Orientasi Ke Arah Kecemerlangan Akademik?
Pak Menteri Pendidikan Najib Razak nampaknya sibuk sekarang dengan program orientasi bagi pelajar-pelajar baru universiti awam. Katanya, orientasi bercorak baru ini bertujuan memberi pelajar baru gambaran yang mendalam dan sempurna mengenai dasar pemerintah dan juga tentang keadaan semasa dalam negara, antara lain.
Jadi berpusu-pusulah pak menteri, menteri besar, ketua menteri ke kampus berkenaan (bersama pegawai kanan universiti) untuk kononnya membuka minda pelajar kepada apa yang perlu mereka ketahui. Ada di antara pelajar baru kelihatan kurang jelas mengenai dasar pemerintah, ujar Najib sebagai satu usaha memberi justifikasi kepada tindakan dan strategi baru pemerintah ini.
Di sebalik retorik politik ini kita tahu bahawa apa yang memaksa para pemimpin pemerintah untuk "bertaklimat" dengan pelajar baru universiti ialah pergerakan reformasi yang muncul di negara kita, khususnya di Kuala Lumpur di mana penglibatan para pelajar universiti begitu ketara sekali. Pemimpin negara sedar bahawa pelajar telah mula bangun dan cuba membendung gejala salah laku politik dan moral di kalangan pemimpin negara. Apa yang mungkin juga membimbangkan pemimpin ialah pelajar berkeupayaan untuk "membuka minda" orang tua mereka tentang keadaan politik semasa di Malaysia.
Sebelum ini pernah kita kedengaran "nasihat" beberapa pak menteri kepada para pelajar universiti agar mereka tidak melibatkan diri dalam aktiviti politik. Kata pemimpin negara, tumpukan perhatian sepenuhnya kepada buku, kemudian selepas berijazah barulah memikirkan hal sekeliling mereka. Tapi nampaknya nasihat ini (yang memupuk semangat atau sikap mementingkan diri sendiri) gagal untuk menyekat keprihatinan pelajar terhadap perkembangan politik tanah air. Malah penyekatan ini hanya membakar minat sebilangan pelajar lebih-lebih lagi bila mereka rasakan ada yang tidak kena.
Seperti yang telah dinyatakan di atas, pelajar dan orang ramai diberitahu oleh pemimpin bahawa taklimat besar-besaran ini bertujuan untuk memberi kepada pelajar maklumat yang "betul" mengenai keadaan dalam negara. Dengan kata lain, satu gambaran mengenai politik nasional hanya dari kacamata pemimpin Barisan Nasional.
Langkah pemerintah seperti ini sudah tentunya dilihat sebagai satu perkara yang sumbang khususnya dalam dunia akademi kerana ia membayangkan satu usaha untuk memonopoli "kebenaran" mengenai keadaan negara masa kini. Dalam dunia akademi, sudah menjadi, atau seharusnya menjadi, satu kelaziman bahawa satu-satu idea atau pandangan itu dicabar oleh pendekatan yang berlainan dengan harapan ini akhirnya boleh menghasilkan satu idea, atau sintisis idea, yang lebih bernas dan mampat lagi. Hanya melalui proses perdebatan dan percanggahan pendapat inilah yang dapat menajamkan fikiran ahli akademik dan pelajar di universiti. Dan proses-proses ini secara keseluruhannya akan memberi sumbangan besar kepada usaha sesebuah universiti untuk mencapai satu tahap kecemerlangan akademik.
Dalam hal ini, universiti seharusnya menawarkan wadah kepada individu yang mewakili pandangan politik yang berlainan daripada Barisan Nasional supaya membolehkan pelajar, dan juga ahli akademik, terdedah kepada pelbagai pandangan politik negara. Dinamisme intelek ini sangat diperlukan oleh warga kampus.
Perlu ditekankan di sini bahawa institusi pengajian tinggi seharusnya merupakan sebuah gedung di mana pelbagai idea dan pandangan diberi tempat untuk diuji dan dicabar kerana inilah cara kita berusaha mencari kebenaran, pemahaman yang baik, atau jalan penyelesaian terhadap satu-satu masalah dalam kehidupan manusia. Lagipun, inilah juga cara kita menentukan "kecemerlangan akademik" yang dilaung-laungkan oleh pak menteri tidak tinggal sebagai satu slogan politik sahaja.
Siapakah yang sebenarnya memerlukan orientasi?
Sumber: ALIRAN