal pencemaran sungai dan empangan agar berfungsi dengan baik?

Bukankah tanggungjawab kerajaan negeri dan persekutuan untuk memastikan pencemaran dari sisa kilang dan sebagainya dihentikan dengan segera dan pesalahnya ditahan dan didakwa?

Realitinya, pembinaan empangan memang menjadi justifikasi dan alasan untuk mengusir penduduk di kawasan terbabit dan mengambilalih tanah dan kawasan hutan mereka.

Malangnya, masyarakat Orang Asal lazimnya menduduki kawasan yang kaya dengan sumber alam semulajadi termasuk sungai yang terbaik untuk membina empangan.

Carol Yong ialah seorang aktivis veteran yang telah lama berkhidmat di Sarawak dan kemudian di Sabah

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support our work by making a donation. Tap to download the QR code below and scan this QR code from Gallery by using TnG e-wallet or most banking apps:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x