ALIRAN Apa Yang Terjadi Di Belakang Pokok Getah?

Apabila golongan penoreh getah di Malaysia meminta pemerintah menetapkan gaji bulanan untuk diri mereka, mereka sebenarnya tidak berjenaka. Mereka begitu serius dengan persoalan ini sejak beberapa tahun yang lalu.

Itulah sebabnya bila Menteri Industri Utama Dr. Lim Keng Yaik berseloroh mengenai hal ini, penoreh getah negara ini tidak berasa geli hati. Malah kemarahan menyala lebih-lebih lagi bila Lim cuba membayangkan seolah-olah sesuatu yang tidak kena berlaku di belakang pokok getah. Dan tidak hairanlah kenapa selain daripada penoreh getah, parti politik, NGO dan orang perseorangan turut meluahkan rasa marah mereka.

Nasib baik pak menteri ini bersedia mengenepikan sikap angkuhnya dan lantas meminta maaf terhadap apa yang telah beliau perkatakan tempoh hari. Kejadian ini membayangkan kecenderungan atau sikap sesetengah pak menteri dalam Kabinet Mahathir yang tidak berprihatin terhadap keperitan hidup yang dialami oleh segolongan pekerja peringkat rendah.

Para pemimpin harus ingat bahawa kemajuan yang telah dicapai oleh negara yang kita cintai bukanlah semata-mata kerana inisiatif para usahawan dan ketua industri, atau pun pihak pemerintah semata-mata. Titik peluh golongan pekerja bawahan juga memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ekonomi negara.

Sesungguhnya, penoreh getah dan pekerja estet merupakan salah satu golongan manusia yang telah memberi sumbangan yang besar kepada peningkatan taraf ekonomi Malaysia. Mereka bertungkus lumus bukan sahaja untuk mendapatkan sesuap nasi, tetapi juga turut menjayakan peningkatan eksport getah dan sumber kewangan negara khususnya selepas negara mencapai kemerdekaan. Sudah tentunya sumbangan pekerja ini harus diberikan penghargaan dalam pelbagai bentuk; bukannya cemuhan dari seorang pak menteri.

Sehubungan dengan hal ini, pekerja lain juga turut memainkan peranan yang penting dan harus kita hargainya. Ini termasuklah pekerja asing yang dibawa ke dalam negara untuk mengerjakan ladang-ladang, kilang, dsb. Mereka bukan sahaja mencari nafkah hidup di sini tetapi juga membantu menjayakan ekonomi negara. Sebagai satu contoh, pembantu rumah yang diimport dari Indonesia, Filipina dan Sri Lanka bukan sahaja bertanggungjawab menjaga rumah dan anak-anak, tetapi juga membolehkan si ibu keluar dari rumah untuk memainkan peranan yang aktif dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan budaya.

Itulah sebabnya pekerja asing perlu dilayani oleh pihak majikan, pemerintah dan juga orang tempatan sebagai seorang insan yang mempunyai kehendak, impian dan juga kelemahan. Dan sekiranya mereka menjadi mangsa pengeksploitan, mereka harus diberi pembelaan dan perlindungan yang sewajarnya. Jangan kita lihat mereka semata-mata sebagai komoditi yang boleh dijual beli.

Sekiranya pihak pemerintah bersikap dingin terhadap masalah yang dihadapi golongan pekerja rendah ini, konsep "masyarakat penyayang" yang cuba dipopularkan oleh pemerintah akan hanya tinggal sebagai satu slogan kosong yang tidak berharga. Dan scenario ini hanya menunjukkan kita tidak perlu menanti orang atau syarikat asing datang ke sini untuk "menjajah" pekerja kita; orang "kita" sendiri cukup punyai kaliber untuk bertindak sedemikian rupa.

Sudah sampai masanya pemerintah BN melayani tuntutan golongan pekerja seperti penoreh getah ini memandangkan taraf hidup mereka tidak begitu selari dengan peningkatan ekonomi yang kita nikmati selama ini. Mereka memerlukan pembelaan sewajarnya, tidak kira sama ada mereka berada di depan atau belakang pokok getah. Mereka sudah lama berkorban untuk kemajuan negara.

Sumber: ALIRAN