ALIRAN Media dan Pelbagai Pendapat

Pelbagai pendapat dalam masyarakat yang berdemokrasi lazimnya adalah satu aspek kehidupan yang membantu menyumbang kepada kekayaan tradisi intelek. Pertukaran pandangan membolehkan satu-satu perkara dilihat bukan sahaja dari pelbagai perspektif, tetapi juga membolehkan kita cuba menajamkan lagi pemikiran kita tentang sesuatu hal dengan harapan pada akhirnya kita akan memperoleh pandangan yang bernas lagi rasional. Itulah sebabnya kebebasan bersuara, yang berpandukan tanggungjawab sosial, adalah salah satu prinsip yang dihargai dalam masyarakat yang menganuti sistem demokrasi.

Dalam masyarakat yang telah mencapai kematangan demokrasi yang agak tinggi, seperti sesetengah masyarakat Barat, tulisan yang kritis lagi mencabar minda sentiasa digalakkan dan menghiasi halaman akhbar dan majalah atau ruang TV dan radio. Malah, dalam kebanyakan akhbar yang berwibawa, satu halaman besar dikhaskan untuk para pembaca yang prihatin dan berminat meluahkan pandangan mereka mengenai satu-satu isu, pro dan kontranya. Ini selain daripada media itu berbuat laporan yang seadil mungkin.

Melalui pendekatan demokratis ini, darjat wacana politik boleh dipertingkatkan supaya warga masyarakat yang berkenaan dapat mengetengahkan isu-isu yang luas dan lebih pokok, dan membincangkannya secara terperinci. Inilah juga cara untuk mengangkat martabat politik dan budaya intelek tanah air ke peringkat yang boleh dibanggakan.

Ini bukanlah bermakna rintihan rakyat, misalnya, mengenai longkang yang tersumbat, atau lampu jalan tidak bernyala tidak mempunyai tempat dalam wacana media ini. Tetapi cara rintihan ini dipersembahkan oleh media arus utama (mainstream) di negara kita kadangkala membayangkan usaha untuk menjauhkan rakyat dari perkara yang lebih pokok lagi. Maksudnya, sampah yang terbiar itu, misalnya, mungkin ada kaitannya dengan dasar baru pemerintah tertentu, tetapi gambaran luas ini tidak disediakan kepada khalayak ramai untuk pengetahuan dan pemahaman mereka yang menyeluruh dan mendalam.

Tetapi untuk mendapatkan suasana intelek yang positif ini, pembaca dan penulis serta warga negara lain memerlukan keadaan di mana perasaan takut atau malu tidak boleh membelenggu mereka. Malah mereka harus berasa yakin dan bangga dengan pandangan yang diluahkan dalam media arus utama. Mereka sebenarnya memerlukan situasi masyarakat yang tidak dihantui oleh undang-undang negara yang bukan demokratis, seperti ISA, Akta Penerbitan dan Percetakan, dsb.

Dalam konteks inilah kita tertarik dengan pandangan yang dibuat oleh seorang pembaca sebuah akhbar Inggeris arus utama yang terkemuka di negara kita baru-baru ini. Beliau nampaknya berasa begitu gundah dengan pendekatan dan tindakan yang telah diambil oleh stesyen TV ceria, ntv7. Beliau menyifatkan usaha stesyen TV ini, dalam liputan beritanya, mengambil kira pandangan pucuk pimpinan pergerakan ADIL khususnya dan Reformasi amnya yang berkaitan dengan proses perbicaraan Anwar Ibrahim sebagai satu tindakan sensasionalis yang bertujuan semata-mata untuk meraih keuntungan material sebanyak mungkin.

Pembaca itu merasakan usaha ntv7, sebagai stesyen TV yang baru usianya, untuk bersikap berlainan dari stesyen TV yang lain adalah satu tindakan yang harus dipertikaikan oleh warga negara. Malah beliau menyarankan agar Kementerian Penerangan memantau stesyen itu dan, secara implikasi, jika perlu mengambil tindakan yang bersesuaian terhadapnya.

