Wartawan hanya orang suruhan
SAYA berasa agak kecewa kerana beberapa orang teman yang pandangan serta sikapnya tentang politik semasa, termasuklah tentang kebebasan media dan peranan media bebas sebagai "salah sebuah institusi" dalam masyarakat berdemokrasi, amat saya hormati sejak akhir-akhir ini tampaknya turut terlibat "menjayakan" satu siri rancangan perbincangan terbitan NTV7 - dan turut disiarkan oleh Astro berjudul Dateline Malaysia.
Malah ada di antara teman-teman itu yang tampaknya secara naive mengagumi usaha stesyen televisyen swasta tersebut, lalu menganggapnya sebagai suatu "upaya positif' untuk mendorongkan demokrasi dan mempertahankan kebebasan media di negara ini.
Saya sendiri tidak pernah menonton rancangan tersebut (saya memboikot semua media tempatan), tetapi menurut laporan teman-teman yang pernah menontonnya, rancangan tersebut sama sekali tidak memperlihatkan komitmen yang tulen untuk memberikan ruang yang seimbang kepada semua sudut pandangan. Selain tidak pernah terdapat bilangan yang seimbang antara peserta yang "pro dan kontra" terhadap gerakan reformasi yang sedang berlangsung sekarang ini, umpamanya, rancangan berbentuk forum itu dikatakan telah diedit terlebih dulu sebegitu rupa untuk memberikan citra dan kesan rasa yang lebih positif kepada pihak-pihak yang menentang gerakan reformasi tersebut.
Saya sendiri sebenarnya tidak terperanjat dengan kesimpulan tersebut. Berdasarkan iklan untuk ruangan forum tersebut yang disiarkan oleh saluran-saluran ASTRO yang saya tonton, sifat memihaknya (bias) memanglah amat jelas. Iklannya membawa perutusan bahawa percaturan politik yang berlaku sekarang merupakan sumber ketidakstabilan dan akan membawa kepada keadaan huru-hara - malah revolusi - di negara ni. Imej-imej yang dipaparkan dalam iklan itu sama sekali tidak ada hubungannya dengan perbincangan yang waras dan terbuka.
Selain itu, sejak mulanya lagi rancangan tersebut memang tidak pernah dimaksudkan untuk mendorongkan maupun mempertingkatkan kebebasan media di negara ini. Saya sendiri sebenarnya telah dihubungi oleh pihak yang menerbitkan rancangan tersebut sejak siri tersebut masih pada tahap perancangannya lagi. Malah akhir akhir ini saya terus dihubungi, bukan sekadar untuk menyertainya, malah untuk mempengerusikannya (menjadi host).
Berdasarkan nada perbincangan dengan pihak penerbit rancangan itu, saya membuat kesimpulan bahawa pihak penerbitnya tidaklah terlalu menghargai para peserta yang diundangnya - mereka sekadar hendak "memperalatkan" mereka. Kepada saya misalnya, dijelaskan bahawa para peserta tidak akan menerima sebarang honorarium (kerana tiada budget) tetapi mungkin dibayar wang teksi untuk datang ke studio - suatu bentuk bayaran yang tidak mungkin tergamak mereka tawarkan untuk para penyanyi dan pemuzik, misalnya. (Sehingga kini, semua tawaran tersebut saya tolak secara berdiplomasi dan memberikan alasan-alasan yang lunak).
"Penghargaan" yang demikian untuk para pekerja ilmu - seperti penyumbang rencana, penulis kolum dan peserta forum - memanglah sesuatu yang biasa di kalangan media negara ini. Meskipun para penghibur biasanya diberikan penghargaan material tertentu, para pekerja ilmu bukan sahaja diperalatkan malah dikenakan pelbagai macam sekatan dan saringan. Dari segi waktunya, pelancaran rancangan forum tersebut selaras dengan kira-kira waktu sama dengan usaha kebanyakan media (terutamanya akhbar) di negara ini melancarkan semacam upaya image control terhadap kemerosotan keyakinan umum (kredibiliti) yang begitu kuat menjejaskan penjualannya.
