Faktor-Faktor Luarbiasa Yang Mengikis Keutuhan Pemerintah
Oleh Dr Maznah Mohamad
Kesungguhan pihak media kerajaan untuk mematikan sebarang kemungkinan bahawa gerakan reformasi mampu menentang kerajaan Barisan Nasional telah mengakibatkan penafian bahawa zaman boleh, dan sudah pun, berubah.
Mengikut pandangan beberapa pengulas politik, apa yang berlaku dari segi konflik politik sekarang tiada bezanya dengan dahulu. Sejarah mengulangi kisah lama, apa yang pernah berlaku akan berulangan.
Pada hemat mereka, Parti Keadilan Nasional yang mirip Parti Negara dan Parti Semangat 46 akan mengalami nasib yang sama. Hujah yang sering diutarakan ialah, orang Melayu masih memerlukan UMNO dan kaum-kaum lain masih mempercayai bahawa hanya BN yang boleh menjamin kestabilan negara.
Penyokong Dr Mahathir yakin bahawa Anwar Ibrahim akan dipulaukan dan jika adapun usahanya untuk menubuhkan sebuah parti baru ini semuanya akan berkecai seperti yang telah dicubai oleh Tengku Razaleigh. Satu lagi ramalan pada masa itu ialah beliau akan menerima nasib Tan Sri Musa Hitam yang berundur dari arena politik tanpa sebarang riuh-rendah.
Sebenarnya, bab krisis penyingkiran Anwar Ibrahim akan ditutup dengan begitu sahaja jika tidak kerana munculnya faktor-faktor yang di luar dugaan pihak yang merancangkan pengunduran beliau. Kelahiran faktor-faktor yang amat ketara ini mencabar teraju kepimpinan pemerintah. Perkembangan ini mengambil wajah suatu wadah yang nyata, membesar, berterusan dan mengisi intipati keluhan reformasi yang telah lama berlegar. Sebenarnya, faktor-faktor luar biasa ini adalah sesuatu yang sukar dibendong oleh Dr Mahathir atau alat-alat penindasan beliau.
Lima faktor yang merupakan cabaran hebat dan yang mungkin memaksa pihak pemerintah menggunakan langkah-langkah ekstrim sebagai menyelamat pengekalannya ialah:
- Wan Azizah
- Pendedahan Keganasan Polis
- Tunjuk Perasaan Berterusan
- Internet dan
- Anwar Ibrahim
Kita boleh menyelami sejarah masa lampau tetapi kita tidak akan berhadapan dengan faktor-faktor ini, atau faktor-faktor di atas dalam kombinasi yang sama.
Kegagalan Parti Negara, sebuah parti berbilang kaum yang ditubuhkan oleh Datuk Onn pada tahun 1954 untuk mencabar UMNO tidak berlaku dalam suasana yang kita alami pada masakini. Tidak adanya sebarang perkembangan luar biasa dalam detik persejarahan Parti Negara. Masyarakat Melayu rata-rata telah berpegang teguh kepada perjuangan kaum dan penubuhan Parti Negara adalah dicetuskan dalam keadaan yang tenang jika dibandingkan dengan sekarang.
Parti Semangat 46 yang ditubuhkan pada tahun 1989 telah juga gagal untuk menjadi parti alternatif kaum Melayu. Walaupun adanya perpecahan dalam UMNO, tiada satupun elemen-elemen diluar dugaan yang wujud di kalangan masyarakat Melayu pada masa itu. Walaupun adanya suasana ketidakpuasan yang ketara di kalangan sebahagian ahli-ahli UMNO, masyarakat di luar tidak diyakini oleh perjuangan parti serpihan itu.
Sebesar-besar Ikan Paus, Tempuling juga Menghilangkan Jiwa
Faktor yang ternyata sekali yang membezakan gerakan reformasi masakini dengan pergerakan yang mencabar UMNO pada masa lalu ialah faktor kehadhiran Dr Wan Azizah.
Adakah Dr Mahathir pernah menyangkakan bahawa lawannya sebenar adalah berupa seorang wanita yang amat sekali-kali berbeza daripada beliau? Siapakah yang menyangkakan bahawa Wan Azizah akan muncul dalam kancah politik dan mengukir lanskap politik dengan cara yang tidak pernah diimaginasikan oleh sesiapapun sebelum ini?
