ALIRAN Kritikan, dan Kemarahan Wakil Rakyat

Sejak kebelakangan ini kita dapati ramai di kalangan wakil rakyat kita, khususnya pak menteri, cepat sungguh melenting bila bersua dengan kritikan dari rakyat jelata. Pemimpin politik ini nampaknya amat tidak senang hati apabila rakyat meluahkan perasaan tentang isu-isu yang mencengkam kehidupan mereka seperti ketidakadilan sosial, kronisme, rasuah, penyelewengan perlaksanaan dasar negara tertentu, dsb. Kebanyakan kritikan dan komen ini datang dari individu tertentu, NGO, persatuan sosial dan juga parti pembangkang.

Sebagai satu reaksi, pemerintah lazim menghujah bahawa kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya boleh membawa kekecohan dan porak peranda yang seterusnya menjejas keselamatan negara. Bukan itu sahaja implikasi yang diluahkan mereka. Kita diperingatkan bahawa kritikan seperti itu boleh juga membantu musuh negara (iaitu kuasa Barat) menakluk negara kita sekali lagi.

Begitu serius sekali gambaran yang diberikan pemerintah hinggakan ada ura-ura dari pihak pemerintah untuk menubuh sebuah panel guaman bagi membenteras kritikan yang kononnya bersifat fitnah atau tidak menentu.

Dua perkara yang perlu diperkatakan tentang hal ini. Pertama, kita sudah tentunya tidak mahu bersekongkol dengan orang yang membuat kritikan atau fitnah semata-mata untuk memburukkan nama orang lain, atau mendatangkan ketegangan dalam masyarakat. Memang kita tidak mahu mengikut teladan sesetengah pemimpin yang nampaknya begitu ghairah dengan memfitnah orang lain, sama ada berkaitan dengan perbuatan liwat atau lain-lain perbuatan yang boleh mencacatkan moral seseorang. Kita mahu kritikan yang dibuat itu benar-benar bertujuan murni untuk membetulkan yang salah demi kepentingan dan kesejahteraan umum. Kedua, respons yang dibuat oleh pemimpin terhadap kritikan memberi gambaran atau ilusi seolah-olah pemimpin itu sama dengan negara. Pendek kata, kritik pemimpin bermakna kritik atau mengaibkan negara—hingga boleh menjejaskan keselamatan negara. Tidak semestinya. Sebabnya ialah tindakan tertentu yang diambil oleh sesetengah pemimpin tidak semestinya menjaga atau memajukan kepentingan negara. Dengan kata lain, tindakan pemimpin tidak semestinya sentiasa selari dengan kehendak dan kepentingan negara.

Kalaulah benar pemimpin itu adalah juga negara, rakyat Amerika Syarikat sudah tentunya tidak akan dapat membuat Presiden Richard Nixon undur diri dari politik negara, manakala rakyat Filipina akan masih segan silu untuk mengenepikan Presiden Ferdinand Marcos yang berkuku besi lagi korup itu. Satu logik yang songsang ini.

Dalam konteks masyarakat kita masa kini, kita harus tanyakan apakah bentuk kritikan yang sesungguhnya mampu mencederakan keselamatan dan kestabilan masyarakat seperti yang didakwa oleh pemimpin negara? Malah dalam hal ini ada di antara rakyat mengesyaki bahawa dalam kebanyakan kes, kritikan rakyat yang diperlecehkan oleh pemerintah sebagai satu perbuatan yang boleh menjejas keselamatan negara adalah bertujuan untuk memberi dalil kepada penggunaan undang-undang anti-manusiawi, iaitu ISA.

Mari kita fikirkan sejenak beberapa isu masyarakat masa kini: Benarkah rintihan terhadap tol jalanraya boleh menggugat kestabilan dan kepentingan negara? Benarkah ketidakpuasan hati rakyat mengenai pelaksanaan keadilan boleh menghancurkan negara? Benarkah kerisauan rakyat tentang penyakit JE dan kritikan mereka terhadap pendekatan yang digunakan oleh pemerintah untuk menangani gejala JE itu boleh mengaibkan negara? Benarkah keprihatinan rakyat terhadap wang mereka yang dibelanjakan untuk mendirikan mahligai baru Perdana Menteri boleh memecah belahkan rakyat? Tidakkah benar bahawa pemimpin kita perlu bersikap telus dan beramanah, malah merendahkan diri?

Lagipun, pemimpin negara harus sedar bahawa tindak tanduk mereka sebagai pemimpin selalunya menarik perhatian dan minat orang ramai, lebih-lebih lagi bila pemikiran dan tindakan mereka mempunyai implikasi besar terhadap negara. Pemimpin ini juga harus sedar bahawa mereka sebenarnya wakil rakyat yang perlu diawasi selalu untuk menentukan pemegang amanah rakyat ini dipertanggungjawabkan.

Sesungguhnya tidak memadai bagi pemimpin cuba "berjiwa rakyat" hanya menjelang pilihanraya, dan selepas itu batang hidung tidak kelihatan. Lebih teruk lagi, rintihan dan teguran rakyat tidak akan dilayani, atau dibelakangi, oleh pemimpin ini setelah berjaya menggenggam kuasa yang diamanahkan oleh rakyat. Persis kacang lupakan kulit.

Kritikan, bangkangan, perdebatan sudah semestinya menjadi lumrah hidup dalam masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi. Namun jika ada di kalangan pemimpin yang merasakan keprihatinan dan kritikan rakyat tidak mempunyai tempat di dalam masyarakat kita, mereka harus berhenti sejenak dan cuba hayati pepatah Inggeris ini, "If you can't stand the heat, get out of the kitchen."

Sumber: ALIRAN