Tokoh-tokoh yang ditemuramah oleh para wartawan kanan yang selama ini dianggap teman dan cukup berwibawa sudah banyak yang tidak mau lagi melayani mereka. Beberapa wartawan kanan sudah mulai bercakap tentang bahaya jangka pendek dan jangka panjang masa depan yang dihadapi oleh persuratkhabaran negara ini di seminar-seminar antarabangsa misalnya kertas kerja Rose Ismail di seminar antarabangsa para editor yang berlangsung di Pulau Pinang. Yang lebih menyedihkan lagi, para wartawan tempatan yang meliputi peristiwa-peristiwa demonstrasi di Kuala Lumpur terpaksa menyembunyikan kad tanda nama masing-masing - kerana tidak mahu atau tidak selamat lagi dikenalpasti sebagai wartawan tempatan. Malah kemarahan terhadap media tempatan ini telah meningkat ke tahapnya yang agak ganas dan fisikal juga. Sebuah van kepunyaan
Kumpulan Utusan hampir dimusnahkan dalam satu peristiwa demonstrasi di Kampung Baharu dan bilik berita TV3 membuat laporan polis setelah menerima "bingkisan" peluru hidup melalui pos. Kemuncak penyataan rasa marah umum terhadap media tempatan ini terjadi apabila gerakan reformasi secara terbuka melancarkan suatu kempen memboikot akhbar-akhbar tempatan - khususnya Utusan Malaysia. Oleh kerana tidak terdapat sumber maklumat yang dapat dipercayai dan cukup telus tentang bilangan penjualan akhbar di negara ini, maka amatlah sukar untuk dipastikan apakah boikot tersebut telah mendatangkan kesan yang dihasratkan.
Namun demikian, tinjauan yang informal terhadap "outlet" penjualan akhbar di sekitar Lembah Kelang dengan jelas memperlihatkan kemerosotan yang amat tinggi terhadap penjualan akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan The Star. Selaras dengan itu terdapat pula fenomena luar biasa peningkatan penjualan akhbar Harakah (terbit dua kali seminggu) dari kira 60,000 naskah menjadi kira-kira 300,000 naskah setiap keluaran. Sesuai dengan sifatnya sebagai suara rasnii (organ) sebuah parti politik pembangkang (PAS), maka Harakah sebenarnya sejak lama mengalami semacam "masalah kredibiliti" sebagai sumber berita yang dapat dipercayai dan tidak memihak. Namun begitu teruknya krisis kredibiliti yang dihadapi akhbar-akhbar arus utama di negara ini sehingga sejak akhir-akhir Harakah tidak sahaja meningkat penjualannya di kalangan kebanyakan isirumah akhbar itu dianggap sebagai satu-satunya sumber maklumat yang dapat dipercayai.
Mengapakah begitu teruk krisis kredibiliti yang sedang dialami oleh media arus utama tempatan di negara ini? Saya kira, hakikat bahawa akhbar di negara ini tidak bebas dari kongkongan para ahli politik yang berkuasa bukanlah perkara baru dan bukanlah tidak disedari rakyat umum selama ini. Malah kebanyakan rakyat umum di negara ini sudah lama belajar menerima (tolerate) hakikat bahawa syarikat-syarikat akhbar itu dimiliki oleh parti-parti politik dan para eksekutif media dan wartawan kanan di negara ini tidaklah lebih daripada "orang orang suruhan" para ahli politik itu dalam bidang media dan kewartawanan.
Secara umumnya, dalam keadaan biasa media negara ini yang diketahui umum memihak (bias) itu masih dapat diterima oleh kebanyakan pembaca. Meskipun pemberitaannya memihak dan berpilih-pilih, dengan sedikit kebijaksanaan dan interpretasi kreatif seorang pembaca yang sedikit bijaksana masih akan dapat "membina kembali" (reconstruct) berita yang agak tepat. Sekali sekala rencana-rencana yang mengemukakan pandangan alternatif daripada pemikiran mainstream pemerintahan masih tersiar di akhbar akhbar tempatan.