Pada hemat saya pihak pemerintah tidak boleh mengenepikan kuasa yang dipegangi Wan Azizah. Malahan, kemunculan dan penjelmaan karisma Wan Azizah adalah sesuatu yang amat dikhuatiri oleh pemerintahan ini.
Kuasa yang ada pada Wan Azizah adalah berlainan dari kuasa Mahathir. Kekuatan yang ada pada Wan Azizah bukan berdasarkan kuasa mutlak yang diperah dari pihak polis, mahkamah, media ataupun khazanah wang negara.
Tarikan yang ada pada Wan Azizah bukannya berdasarkan kepintaran mengatur strategi politik, atau kepetahan membelit-belitkan pertuturan dan pernyataan di khalayak umum. Kepimpinan yang ada pada Wan Azizah bukanlah berasaskan pengalaman berjela-jela dalam percaturan politik wang dan pengaruh.
Sebenarnya, perjuangan yang dilandasi oleh Wan Azizah adalah satu perjuangan yang tidak langsung bergantung kepada ciri-ciri kepimpinan lazim yang diutarakan oleh pemerhati politik; jauh sekali sifat-sifatnya menyamai Mahathir.
Justeru, inilah yang luar biasa dalam perkembangan politik yang terdapat sekarang.Dr Wan Azizah ialah seorang yang tidak berlatarbelakangkan politik tetapi ini tidak bermakna kehadhiran beliau tidak boleh disamakan dengan angin kencang yang meniup dengan hebatnya.
Wan Azizah mempunyai sifat kejujuran, beliau ialah seorang yang terpelajar, beliau menyatupadukan pihak-pihak pembangkang, beliau menyampaikan mesej kebaikan dan keadilan. Adakah ini suatu kelemahan atau kekuatan dalam keadaan politik yang amat keruh dan berserabut sekarang?
Bak kata pepatah, "Yang disangka tidak menjadi, orang diam pula yang mendapatnya." Lagipun, "Berapa besar ikan paus, tempuling juga menghilangkan jiwa." Apa yang tidak didugai akan berlaku, dan hanya sesuatu yang kecil itulah yang akhirnya dapat menamatkan riwayat ikan paus yang raksaksa itu.
Bagaikan Telunjuk Merusuk Mata
Faktor kedua yang diluar dugaan Mahathir ialah pendedahan meluas tentang Keganasan Polis. Ini telah ditimbulkan semenjak episod penangkapan Anwar Ibrahim. Kejadian penumbukan Anwar Ibrahim di dalam penjara, dan kebrutalan polis terhadap orang-orang yang berdemonstrasi dan ditahan, telah membongkarkan berbagai penyalahgunaan kuasa pihak-pihak tertentu.
Keganasan polis terhadap orang awam jarang sekali dihebahkan oleh penulis-penulis sejarah di negara ini. Di sebaliknya, dalam tempoh beberapa bulan yang lalu sahaja, masyarakat didedahkan kepada satu demi satu insiden keganasan polis terhadap masyarakat awam.
Pada pertama kali dalam sejarah negara ini, orang-orang yang ditahan telah memberanikan diri untuk membongkarkan taktik-taktik ganas, tidak beretika dan jijik pihak polis, terutama Polis Cawangan Khas. Pernyataan-pernyataan yang dikeluarkan oleh Dr Munawar Anees, Sukma, Mior, Tian Chua dan Ruslan Kassim, serta pendedahan polis dalam perbicaraan Anwar Ibrahim mengejutkan umum tentang apa sebenarnya berlaku disebalik dinding-dinding Bukit Aman.
Tambahan pula, Ketua Polis, orang yang paling tertinggi yang sepatutnya memastikan bahawa rakyat tidak melanggar undang-undang, telah dengan sendirinya melakukan kesalahan jenayah. Pertanyaan yang bersusulan ialah: apa gunanya undang-undang?
Masyarakat kini menyoal, bolehkah pihak berkuasa undang-undang itu dipercayai? Siapa sebenarnya yang menjaga keamanan rakyat? Adakah pihak yang menjaga keamanan sama saja dengan pihak yang akan membelasah kita? Berlegar di dalam fikiran orang ramai ialah, "adakah saya akan kena tangkap bila menulis semacam ini, bercakap semacam ini, berkumpul semacam ini?"Harapkan pagar, pagar makan padi? Harapkan telunjuk, telunjuk merusuk mata!
