ALIRAN Apabila Menegur Ketidakadilan

Dengar-dengar khabar pelajar Malaysia yang baru-baru ini membuat teguran kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam satu sesi soal-jawab di Malaysia Hall, London telah, selepas pertemuan tersebut, disoal-siasat dan biasiswanya ditarik balik. Dengan kata lain, pelajar yang menyarankan Dr Mahathir undur diri dan memohon maaf dari Anwar dan keluarganya itu—ekoran dari pemecatan pantas Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNOnya—telah "dihukum" kerana keberanian beliau untuk berterus terang.

Jika tindakan ini benar-benar dikenakan terhadap pelajar berkenaan, maka ia adalah satu tindakan yang tidak setimpal dengan perbuatan yang dilakukannya. Malah beliau tidak sepatutnya dihukum kerana dia semata-mata menyuarakan apa yang tersemat di hatinya. Lebih dari itu, hukuman ini sebenarnya mencabar prinsip demokrasi dan mencabul kebebasan bersuara, sama ada sebagai warga Malaysia maupun seorang pelajar yang dahagakan ilmu, kebenaran dan keadilan.

Satu lagi implikasi dari tindakan ini ialah ia membayangkan ketidak-upayaan satu pihak untuk memahami atau menghargai bahawa kehidupan di pusat pengajian tinggi seharusnya mendidik seseorang insan itu peka terhadap ketidakadilan, memburu kebenaran, dan menolak pembohongan. Secara idealnya, seseorang pelajar itu bukan sahaja diharapkan mentelaah pelajarannya dan akhirnya menjadi seorang pakar dalam bidangnya, tetapi juga menjadi seorang yang prihatin terhadap keperluan orang lain dan persekitaran sosialnya. (Ini bukanlah menidakkan kewujudan segolongan pelajar—malah pensyarah dan ketua jabatan akademik tertentu—yang seolah-olah buta kebenaran dan keadilan, lebih-lebih lagi mereka yang asyik "mengipas-ngipas" atau menyedapkan hati orang berkedudukan tinggi. Tetapi kecenderungan kelompok manusia seperti ini harus kita anggapkan, atau harapkan, sebagai satu tingkahlaku devian.)

Dengan kata lain, adalah satu malapetaka yang dasyat menimpa seorang pelajar jika sistem pendidikan sesebuah pusat pengajian tinggi maupun falsafah pendidikan sesebuah negara terlalu menekankan matlamat mengeluarkan siswazah yang mirip robot yang baru dikeluarkan oleh kilang, robot yang mana khidmat dan kepakarannya dijangka diperlukan dalam arus pembangunan negara.

Kita juga sering mendengar pak menteri tertentu menasihati kelompok pelajar supaya tidak terlibat atau aktif dalam hal politik negara kerana kononnya takutkan mereka akan "terkeliru", "salah" kiblat politik, atau terpesong dari pendidikan mereka. Sesungguhnya, seseorang pelajar yang terpisah, atau dipisahkan, dari perkembangan politik, ekonomi dan budaya masyarakatnya bolehlah diibaratkan seekor katak terlatih yang terkurung di bawah tempurungnya.

Akhir sekali, penarikan biasiswa pelajar tersebut membayangkan bukan sahaja keangkuhan pihak pemerintah, tetapi juga mendedahkan ketidak-upayaan pihak ini menghayati hakikat bahawa wang yang berbentuk biasiswa itu sebenarnya datang dari rakyat (melalui sistem pencukaian, dsb.) dan bukan dari tabung UMNO maupun Barisan Nasional. Lagipun, tidakkah pemerintah itu sekadar berperanan sebagai pemegang amanah rakyat?

Sumber: ALIRAN