Namun semua itu hanya berlaku dalam keadaan politik yang tenteram, tenang dan biasa. Dalam keadaan politik yang sedikit bergolak dan kurang tenang - misalnya sewaktu menghadapi perhimpunan agung parti atau pilihan raya umum - sifat dan etika media yang kredibel itu biasanya akan diketepikan dengan sewenang wenangnya.
Pada waktu yang demikian para wartawan staf akan ditugaskan menulis rencana-rencana yang memeranjatkan dan menjijikkan dari segi gaya persembahan dan pemaparan hujahnya - kerana slantnya telah ditentukan terlebih dulu oleh pihak berwibawa di akhbar tersebut.
Namun demikian, keadaan "gila!' seperti itu biasanya berakhir hanya untuk beberapa minggu. Setelah itu media utama (mainstream) akan kembali kepada keadaannya yang biasa dan agak waras, yang meskipun tidak seimbang dan tidak bebas tetapi masih dapat ditolerate oleh para pembaca. Akan tetapi, sejak kira-kira pertengahan tahun lalu (1997) - sejak Perhimpunan Agung Umno digemparkan oleh isu kolusi, korupsi dan kronisme - keadaan "gila" media tempatan itu tampaknya berterusan untuk suatu jangka yang agak lebih lama daripada biasa.
Dalam jangka waktu tersebut beberapa ketua pengarang telah "dipengaruhi" supaya meletakkan jawatan mereka, kuasa editorial di beberapa akhbar telah dipusatkan kepada beberapa eksekutif dan wartawan kanan (para "warlords") yang amat jelas ikatan politiknya tetapi tidak begitu nyata bakat peniikiran dan kewartawanannya.
Beberapa wartawan peringkat pertengahan dipindah-pindahkan (dengan dorongan kenaikan gaji dan pangkat tentunya) untuk melakukan "kerja-kerja pemusnahan" (hatchet jobs) kewartawanan terhadap tokoh-tokoh tertentu di badan-badan media tertentu - misalnya di TV3. Itulah ketikanya kita mendengar khutbah Rahim Tamby Chik tentang moraliti dan huraian intelektual Ghafar Baba tentang kemelut-ekonomi global dan kemunculan kembali neo-kolonialisme.
Konspirasi kewartawanan yang terang-terangan dan kurang daya kreatifnya seperti ini - yang berlangsung untuk jangka waktu yang agak lama pada ketika tuntutan terhadap pemantapan institusi-institusi demokrasi begitu kuat dicetuskan oleh peristiwa-peristiwa politik tertentu, seperti pemecatan TPM Anwar Ibrahim - telah menyebabkan kredibiliti media arus utama atau mainstream tempatan itu terhakis dengan sedemikian hebatnya.
Dalam persepsi kebanyakan rakyat di negara ini, institusi media atau persuratkhabaran bebas (free press) sebagai salah satu tonggak utama sistem demokrasi bukan sahaja sudah merosot tetapi sudah diperkosa oleh para ahli politik berkepentingan melalui beberapa "wartawan" jongos upahannya. Apa yang terjadi kepada media bebas itu selaras dengan apa yang telah terjadi kepada institusi institusi demokrasi lainnya - seperti sistem kehakiman, organisasi kepolisan, bank dan institusi kewangan lainnya, malah institusi perkhidmatan awam.
Meskipun pihak media tempatan di negara ini sering mengemukakan tuduhan bahawa media asing berkonspirasi terhadap negara ini, namun Yang sebenarnya giat bersekongkol dan berkonspirasi (sejak pertengahan tahun lalu lagi) ialah media tempatan itu sendiri.
Jika dalam laporan media asing sering kita temui fakta yang tidak tepat, maka sebabnya tidaklah lain daripada kejahlian - bukan putar belit fakta dan maklumat secara sengaja seperti yang dilakukan oleh media tempatan.