Apa yang dirasai oleh masyarakat Malaysia yang dikatakan telah hampir mencapai status negara maju ini adalah seakan-akan kehidupan darurat. Cuma secara teori saja tiada darurat tetapi secara praktiknya ramai telahpun mengatur kehidupan seoalah-olah diselubungi peraturan darurat. Oleh kerana propaganda bertubi-tubi kerajaan Barisan Nasional tentang bagaimana ia saja yang boleh menegakkan kestabilan, ramai yang tidak lagi tahu membezakan darurat dari keamanan, negara polis dari negara stabil.
Matahari Itu Bolehkah ditutup Dengan Nyiru?
Faktor yang ketiga yang menggelisahkan pemerintahan masakini ialah faktor Internet. Walaupun penggunaan Internet telah diberi galakan yang amat kuat oleh pihak pemerintah, namun, haluan dan corak penggunaan Internet di kalangan rakyat Malaysia masakini adalah diluar sangkaan perancang-perancang dasar teknologi maklumat ini.
Sememangnya revolusi IT atau teknologi maklumat adalah satu revolusi sosial. Di Malaysia, revolusi sosial yang diujudkan, akibat perluasan penggunaan Internet ialah tertubuhnya satu jaringan maklumat alternatif yang kian menggugat media kuasa pemerintah.
Berpuluh-puluh laman web reformasi telah dicetuskan. Setiap hari hampir 100,000 pukulan telah diterima oleh setengah-setengah laman web. Seruan untuk mendapatkan sokongan, mengadakan perjumpaan, pengumuman ceramah, notis-notis perarakan, tunjuk perasaan dsbnya semuanya telah disalurkan melalui internet. Selain dari laman web yang khusus difokuskan kepada isu reformasi pelanggan internet juga mendapat laluan kepada media asing
Kadar kelajuan maklumat ini disebarkan adalah sesuatu yang menakjubkan. Kini, masyarakat yang celik computer, di kalangan profesyenal, gulungan muda dan terpelajar sudah ada tapak untuk menimba berita dan pandangan yang pro dan kontra. Ini adalah juga satu perkembangan yang tidak pernah berlaku dengan sebegitu meluas, sebelum tercetusnya krisis politik masakini.
Pada zaman lalu hampir kesemua maklumat yang disampaikan kepada masyarakat telah disalurkan melalui media kerajaan yang ditapis dengan rapi. Kini, melalui Internet, amat sukar sekali matahari mahupun bangkai gajah itu dapat ditutup dengan nyiru.
Kalau Tiada Angin, Takkan Pokok Bergoyang
Faktor keempat yang merupakan faktor di luar dugaan pemerintah ialah insiden tunjuk perasaan yang telah berlaku secara berterusan semenjak pemecatan Anwar Ibrahim. Kesanggupan beribu-ribu rakyat untuk turun ke medan awam bagi menunjukkan perasaan tidak puas hati mereka adalah satu kejadian luar biasa yang tidak pernah berlaku semenjak tahun tujuhpuluhan yang melibatkan golongan pelajar universiti memprotes kejadian kemiskinan di negara ini.
Bilangan demonstrasi awam yang telah diadakan adalah dalam angka berpuluh-puluhan. Pemerintah tidak menyangkakan bahawa ramai yang berani menentang sekatan-sekatan yang menakutkan seperti Akta Polis, ISA dan Akta Universiti untuk keluar beramai-ramai memprotes ketidakadilan masakini.
Walaubagaimanapun, seperti apa yang lumrah dilakukan, pemerintah tidak keberatan menggunakan isu tunjuk perasaan ini untuk mencaci dan memburukkan gerakan reformasi. Ini memang mudah dilakukan. Setiap berita tentang demonstrasi awam akan diputarbelitkan untuk menakutkan rakyat tentang kemungkinan keganasan dan huru-hara besar yang akan berlaku.
Sebenarnya, perkumpulan secara aman adalah sesuatu hak sivil yang dijamin dibawah Perlembagaan. Apa yang tidak diwartakan oleh pihak media ialah bahawasanya, semua tunjuk perasaan yang berlaku semenjak 20 hb September 1998 sehingga bulan April 1999 adalah demonstrasi anti-kerajaan, bukannya rusuhan awam atau rusuhan kaum ataupun rusuhan yang tidak menentu-hala.
