Bilakah "Lucah" Dipanggil Lucah?
Pergolakan politik tanah air selepas Anwar Ibrahim dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri menjadi lebih hangat lagi dengan timbulnya baru-baru ini sebuah novelet tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Novelet kontroversil yang bertajuk Shit @ P------ ini bukan sahaja berupaya menambat minat orang ramai yang prihatin terhadap politik masakini tetapi juga berjaya membakar perasaan kemarahan di kalangan ahli parti pemerintah, khususnya UMNO.
Malah pada kadar tertentu, gelagat atau respons orang ramai, khususnya yang berkiblatkan UMNO, berupaya menjadi satu subjek yang amat menarik yang memerlukan pemerhatian dan perbincangan rasional dari kita. Selain daripada kelompok orang yang menyarankan pengharaman Shit (yang juga bermakna Tahi dalam bahasa Melayu), ada juga terdapat golongan manusia yang merasakan kedudukan moralnya yang agak tinggimengetengahkan unsur "kelucahan" novelet ini. Inilah yang harus kita perbincangkan kerana respons ini ada implikasi yang besar.
Haramkan Shit kerana ia lucah, sungguh menjijikkan, bercanggah dengan nilai-nilai rohaniah orang Timur. Demikian kedengaran antara keluhan dan kritikan mereka yang terhidu "bau" busuk Shit ini. Sebelum kita memperkatakan hal "kelucahan" Shit, marilah kita lihat fe'el orang-orang yang merasakan "kelucahan" tersebut.
Mereka yang nampaknya cepat melenting selepas menemui Shit ini dan lantas menjerit "lucah' sebenarnya telah menggunakan dwi standard (double standard) dalam mengukur kelucahan dalam kehidupan masyarakat masakini. Ini kerana jika mereka begitu prihatin dan bimbang tentang unsur kelucahan dalam Shit, nampaknya mereka terlalu sepi apabila media arus utama, misalnya, mempamer dan mempromosikan istilah yang busuk lagi membusukkan seperti air mani, dubur, liwat, melancap, dsb. yang berkaitan dengan kes mahkamah Anwar Ibrahim tidak lama dahulu. Lagipun, dwi standard yang digunakan dalam mengukur moral masyarakat hanya menggalakkan hipokrit di kalangan ahli masyarakat.
Media massa tanpa segan silu mengulangi istilah-istilah ini seolah-olah masyarakat Malaysia telah kehilangan pedoman hidup. Istilah "lucah" ini tidak lagi menjadi sesuatu yang asing bagi kanak-kanak pasca kes mahkamah Anwar. Dengan kata lain, selepas "liwat" dsb., Shit tidaklah sepatutnya memeranjatkan atau mengaibkan.
Sesungguhnya orang-orang ini (termasuk orang budaya, sastera dan akademik) membisu seribu bahasa, seolah-olah hilang suara untuk melaungkan "lucah" ketika kes salah laku seks Anwar hebat dibicarakan dan dicanang-canangkan. Tidak juga terdapat manusia (yang sekarang ini kononnya bermoral tinggi) tercari-cari fatwa yang boleh mengutuk perbuatan mediadan juga orang politik tertentuyang menyajikan istilah dan imej lucah kepada khalayak ramai.
Begitu juga halnya dengan kes seorang ketua menteri yang didakwa merogol seorang gadis bawah umur. "Kebisuan" di kalangan cendiakawan, budayawan dan juga ahli agama, khususnya mereka yang berkait rapat atau bersimpati dengan parti pemerintah, sungguh menyayatkan hati. Seolah-olah kelucahan tidak wujud dalam kes moral ini. Seperti yang kita sedia maklum, orang yang cuba membantu gadis tersebut pula yang merengkok dalam penjara!
Dalam konteks ini kita tertanya-tanya, adakah mereka ini sanggup menjerit "lucah" hanya setelah mendapat "lampu hijau" dari pucuk pimpinan Barisan Nasional? Kalaulah ini hakikatnya, di manakah letaknya kewibawaan intelek dan pegangan rohaniah dan maruah seseorang itu? Dalam ertikata lain, kenapa takrifan "lucah" memerlukan izin pemerintah kalau kita sungguh-sungguh jijikkan yang kotor, keji dan lucah?
Kalau boleh kita ambil satu contoh lagi dari sejarah singkat masyarakat kita: Pada suatu ketika dahulu terdapat seorang ahli Parlimen dari parti pemerintah yang dikatakan terlibat dalam skandal video porno. Adakah terdapat golongan manusia, yang kini menampakkan diri mereka sebagai orang yang "kuat iman", melaungkan "lucah", sanggup mengkritik pemerintah? Perlu diingatkan, kebenaran membenci kedayusan dan kemunafikan.
Shahnon Ahmad, dalam usahanya mempertahankan dirinya dari kritikan terhadap Shit, menghujah bahawa dia bukan bersikap lucah dalam noveletnya, tetapi sekadar merakamkan kelucahan politik semasa Malaysia dalam noveletnya. Sebagai seorang penulis novel yang ada harga diri, beliau sudah tentunya mempunyai tanggungjawab yang berat untuk melukiskan keadaan masyarakat masakini sejitu yang mungkin dalam tulisannya. Jika tahi yang mencalit arena politik tempatan, maka tahilah yang mengisi novel penulis. Kalau tidak, beliau serupa dengan tukang karut (atau spin doctor) yang wujud dalam organisasi media tempatan pada masa sekarang. Malah dalam hal tertentu, kebanyakan media massa tempatan sering, kalau boleh kita meminjam sebentar istilah Shahnon, mengemutkan keluar "tahi" kepada rakyat Malaysia.
Episod ini juga nampaknya ingin menyarankan kepada rakyat Malaysia bahawa penulis tanah air memerlukan bukan sahaja daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi tetapi juga ketabahan hati, keberanian serta harga diri yang tidak boleh dijual beli. Akhirnya, bukan pengiktirafan dan penganugerahan pemerintah (dalam bentuk gelaran Datuk, Tan Sri, ganjaran wang, dsb.) semata-mata yang harus menjadi kayu ukur terhadap kehebatan seseorang penulis. Ketelusan, komitmen terhadap keadilan sosial serta maruah juga penting, kalaupun tidak lebih penting, bagi seseorang penulis.
Kewujudan kelucahan iniiaitu kekotoran dalam gelanggang politik tempatan dan juga tindakan para budayawan dan cendiakawan yang selektif dalam laungan "lucah" merekamengingatkan kita kritikan Perdana Menteri tentang apa yang disifatkan masyarakat Barat yang tidak bermoral. Jika kita mempunyai keupayaan untuk melihat dalam diri sendiri, kita akan dapati keadaan "kotor" kita tidak begitu jauh dari Barat. Malah dari segi lain, masyarakat Barat secara amnya lebih bertamadun dan beradab dari kita. ¦
Sumber: ALIRAN