Kerana beberapa peristiwa yang sejak menarik yang terjadi di negara ini akhir-akhir ini, maka ratusan para wartawan kanan antarabangsa telah dihantar ke negara ini. Meskipun mereka ini merupakan para wartawan yang berbakat lagi berpengalaman, namum kebanyakan mereka tidak begitu tahu tentang negara ini (ada yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini).
Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan jika banyak di antara laporan mereka yang mengandungi kesalahan fakta - seperti Zahid Hamidi dikatakan anggota Kabinet atau Ketua Polis Negara Rahim Noor dianggap bergelar Jeneral. (Meskipun bukan sedikit pengamatan mereka yang lain baik tentang Zahid maupun Rahim Noor cukup perseptif dan tepat).
Media tempatan tentulah tidak mungkin melakukan kesalahan fakta yang sedemikian asasi sifatnya. Namun putar belit dalam analisis dan persembahan berita yang berbau konspirasi dan propaganda yang secara sengaja dilakukan oleh media tempatan itu biasanya jauh lebih hebat dan lebih memudaratkan kebenaran (malah kredibiliti dirinya sendiri) daripada apa yang dilakukan oleh media asing itu secara tidak disengajakan.
Katakanlah saya secara peribadi melihat (malah menyertai) sebuah demonstrasi besar-besaran yang disertai kita-kira 60,000 orang di Dataran Merdeka. Petang itu juga dari saluran TV satelit yang dapat saya ikuti maupun melalui akhbar-akhbar antarabangsa yang dapat saya jejaki melalui internet, peristiwa itu dilaporkan sebagai sebagai peristiwa penting dengan jumlah pesertanya dianggarkan oleh pelbagai media itu antara 40,000 hingga 80,000 orang.
Namun besoknya semua media membuat laporan yang sama sekali bertentangan dengan pengalaman empiris saya tentang peristiwa itu. Peristiwa itu bukan sahaja dilaporkan secara sambil lewa sebagai suatu non-event malah bilangan pesertanya dilaporkan antara 2,000 hingga 5,000 sahaja. Jika pola pemesongan "hakikat dan realiti" ini berterusan di kalangan media tempatan itu dalam hubungan dengan peristiwa-peristiwa lain maka tentulah sukar untuk dipercayai bahawa media tempatan itu cukup kredibel atau tuduhannya bahawa media asing itu berniat jahat dan bersekongkol terhadap kita dapat ditelan begitu sahaja.
Satu contoh yang amat menarik tentang hakikat bahawa minat dan kecenderungan media tempatan ini terhadap konspirasi mengatasi minatnya terhadap pemaparan dan analisis berita yang yang waras lagi tepat terjadi baru-baru ini dalam hubungan dengan ucapan Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore, di sidang APEC di Kuala Lumpur.
Setelah menyedari bahawa perbuatan tanpa berfikirnya bertepuk tangan setelah berakhirya ucapan tersebut tidak akan disenangi oleh para "tuan" nya, Dr Noordin Sopiee dari ISIS esoknya memasang iklan semuka penuh di sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan untuk menyatakan rasa jengkelnya akan ucapan itu. Iklan itu agak keras bahasanya, lengkap dengan perkataan "kurang ajar" (dua perkataan dari bahasa Melayu yang tidak mungkin dapat digunakan secara betul oleh Noordin Sopiee untuk membentuk satu atau dua ayat yang tuntas).
Tindakan lucu (silly) pemimpin ISIS itu rupanya lebih menarik minat akhbar tempatan tersebut daripada membahaskan secara waras beberapa hujah Al Gore tentang situasi dan perjuangan menegakkan demokrasi di beberapa negara membangun di dunia. Untuk hari, bukan sedikit ruang digunakan untuk menyiarkan surat-surat yang penuh emosi dan melaksanakan kempen tandatangan bagi menyokong tindakan lucu Nordin Sopiee yang sama sekali tidak memperlihatkan kematangan analisis politik dan hubungan antarabangsa itu - tetapi lebih jelas menyerlahkan bahasa dunia nasionalis palsu serta alam alam pemikiran para kroni dan pengampu itu.