Sejajar dengan prinsip demokrasi yang telah diperkatakan awal tadi, pandangan pembaca tersebut perlukan respons. Sekurang-kurangnya warga masyarakat kita dapat pandangan yang berlainan dari ini. Pertama, pembaca itu nampaknya kurang arif tentang prinsip kebebasan bersuara ini. Iaitu, masyarakat yang menganuti sistem demokrasi harus memberi ruang kepada segala bentuk pandangan asalkan pandangan ini bersikap bertanggungjawab dan tidak menghasut orang ramai menggunakan kekerasan untuk membuat perubahan sosial. Sepatutnya media massa arus utama berusaha memberi ruang yang cukup bagi menampung pelbagai pendapat yang ada dalam masyarakat kita dengan harapan ini boleh membantu membentuk satu daya pemikiran yang lebih baik dan matang tentang satu-satu isu.

Pendekatan demokratis ini boleh merangkumi atau mengambil kira himpunan pandangan yang selama ini disisihkan dari kehidupan arus utama masyarakat kita. Ini merujuk kepada pandangan yang wujud di laman-laman siber pro-Reformasi dan juga media cetak alternatif yang lain. Bayangkan betapa hebat dan dinamisnya media arus utama kita jika pandangan seperti ini dapat disajikan untuk tatapan orang ramai. Kita sudah tentunya tidak boleh menafikan bukan sahaja terdapat pandangan dari laman pro-Reformasi itu yang bersikap bertanggungjawab, tetapi juga hujahan yang bernas dan bertaraf tinggi kualitinya. Ini merupakan salah satu sebab kenapa Harakah, sebuah akhbar parti PAS, dan kebanyakan laman pro-Reformasi, berjaya menambat hati rakyat jelata.

Kedua, pendapat pembaca akhbar berbahasa Inggeris itu seolah-olah memberi gambaran bahawa stesyen ntv7 itu cukup berbeza dari stesyen TV yang lain. Pada keseluruhannya, pendapat ini adalah satu mitos, lebih-lebih lagi jika kita mengambil kira pendekatan yang digunakan oleh ntv7 dalam program beritanya yang rata-rata pro-pemerintah. Program "Dateline Malaysia", misalnya, yang digembar-gemburkan sebagai satu program yang dinamis lazimnya memberi ruang kepada pemerintah untuk memancarkan pandangan dominan kepada khalayak ramai. Walaupun ada pengkritik pemerintah dipelawa untuk mengambil bahagian dalam program ini, cara program ini dikendalikan memihak kepada peserta dari atau yang menyokong pemerintah. Dengan kata lain, pandangan yang berlainan dari pemerintah pada keseluruhannya tidak begitu dihargai oleh stesyen ini dalam program tersebut.

Sesungguhnya, pandangan pembaca tersebut mengingatkan kita betapa perlunya media arus utama, yang selama ini cuba berlagak sebagai media yang bersedia menyalurkan fikiran rakyat, untuk benar-benar bersikap adil dan saksama dalam liputan beritanya. Media ini sering menekankan "tanggungjawab sosial"nya apabila cuba mempertahankan dirinya dari kritikan (seperti liputan berat sebelah) yang dilemparkan ke atasnya.

Hanya satu jalan sahaja yang ada bagi media arus utama ini untuk menunjukkan ianya benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat dan negara: memberi ruang yang cukup dan saksama kepada pelbagai pendapat, tidak kira dari pemerintah maupun pengkritiknya. Inilah juga caranya untuk menyelamatkan maruah media yang terjejas, lebih-lebih lagi ekoran daripada liputan media terhadap kes perlucutan jawatan Anwar Ibrahim. Dan seterusnya, dan lebih besar implikasinya, ini adalah salah satu cara bagi memulihkan semula proses demokrasi di negara yang kita sayangi.


Sumber: ALIRAN