ALIRAN Budaya Menunjuk Perasaan

Timbalan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi meluahkan kekesalannya terhadap tindakan segolongan penyokong Reformasi yang berdemonstrasi baru-baru ini di Kuala Lumpur ekoran dari jatuhnya hukuman enam tahun penjara terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Tambah beliau, demonstrasi bukanlah sebahagian dari budaya orang Malaysia dan juga, katanya lagi, demonstrasi bukannya cara kita mendapat perubahan sosial.

Sebelum kita cuba menjawab persoalan yang diketengahkan oleh Abdullah Badawi, eloklah kita lihat apa yang dimaksudkan dengan budaya. Secara kasarnya, kita bolehlah menakrifkan budaya sebagai amalan, kepercayaan, tradisi yang wujud dalam sesebuah masyarakat atau kelompok masyarakat. Ada masanya satu-satu aspek budaya itu ditelan zaman dan tidak dipraktikkan lagi. Manakala ada unsur baru dari luar masyarakat yang diterima masuk ke dalam budaya tempatan dan lantas diamalkan. Ada juga aspek budaya yang dihidupkan semula dan dipraktikkan hingga ini menyebabkan ia kembali menjadi sebahagian dari budaya masyarakat. Lazimnya, aspek yang dirasakan positif dan selari dengan amalan semasa akan diterima dan diamalkan oleh masyarakat berkenaan. Dengan kata lain, budaya itu dinamis, tidak statis.

Berbalik kepada persoalan pokok kita tadi, demonstrasi atau tunjuk perasaan bukanlah sebenarnya satu perkara yang asing (alien) kepada budaya tempatan. Demonstrasi secara aman sudah lama dilakukan oleh sebilangan rakyat Malaysia. Mungkin di masa yang lampau, kekerapannya tidaklah begitu menonjol, namun ia pernah dipraktikkan mengikut tuntutan masa dan keadaan. Tak kiralah sama ada kita berasa tidak senang hati dengan tindak tanduk penjajah British maupun hal yang berkaitan dengan kekejaman regim Israel terhadap orang Palestin, misalnya.

Sesungguhnya, tindakan berdemonstrasi bukanlah merupakan hak monopoli orang yang luar dari kumpulan pemerintah. Pemuda Barisan Nasional dan Pemuda UMNO, misalnya, pernah berdemonstrasi. Mereka pernah berkumpul di tepi jalan raya Kuala Lumpur untuk menentang kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Iraq oleh kuasa besar Barat. Kita juga tidak lupa demonstrasi ganas yang dilakukan oleh pemuda Barisan Nasional yang menghalang dan mengganggu persidangan APCET II di Kuala Lumpur tidak lama dahulu.

Demonstrasi dilakukan oleh segolongan rakyat kerana mahu dunia mengetahui apa yang terpendam di dada mereka tentang isu-isu tertentu dengan harapan khalayak ramai dapat menyedari isu berkenaan. Demonstrasi juga diadakan lebih-lebih lagi dalam keadaan, seperti di Malaysia sekarang, di mana segolongan rakyat mempunyai ruang yang kecil, jika ada, untuk meluahkan perasaan mereka. Media arus utama tidak memberi ruang kepada mereka; kalau adapun, luahan itu dipesong untuk memberi imej negatif terhadap diri mereka.

Perlu ditegaskan di sini bahawa kita memang tidak menerima dan menggalakkan demonstrasi secara ganas. Itulah sebabnya kita harus meneliti apa yang sebenarnya berlaku baru-baru ini di Kuala Lumpur hingga tercetusnya keganasan seperti memukul kereta krew TV3, membakar tong sampah, dsb.

Kita juga ingin tahu sejauh manakah benarnya dakwaan bahawa kegiatan ini dicetuskan oleh agent provocateur. Atau adakah juga kemungkinan perbuatan yang agak kasar ini sebahagian darinya tercetus ekoran dari keganasan yang dilakukan oleh pihak polis yang sepatutnya bersikap "mesra rakyat". Gambar terbaru naib presiden parti Keadilan, Tian Chua, yang telah ditangkap bersama dengan ahli reformis yang lain, menunjukkan seorang yang teruk kena belasah. Kita tertanya-tanya, adakah keganasan di pihak polis ini merupakan satu budaya masyarakat kita?

Jika ada sesuatu dari kehidupan kita yang telah menjadi sebahagian dari budaya kita, ianya ialah keprihatinan dan komitmen orang ramai terhadap prinsip mulia seperti keadilan, ketelusan dsb. Ini kerana agama kita— tak kira Islam, Kristian, Hindu, Buddha, dll.—rata-rata menuntut penganutnya mencari kebenaran dan memburu keadilan. Lagipun, inilah salah satu cara bagi kita mempraktikkan apa yang kita anuti dan disuruh agama masing-masing.

Sesungguhnya, keadilan, seperti kezaliman, tidak mengira warna kulit dan kepercayaan. Dalam masa singkat ini kita telahpun menyaksi segolongan rakyat Malaysia yang dahagakan keadilan dan sanggup menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan: dari Anwar Ibrahim, ke Lim Guan Eng, ke Zainur Zakaria, ke Chandra Muzaffar, ke Irene Fernandez, ke Tian Chua, ke Malek Hussain, hinggalah ke segolongan Orang Kena Tuduh (OKT), pelajar dan orang lain. Kita seharusnya berbangga dengan orang-orang ini yang berpegang kepada prinsip mereka. Budaya ini, yang tidak mengenal wang dan kebendaan, harus disanjungi rakyat Malaysia.

Abdullah Badawi juga berkata bahawa bagi mereka yang inginkan perubahan sosial, ruangnya ada pada masa pilihanraya. Tak perlu berdemonstrasi, katanya lagi. Kalaulah ini pendekatan Barisan Nasional terhadap demokrasi, nampaknya kita kini mempunyai pucuk pimpinan yang kurang arif tentang demokrasi, dan ini amat menyedihkan. Jika perlu kita diingatkan, berdemonstrasi secara aman adalah sebahagian dari amalan demokrasi. Ia sudah seharusnya menjadi sebahagian dari budaya kita.

Sumber: ALIRAN