Oleh kerana sasaran demonstrasi adalah terhadap kerajaan yang memerintah serta institusi sekutunya, pihak berkuasa akan cuba mengalihkan perhatian rakyat kepada perkara-perkara yang bukan pokok kepada isu yang dibangkitkan oleh para demonstrasi. Isu keadilan kehakiman yang ditonjolkan oleh penunjuk perasaan tidak langsung diberi perhatian oleh media kerajaan. Isu mereformasikan pemerintahan jauh sekali akan disentuh oleh media.
Berpuluh-puluh kejadian tunjuk perasaan telah berlaku semenjak September 1998. Beribu-ribu surat, rencana dan kenyataan mengutuk tindakan permerintah telah diluahkan oleh rakyat melalui bahan cetak dan internet. Berjuta-juta rakyat telah menaruh harapan agar krisis politik ini diakhirkan dengan pengadilan dan penyelesaian yang berpatutan. Namun, pemerintah masih tidak responsif kepada kehendak segenap lapisan masyarakat yang inginkan perubahan.
Penyelesaian yang diutarakan oleh pemerintah ialah semata-mata melalui proses pilihanraya umum. Ini ialah kerana kerajaan Barisan Nasional yakin bahawa ia akan berjaya mempertahankan kekuasaannya, seperti masa-masa lalu. Media, wang, kuasa negara ada ditangannya.
Satu pertanyaan terhadap pendirian pemerintah masa kini ialah: Mengapakah kerajaan penjajah (British) pun sanggup menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang menjelajah ke seluruh negara untuk menangani ketidakpuasan orang Melayu akibat tunjuk perasaan anti Malayan Union dalam tahun 1946?
Di bawah pemerintahan bangsa kita sendiri sehingga sekarang tidak ada apa-apa penyelesaian yang telah dijanjikan. Yang dialami oleh ramai pihak, terutama belia-belia dan penyokong reformasi ialah tekanan demi tekanan, kekarasan demi kekerasan. Masakan semua demonstrasi ini berlaku kerana pihak-pihak "perusuh" cuma ingin merosakkan harta benda awam, seperti yang dituduh oleh pemimpin-pemimpin? Masakan pokok akan bergoyang jika tidak ditiup angin? Namun, pihak pemerintah akan terus menafikan bahawa adanya sesuatu angin atau ribut taufan yang melanda negara ini.
Di Genggam Takut Mati, Dilepaskan Takut Terbang.
Faktor kelima yang boleh dianggap luar biasa dalam percaturan politik UMNO masakini ialah faktor Anwar Ibrahim sendiri. Sepanjang episod penahanan Anwar Ibrahim, gerakan reformasi telah disamakan dengan kejadian "personality cult" di mana para penyokong Anwar Ibrahim telah dianggap sebagai pengikut yang mengidolakan Anwar Ibrahim.
Media kerajaan akan menonjolkan aspek ini dengan sehabis-habisan kerana ini akan memudahkan mereka mencerca dan merendahkan hasrat pergerakan ini. Tujuan pergerakan untuk menuntut keadilan dan pemerintahan yang telus dan bersih tidak diberi perhatian langsung. Namun, kumpulan-kumpulan reformasi yang berbagai menerima hakikat bahawa sememangnya fenomena "Anwar Ibrahim" itulah yang telah mencetuskan keadaan sekarang.
Walaubagaimanapun, ramai juga yang sedar bahawa ketidakadilan yang menimpa Anwar Ibrahim bukanlah sesuatu yang tidak pernah dialami oleh pihak-pihak lain. Beribu-ribu rakyat Malaysia pernah ditahan di bawah ISA dan ramai yang telah didera dan diseksa semasa dalam tahanan ISA. Ironisnya ialah Anwar Ibrahim sendiri telah akhirnya menjadi mangsa kepada sistem pemerintahan yang telah dipertahankan oleh beliau sendiri. Justeru inilah sesuatu yang lain dari yang lain.
Di manakah dalam sejarah negara ini perkara sebegini pernah berlaku? Anwar Ibrahim sebagai seorang insan telah memainkan peranan "hero" dan "anti-hero" dalam gelombang perubahan masyarakat kini. Pada suatu ketika beliau ialah seorang penentang (rebel), kemudian dia telah ditakhtakan sebagai orang kedua yang paling berkuasa di negara ini dan kini beliau merengkok dalam tahanan sebagai "martyr" bagi setengah pihak, dan "sampah" bagi yang lain.
