Jika Kita Dijangkiti Penyakit Musuhluaritis
Laporan akhbar ini kemudiannya dinafikan oleh kedua-dua menteri, dengan menuduh akhbar berkenaan sebagai tersilap lapor. Penafian ini dilaporkan oleh, antara lain, agensi antarabangsa, Agence France Presse (AFP). Jika benar laporan AFP ini, kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai sebab yang kuat untuk berasa lega kerana ini menunjukkan sekurang-kurangnya dua ahli kabinet pusat masih lagi belum dijangkiti penyakit yang akan kita panggil
Musuhluaritis. Kita juga berharap agar penyakit Musuhluaritis ini dapat dikawal dengan amat berkesan sebelum ia merebak ke lapisan masyarakat yang lain.
Lagipun, kita akan merasa agak malu jika tuduhan melulu ini masih dimajukan oleh pak menteri kita ketika negara sedang mendapatkan bantuan saintifik dan teknikal yang diperlukan dari negara Barat seperti Amerika Syarikat bagi membenteras wabak virus yang berbahaya ini.
Musuhluaritis ini ialah virus yang boleh membuat orang yang dijangkiti
mempunyai kecenderungan yang amat kuat untuk menyalahkan orang luar, atau negara asing, apabila berhadapan dengan masalah negara atau tempatan. Dengan kata lain, virus ini menyebabkan seseorang itu mengalih pandangan, dan juga membuat orang lain menukar pandangan, dan lantas mencari kambing hitam (scapegoat).
Pesakit Musuhluaritis ini juga akan mengalami satu sindrom penafian, atau denial syndrome. Ini bermakna dia tidak akan menerima hakikat bahawa dia sebenarnya sedang mengalami masalah yang besar lagi kompleks. Masalah ini bukan sahaja memerlukan seseorang itu cuba mencari jalan penyelesaian, tetapi juga cuba mendapatkan iktibar dari masalah. Malangnya pesakit yang dijangkiti Musuhluaritis tidak akan berdaya untuk berbuat demikian, malah dia akan bersifat angkuh dan sombong.
Sebenarnya penyakit Musuhluaritis ini bukanlah satu penyakit yang baru; ia telah berada dalam masyarakat kita agak lama. Ia bersifat terpendam (dormant), dan boleh aktif semula mengikut kehendak dan keperluan semasa. Misalnya, pada puncak krisis ekonomi yang dialami oleh kebanyakan negara di Asia Tenggara ini, kepimpinan kita pernah menyalahkan pengurus dana dan spekulator wang Barat sebagai faktor tunggal yang menyebabkan krisis tersebut. Kelemahan dalaman jarang, atau tidak, disentuh atau diterokai.
Kita bukanlah hendak menafikan bahawa dalam keadaan tertentu, kemungkinan itu ada bagi komplot jahat dari negara asing untuk mencetuskan ketidakstabilan politik dan ekonomi negara. Jika ini merupakan realitinya, maka sudah tentunya rakyat perlu bersatu padu untuk menentang musuh dari luar. Tetapi, kita warga Malaysia sudah tentunya memerlukan petanda dan bukti yang kukuh untuk menunjukkan ada konspirasi antarabangsa yang beroperasi. Sebabnya ialah untuk mengelakkan diri kita daripada dipergunakan semangat patriotisme kita oleh para pemimpin negara demi menjaga kedudukan politik masing-masing, dan bukan untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat.
Sehubungan dengan hujah atas, kita rasakan ada bahayanya jika selalu sangat pak menteri kita melaungkan faktor "musuh luar" ini, kerana lama kelamaan kita, sebagai warga negara, akan merasa "lali" apabila "hujahan" ini ditonjol-tonjolkan walaupun pada satu ketika ia mungkin merupakan satu hakikat yang memerlukan tindakan tegas dan pantas. Pendek kata, pak menteri harus berhati-hati apabila membuat "teriakan serigala" (cry wolf) kerana pada masa yang berkenaan kita mungkin tidak akan mempercayainya, dan tidak akan berasa cemas lagi.