Nyatalah bahawa dalam suasana budaya politik Malaysia yang sudah berubah ini penyimpangan tindak tanduk media tempatan daripada peranan murninya sebagai salah sebuah institusi masyarakat demokratis tidaklah dapat diterima lagi oleh rakyat umum. Penyimpangan itu-tidak lagi dapat dipertahankan dengan logik cengkok Senator
Datuk Zainuddin Maidin bahawa media tempatan merupakan media yang memihak (bias) tetapi juga merupakan media yang tepat. Dalam menghadapi kesan boikot pelbagai pihak yang tidak menyenangi sikap dan posture media tempatan itu, maka media tempatan itu sedikit sebanyak akan merasakan kesannya misalnya dari segi kemerosotan kredibiliti dan kemerosotan penjualannya. Ada kemungkinannya, dalam menghadapi kesan boikot ini pihak media tempatan yang cenderung bersekongkol itu akan mengambil beberapa langkah damage control, seperti mencuba memanipulasi citra penerbitan masing masing supaya kelihatan lebih seimbang dan lebih waras.
Langkah yang demikian itu amatlah penting terutamanya dalam keadaan langkah-langkah lain, seperti menggertak sesiapa yang mengkritik mereka, tidaklah begitu berkesan lagi. Umpamanya, baru-baru ini sewaktu menjawab kritikan daripada Prof . Chandra Muzaffar, ketua editor kumpulan NST Datuk Kadir Jasin telah membuat semacam ancaman terselindung bahawa Chandra akan diketepikan oleh pihak media berdasarkan hujah logik cengkoknya bahawa "Chandra menganggap media tempatan tidak cukup baik untuk dirinya".
Pada hemat saya, Chandra telah mengemukakan jawapan yang tepat lagi berani apabila dia menyatakan bahawa soal "apakah media tersebut cukup baik untuk Chandra" tidaklah penting - kerana peribadi Chandra itu tidakiah penting sangat. Soal yang penting ialah: apakah beberapa tokoh wartawan utama di negara ini "Cukup baik" untuk kewartawanan. Bagi saya, unsur yang penting kita tekankan ialah apakah mereka itu cukup baik untuk kewartawanan yang unggul, yang bermartabat dan bermaruah, sebagai institusi masyarakat demokrasi yang unggul lagi bertanggungjawab.
Oleh yang demikian, para pejuang media bebas sebagai institusi demokrasi perlulah prihatin tentang tindak tanduk media tempatan itu. Kita perlu memerhatikan apakah terdapat perubaban yang tulen ke arab media yang bertanggungjawab, atau sekadar terdapat suatu usaha memperdaya persepsi kita supaya menyangka bahawa kewartawanan yang sedang dipraktiskan oleh media arus perdana negara ini merupakan kewartawanan tulen lagi bermaruah.
Dalam keadaannya seperti yang terdapat sekarang ini, saya berkeyakinan bahawa boikot yang sudah dimulakan terbadap media tempatan itu perlulah diteruskan - malah dipertingkatkan. Malah langkah memboikot itu tidak sahaja perlu dilaksanakan kini dari segi tidak melanggani media itu, tetapi juga dari segi tidak membantu pengeluarannya - seperti tidak menyumbangkan rencana, tidak bersedia ditemuramah, dan sebagainya.
Semua ini perlu kita lakukan sebagai sebahagian daripada perjuangan gigih menegakkan masyarakat madani dan demokratis yang sebenarnya. Dalam masyarakat yang demikian kita memerlukan media bebas yang bermartabat dan bermaruah.
Dengan begitu banyaknya sumber maklumat alternatif pada zaman sejagat (globalised) dan berteknologi maklumat canggih ini, maka pemboikotan media tempatan yang palsu dan tidak bermaruah seperti sekarang ini sedikit pun tidak akan menjejaskan kemampuan kita untuk memperoleh maklumat yang lebih unggul, lebih tepat dan lebih segera. Demikianlah pengalaman dan kesimpulan saya setelah beberapa bulan melakukan boikot tersebut.