Sejarah sesuatu negara itu tidak akan dibina oleh seorang insan, tetapi seseorang insan itu boleh menukar hala persejarahan sebuah negara. Tidak mungkin faktor "Anwar Ibrahim" boleh disamakan dengan faktor, "Onn bin Jaafar" atau "Aziz Ishak", atau "Tengku Razaleigh". Turun-naik perjalanan hidup Anwar Ibrahim amat luarbiasa dan setakat ini, kisah hidupnya tiada tandingan atau bandingan protagonis-protagonis lain dalam sejarah politik Malaysia. Tidak mungkin pemerintahan Dr Mahathir boleh mengharapkan bahawa Anwar Ibrahim boleh lenyap dengan begitu sahaja daripada ingatan masyarakat walaupun tempoh penahanannya dipanjangkan. Digenggam takut mati dilepaskan takut terbang; begitulah dilemma yang dihadapi oleh pemerintah masakini. Kalau dibebaskan ia pasti mencetuskan penentangan yang paling hebat kepada rejim yang sedia ada. Jikalau ditahanpun, kedudukan "martyrdom" nya pula akan memuncak.
Bagaikan Retak Menanti Pecah
Kelima-lima faktor luar biasa yang dihuraikan diatas bukanlah faktor menyeluruh atau mutlak yang sedang menggugat pemerintahan masakini. Mungkin terdapatnya berbilang-bilang kejadian lain yang sama luar biasanya. Terpulanglah kepada pemerhati lain untuk mencatatkan apakah yang aneh tentang krisis politik hari ini.
Berdasarkan penjelmaan faktor-faktor baru yang pasti mengikis keutuhan pemerintahan hari ini mampukah Barisan Nasional menghalang gelombang perubahan ini dari membanjiri akal dan hati rakyat? Kita harus bertanya, apakah pula taktik-taktik luar biasa, jika ada, yang akan digunakan oleh penyandang kerajaan bagi melawan perkembangan-perkembangan baru ini?.
Apa yang diperhatikan ialah strategi-strategi lama juga yang sedang dimainkan. Pembaikan keadaan ekonomi diharapkan akan menjadi umpan yang paling mujarab untuk memikat balik hati pengundi. Ini adalah taktik lama. Satu lagi taktik ialah dengan memperkuatkan lagi propaganda menyokong kerajaan melalui media-massa. Bagi rakyat yang matang, yang mempunyai daya pemikiran yang sempurna dan bagi mereka yang tahu membezakan betul dari yang palsu, taktik ini adalah sekadar, "masuk ambung tak masuk bilang."
Apa yang dilakukan sekarang oleh pemerintah ialah untuk menafikan kekuatan pihak-pihak pembangkang, terutama sekali kebolehan Parti Keadilan untuk mengambil alih tempat UMNO bagi gulungan Melayu. Alat-alat pemerasan seperti undang-undang "draconian" sudah pasti akan digunakan bagi menyekat tindakan-tindakan yang dianggap mengancam. Setakat ini tiada suatupun strategi baru atau menakjubkan yang sedang dilakukan oleh pemerintah bagi menyakinkan rakyat bahawa ia unggul dan sesuai bagi masyarakat.
Api ketidakpuasan telah merebak dan walaupun ramai yang masih mengkagumi jasa-jasa Dr Mahathir sebagai bapa pemodenan ekonomi Malaysia mereka tidak dapat lari dari realiti bahawa ada sesuatu yang telah renggang, pudar dan tidak berfungsi di dalam sistem ini. Walaupun pemerintahan hari ini mungkin akan berkekalan, ia akan terus dihadapi dengan cabaran-cabaran luar biasa yang tidak ujud zaman lalu. Walau apapun yang berjaya dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional bagi mempertahankan kekuasaannya, struktur masyarakat yang akan diwarisinya adalah bagaikan, "retak mencari pecah." Justeru adakah cabaran-cabaran luar biasa ini akan meruntuhkan rumah usang yang kini penuh dengan keretakan?
Kini rakyat sedang memikirkan di manakah akan dilaburkan saham keadilan masa depan mereka. Adakah mereka akan dipengaruhi oleh sebuah iklan sukaramai pada suatu ketika, "Dulu lain, Sekarang lain!"?.
Sumber: Eksklusif